Wednesday, December 31, 2014

Selepas K.Krai dan Kota Bharu, SAMM Susun Misi Bantuan ke Temerloh-Mentakab

Kenyataan Media
31 Disember 2014

Selepas K.Krai dan Kota Bharu, SAMM Susun Misi Bantuan ke Temerloh-Mentakab

Syukur Alhamdulillah, sekali lagi SAMM dikurniakan kesempatan terbaik bagi meringankan beban mangsa banjir di kawasan yang paling teruk terjejas di Kuala Krai dan Kota Bharu.

Pengalaman SAMM dalam banyak siri bantuan mangsa banjir sejak SAMM bergerak 10 tahun lalu, termasuklah banjir besar di Utara pada tahun 2011-2012 dan banjir besar di Kuantan 2013, menjadikan segala urusan bantuan begitu lancar khususnya kemampuan untuk sampai ke kawasan yang paling kritikal.

Sepanjang 3 hari misi bantuan ke K.Krai dan K.Bharu, di atas tindakkan pantas SAMM berjaya akses ke hampir semua kawasan dan pusat pemindahan yang masih belum menerima sebarang bantuan luar. Malah kebanyakkan tempat yang ditembusi SAMM hanya boleh diakses melalui bot khususnya kawasan yang terputus hubungan dari segala aspek.

Setakat hari ini juga, SAMM telah menghantar berbelas tan barang keperluan asas dalam beberapa trip untuk mangsa banjir dan trip terakhir bertolak tengah malam tadi juga merupakan trip ke-4. Sedikit kesulitan dihadapi apabila kebanyakkan lori yang menyertai misi bantuan ini pulang dengan keadaan rosak, maka didapati kadar sewaan lori untuk trip seterusnya jauh lebih mahal.

Selesai bantuan ke negeri Kelantan, kini SAMM sekali lagi mengambil peluang menabur bakti dengan kekuatan yang lebih besar, dengan penumpuan operasi bantuan dan pembersihan rumah mangsa banjir. SAMM akan masuk ke Temerloh bermula hari Jumaat 2 Januari 2015.

Kali ini juga SAMM memerlukan dana lebih besar demi membeli peralatan pembersihan seperti waterjet, alat pemberus dan sabun basuh dengan skala yang besar.

Demi mengumpul dana yang juga amanah orang ramai untuk disampaikan secara berkesan kepada mangsa banjir, kami SAMM akan mengadakan aksi buskin sambil mengutip dana amal sepanjang ambang tahun baru, bertempat di persimpangan Jalan Tun Perak - Dataran Merdeka. Berikut adalah maklumat ringkas;

Buskin SAMM Kutipan Dana Amal Mangsa Banjir;

Tarikh: 31hb Ambang Tahun 2015
Masa: 9 malam - 2 pagi
Lokasi: Persimpangan Jalan Tun Perak - D.Merdeka (bwh flyover)

Orang ramai dijemput memeriahkan suasana, kita nyanyikan lagu bersama mendedikasikannya untuk mangsa banjir seluruh negara.

Kepada orang ramai yang ingin menyalurkan bantuan berbentuk barangan, SAMM juga menyediakan lokasi untuk berbuat demikian adalah seperti di bawah;

Misi Banjir SAMM ke Pahang (Temerloh&Mentakab)

Akan Bergerak pada:

Pada: 2 Januari 2015(Jumaat)
Jam: 7.00 PM (di tol gombak)

Sumbangan khusus Yang Diperlukan:
1.Toto&Selimut
2.Ubat-Ubatan Asas
3.Lilin&Ubat Nyamuk
4.Torchlight&Bateri
5.Makanan Asas&Air Mineral
6.Pampers,Susu Bayi&Pad Wanita
7.Alatan Mencuci Badan
8.Pakaian Dalam Baru(L&W)

Akaun Sumbangan(Maybank): 555041113224(Solidariti Anak Muda Ent.)

Sebarang pertanyaan:
Azhar (012-3312364)
Megat (017-5697966)
Makio (016-9367724)

Justeru itu, tiada apa yang kami harapkan melainkan ehsan dari rakyat kepada rakyat, hasilnya pasti penuh dengan keberkatan.

Kami anak muda SAMM hanya menjadi pengantara yang tidak jemu keringatnya membasahi bumi bertuah, demi mereka-mereka yang sangat memerlukan, kami sentiasa di depan!

Sekian,

Khairooll Anuar Al-Megat
Mohd Afiq Ayob (Makio)
Penyelaras SAMM Kebangsaan
Koordinator Misi Bantuan Bencana SAMM


Tuesday, December 23, 2014

~ MISI BANTUAN BANJIR SAMM KE KELANTAN 2014/15 ~

~ MISI BANTUAN BANJIR SAMM KE KELANTAN 2014/15 ~

CADANGAN:
Tarikh: 27 Dis. 2014
Hari: Sabtu
Masa: 11 pagi
Tempat kumpul konvoi:
Tol Gombak

1) Seperti tahun2 sebelum ini, SAMM sekali lagi meneruskan misi Bantuan banjir utk tahun 2014/15. Bantuan dan sokongan anda amat kami perlukan dalam memberi sokongan moral kepada mangsa banjir. Berikut adalah keperluan dan sumbangan dari anda yang kami perlukan dalam melancarkan pergerakan konvoi bantuan ini:-

- Kos pengangkutan, petrol, tol dll RM2000
- Barangan berupa makanan asas
- Barangan makanan dan keperluan bayi dan kanak2
- Barang2 kelengkapan persekolahan
- Barangan keperluan wanita
- Barangan keperluan asas seperti selimut, jaket dan baju sejuk, tikar, bantal, toto, berus dan ubat gigi dll yang difikirkan munasabah.

2) Segala sumbangan berupa barangan boleh di hantar BERMULA PADA 23 Dis. 2014 (Selasa) ke check point.:-

i)LOT 7 JALAN 16
KG CHERAS BARU
OFF JALAN KUARI
56100 KUALA LUMPUR

Koordinat GPS:
3.106394, 101.748112

ii)Menara Orkid,Bandar Baru Sentul,51000,Kuala Lumpur
(Makio)

Maps
http://goo.gl/maps/OzVvJ

Sila hubungi:
Pn.Liana 019-2314161
Sani 012-9781707
Yaser 012-6794704
Makio 016-9367724
*sila call dahulu sblm hantar barangan 

Sumbangan dalam bentuk wang sila bank in ke Akaun:

Nama Akaun: Solidariti Anak Muda Ent.
No.Akaun: 555041113224
Bank: Maybank

3) Segala sumbangan dan bantuan dari anda semua amat kami hargai. Semoga segala bantuan ini dapat meringankan bebanan mangsa banjir dalam kita berkongsi kesedihan ini.

* InsyaAllah segala aktiviti sepanjang program ini akan kami maklum dari semasa ke semasa. T.kasih

Thursday, December 4, 2014

Laporan RCI Sabah : Penjawat Awam Dikambinghitamkan Bagi Menutup Kecurangan Parti Politik

Kenyataan Umum
4 Disember 2014

Laporan RCI Sabah : Penjawat Awam Dikambinghitamkan Bagi Menutup Kecurangan Parti Politik

Laporan Suruhanjaya DiRaja (RCI) berhubung pemberian Kad Pengenalan kepada warga asing di Sabah telahpun dipersembahkan kepada umum pada 3 Disember 2014. Solidariti Anak Muda Malaysia merasa terpanggil untuk memberikan respon balas terhadap dapatan laporan tersebut.

1. Solidariti Anak Muda Malaysia merasakan kelewatan pembentangan laporan RCI ini adalah untuk menukarkan beberapa fakta dan  penemuan laporan supaya sifat khianat beberapa pihak dapat terus disembunyikan.

2. Walaupun, laporan RCI telah mengakui berlakunya projek pemberian Kad Pengenalan kepada warga asing yang telah mengubah keseimbangan demografi dan agama di Sabah, namun begitu, RCI tidak menamakan mana-mana pihak yang bersalah.

3. Sehubungan itu, SAMM mendesak Kerajaan Persekutuan melalui KDN, PDRM dan Pejabat Peguam Negara untuk mengheret semua pelaku ini untuk dibicarakan di mahkamah terbuka. Tindakan menjual kad pengenalan ini adalah satu bentuk tindakan khianat terhadap kedaulatan dan keselamatan negara secara amnya dan negeri Sabah secara khususnya.

4. Kerajaan Persekutuan tidak boleh berdiam diri. Mereka yang bersalah perlu diheret ke muka pengadilan. Atau Kerajaan Persekutuan masih lagi berhasrat untuk menyorokkan sesuatu.

5. Walaupun, RCI hanya beranggapan mungkin wujud Projek IC tetapi RCI juga tidak menafikan perkara ini. Maka, SAMM berpandangan projek pemberian IC bagi tujuan politik ini tetap berlaku. Adalah mustahil sekiranya projek ini hanya sekadar bermotifkan keuntungan kewangan semata-mata. Persoalan berhubung kewujudan ramai penerima kad pengenalan ini juga yang terdapat banyak dalam daftar pemilih perlu dijawab.

