Monday, January 10, 2011

Jika Pengundian Semula - Apa Puncanya? Jika Tipu Adalah Punca - Mana Dalangnya?? (Wajib Baca!!)

Salam 1Tropicana,

Entri kali ini mengandungi beberapa artikel ulang tayang di akhir entri. Sebelum meneruskan pembacaan ulangan di bawah sana, sila hayati artikel ini untuk dibuat pedoman agar kita lebih mengenali apakah makna kejujuran dan keikhlasan dalam perjuangan.

Artikel-artikel ulangan itu juga bertujuan untuk menyedarkan dan menyegarkan ingatan, bahawa ada masalah yang masih belum selesai walaupun telah dijanjikan dengan manis sekali. Rupanya yang manis itu adalah tawaran untuk menutup mulut dan akhirnya hasil siasatan yang ditunggu-tunggu BERTUKAR menjadi satu pertunjukkan sarkis!!

Seperti kes Rais Yatim, menafikan sahaja tidak cukup untuk mengatakan dirinya bebas dari sebarang tuduhan. Begitu juga dengan pasca pemilihan 2010, apabila hari ini mengumumkan akan berlaku pengundian semula di beberapa Cabang bukan bermakna segala hasil siasatan hingga terjawabnya penyelewengan dan penipuan itu tidak didedahkan kepada si pengadu walaupun bukan untuk tatapan umum.

Saudara dan saudari yang dihormati, jika diumumkan pengundian semula di beberapa Cabang, pasti ada sebab-musababnya. Jika penipuan adalah satu sebab dan punca kepada berlakunya pengundian semula, pasti ada penipunya. Sekiranya ada penipu dalam pemilihan 2010, pasti juga ada dalangnya yang mungkin juga salah seorang calon yang bertanding!! Mereka-mereka yang menipu dan menjadi dalang penipuan ini harus dihukum kerana merosakkan nama parti dan juga mencemarkan maksud keadilan!

Maka ingin saya bertanya kepada YB SUA, siapakah dalang penyelewengan dan penipuan sehingga berlakunya pengundian semula? Apakah hukuman setimpal untuk mereka ini??

Saya bagi satu contoh mudah. Dalam sebuah kelas yang mempunyai 40 murid-murid, ada pemilihan untuk memilih siapakah ketua darjah dan barisan exconya.

Dalam kelas tersebut, si A berkomplot untuk memastikan kemenangan dengan memanggil 10 rakan-rakan dari kelas sebelah bagi mengundinya. Sebagai ganjaran, 10 rakan ini bakal mendapat upah.

Pengundian dilakukan bukan secara angkat tangan (sepertimana pengundian memilih pengerusi tetap) tetapi dengan mengundi secara bertulis di kertas kecil yang di sediakan. Oleh kerana si A masih risau kerana tidak yakin menang walaupun dengan bantuan 10 rakan kelas sebelah, maka di suruh 5 rakan baiknya mengundi dua kali dengan helah dan penipuan.

Apabila habis tempoh mengundi, didapati kertas undi di dalam kotak undi berjumlah 55 sedangkan kelas tersebut hanya mempunyai 40 orang murid. Lantas si B, yang merupakan calon kedua menyatakan bantahan. Dengan menyediakan bukti berbentuk buku kedatangan yang jelas mendapati ada nama pelajar yang tidak wujud dan ada juga yang didapati mengundi lebih dari sekali, si B membuat aduan rasmi 7 perenggan panjangnya. 

Salah seorang pengundi dua kali itu juga telah berpaling tadah kerana dijanjikan upah RM3.50 untuk melakukan kerja menipu, tetapi hanya dibayar sebanyak seringgit sahaja! Oleh kerana semacam tak percaya bahawa maruah dirinya berharga seringgit sahaja, maka mangsa sedia bekerjasama.