6. Sekitar bulan November 2014, media di Indonesia termasuklah CNN Indonesia berhubung pemberian kad pengenalan kepada warga Indonesia kononnya atas tujuan memudahkan proses keluar masuk di antara kedua-dua negara membuktikan bahawa gejala ini berterusan berlaku sehingga kini. Apakah Kerajaan Persekutuan terus mahu mendiamkan diri?

7. Hakikatnya, pemberian kad pengenalan kepada warga asing ini adalah angkara parti politik yang ingin memanipulasi sistem pilhanraya untuk terus kekal berkuasa walaupun terpaksa menjual kedaulatan dan keselamatan negara. Meletakkan beban kesalahan sepenuhnya kepada Penjawat Awam juga merupakan satu tindakan kambing hitam untuk menutup kecurangan pemimpin politik.

Kepada para penjawat awam, renung dan ingatlah, berpada-pada dalam mengikut arahan. Gaji anda dibayar oleh rakyat. Setialah pada rakyat dan negara bukan berkiblatkan parti politik. Apabila masalah muncul, andalah yang akan dikambinghitamkan sedangkan tuan-tuan politik anda terus kekal bebas. 

Che'GuBard
Pengasas
Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM)

Friday, November 21, 2014

Khalid Perlu Tampil Berdepan Isu Pampasan Bekas Kakitangan

Kenyataan Media
22 November 2014

Khalid Perlu Tampil Berdepan Isu Pampasan Bekas Kakitangan

Isu pampasan kakitangan bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim adalah isu yang besar dan perlu ditangani dengan telus. Saya telah menerima satu email yang menyatakan mengenai jumlah pampasan yang dibayar adalah berdasarkan kepada formula 30% daripada gaji yang didarabkan dengan jumlah tempoh bulan perkhidmatan. Media juga telah menyatakan bahawa terdapat juga bayaran ganti kepada notis tiga bulan.

Jumlah pampasan yang diterima menurut sumber email dan bayaran ganti kepada notis tiga bulan yang didedahkan media adalah seperti berikut :

Nama : Faekah Hussin
Jawatan Akhir : Ketua Pegawai Eksekutif MBI
Pampasan 30% : RM 585,000
Ganti Notis 3 Bulan : RM 114,000
Jumlah Pampasan Diterima : RM 699,000

Nama : Rohani Dato' Talib
Jawatan Akhir : Ketua Pegawai Operasi MBI
Pampasan 30% : RM 468,000
Ganti Notis 3 Bulan : RM 72,000
Jumlah Pampasan Diterima : RM 540,000

Nama : Arfa'eza Abd Aziz
Jawatan Akhir : Setiausaha Akhbar MB
Pampasan 30% : RM 358,000
Ganti Notis 3 Bulan : RM 55,000
Jumlah Pampasan Diterima : RM 413,000

Nama : Mustafa Talib
Jawatan Akhir : Setiausaha Politik MB
Pampasan 30% : RM 234,000
Ganti Notis 3 Bulan : RM 30,000
Jumlah Pampasan Diterima : RM 264,000

Nama : Rahimah Kamaruddin
Jawatan Akhir : Pegawai Koordinasi MB
Gaji Bulanan : RM 11,000
Tempoh Berkhidmat : 67 bulan
Pampasan 30% : RM 221,100
Ganti Notis 3 Bulan : RM 33,000
Jumlah Pampasan Diterima : RM 254,100

Nama : Dr. Sulaiman Masri
Jawatan Akhir : Pegawai Khas Komunikasi
Gaji Bulanan : RM 8,000
Tempoh Berkhidmat : 65 bulan
Pampasan 30% : RM 156,000
Ganti Notis 3 Bulan : RM 24,000
Jumlah Pampasan Diterima : RM 180,000

Nama : Abdul Halim Mohd Yusof
Jawatan Akhir : Pengurus Penyelidikan Ekonomi
Gaji Bulanan : RM 10,000
Tempoh Berkhidmat : 50 bulan
Pampasan 30% : RM 150,000
Ganti Notis 3 Bulan : RM 30,000
Jumlah Pampasan Diterima : RM 180,000

Nama : Tuan Nazuri Ismail
Jawatan Akhir : Pegawai Akhbar
Gaji Bulanan : RM 5,890
Tempoh Berkhidmat : 55 bulan
Pampasan 30% : RM 97,200
Ganti Notis 3 Bulan : RM 17,670
Jumlah Pampasan Diterima : RM 114,870

Jumlah Keseluruhan Pampasan : RM 2,644,970

Persoalan yang muncul apakah rasionalnya pentadbiran Khalid Ibrahim meluluskan pembayaran sejumlah pampasan setinggi RM 2.6 juta ini? Menurut penghantar email tersebut, dikatakan kesemua penerima ini tidak layak menerima bayaran pampasan tersebut kerana mereka adalah kakitangan kontrak yang memilih untuk berhenti kerja secara sukarela.

Sekiranya kontrak yang telah dimeterai sebelum ini membenarkan, pampasan yang diberikan ini tetap salah dari segi moralnya kerana terlalu tinggi. Ia juga menimbulkan persoalan yang lebih besar terhadap pentadbiran Khalid Ibrahim sebelum ini yang dikatakan telus dan berhemah. Mengapa kontrak sebegini rupa telah dibuat? Adakah di zaman Khir Toyo juga berlaku perkara sedemikian?

Sehubungan itu, saya sebagai anak jati negeri Selangor tampil untuk mendesak :-

1. Khalid Ibrahim perlu tampil memperjelaskan mengenai perkara ini dengan jujur, telus dan komprehensif. Jika perkara ini sememangnya telah dimeterai di dalam kontrak perjawatan, Khalid Ibrahim perlu menjelaskan apakah sebabnya kontrak sebegini dibuat? Adakah hanya kerana ianya melibatkan individu-individu yang rapat dan menjadi penyokong setia beliau?

2. Pentadbiran Kerajaan Negeri yang baharu perlu segera mengarahkan satu pendengaran awam SELCAT dilakukan dan mengheret kesemua penerima pampasan termasuklah Khalid Ibrahim untuk dibicarakan secara terbuka. Pendengaran Awam SELCAT perlu dilakukan secepat mungkin bagi mengelakkan perkara ini akan terus dimanipulasi di media dan juga laman sosial. Kebenaran harus ditegakkan tanpa mengira siapa.

3. Jika perkara ini dibuktikan salah oleh SELCAT, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) perlu menyiasat dan mengambil tindakan terhadap penerima dan pelaku kerana ia telah melibatkan penyalahgunaan kuasa dengan memberikan arahan supaya individu terbabit agar berhenti kerja secara sukarela di saat akhirnya secara sengaja bagi tujuan menggunakan wang rakyat untuk bayaran pampasan tersebut.

Ingin saya tegaskan, sebagai anak muda dan rakyat negeri Selangor, kami tidak akan boleh berkompromi dan bertoleransi dengan sebarang tindakan pembaziran dan penyelewengan wang rakyat oleh mana-mana pihak. Apatah lagi dilakukan oleh sepasukan pemimpin politik yang selama ini mengatakan mereka adalah pemimpin yang telus dan berhemah. Khalid Ibrahim dan sekutu perlu tampil bertanggungjawab.

Semua ini adalah duit rakyat negeri Selangor, rakyat yang juga selama ini mempertahankan kerajaan PR untuk penggal kedua berturut-turut. Jangan khianati sokongan yang telah diberi atau mungkin berdepan dengan 'penyingkiran' pada pilihanraya negeri akan datang.

Megat Khairul Anuar Razali
Anggota PKR Cabang Hulu Selangor

Wednesday, November 19, 2014

Jelajah PRoSPER Siri 2

Jelajah PRoSPER Siri 2

Selesai PRoSPER siri pertama di utara, #SBD Centre dihujani permintaan-permintaan baru supaya jelajah PRoSPER ini dipanjangkan ke tempat mereka yang sebelum ini hanya mendengar dan melihat keberahian perniagaan ini bergerak. 

Dengan pasaran tanpa batasan, mudah difahami, senang dilaksanakan, punya modul dan panduan, punya komuniti hebat, modal tanpa pinjaman, jadi 'tauke' tanpa premis perniagaan, apa lagi yang kurang bisnes ini? 

Justeru itu, #SBD Centre dengan ini mengumumkan jadual Jelajah PRoSPER siri kedua, bakal menemui saudara semua di lokasi-lokasi berikut; 

22 NOVEMBER (SABTU)

9.30 malam | KUANTAN | Restoran Sari Idaman (belakang kolej Shahputra) | 0179140090 Amirul

23 NOVEMBER (AHAD)

10.30 pagi | ALOR GAJAH | Balairaya Kg Padang, Melekek | 0192490167 Akram

4.30 ptg | SEGAMAT | Perkarangan TNB Segamat | 0178445285 Syah

9.30mlm | Batu Pahat | Taman Damai, Rengit | 0127443769 Mamat

24 NOVEMBER (ISNIN)

9.30 malam | RANTAU N.S | Taman Anggerik | 0196518351 Hisyam

InshaAllah kita jumpa di sana. Masuk adalah PERCUMA 
Usaha hak kita, Rezeki hak Allah... Sabar dan Istiqomah kunci kejayaan!

Edy 
01118685019 (whatsapp)

Tuesday, November 18, 2014

Ribut PRoSPER

Ribut PRoSPER

Alhamdulillah, siri pertama jelajah Program SBD Perhebat Ekonomi Rakyat (PRoSPER) "Seminar Usahawan Telekomunikasi" ke utara dari 14-16hb November lalu telah menghasilkan kejayaan yang amat besar dan bermakna. Sambutan luar biasa di tujuh lokasi seminar antaranya B.Mertajam, Bayan Baru, N.Tebal, Taiping, Ipoh, Tapah dan K.Selangor menjadikan pasukan #SBD sedia untuk aksi seterusnya.

PRoSPER membawa maksud 'lebih aman dan makmur', namun apa yang berlaku di P.Pinang ketika ini adalah sebaliknya. Tidak kurang dari 3 lokasi persinggahan kami kini sedang ribut taufan dengan fenomena TONE EXCEL - sebuah produk pencerahan masa depan.

Walaupun hanya beberapa hari berlalu, namun #SimkadBuatDuit yang kami bekalkan sudah kehabisan dan kini #SBD Centre sedang bertungkus lumus membuat penghantaran #SimkadBuatDuit yang baru ke beberapa lokasi di Utara. Syukurlah, kehadiran jelajah PRoSPER memberi impak yang membuka mata ramai sahabat di sana.

Selesai PRoSPER utara, #SBD Centre dihujani permintaan-permintaan baru supaya jelajah PRoSPER ini dipanjangkan ke tempat mereka yang sebelum ini hanya mendengar dan melihat keberahian perniagaan ini bergerak. Pasaran tanpa batasan, mudah difahami, senang dilaksanakan, punya modul dan panduan, modal tanpa pinjaman, jadi 'tauke' tanpa premis perniagaan, apa lagi yang kurang bisnes ini? 

Justeru itu, #SBD Centre sedang dalam persiapan akhir PRoSPER siri kedua, bakal menemui saudara semua di lokasi-lokasi berikut; 

PRoSPER Siri Kedua

Sabtu | 22hb | 9.30mlm | Kuantan | 0179140090 Amirul
Ahad | 23hb | 10.30pg | Melaka | 0192490167 Akram
Ahad | 23hb | 4.30pg | Skudai | 0147294676 Affan
Ahad | 23hb | 9.30mlm | Batu Pahat | 0127443769 Mamat
Isnin | 24hb | 9.30mlm | Rantau N9 | 0196518351 Hisyam

Jadual penuh akan diagihkan dalam sedikit masa, InshaAllah kita jumpa di sana. Usaha hak kita, Rezeki hak Allah...

Edy 
01118685019 (whatsapp)

Wednesday, November 12, 2014

Pendidikan Percuma dan Autonomi Pendidikan Tinggi Adalah Hak Rakyat Berasaskan People Economy

Siaran Umum
12 November 2014

Pendidikan Percuma dan Autonomi Pendidikan Tinggi Adalah Hak Rakyat Berasaskan People Economy

Pendidikan merupakan satu hak asasi manusia yang termaktub dalam Artikel 6 Deklarasi Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu. Walaupun deklarasi tersebut hanya menetapkan pendidikan percuma untuk peringkat rendah dan menengah sahaja namun sebagai sebuah Kerajaan yang kononnya menuju ke arah People Economy, seharusnya Kerajaan Persekutuan perlu memikirkan untuk memberikan pendidikan percuma sehingga ke peringkat pengajian tinggi.

Pemerintah sering memperbesarkan mitos bahawa adalah mustahil untuk menyediakan pendidikan peringkat pengajian tinggi yang percuma kerana kos terlalu tinggi dan ianya adalah merupakan pelaburan individu. Pemerintah juga baru-baru ini mengatakan bahawa rakyat perlu membayar sebanyak 50 peratus cukai sekiranya mahu pendidikan percuma.

Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) berpandangan bahawa sikap Kerajaan Persekutuan hari ini terhadap bidang pendidikan pengajian tinggi tidak mencerminkan falsafah sebuah kerajaan tetapi lebih mirip kepada tindakan dan falsafah kelompok pemodal yang mencari keuntungan atas nama apa sekalipun.

Pendidikan peringkat pengajian tinggi ini adalah satu pelaburan komuniti bukannya pelaburan individu seperti yang digambarkan dalam mitos Putrajaya. Pengajian tinggi akan memberikan keuntungan yang amat signifikan kepada masyarakat dan negara melalui perkembangan modal insan. Pendidikan dan pengetahuan akan membawa harapan masa depan negara yang cerah.

Sasaran Putrajaya untuk menjadi negara berpendapatan tinggi perlulah datang dengan keupayaan modal insan yang berdaya saing dan mempunyai daya intelek yang bagus. Malahan, untuk mencapai pendapatan tinggi juga memerlukan lebih ramai rakyat dapat meningkatkan taraf mereka daripada tenaga kerja kurang mahir dan separa mahir kepada tenaga kerja mahir. Semua ini akan hanya tercapai melalui ilmu pengetahuan.

Kedegilan Putrajaya untuk memberikan pendidikan percuma di peringkat pendidikan tinggi akan terus membebankan graduan-graduan sebaik sahaja mereka memasuki alam pekerjaan dan tidak mencerminkan hasrat Bajet 2015 untuk mengamalkan dasar ekonomi rakyat. Beban pinjaman pendidikan yang menjangkau puluhan ribu jika bermula di peringkat sijil sehinggalah ke peringkat ijazah sarjana muda, ditambah lagi dengan bebanan kos sara hidup yang meningkat dan pinjaman kenderaan dan sebagainya akan mengecilkan pendapatan boleh belanja bagi kelompok ini. Akhirnya, impian untuk menuju negara berpendapatan tinggi bertukar menjadi bencana yang mengerikan apabila ramai anak muda dalam lingkungan usia awal 30-an diisytiharkan muflis.

Selain itu, bagi mengupayakan kebolehpasaran para graduan, Kerajaan Persekutuan sepatutnya mengambil satu tindakan progresif dan radikal dengan membenarkan autonomi pendidikan di peringkat pengajian tinggi dan seterusnya membebaskan universiti-universiti daripada cengkaman kuku besi politik. Professor-professor dan para pelajar mestilah mempunyai kebebasan untuk melaksanakan kajian, melontar pandangan dan pendapat serta lain-lain metodologi percambahan ilmu.

Putrajaya perlu mencontohi aspek kebebasan akademik yang diamalkan oleh negara-negara maju yang mana akhirnya gandingan professor dan pelajar dapat memberikan input yang baik terhadap garapan polisi dan dasar fiskal negara. Ambil contoh bagaimana di Australia, Australia National University (ANU) sangat dikenali dan berada di dalam ranking antara 20 universiti terbaik di dunia kerana seringkali menjadi "think tank" kepada Kerajaan mereka untuk melakukan kajian intensif dan memberikan input sebelum sesuatu polisi itu digunapakai terutamanya dalam bidang ekonomi.

Sehubungan itu, SAMM menyeru setiap rakyat Malaysia untuk bersama-sama dalam satu protes pendidikan percuma sempena "International Global Week Fight For Free Education" pada 21 November 2014 bermula jam 2.30 petang di hadapan KLCC demi menuntut hak rakyat dalam pendidikan percuma dan autonomi peringkat pengajian tinggi.

Pendidikan Percuma dan Autonomi Pendidikan Tinggi adalah hak rakyat

Muhamad Zulkhairie
Jurucakap Kempen Pendidikan Percuma
Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM)

Tuesday, November 11, 2014

KJ - Bintang Yang Sedang Disembelih

Tulisan Umum

11 November 2014


KJ - Bintang Yang Sedang Disembelih


Ramai melihat sinar politik KJ akan malap sebaik sahaja Pak Lah digulingkan. Namun, politikus muda ini tidak pernah gentar atau mengalah. 


Walaupun tanpa sebarang jawatan Kabinet, politikus muda ini tetap meneruskan kerja beliau sebagai seorang Ketua Pemuda. Tidak membuang masa untuk mengejar jawatan Kabinet seperti sesetengah politikus lain. 


Akhirnya, ketenangan dan kesabaran itu berbaloi, KJ menjadi Menteri Belia dan Sukan paling muda yang pernah dilantik ke jawatan tersebut.


Jika kita membaca tulisan-tulisan pojok dalam beberapa blog pro-UMNO, kita akan dapat melihat ramai yang mempertikaikan perlantikan KJ sebagai Menteri Belia dan Sukan. Sangat berkuasa kata mereka. 


Bukanlah tradisi UMNO, seorang Menteri Belia dan Sukan ini adalah juga merupakan seorang Ketua Pemuda. Walhal, bukanlah satu rahsia bahawa Menteri Belia dan Sukan ini adalah portfolio yang paling "Junior" sekali dalam Kabinet. Jadi, mengapa agaknya kader-kader maya pro-UMNO ini begitu bimbang sekali dengan perlantikan KJ ini?