Saksi hidup ini juga telah dibawa berjumpa dengan pengawas kelas tersebut untuk diadukan kepada gurubesar. Walaupun begitu detailnya laporan beserta saksi dan bukti, akhirnya cikgu kelas berjanji untuk siasat dan mendedahkan hasil siasatan dalam masa 2 hari.

Namun jawapan yang diterima oleh si B setelah hampir 2 minggu menunggu (walaupun dijanjikan 2 hari sahaja) adalah - satu pengundian semula akan dijalankan. Si A yang dikatakan mengupah seorang saksi sebanyak RM3.50 (tetapi hanya diberi seringgit dan menyebabkan sipolan itu berpaling tadah), tidak dikenakan sebarang tindakkan malah mungkin tidak disiasat langsung.

Akhirnya dapat disimpulkan dan dikenalpasti rupa-rupanya, si A itu adalah anak kesayangan si gurubesar, maka mungkin atas sebab inilah si A itu nampaknya kebal dan imune kepada undang-undang sekolah sepertimana kebalnya pemimpin UMNO terhadap undang-undang Malaysia.

Berbalik kepada artikel ulangan di bawah, sudi-sudikanlah khatamkan artikel di bawah (2 artikel) termasuklah satu laporan 7 mukasurat kepincangan dan segala macam penyelewengan JPP sepanjang Pemilihan 2010...


EDYES @ edyesdotcom
edisi LAWAN TETAP LAWAN !!


PEMILIHAN 2010 TIDAK BERSIH !!

Pemilihan 2010 telah melabuhkan tirainya semalam, tetapi statusnya pemilihan 2010 adalah umpama susuk yang penuh dengan calar-balar yang lukanya bakal menjadi kudis yang busuk.

Semalam kita dapat lihat proses pengundian yang berlaku di beberapa kawasan negeri Selangor. Sebagai sebuah negeri yang diperintah oleh PKR, sudah pasti proses pengundian Pemilihan 2010 yang di Cabang-Cabang negeri Selangor akan menjadi paling meriah dan turnout yang tinggi. Selangor merupakan lubuk terkuat Parti Keadilan Rakyat semenjak berjaya menguasai negeri Selangor pada 8 Mac 2008.

Di sini saya mengambil pemilihan Cabang Gombak sebagai contoh, iaitu salah satu kubu kuat bakal timbalan presiden PKR. Cabang Gombak yang mempunyai keahlian sekitar 7 ribu. Semalam, dari jumlah keahlian 7 ribu, jumlah yang keluar mengundi bagi Cabang Gombak hanyalah 284 undi sahaja. Apakah gombak dilanda banjir besar ?

Mari kita bandingkan apa yang berlaku di Batu Sapi, Sandakan. Masih kita ingat ketika PRK Batu Sapi, bagaimana jerihnya jentera PKR tempatan hendak dikumpulkan hingga menimbulkan seribu kepayahan untuk mencari wakil PACA dari kalangan penduduk tempatan. Dengan logistik mobilisasi yang tidak semewah daerah gombak, dan kehadiran mesyuarat Cabang (MATC) yang punya kehadiran tidak sampai seratus ahli, mari kita lihat sebuah 'silap mata' ciptaan mereka yang sanggup berbuat apa sahaja demi sebuah kemenangan dalam parti.

Cabang Batu Sapi mempunyai keahlian sebanyak 3 ribu ahli. Dari jumlah ini, jumlah yang keluar mengundi dalam Pemilihan 2010 (pemilihan pusat) adalah menghampiri seribu undi ! Tidakkah sesiapa sahaja akan berasa pelik jika dibandingkan dengan senario yang berlaku di Gombak ? Dan apa yang lebih memelikkan, telah dilaporkan bahawa tidak sampai 100 kertas undi yang dikeluarkan ketika masuk jam 1 tengahari, tetapi di antara pukul 1 hingga pukul 4 petang, sejumlah 900 undi telah dicatatkan dalam 3 jam terakhir tempoh pengundian! Ini pelik bin ajaib !

Saya akan memperincikan lagi dalam sedikit masa mengenai apa yang dikatakan 'silap mata' dari JPP. Jika tiada aral melintang, lewat malam ini perincian demi perincian akan dipaparkan, juga kepincangan demi kepincangan.

Sementara itu, saksikan laporan yang dikemukakan oleh Chegubard mengenai apa yang telah berlaku di Sabah. Ia sangat mengerikan kita, dan membuatkan kita langsung hilang kredibiliti untuk menyertai himpunan sebersih BERSIH.

Laporan di bawah pada asalnya bersifat confidential tetapi telah dipapar dalam blog tukar tiub selama beberapa jam di atas masalah komunikasi sebelum ditarik balik oleh blog tukar tiub. Malangnya, terdapat beberapa blog lain yang telahpun 'copy n paste' laporan ini untuk dipapar di laman blog masing-masing.

Saya mengambil langkah di atas tanggungjawab saya sendiri, untuk memaparkan laporan yang dikemukakan oleh Chegubard untuk perhatian kepimpinan utama Parti Keadilan Rakyat pada 18 November lalu, setelah JPP dan biro bertanggungjawab tidak menghiraukan bantahan dan laporan sebelum ini.

Juga ingin saya maklumkan, maklumat-maklumat di dalam laporan ini dibuat tidak begitu spesifik untuk menjaga hak bukti dan saksi yang terlibat.

Diharap saudara saudari pembaca semua mengamati laporan di bawah seterusnya membuat konklusi mengikut fahaman masing-masing.


Di bawah adalah laporan kali ke-tiga terhadap kepincangan JPP yang telah dihantar oleh pihak Chegubard;


18 November 2010

Kepada :
Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail,
Presiden,
Parti Keadilan Rakyat

Laporan kepincangan proses pengundian Pemilihan KEADILAN 2010

Perkara diatas dirujuk.

Pertama sekali laporan ini ditulis dalam kebimbangan semua saksi yang didedahkan dalam laporan ini terbuka untuk ugutan, malah kebanyakan saksi tidak berapa selesa untuk tampil kerana tidak mahu menimbulkan masalah pada diri.

Berikut ialah antara kepincangan yang muncul

1. Tarikh tutup pendaftaran/pertukaran anggota sudah diputuskan ada pertukaran selepas tarikh yang dibenarkan.

Merujuk aduan Saufi Mi'ad (bekas Pemangku Ketua AMK Teluk Kemang) mengenai pertukaran keanggotaan Ramlan Roes yang dibuat selepas tarikh yang dibenarkan. Pertukaran ini dibuat dan secara sengaja disedari selepas tarikh dibenarkan untuk membolehkan Ramlan bertanding Ketua AMK Teluk Kemang dengan menyokong Kamarul Baharin, Pengerusi Perhubungan Teluk Kemang yang bertanding Ketua Cabang Teluk Kemang. Apabila bantahan dibuat secara lisan kepada JPP yang bertugas dalam proses penamaan calon, Pegawai bertugas bertanya sama ada Ramlan ini penyokong cheGuBard. Apabila dikatakan tidak maka bantahan tidak dilayan. Bantahan bertulis juga telah dibuat sebaliknya tidak diendahkan sehingga kini.

Masalah aduan pendaftaran dan pemindahan keanggotaan seperti ini juga wujud di banyak tempat tidak ditangani dengan serius sehingga menyebabkan masalah yang besar seperti di Kuala Nerus.

1. JPP disengajakan tidak cukup kakitangan ?

Alasan aduan tidak dilayan ialah JPP tidak cukup kakitangan. Saya menjadi pelik bagaimana ini boleh dijadikan alasan. Atau sengaja tidak cukup kakitangan supaya boleh menutup kelemahan. Dari peringkat awal Rembau telah menghantar 4 calon untuk membantu JPP namun semua ditolak kerana alasan tidak layak dan tidak ada pengalaman.