Politikus muda lulusan University of Oxford dalam jurusan Falsafah, Politik dan Ekonomi ini merupakan seorang politikus muda yang bijak membaca sifir politik. Khairy terjun ke dalam dunia politik UMNO ketika masyarakat umum sedang melihat UMNO ini bukanlah mempunyai daya penarik. Ramai generasi muda ketika itu sama ada sibuk mencari keuntungan material ataupun yang cenderung kepada politik pula akan memilih untuk bersama dengan idea-idea dan aliran politik anti-establishment seperti Reformasi. Tetapi KJ memilih untuk bersama UMNO. 


Dan ternyata keputusan KJ itu tidak pernah tersilap. Itu adalah kelebihan yang ada pada beliau, bijak membuat perhitungan politik. Memasuki UMNO dalam keadaan parti itu sedang berada di dalam keadaan yang hiruk-pikuk, dengan pelbagai bakat dan kebijakan yang ada pada dirinya telah meletakkan KJ sebagai politikus muda yang paling terkedepan dalam UMNO. Malah, jika kita membandingkan antara KJ dan Naib-Naib Presiden UMNO yang lain ketika ini pun kita akan dapat melihat KJ lebih menonjol. Bukan sahaja di dalam partinya sendiri tetapi juga di khalayak umum. Keputusan pada ketika itu telah memberikan manfaat besar kepada masa depan politiknya.


KJ tampil mengisi ruang kekosongan itu di dalam UMNO dan politik tanahair. KJ tidak membawa cogankata tetapi beliau membawa sikap dan idea yang agresif, progressif dan pragmatic. KJ pantas membentuk dirinya sebagai seorang politikus muda yang mempunyai asset yang lengkap. Mesra media sosial, petah berbicara, kefahaman politik yang mengkagumkan dan idea-idea segar serta menjadi "media darling" seterusnya menenggelamkan tokoh politikus muda Pembangkang seperti Rafizi Ramli dan Tony Pua.


Tidak siapa dapat menafikan KJ adalah merupakan Ketua Pemuda yang terhebat ketika ini di antara semua Ketua Pemuda parti-parti politik. Dengan kedudukan sebagai Menteri Belia dan Sukan, KJ sedang memanfaatkan peluang ini dengan melakukan "engagement" dengan kelompok muda yang berminat dengan isu semasa dan politik Negara.


KJ berani tampil dengan komentar terhadap pelbagai isu yang kritikal dan sensitif. Pandangan dan komentarnya pula sentiasa segar. Tidak begitu jumud atau longlai sekalipun berhadapan dengan asakan aliran pemikiran ortodoks sama ada di dalam partinya mahupun kepada kumpulan yang rapat dengan UMNO. Sentiasa KJ cekap untuk memastikan lontaran idea beliau senada dengan aspirasi jutaan rakyat Malaysia terutama kelompok muda. Sesekali beliau tampil dengan sudut pandang yang berbeda daripada tuan politiknya - Perdana Menteri. Inilah yang membezakan KJ dengan mereka yang lain.


KJ juga begitu pintar apabila menghantar anaknya untuk menempuhi alam persekolahan di sekolah kebangsaan seperti anak-anak Malaysia yang lainnya. Mungkin perkara ini adalah normal bagi kita, orang kebanyakan. Tetapi bagi pembesar-pembesar negara, ramai yang secara diam-diam menghantar anak mereka bersekolah di sekolah swasta dan sekolah antarabangsa tetapi tidak KJ. Ini juga merupakan satu "mileage politic" yang baik untuknya.

 

UMNO tidak perlu takut untuk melakukan pembaharuan. KJ sedang merintis jalan baharu buat UMNO. KJ sangat memahami sifir politik tanahair telah jauh berubah pasca tsunami politik 2008. Wajah politik Negara telah pun berubah dengan begitu drastic. Jika beliau memilih untuk berada di dalam kelompok moderat, itu adalah satu strategi taktikal untuk memastikan beliau akan terus kekal relevan malah juga akan membawa UMNO kekal relevan kepada politik Malaysia. Malah, KJ juga amat tepat apabila mengatakan kelompok muda Negara hari ini tidak peduli dengan parti politik dan cerita sarkasnya. Tetapi, kelompok muda lebih memikirkan soal bagaimana parti-parti politik mampu menyelesaikan permasalahan mereka.


PM telah meletakkan KJ sebagai seorang bintang masa depan untuk membawa idea kesederhanaan. Ya, KJ memang satu aparat lengkap yang akan memberikan manfaat kepada masa depan politik Perdana Menteri itu sendiri. Mana ada lagi sosok dalam UMNO yang berani untuk berbalah dengan kumpulan ekstremis sama ada yang berhaluan kanan ataupun kiri.


Ada juga yang akan melihat usaha KJ sekarang ini adalah satu sandiwara politik untuk mengejar kerusi Perdana Menteri. Ia mungkin benar, tetapi keputusan KJ untuk mengamalkan politik sederhana dan progresif ini adalah merupakan satu keputusan tepat dan radikal, meninggalkan politik retorik dan kontemporari dalam UMNO zaman berzaman. KJ akan terus dikritik oleh mereka-mereka yang merasa tercabar dengan pembaharuan yang sedang dibawanya.


Ketika ini nampaknya KJ sedang bergelut dengan kader-kader upahan beberapa kelompok di dalam UMNO yang sedang galak mewajahkan KJ sebagai parasit yang bakal membawa bencana kepada parti mereka. Usaha terancang untuk menyembelih KJ bermula dengan kegagalan mencapai sasaran emas di dua temasya sukan bertaraf antarabangsa. 


Melarat hingga kepada isu keadaan padang di Stadium Nasional dan juga isu doping atlit negara. Jika diperhalusi kita akan dapat melihat bagaimana kader-kader ini mula menggerakkan propaganda dengan membandingkan KJ dengan mantan Menteri Belia dan Sukan. KJ dikatakan individu pintar tetapi tidak mampu menguruskan KBS sedangkan di zaman Mantan menteri yang tidak sebijak KJ pun negara tidak gagal dalam mencapai sasaran emas. 


Mengapa kita perlu mengorbankan KJ? Untuk memenuhi hasad segelintir pemimpin termasuk pemimpin yang sudah lama bersara itu. Adakah pemimpin pencen itu takut cengkamannya terhadap UMNO menjadi longgar? Atau pemimpin pencen ini sebenarnya bukan memikirkan masa depan negara tetapi sebenarnya sibuk mencatur masa depan legasi politiknya sendiri. 


Jika kita ingin mengatakan KJ sebagai sosok yang terlibat dengan amalan politik songsang semasa pemerintahan Pak Lah dulu, saya mempunyai persoalan, berapa ramaikah politikus dalam Negara ini yang tidak mengamalkan permainan politik kotor. Sama ada parti komponen Barisan Nasional mahupun komponen Pembangkang. Selagi mana ia adalah pertembungan kuasa, pasti ada individu yang akan mengamalkan permainan kotor.


Untuk mewajahkan semula politik Malaysia adalah satu cabaran yang getir. Suara yang mempunyai tapak sokongan yang sedikit menonjol adalah mereka-mereka yang begitu ekstrim dengan idea politik konservatif dan kuno. Kerana ramai politikus moderat yang memilih untuk tidak mencabar aliran ortodoks ini asalkan Negara ini masih dapat berjalan dengan baik ekoran bimbang akan merencatkan karier politik peribadi. 


Malaysia telah kehilangan seorang tokoh politik progresif yang segar iaitu Datuk Saifuddin Abdullah. UMNO telah mengorbankannya kerana fikrah moderat yang diwakilinya. Adalah malang bagi UMNO dan Negara ini sekiranya seorang lagi politikus moderat muda seperti KJ ini juga dicantas. Negara ini sedang menuju kepada wajah politik baru, politik sederhana-politik idea. KJ, Datuk Saifuddin Abdullah, Nurul Izzah Anwar, Mujahid Yusuf Rawa dan Liew Chin Tong adalah merupakan sosok pemimpin moderat yang perlu sentiasa wujud dalam iklim politik tanahair.


KJ tidak perlu takut dengan kelompok-kelompok "haters". Munculnya pelbagai kritikan dan asakan untuk menjatuhkan KJ bererti KJ sedang berada di landasan tepat dengan pegangan idea politik matang yang mencabar idea kontemporari selama ini. Kita tidak mungkin dapat menutup mulut-mulut tempayan berpuaka ini. Hakikatnya, mereka inilah yang takut untuk berubah kerana sudah begitu selesa dengan amalan politik fraksi kuno dan juga mereka ini tidak mempunyai denyut nadi seorang rakyat biasa. 


Saya tetap merasakan KJ akan bergelar Presiden UMNO dan Perdana Menteri Malaysia dalam beberapa dekad yang akan datang sekiranya Malaysia masih diperintah oleh UMNO. Teruslah bekerja dengan pramatik, progresif dan moderat. Kekalkan gaya stylista seorang politikus moderat muda. Kepada haters sekalian - Ini KHAIRY lah!!!

Ahmad Anwar Asyraf
Pengarah Pemikir Kaum Muda
Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM)

MERAIKAN KEBODOHAN

Tulisan Santai
10 Novembar 2014

MERAIKAN KEBODOHAN

Saya hampir pecah perut bila Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan mengaitkan isu nombor plat adalah punca utama kemalangan jalan raya di Malaysia.

Di benak saya, rupanya orang bodoh ini bukan sahaja boleh menjadi menteri.

Kenapalah Malaysia ditakdirkan mempunyai insan-insan bodoh sebegini. Kalau dulu menteri bodoh, kini penyakit bodoh itu semakin melarat kepada ketua pengarah.

Saya sangat bimbang bodoh ini akan melarat kepada rakyat dan saya lebih bimbang jika bodoh ini turut dijangkiti oleh anak-anak dan cucu saya.

Kalau lah saya diberikan tugas sebagai Ketua Pengarah JPJ dan saya merasakan atau saya ditekan agar curi duit rakyat, saya hanya perlu menukar cara membuat plat kenderaan itu.

Setiap pembelian kenderaan yang memerlukan cukai jalan perlu juga membeli plat daripada kerajaan . Nombor plat ini dikeluarkan oleh JPJ.

Seandainya JPJ tidak mempunyai kepakaran, JPJ boleh membuka tender kepada pemilik syarikat membuat plat nombor. Yang penting ianya hendaklah seragam.

Oleh itu, tidak akan ada lagi jenis jenis plat yang tidak cukup inci, berbentuk catchy atau pelik dan sebagainya. Saya rasa mampu menyelesaikan masalah tersebut.

Sebenarnya perkara ini telah lama diamalkan di negara lain.

Terkadang saya merasakan seolah kedai yang membuat plat kenderaan ini adalah sebenarnya milik JPJ.

Mereka perlu mereka-reka plat yang pelik-pelik dan menjualnya. Akhirnya pemilik kedai plat melaporkan kepada JPJ untuk menyaman kenderaan yang menukar nombor platnya.

Jahatkan rasa saya itu. Tapi ia nampak macam lojik.Esok saya akan cuba risik risik dengan kedai membuat plat ni. Lagipun benda pelik memang selalu berlaku di negara ini.

Saya juga sangat tertarik dengan cara seorang pekerja Petronas yang mencabar Ketua Pengarah JPJ itu.

Oleh kerana pekerja petronas itu mencabar Ketua Pengarah JPJ, maka saya juga ingin mencabar beliau bermain aji di kedai kopi Zul di kampung saya.

Tarikhnya 14 November 2014. Sehari selepas bertemu dengan pekerja petronas itu.Saya berjanji akan membayar air pada hari itu.

Semestinya ada sedikit syarat yang saya nak letakkan.Pemenang perlawanan aji tersebut  akan dilantik sebagai Pengarah JPJ yang baru.

Agak-agaknya beranikah dia sambut cabaran saya?

Sebelum berakhir, saya nak tanyakan satu soalan. Adakah plat kereta bernombor JPJ 11 itu kena dengan spesifikasinya?

Mari kita sama-sama ketawakan kebodohan ini. Kah kah kah.

Hj Osama
Penyelaras SAMM Kelantan

Monday, November 10, 2014

Program RoadShow Perhebat Ekonomi Rakyat (PRsSPER)

Program RoadShow Perhebat Ekonomi Rakyat (PRoSPER)

"Seminar Penerangan ‪#‎SBD‬ ToneExcel"

15hb NOVEMBER (Sabtu)

11.00 Pagi | P.PAUH B.MERTAJAM | 11-1, Jalan Pauh Indah 1, Tmn Pauh Indah | 01137070782 Paktam 

3.00 Petang | BAYAN BARU | Pejabat TKM 1 P.Pinang, No 23, Halaman Mahsuri | 0134359600 Faizal 

9.00 Malam | N.TEBAL | Dewan JKKK Tanjung Berembang, Sg Acheh | 0175323896 Jamhari 

16hb NOVEMBER (Ahad)

11 Pagi | TAIPING | Pej AMK Bukit Gantang, no 5, Jln 1, Taman Molek, Simpang | 0175598674 Faisal

3 Petang | IPOH | Geleri GPMS Perak, Jalan Pekan Lama Ipoh | 0195077587 Ust Razi

6 Petang | TAPAH | No 95A, Kg Belakang Kedai, Temoh | 0125987601 Md Din

9 Malam | K.SELANGOR | No 7 Jln Melati 3/21, Taman Melawati | 0126568458 Hazlan / 0148408219 Safwan


#SimkadBikinDuit ? Kami mempunyai kepakaran untuk menjadikan simkad telefon anda bertukar menjadi kad ATM baru anda!!
Hadirkan diri anda dan Masuk adalah PERCUMA!!

Pertanyaan terbuka, sila hubungi 01118685019 (Whatsapp) Edy

Wednesday, November 5, 2014

Lebih Baik Haramkan Terus Penjualan Rokok!

Kenyataan Media
5 November 2014

Lebih Baik Haramkan Terus Penjualan Rokok!

Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) membantah keras kenaikan hampir 13% harga rokok berkuatkuasa hari ini, malah kenaikkan hampir setiap tahun akan membebankan sebilangan besar rakyat Malaysia. SAMM dengan ini menegaskan;

1. Kenaikan harga rokok selama ini tidak mempunyai kaitan dengan kempen kesihatan mahupun WHO Framework Convention on Tobacco Control. Ini hanyalah berdasarkan kepada keuntungan semata-semata sama ada keuntungan pemerintah dari aspek percukaian atau keuntungan kaum pemodal kilang rokok.

2. Lebih malang, Pemerintah mempergunakan kempen anti-rokok ini hanya untuk menguntungkan kroni semata-mata. Berjuta-juta peruntukan telah dikeluarkan namun kempen ini tetap menemui jalan gagal di mana pemerintah tidak mampu mengawal kewujudan perokok baru dan perokok tegar di dalam negara. 

3. Jika ingin bercakap hubungkait rokok dan kesihatan, Pemerintah juga jangan menjadi begitu selektif. Banyak lagi produk-produk sebagai contoh minuman ringan berkarbonat berjenama antarabangsa juga memberikan kesan berbahaya terhadap kesihatan. Ia termasuklah restoran makanan ringan yang turut diklasifikasi tidak baik untuk kesihatan. Mengapa tidak dilaksana kempen anti-produk yang membahayakan kesihatan? Mengapa tiada mekanisma cukai khas untuk produk-produk ini tetapi hanya berlaku pada rokok?

4. Jika Pemerintah benar-benar menitikberatkan aspek kesihatan, seharusnya rokok diharamkan terus dari dijual dalam negara ini. Taktik Pemerintah menaikkan harga sedikit demi sedikit ini tidaklah memberikan kesan drastik kepada perokok. Sebaliknya kaum perokok menjadi mangli dengan kenaikan demi kenaikan. Mereka boleh menerima kenaikan ini dan tidak akan berhenti. Maka akhirnya pemerintah terus membuat duit dari keringat rakyat yang terus terbeban, satu taktik untuk menjana keuntungan semata-mata.

5. Setiap tahun harga rokok akan dinaikkan. Akan tetapi, pekebun-pekebun tembakau tetap mati walaupun harga rokok telah meningkat begitu drastik dalam dekad ini. Ini satu lagi hakikat bahawa Pemerintah hanya memikirkan keuntungan dan kesejahteraan kaum pemodal semata-mata sedangkan pekebun-pekebun kecil tidak langsung mendapat manfaat dan faedah dari kenaikkan ini.

6. SAMM mencadangkan, keuntungan yang dijana daripada kenaikan harga rokok selama ini wajar digunakan untuk menyediakan lebih banyak kawasan khas merokok. Sebagai contoh, penguatkuasaan larangan merokok di kawasan rehat dan rawat di lebuhraya, tetapi tidak disediakan ruang khas merokok. Ini adalah penindasan mutlak terhadap kaum perokok tegar. Tidak sepatutnya dinafikan hak kaum perokok yang juga menyumbang kepada keuntungan perbendaharaan negara.

7. Satu lagi mitos Pemerintah dalam menaikkan harga rokok adalah untuk memerangi rokok seludup. Ini satu lagi dakyah songsang daripada Pemerintah. Penyeludupan rokok ini berlaku kerana kelemahan pelbagai agensi penguatkuasaan seperti Kastam, Unit Pencegahan Penyeludupan PDRM, APMM dan lain-lain. Seperti kenaikkan harga petrol atas alasan yang sama, sempadan kita bocor dari kelemahan agensi-agensi pemerintah, namun rakyat yang menanggung bebannya.

Sekian

Yaser Sheikh Abd Rahman
Penyelaras Kebangsaan
Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM)

Tuesday, November 4, 2014

Kumpulan Pelampau : Tindakan Tegas Putrajaya Ditagih

Kenyataan Umum
4 November 2014

Kumpulan Pelampau : Tindakan Tegas Putrajaya Ditagih

3 November 2014, dua orang Menteri di Jabatan Perdana Menteri dalam perbahasan penggulungan Kementerian Rang Undang-Undang Perbekalan 2015 telah pun menyatakan pendirian Kerajaan menolak keras ancaman Presiden PERKASA untuk membakar bible.

Putrajaya tidak boleh sekadar bercakap dan terus bercakap sahaja. Iltizam politik untuk mengekang asakan ekstremisme merentasi sempadan agama, kaum dan pertubuhan yang diwakili ini perlulah disertai dengan satu tindakan yang affirmatif. Ekstremisme membuta tuli ini tidak boleh dibenarkan berakar umbi di tanahair ini.