Kemudian apabila melihat anggota JPP yang dipilih mengendalikan tugas besar, maka alasan menolak calon JPP dari Rembau dilihat cukup tidak munasabah. Ada anggota JPP sekarang yang tua dan terketar – ketar, ada anggota JPP yang buta IT tetapi calon JPP dari Rembau yang antaranya pelajar Kolej Tahun Akhir dan lepasan UITM ditolak kerana tak layak. Ada beberapa cabang lain juga mengadu perkara yang sama. Adakah ini terancang dimana beberapa cabang yang dilihat 'melawan' ditolak calon JPPnya ?


2. Pencalonan ditukar

Merujuk surat pengaduan rasmi yang dibuat oleh Zulkifli Ibrahim selaku penyelaras kempen saya yang mengadu mengenai kegiatan menukar pencalonan. Contohnya Tampin, memang sahih mensyuarat mencalonkan cheGuBard dan Chang Lih Kang sebagai calon Ketua dan Timbalan ketua AMK. Namun apabila muncul di database parti ia meletakkan nama Shamsul dan Khairul Anuar. Jika nama boleh ditukar bagaimana pula dengan nombor jumlah undi.

Surat yang dihantar sebulan lebih tidak berjawab dan tindakan tidak diambil. Orang yang dikenal bersalah bebas masuk dan keluar ibu pejabat dan menikmati bayaran gaji tanpa tekanan.


3. Buku daftar mengundi catat kurang dari jumlah Undi dalam peti undi

Perkara ini berlaku di beberapa tempat malah ada yang disenyapkan. Kebetulan di Kubang Pasu kami ada PACA maka kami berjaya 'menangkap' buku kehadiran yang hanya melaporkan kehadiran sekitar lebih kurang 70 orang sebaliknya kertas undi pula hampir 200 di dalam kotak.

Ini diperakui oleh JPP apabila memanggil wakil calon Zaid Ibrahim untuk berbincang dengan menyelesaikan dengan cara bahagi 2 jumlah undi. Ini penyelesaian apa ? Individu bersalah harus dihukum kerana jelas berlaku penipuan. Wakil calon saya langsung tidak dipanggil.

Berapa banyak cabang lain yang perkara ini dilaporkan berlaku tetapi kerana kelicikan kia dilakukan kami gagal membuktikanya.


4. Jumlah datang mengundi meragukan

Mendapat sms dari no. 0105895379 yang merupakan anggota KEADILAN setempat, beliau menyatakan tahu penipuan berlaku di mana pengundi yang hadir di Cabang Sandakan dan Libaran yang mana beliau sendiri melihat tiap cabang yang hadir paling tinggi hanya sekitar 200 orang itupun melibatkan 'pengundi hantu'. Beliau menamakan oleh En. Mustafa Osman, Ketua Penerangan Libaran sebagai terlibat.

Beliau sendiri teragak – agak untuk tampil kerana jika identiti terdedah akan diancam samseng. Lebih lagi seolah tergambar parti itu sendiri sedia menipu. Beliau juga menyatakan bagaimana setiausaha Perhubungan Sabah yang dipukul di Lapangan Terbang berkaitan isu Pilihanraya Kecil tidak mendapat pembelaan malah seolah samseng yang memukul mendapat perlindungan parti, ini lebih menakutkannya.

Dr. Jurin Gunsalam, melaporkan pusat pengundian Libaran pada jam 2.00ptg hanya mencatatkan kehadiran 20 orang sahaja bagaimana mungkin sebelum ditutup kehadiran 900 orang dilaporkan.

Di Batu Sapi, Sandakan, Libaran satu siasatan terbuka harus dilakukan oleh badan bebas segera. Jumlah kehadiran luar biasa yang amat meragukan. Wakil kami hanya mencatatkan kehadiran paling tinggi sekitar 200 orang. Jika parti tidak mampu untuk lakukan siasatan. Beri kami buku kehadiran kami akan siasat sendiri.