Ini bukanlah kali pertama pelampau PERKASA melaungkan aspirasi ekstremisme mereka yang mengancam keharmonian dan kerukunan negara berbilang bangsa dan agama ini. Tindakan mala fide ini akan mengancam kestabilan hubungan etnik dalam negara.

Adakah pentadbiran Najib Razak sebegitu lemah hingga tidak mampu mengambil tindakan terhadap kumpulan Pelampau PERKASA ini? Mengapa Pendaftar Pertubuhan tidak menarik balik pendaftaran kumpulan pelampau PERKASA dan mengisytiharkannya sebagai pertubuhan haram?

Perdana Menteri sibuk menubuhkan Global Movement of Moderates untuk mempromosi kesederhanaan di serata dunia. Akan tetapi, di dalam negara sendiri beliau gagal untuk melakukannya.Pejabat Peguam Negara dan pelbagai peringkat anggota pentadbiran Kerajaan Persekutuan masih tidak memahami dan menyahut slogan Wasatiyyah itu.

Sehubungan itu, Solidariti Anak Muda Malaysia menegaskan peri pentingnya Perdana Menteri untuk menterjemah aspirasi Kesederhanaan itu kepada anggota pentadbirannya terlebih dahulu. Tidak perlu untuk menjadi Wira Dunia sedangkan di dalam negara wujud kumpulan pelampau yang kebal seperti PERKASA.

Apakah pelampau PERKASA sedang ingin menunjukkan bahawa Islam ini sebuah agama yang ekstrim? Siapakah pelampau PERKASA untuk menjatuhkan hukum untuk membakar kitab agama lain?

Negara ini tertegak mengikut peruntukan undang-undang dalam setiap permasalahannya. Mahkamah keadilan akan memberikan keputusan mereka dalam setiap "dispute" yang berlaku. Tidak perlulah kumpulan pelampau PERKASA ini hendak menunjukkan keangkuhan mereka.

Pelampau PERKASA sering mempergunakan Perlembagaan Persekutuan bagi menjustifikasi tindakan mereka selama ini. Namun, ancaman Pelampau PERKASA ini tidak mematuhi semangat Perlembagaan Persekutuan dan juga semangat Rukun Negara sebagai satu falsafah ideologi kebangsaan.

Pejabat Peguam Negara  perlu melihat tindakan dan kenyataan kumpulan pelampau PERKASA selama ini yang sering mencabar kedaulatan undang-undang. SAMM mencabar pejabat Peguam Negara untuk membuka semula kertas siasatan dan menghadapkan Presiden Kumpulan Pelampau PERKASA ini ke mahkamah terbuka untuk dibicarakan.

SAMM menyeru Kerajaan Pemerintah untuk menunjukkan iltizam politik mereka memerangi ideologi pelampau ini. Pemerintah perlu segera mengklasifikasikan kumpulan pelampau PERKASA ini sebagai satu pertubuhan haram dan kemudiannya mengambil tindakan tegas berlandaskan undang-undang terhadap kumpulan ini.

Dalam pada kita menuju ke arah menjadi negara maju, keharmonian dan kerukunan hidup masyarakat berbilang bangsa dan agama ini perlu dipertahankan. Malaysia tidak boleh berlembut terhadap mana-mana kumpulan pelampau yang seringkali cuba untuk mencipta ruang permusuhan dan pergeseran sesama masyarakat.

Young Syefura Othman
Penyelaras Segmentasi Wanita Muda
Solidariti Anak Muda Malaysia

Monday, November 3, 2014

Shahidan Contoh Menteri Master Of Stupidity

Siaran Umum
03 November 2014

Shahidan Contoh Menteri Master Of Stupidity

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato' Seri Shahidan Kassim telah mengungkapkan, "Wahai rakyat Sabah kawasan ESSZONE yang dikendalikan oleh ESSCOM ini ialah kawasan yang selamat" sewaktu sesi jawap lisan Dewan Rakyat bertarikh 30 Oktober 2014.

Namun, di sebelah petang hari yang sama, berlaku kejadian tembak menembak di Penampang, Sabah. Media pada mulanya menyatakan kejadian ini mempunyai kaitan dengan pengganas Sulu tetapi PDRM Sabah menyatakan bahawa kejadian ini adalah berhubung dengan penjenayah yang memang dikehendaki pihak Polis.

Menteri juga menyatakan bahawa Sabah ketika ini lebih selamat berbanding Kuala Lumpur. Apakah Menteri ingin mengatakan bahawa pihak KDN gagal dalam menjaga keselamatan di Kuala Lumpur? Bagaimana Menteri boleh mengeluarkan kenyataan sebegini rupa di dalam Dewan Rakyat? Ini akan menghantar mesej yang mengelirukan kepada dunia akan aspek keselamatan di ibu negara kita?

Solidariti Anak Muda Malaysia menyifatkan inilah kenyataan politik paling tidak bertanggungjawab yang pernah dibuat oleh seorang Menteri.

SAMM ingin memperingatkan Menteri, sebelum beliau mengeluarkan kenyataan sebegitu rupa, beliau haruslah meneliti beberapa perkara.

Lanjutan Tempoh Perintah Berkurung

Pertamanya adalah tempoh perintah berkurung yang bermula semenjak 16 Julai 2014 dan kemudian seringkali dilanjutkan. Terkini perintah berkurung ini dilanjut sehingga 6 November 2014.

Pesuruhjaya Polis Sabah semasa mengumumkan lanjutan tempoh perintah berkurung menyebutkan sebab utamanya adalah kerana untuk menjamin ketenteraman dan kedaulatan negara. Apakah ini bermaksud tanpa perintah berkurung itu ketenteraman dan kedaulatan negara berada dalam yang berisiko.

Jika sudah berada dalam keadaan selamat seperti yang dikatakan oleh Menteri, mengapa perlu perintah berkurung ini dilanjutkan lagi? Telah hampir 4 bulan perintah ini dikenakan dan masih tidak kelihatan tanda-tanda ia akan ditamatkan.

Kedua, kes penculikan pengusaha sangkar ikan di Kunak yang telah berlanjutan sehingga 5 bulan. 31 Oktober 2013, waris mangsa yang juga merupakan isterinya telah merayu pelbagai pihak untuk mengusahakan pembebasan segera suaminya. Kumpulan penculik mengancam untuk memenggal kepala suaminya jika beliau gagal menyediakan wang tebusan RM 3 juta sehingga November ini.

Menteri sepatutnya berusaha gigih mencari jalan untuk operasi menyelamatkan mangsa. Bagaimana rasanya Menteri jika berada di dalam keadaan si isteri tersebut? Sudahlah dalam keadaan tekanan emosi ekoran kerisauan terhadap keselamatan si suami ditambah pula dengan tekanan lebih 200 kali panggilan telefon daripada kumpulan penculik yang meminta wang tebusan dan mengancam untuk mencabut nyawa suaminya. Apakah Menteri tidak mempunyai naluri keinsanan?

Mengapa Perdana Menteri yang begitu bersemangat mengumumkan untuk mencari pihak yang menembak jatuh pesawat MH17 sehingga ke lubang cacing tidak membawa semangat yang sama untuk membebaskan mangsa penculikan ini? Mengapa Perdana Menteri yang begitu "heroic" sekali mengadakan rundingan pintu belakang dengan kumpulan pemisah Ukraine tetapi tidak mengambil langkah tegas bersama Kerajaan Filipina bagi membebaskan mangsa? Adakah nyawa rakyat Sabah tidak bernilai? Adakah mangsa penculikan bukan insan yang perlu dibebaskan dengan segera?

Ketiga Laporan Suruhanjaya DiRaja berhubung Pemberian Kad Pengenalan di Sabah sehingga kini masih lagi tidak diumumkan. Apakah penemuan Suruhanjaya ini? Apakah syor dan cadangan Suruhanjaya ini? Laporan Suruhanjaya ini penting untuk mengenalpasti punca sebenar keselamatan Sabah ini tergugat.

Menteri di JPM tidak boleh melengahkan lagi pembentangan kertas putih Laporan Suruhanjaya DiRaja ini di Dewan Rakyat. Justeru, SAMM mendesak Kerajaan Pemerintah untuk membentangkannya sebelum sesi mesyuarat ketiga, Penggal Kedua, Dewan Rakyat ini berakhir. Kegagalan Kerajaan untuk membentangkan laporan ini dalam kadar segera hanya akan menambah buruk keadaan keselamatan di Sabah.

Aspek keselamatan dalam negara dan kebocoran pintu sempadan ini bukanlah satu perkara yang boleh dipandang enteng. Ia bukan sekadar melibatkan penyeludupan beras dan bahan bakar, sindiket pemerdagangan manusia dan dadah malah yang paling dibimbangi adalah penyeludupan senjata api dan aktiviti keganasan yang boleh meruntuhkan ketenteraman dan kedaulatan negara.

Sehubungan itu, SAMM menyifatkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan keseluruhan kabinet Pemerintah masih bersikap angkuh dan berada dalam kecelaruan. Sikap "denial" ini tidak menambahbaik aspek keselamatan dalam negara. Menteri dinasihatkan supaya tidak menunjukkan sikap seorang "Master Of Stupidity".

Menteri sepatutnya fokus untuk menamatkan krisis keselamatan di Sabah. Cukuplah bermain wayang politik di Dewan Rakyat dengan seringkali membelasah Pembangkang dengan sarkastik, tetapi sebenarnya tidak berupaya untuk menjalankan tugas dan amanah sebagai seorang Menteri. Sabah bukanlah anak tiri Malaysia tetapi sebuah wilayah yang perlu kita tatang dengan saksama seperti Semenanjung dan Sarawak.

Bekerjalah wahai Menteri. Kerusi Menteri itu bukanlah tiket bulan madu untuk Menteri menikmati percutian setelah diketepikan daripada menjadi Menteri Besar Perlis.

Ahmad Anwar Asyraf
Pengarah Pemikir Kaum Muda
Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM)

Friday, October 31, 2014

Kenaikan Tambang Bas Ekspress : Rejim Putrajaya Jangan Tambah Derita Rakyat

Siaran Umum
31 Oktober 2014

Kenaikan Tambang Bas Ekspress : Rejim Putrajaya Jangan Tambah Derita Rakyat

Kerajaan Pemerintah seringkali menggunakan alasan bahawa rasionalisasi subsidi bahan bakar Petroleum akan memberikan manfaat kepada pengangkutan awam. Penjimatan yang terhasil ekoran daripada rasionalisasi itu akan digunakan untuk menambahbaik pengangkutan awam.

Namun, hari ini segala kata-kata itu terbukti meleset setelah Pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), Tan Sri Syed Hamid Albar mengumumkan cadangan kenaikan tambang bas ekspress sebanyak 30%. Hal ini ekoran daripada kesulitan operator bas ekspress yang menanggung beban peningkatan kos operasi kerana kenaikan harga bahan bakar diesel.

Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) telah berulang kali menyatakan bahawa rasionalisasi subsidi ini akan memunculkan kesan rantaian terhadap harga barangan dan perkhidmatan. Namun, Kerajaan Pemerintah yang pekak dan buta ini tidak mampu melihat dan mendengar rintihan hati rakyat kebanyakan.

Semasa rejim Abdullah Badawi menaikkan harga minyak sebanyak 78 sen seliter juga menggunakan alasan yang sama. Namun, Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) pada 2011 mendedahkan Rangkaian Pengangkutan Integrasi Deras Sdn Bhd (RapidKL) mencatat kerugian terkumpul sehingga 31 Disember 2010 berjumlah RM293.82 juta. Pemerkasaan yang diingini tidak berlaku tetapi kerugian yang membesar pula yang berlaku.

Kegagalan rejim Putrajaya mengurustadbir hasil negara ini dengan baik telah menyebabkan ketidakmampuan negara untuk mengekalkan pemberian subsidi bahan bakar petroleum. Putrajaya sepatutnya tidak meneruskan hasrat merasionalisasikan subsidi bahan bakar sebaliknya membuat penilaian terhadap pelaburan-pelaburan Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) yang terus mencipta kerugian besar.

Sebagai contoh 1MDB yang mencatatkan kerugian hampir RM35 billion merupakan antara siri kegagalan Putrajaya yang akhirnya mengempiskan kantung perbendaharaan negara. Keputusan pelaburan yang merugikan perlu dihentikan segera. Putrajaya tidak sepatutnya mengheret rakyat menanggung beban ketidakmampuan rejim ini untuk memerintah.

SAMM mendesak Putrajaya untuk menilai semula cadangan kenaikan 30% ini. Kenaikan ini adalah terlalu tinggi dalam keadaan rakyat bergelut dengan tekanan kenaikan kos sara hidup. Apa pilihan lagi yang ada pada rakyat sekiranya tambang bas ekspress ini juga dinaikkan dengan drastik? Hendak memandu sendiri bebanan kos minyak dan tol menjadi perkiraan, hendak naik bas ekspress juga tambang sudah menjadi begitu mahal.

Sehubungan itu juga, SAMM menegaskan agar Putrajaya tidak mengulangi lagi kesilapan-kesilapan dalam membuat keputusan yang menjejaskan kualiti hidup rakyat. Cukuplah dengan kesilapan bodoh membiarkan rasuah berleluasa, ketirisan dalam perbelanjaan negara, menubuhkan GLC yang hanya tahu mencipta kerugian dan juga merasionalisasikan subsidi. Janganlah ditambah derita rakyat ini lagi.

Ahmad Anwar Asyraf
Pengarah Pemikir Kaum Muda
Solidariti Anak Muda Malaysia

Wednesday, October 29, 2014

PERLAWANAN AKHIR PIALA MALAYSIA 2014, SIMBOL PENYATUAN SEMANGAT KESUKANAN

Kenyataan Media
29 Oktober 2014

PERLAWANAN AKHIR PIALA MALAYSIA 2014, SIMBOL PENYATUAN SEMANGAT KESUKANAN

Sekalung tahniah buat Pahang FA (Tok Gajah) dan Pasukan JDT (Harimau Selatan) kerana kejayaan melangkah ke pentas akhir Piala Malaysia 2014. Kedua-dua pasukan telah berusaha keras melalui liku-liku getir sehingga berjaya melayakkan diri ke pentas akhir yang dijadual berlangsung pada 1 November di Stadium Bukit Jalil.

KEBANGKITAN SEMULA KEGEMILANGAN BOLASEPAK DOMESTIK

Mengimbau kembali era kemahsyuran bolasepak negara di zaman 60an hingga awal 90an, dapat dilihat fenomena setiap perlawanan dalam liga Malaysia dipenuhi oleh penyokong pasukan masing-masing. Puluhan ribu membanjiri stadium walaupun hanya perlawanan liga.

Di pertengahan 90an pula, ia sedikit merosot apabila beberapa pemain mula terpalit dengan gejala rasuah yang menghancurkan bolasepak tempatan. Ia menyebabkan sambutan orang ramai semakin berkurangan malah arena bolasepak luar negara pula yang menjadi perhatian seperti liga inggeris dan sebagainya.

Namun hari ini walaupun rekod pasukan kebangsaan agak terumbang-ambing, tetapi liga kebangsaan khususnya Piala Malaysia memperlihatkan sambutan yang memberangsangkan. Liga bolasepak yang berkualiti mampu melahirkan pemain yang hebat untuk mewakili negara. Ini yang harus diterapkan dan SAMM menggesa supaya format liga dikekalkan dan tidak diubah sewenangnya.

SAMM juga bersetuju dengan beberapa usaha revolusi dan mereformasikan persatuan bolasepak contoh seperti TRW (Kelantan) dan JDT (JohorFc ) demi kemajuan bolasepak liga domestik. Malah, FAM juga patut direvolusikan dari sebuah persatuan kepada sebuah badan korporat yang profesional dan berdaya saing.

ELAK BUDAYA SAMSENG BOLASEPAK MENULAR

Adalah amat mengecewakan di kalangan sesetengah peminat apabila timbulnya budaya samseng atau juga dikenali sebagai "HOOLIGANISMA" di kalangan peminat bolasepak negara. Budaya hooliganisma ini sudah lama mencemar arena bolasepak Eropah sehingga ada yang meragut nyawa. 

SAMM Pahang dan SAMM Johor mengharapkan pihak berwajib seperti FAM dan PDRM dapat menangani serta membendung gejala ini daripada berulang kembali di pentas final nanti. FAM juga perlu mengekang cara pembahagian tiket perlawanan agar lebih adil dan saksama.

SAMM juga menyeru mana-mana peminat sama ada dari Pahang atau Johor supaya tidak membawa semangat kenegerian yang melampau, tetapi jadikan ia semangat kesukanan antara kita. Menang atau kalah sudah menjadi adat pertandingan. Jadikan perlawanan ini sebagai satu simbol penyatuan, bukan perbalahan.

Perlu diingat dalam saingan liga yang semakin kompetitif saat ini, pemain sudah mula berhijrah dan mewakili kelab dan negeri yang bukan kelahiran asal mereka. Oleh yang demikian sama ada pasukan Kelantan, Felda Pahang, JDT, Selangor atau Kedah sekalipun yang harus kita pandang adalah mereka-mereka ini membawa semangat negara Malaysia.  

Sokongan kita sebagai peminat akan menyuntik semangat atas satu harapan bolasepak Malaysia kembali gah semula ke pentas antarabangsa. Bolasepak adalah medium penyatuan kita sebagai rakyat Malaysia, jangan cemari hak rakyat ini dengan ketegangan antara dua negeri yang bertanding di perlawanan akhir.

Hogoh Pahang Hogoh / LuaskanKuasaMu

Kenyataan bersama

Amirul Syazwan
Penyelaras
SAMM PAHANG

Dan

Hadzril Ridzal
Penyelaras
SAMM JOHOR

Monday, October 27, 2014

Kuarantin Peserta Acara Marathon Bagi Mengelak Penularan Wabak Ebola

Kenyataan Media
27 Oktober 2014

Kuarantin Peserta Acara Marathon Bagi Mengelak Penularan Wabak Ebola 

Dunia dikejutkan dengan virus Ebola iaitu sejenis penyakit demam berdarah. Penyakit epedemik yang masih tiada sebarang vaksin dan penawar boleh membawa maut, kini menular di beberapa buah negara luar khususnya negara Afrika. 