5. Keputusan undi yang pelik

Jumlah undi yang tertera dalam laman web parti sendiri tidak konsisten. Ada nombor yang berubah ditengah-tengah minggu. Ada nombor yang menunjukkan undi mengurang. Adakah proses pengundian boleh dikira dengan cara 'negatif'.

Nurin Aina (no hp. 0127616421) Calon Exco wanita melaporkan punya bukti bagaimana jumlah undi boleh dilaporkan secara salah oleh JPP.

Saudara Hisham (no. hp : 0196623930) melaporkan bagaimana dalam proses pengiraan undi di Teluk Intan bagaimana undi yang dikira amat meragukan melibatkan calon MPP Nordin Mahmod tetapi apabila didesak semula tong dibuka dan dikira semula jelas undi tersebut dikurangkan dengan banyak dalam kiraan awal.


6. Keselamatan proses pengundian lemah yang memungkinkan penipuan

Di Tuaran laporan saudara Bobby (PACA di Tuaran) sebanyak 30 kertas undi tidak punya cop dibantah tetapi tidak dikira rosak atau batal sebaliknya dikira sebagai sah.

Ini laporan email dari Kenny, Ketua AMK Libaran yang menyatakan apa yang berlaku dengan peti undi di Sandakan.


---------- Forwarded message ----------

From: kenny cyl
Date: 2010/11/7
Subject: Peti Undi Dewan Pandu Putri
To: zulshowfx@gmail.com

..Terima panggilan dari Kent ( ketua AMK KK ) kira kira pukul 4:40ptg mengenai bilangan undi di Sandakan pada 6hb Oct.2010, lalu saya dan seorang AJK cabang Sandakan menuju ke tempat mengundi Dewan Pandu Putri dan sampai disana kira kira pukul 4:55ptg.

Apabila saya sampai saya bertanya pada yang dimaklumkan Mustaffa mengapa tempat ini bersurai dan mengapa pengiraan undi bukan disini. Mustaffa menjawab bahawa tempat ini disewa sehingga pukul 5ptg dan selepas pukul 5ptg tidak dibenarkan menjalankan aktiviti-aktiviti, Oleh kerana itu peti undi terpaksa di alih ke tempat lain untuk pengiraan.

Didalam perbualan saya dengan Mustaffa, kereta Dmax biru itu lalu membawa peti undi itu beralih dari Dewan Pandu Putri kira kira pukul 5:05ptg. Saya bertanya pada Mustaffa lagi, ke mana peti itu di bawa, dia jawab : belum tentu lagi kerana mahu cari Hotel yang sesuai untuk pengiraan dan perkara ini telah pun di maklumkan pada orang atasan. Saya sekali lagi tanya, siapa yang di tugaskan dalam kereta yang membawa peti undi itu, Dia menjawab : Davi ada dalam kereta. Mustaffa tanya saya jika mahu tahu, call dia dalam pukul 6ptg dan saya pun diberi nombor telefon bimbit dia lalu di terus beralih dari Dewan itu.

Setelah ini saya terus call Jurin Ketua AMK Kota marudu mengenai perkara itu, selepas saya memaklumkan hal ini pada Jurin, dalam bernerapa minit Chang Lih Kang Call saya dan saya memaklumkan hal ini lagi pada dia ... dan seterusnya..Nicholas, zulkifli...juga call pada saya. Saya dan AJK cabang Sandakan terus menuju ke tempat pengundian Cabang Sandakan di Jockey Lodge yang saya di maklumkan oleh Mustaffa bahawa tempat penggundian di Dewan Pandu Putri adalah untuk kawasan Libaran dan Jockey Lodge adalah untuk kawasan Sandakan.

Setelah Saya dan AJK cabang Sandakan sampai di tempat undi kawasan Sandakan iaitu di Jockey Lodge, saya berjumpa dengan Benedict Wong dan dimaklumkan pengiraan undi sedang dijalankan di tempat tersebut. Benedict Wong memaklumkan saya bahawa peti undi itu ada di bilik gerakan Libaran dan saya bersama Benedict Wong menuju ketempat tersebut. AJK cabang Sandakan yang mengikut saya menolong di tempat pengundian di Jockey Lodge. Setelah saya sampai di bilik gerakan Libaran bersama Benedict Wong tetapi gate di bawah tangga berkunci.

Di sana Benedict Wong menelefon untuk mencari arah tuju peti itu, setelah beberapa pangillan yang dia buat, Benedict Wong memaklumkan saya bahawa Peti itu akan ada di Sanbay Hotel dan saya bersama Benedict Wong terus menuju ke Sanbay Hotel dan sampai disana kira kira pukul 5:45ptg. Thamrin sudah pun tunggu disana. saya membuat beberapa panggilan memaklumkan peti Libaran akan sampai ke Sanbay Hotel. Pada masa itu juga Tian Chua juga membuat panggilan pada saya mengenai hal ini dan saya pun memaklumkan dia juga dan dalam perbincangan saya dengan Tian Chua , peti undi Libaran pun sudah sampai kira kira 6ptg. Dan saya melihat Thamrin ada disitu dan Benedict Wong suruh saya hantar dia balik ke Jockey Lodge, lalu kita beralih dari Sanbay Hotel ke Jockey Lodge kira kira pukul 6:45ptg. Disana pengiraan undi kawasan Sandakan di adakan di bilik 207 yang di ketuai oleh Masri.

Setelah saya tahu Pengiraan Undi Libaran ada Thamrin dan Sandakan ada Masri. saya pun meminta diri untuk pulang kira kira 7:15mlm. Kira-Kira pukul 10mlm Star reporter call saya bertanya mengenai Peti Undi Libaran. dan saya memaklumkan dia hal tersebut dan kemudian Malaysian Insider call saya juga dan cerita yang sama saya maklumkan. saya mendapat nasihat dari Nicholas bahawa ceritakan saja apa yang betul betul terjadi pada reporter. Pagi ini saya mendapat panggilan dari reporter lagi. cerita yang sama saya berikan padanya. TAMAT report by Kenny

(Email di atas tidak diedit bahasa dan tulisannya kecuali meletakkan perenggan)

Di semua tempat mengundi pula sebaik sahaja ditutup semua wakil PACA diarah keluar selama 30 min. Adakah ini satu yang terancang untuk merancang penipuan ?

Kami terpaksa menyiapkan jentera seperti melawan Bn yang diuruskan SPR. PACA terpaksa disediakan, sedangkan dipihak lain mereka lansung tidak mempedulikan untuk mewujudkan PACA pun. Di Kota Raja mujur kami sediakan PACA ada dalam sekitar 10 kejadian meja depan yang mencatat kehadiran pengundi mengarahkan kertas undi AMK diberikan kepada pengundi yang sudah lebih 40 tahun. PACA yang kami sediakan berjaya mengesan dan gagalkan usaha ini. Banyangkan berapa banyak yang sudah terlepas.


7. Campur tangan serius DSAI

Dr Jurin (no hp : 0195313585) melaporkan bahawa Ketua Cabang Kota Marudu memaklumkan bahawa beliau telh dihubungi oleh DSAI sendiri dengan 'mengarahkan' sokongan kepada calon tertentu dan mengarahkan menolak calon tertentu. Di Cabang tersebut juga proses pengundian telah mengambil sukarelawan JPP dari AJK cabang yang jelas memihak dan 'mengarahkan' undi ketika proses berlansung.

Ini belum masuk dengan usaha jahat menggunakan laman sosial dan sms menfitnah say dan teman- teman. Amizuddin Ahmat (bekas Ketua AMK Pulau Pinang) sendiri mendapat panggilan telefon dari seorang yang dikenali orang Shamsul yang menuduh saya membeli undi RM30 satu undi di Sabah / Sarawak.


8. Di cabang beluran Ketua AMK Beluran melaporkan Pusat Pengundian ditutup pada jam 3.30 ptg menyebabkan lebih dari 10 anggota AMK yang dibawa tiba jam 3.55 ptg gagal mengundi


9. Jumlah kertas undi yang dihantar ke Cabang juga pelik. Di Pendang ada pengundi tak dapat mengundi kerana kertas undi tidak cukuptetapi di Cabang Batu Sapi, Libaran dan beberapa cabang yang tiba – tiba mencatatkan kehadiran tinggi kertas undi terlebih cukup. Menurut maklumat JPP kertas undi disediakan hanya sekitar 20 % - 30 % dari jumlah pengundi tetapi di tempat yang jumlah undi pelik kertas undi tersedia lebih dari 50 %. Mana JPP tahu yang orang akan datang mengundi lebih ? Bagaimana dengan hak pengundi di Pendang yang dinafikan hak mengundi.

Saya memohon tindakan segera diambil. Satu keputusan mengumumkan menggantung keputusan Kubang Pasu, Libaran, Sandakan dan Batu Sapi perlu dibuat sebelum proses pengundian minggu ini bermula.

Kononya wujud pengundi hantu di Rembau saya juga mohon Rembau dibatalkan dan undi semula.

Satu penyiasatan terbuka perlu diadakan segera mengenai kepincangan yang berlaku.

Saya masih berpegang teguh dengan disiplin parti menggunakan seluruh saluran dalaman parti. Namun saya semakin diasak ke dinding.

Saya selaku anggota Parti KEADILAN Rakyat mohon keadilan.

Sekian dan terima kasih


Badrul Hisham Shaharin
calon Ketua AMK
Pemilihan KEADILAN 2010.


EDYES @ edyesdotcom
 
 
MENCARI KEADILAN DI HARI KONGRESS
 
 
Apakah menjadi satu kesalahan sekiranya kita cuba menegakkan keadilan dalam Parti Keadilan ? Apakah sesiapapun wajar digelar pengkhianat apabila melaporkan cacat cela kepincangan yang terbentuk pada badan parti? Samada kecacatan itu sengaja dibiarkan, tidaklah diketahui secara pasti.

Terus terang saya katakan, ada perkara yang kita boleh kompromi demi sebuah perjuangan dan ada juga perkara yang langsung tidak boleh dikompromi terutamanya perkara yang melibatkan soal ketelusan. Ketelusan juga merupakan satu bentuk perlindungan jangka panjang yang membolehkan parti ini terus subur didokongi oleh rakyat yang ingin melihat negara ini diperintah oleh parti yang boleh diharap akan ketelusannya dan berlaku adil terhadap rakyat.

Saya mengikuti pemilihan 2010 sejak dari awal detik pemilihan sebagai orang kanan kepada salah seorang calon Ketua AMK. Banyak kepincangan yang berlaku di hadapan mata sepanjang meniti minggu demi minggu pengundian, maka adakah anda fikir blogger seperti saya perlu berdiam diri??

Telah banyak aduan salah laku pegawai JPP dan laporan penyelewengan pengundian telah dihantar kepada kepimpinan parti termasuklah SUA, tetapi tiada tindak-balas yang diharapkan berlaku. Mungkin aduan-aduan tersebut telah dibakul sampahkan memandangkan keputusan rasmi sudah menghampiri iaitu ketika kongress Nasional ke-7 berlangsung.

Apabila aduan demi aduan tidak dilayan, beberapa surat bantahan telah dihantar sebelum ini tidak dibalas, resolusi 10 November lalu yang mengandungi 6 perkara itu juga telah dikemukakan namun tiada respon sewajarnya. Sehingga sampai di satu tahap saya terpaksa membocorkan surat laporan kepincangan JPP kepada pucuk pimpinan di sini, supaya ianya diambil peduli oleh biro yang bertanggungjawab. Tetapi malangnya, ia lebih diambil peduli oleh para wartawan termasuklah dari RTM.

Semua saluran kecuali saluran media arus perdana telah digunakan demi mendapatkan secetus perhatian dan keadilan supaya cabang-cabang yang dibuktikan berlaku seleweng dan disaksikan 'sangat tidak logik' itu segera disiasat. Suruhanjaya siasatan itu juga harus dilihat bebas agar akhirnya dapat dikesan siapakah dalangnya yang cuba menang dengan cara yang keji lagi terkutuk. Kita ini Parti Keadilan Rakyat, adalah begitu busuk pekungnya apabila  ada di antara kita yang sanggup gadai maruah perjuangan demi sebuah kerusi jawatan.

Justeru itu, saya menyeru kepada semua anggota parti terutamanya anak muda menyertai kumpulan kami untuk bersama-sama mencari keadilan yang kian terperosok. Jika Pemilihan 2010 adalah satu punca kepada barah yang bakal merosakkan parti, maka kitalah yang menjadi ubatnya untuk melawan barah tersebut.

Dalam masa yang sama, Anwar Ibrahim juga harus diselamatkan apabila kita sedar dan melihat bahawa, Anwar Ibrahim sebenarnya telah dikelilingi oleh orang-orang yang berkepentingan tersendiri yang menjadi penasihat tidak rasmi terhadap DSAI yang akhirnya menimbulkan banyak keputusan tidak popular dari Ketua Umum dan juga meja biro politik. Anwar Ibrahim harus dijauhkan dari anasir-anasir yang membawa rebah!

Ayuh menyertai kempen Mencari Keadilan Selamatkan Keadilan, dengan menghadirkan diri pada kongress kali ini mengenakan baju yang berwarna hitam sebagai tanda protes. Juga akan diagihkan riben dan armband di perkarangan kongress untuk dipakai sebagai tanda sokongan terhadap protes yang merujuk kepada kepincangan Pemilihan 2010.

Saudara dan saudari yang saya hormati, percayalah bahawa kerunsingan Pemilihan 2010 ini sedikit pun tidak menimbulkan rasa benci terhadap perjuangan Parti Keadilan Rakyat, cuma perasaan benci yang meluap-luap itu hanyalah terhadap penipuan dan penyelewengan yang berlaku dalam Jawatankuasa Pemilihan Parti, dan lebih menjengkelkan apabila ianya seolah-olah dibiarkan berlaku. Apabila keadilan itu dinafikan dalam parti yang berlandaskan Keadilan - apakah makna KEADILAN?

Saya berpegang kepada prinsip, jika menyatakan kebenaran itu menyebabkan saya dituduh pengkhianat, maka saya rela 1000 kali dipanggil pengkhianat demi memperjuangkan kebenaran. Saya takkan berundur walau setapak, takkan seinci akan berganjak!!

Saya menjunjung Parti Keadilan Rakyat sebagai satu wadah yang paling ideal, sebuah parti harapan merentasi kaum, menjadi pertaruhan terbaik untuk menumbangkan BN keparat. Itu perkara Pasti!


EDYES @ edyesdotcom - COURT oF PUBLIC OPINION

2 comments:

Anonymous said...

Apa boleh buat. Kita berada dalam
Parti yang memperjuangkan KEADILAN, tapi rupa-rupanya, Keadilan yang dilaung-laungkan itu hampas belaka.
Saya pernah bertugas sebagai Pengawas Pemilihan. Kami dijanjikan elaun yang indah-indah,namun 'CLAIM' TUNTUTANBAYARAN PERJALANAN telah lama diserahkan pada pihak berkenaan, namun hingga kini janji tinggal janji. Bayaran yang dijanjikan entah dimana.
Hrp pihak berkenaan tolong tengok-tengokkan Claim kami. TK

Anonymous said...

Harap-Harap PKR benar-benar sebagai
PARTI KEADILAN RAKYAT, BUKAN PARTI KENCING RAKYAT.
Kalau Janji pada Pengawas Pemilihan
pun tak ditunaikan, macam mana nak
tunaikan janji pada RAKYAT?