Baru-baru ini Negara Malaysia telah dikejutkan dengan berita seorang penuntut warga negara Nigeria berusia 24 tahun, dikuarantin di Hospital Umum Sarawak (HUS) selepas menunjukan tanda-tanda awal jangkitan Ebola.

Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) mengesa Kementerian Kesihatan menjelaskan situasi wabak berkenaan dari semasa ke semasa bagi memastikan masyarakat sekeliling tidak panik.

Dalam masa yang sama, Kerajaan negeri P.Pinang melalui Penang Tourism sedang dalam persiapan akhir menganjurkan satu acara larian tahunan antarabangsa iaitu Penang Bridge International Marathon 2014 yang akan berlangsung pada 16 November 2014. Acara marathon seperti ini amat mendapat perhatian dari warga afrika, termasuklah dari negara yang terbabit dengan wabak ebola.

Sehubungan itu SAMM menyarankan supaya Kementerian Kesihatan memperketatkan pengesanan dan kawalan pintu masuk antarabangsa untuk setiap peserta acara tersebut. Meletakkan mesin pengimbas suhu badan di pintu sempadan semata-mata adalah tidak mencukupi. Sebaliknya, pihak berwajib harus mengenakan saringan berkuarantin khususnya terhadap pelawat dan pelancong dari negara yang terkesan wabak ebola.

SAMM memandang serius terhadap tahap kesihatan peserta-peserta acara larian tahunan Penang Bridge International Marathon 2014 dan turut mengharap agensi-agensi Kerajaan Negeri Pulau Pinang dapat berkerjasama dengan Kementerian Kesihatan untuk memasti tahap kesihatan peserta acara tersebut terjamin.

Penularan wabak ebola ke atas negara ini harus disekat secara serius, langkah pencegahan yang efektif amatlah dialu-alukan.

Sekian,

Mohd Faizal AB Rahman
Penyelaras Kebangsaan
Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM)

Manfaatkan Kompleks Perumahan Kerajaan Yang Terbiar

Siaran Umum
27 Oktober 2014

Manfaatkan Kompleks Perumahan Kerajaan Yang Terbiar


Pemikir Kaum Muda, Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) telah pun mengutuskan sepucuk surat kepada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Kementerian Belia dan Sukan dan Kerajaan Negeri Johor berhubung keperluan untuk memanfaatkan semula kompleks-kompleks perumahan Kerajaan yang terbiar.

Dengan sedikit kerja-kerja membaikpulih lot rumah dan keperluan asas yang lain, kompleks perumahan ini dapat diguna sebagai rumah transit yang membolehkan anak-anak muda menyewa selama 2 tahun atau ditawarkan kepada mereka dengan menggunakan kaedah sewa-beli pada harga yang berpatutan.

Dengan mengambil contoh, kompleks perumahan Kerajaan Daerah Muar yang terletak di Kampung Kenangan Tun Dr. Ismail, Muar yang telah terbiar begitu lama, adalah amat menyedihkan kompleks perumahan yang mempunyai puluhan rumah tidak dapat memberi manfaat kepada warga yang memerlukan rumah.

Adalah amat merugikan jika kita telah mengeluarkan kos pembinaan projek perumahan Kerajaan tersebut dan kini akhirnya ia tidak lagi digunapakai. Sekurang-kurangnya Kerajaan akan dapat memungut sedikit hasil daripada sewa lot-lot rumah yang ada ini.

Selain itu juga, dengan perubahan status kompleks ini juga dapat menjimatkan sedikit kos untuk membina kompleks perumahan transit yang baru dan juga dapat menambah jumlah perumahan transit berbanding yang dirancangkan seterusnya membuka lebih banyak peluang kepada anak-anak muda untuk menduduki rumah jenis ini.

Ahmad Anwar Asyraf
Pengarah Pemikir Kaum Muda
Solidariti Anak Muda Malaysia

P/S Gambar yang dilampirkan adalah kompleks perumahan Kerajaan Daerah Muar seperti yang dinyatakan dalam Siaran Umum diatas

Pentadbiran Universiti Malaya Perlu Berhenti Jadi Pengampu Rejim Penguasa

Siaran Umum
27 Oktober 2014

Pentadbiran Universiti Malaya Perlu Berhenti Jadi Pengampu Rejim Penguasa

1. Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) membantah keras arahan yang dikeluarkan oleh pentadbiran Universiti Malaya yang mengancam untuk mengambil tindakan keras terhadap pelajar yang menghadiri program Pidato Anwar Ibrahim. Ini menyerlahkan betapa teruknya IPT dicengkam secara songsang oleh rejim Penguasa.

2. Universiti Malaya sebagai universiti tertua dalam negara seharusnya mengamalkan kebebasan akademik dan meraikan kematangan para pelajar untuk mendengar pidato-pidato daripada tokoh politik merentasi sempadan parti supaya mereka dapat menilai dan memahami perjalanan politik tanahair.

3. Tindakan pentadbiran Universiti Malaya ini juga merupakan contoh paling klasik mengapa taraf universiti kita semakin merosot dan hilang daya saing di peringkat dunia. Ia bukanlah kerana mutu para siswazah kita tetapi sikap bebal pentadbiran universiti yang hanya tahu mengampu tuan-tuan politik Penguasa semata-mata. Tetapi, hilang idea untuk membentuk acuan siswazah yang berdaya saing.

4. Sultan Nazrin Muizzudin Shah yang juga Pro-Canselor UM telah menitahkan mengenai kepentingan minda terbuka yang akan menyuburkan perasaan sabar dan toleransi untuk bersedia mendengar hujah yang berbeza betapa sekali tidak dipersetujui. Minda terbuka ini akan memberikan ruang untuk membolehkan lahir dan tumbuhnya idea baru, menyemarakkan budaya inovasi dan menyuburkan minda kreatif. Tetapi tindakan pentadbiran UM ini bertentangan dengan kehendak minda terbuka seperti yang dititahkan oleh Pro-Canselornya sendiri.

6. Pentadbiran Universiti Malaya juga seharusnya memahami bahawa usaha membina negara bangsa ini bukan bermaksud kita perlu menanam di dalam minda pelajar kita untuk hanya memihak kepada parti penguasa semata-mata tetapi sebaliknya turut mengakui kepelbagaian faham politik. Universiti seharusnya memainkan peranan penting bagi mengelakkan pelajar mewarisi iklim politik jumud dan ketaksuban melampau yang tidak dapat menerima kepelbagaian sudut pandang politik.

7. SAMM juga ingin merakamkan ucapan jutaan tahniah kepada Presiden MPPUM yang sanggup berdepan dengan tindakan pihak pentadbiran universiti termasuklah disingkir dari pengajian. Ini membuktikan kehendak para pelajar Universiti Malaya yang ingin mengangkat kebebasan akademik dalam universiti tersebut.

8. Sehubungan itu, SAMM menyeru setiap pelajar Universiti Malaya untuk membanjiri Dataran Dewan Tunku Canselor (DTC) Universiti Malaya bagi menunjukkan solidariti membebaskan Universiti Malaya daripada cengkaman hegemoni songsang penguasa dan juga menolak sikap profesor-profesor kangkung yang melacurkan prinsip mereka dalam mendidik anak bangsa yang merdeka ini.

Ahmad Anwar Asyraf
Pengarah Pemikir Kaum Muda
Solidariti Anak Muda Malaysia

Saturday, October 18, 2014

Taja Artis : Bukan Penjelasan Selebriti Yang Ditagih Tetapi Kumpulan Perubatan Johor

Kenyataan Media
18 Oktober 2014

Taja Artis : Bukan Penjelasan Selebriti Yang Ditagih Tetapi Kumpulan Perubatan Johor

Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) Johor menghargai usaha Rozita Che Wan untuk memberikan penjelasan sebagai respons balas kepada isu tajaan rawatan bersalin oleh KPJ Ampang Puteri.

Namun begitu, yang dipersoalkan adalah Kumpulan Perubatan Johor (KPJ) yang menaungi Hospital Ampang Puteri bukanlah Rozita Che Wan. Mengapa KPJ masih berdiam diri dan tidak memberikan penjelasan asas keputusan memberikan tajaan tersebut.

Maka, rakyat Johor tidak menagih penjelasan Rozita Che Wan tetapi jawapan konkrit daripada anak syarikat kumpulan Johor Corporation (JCorp) itu. KPJ perlu bertanggungjawab untuk memberikan penjelasan kerana JCorp dan KPJ adalah merupakan syarikat sayap pelaburan Negeri Johor.

Malah, sebelum ini beberapa keputusan pelaburan, perniagaan dan promosi yang dilakukan oleh JCorp telah menyebabkan kerugian besar termasuklah Amanah Saham Johor satu ketika dahulu. Sudah pastilah, rakyat negeri ini sebagai stakeholders tidak rasmi mempunyai hak untuk mengetahui asas keputusan tajaan tersebut.

Kepada Rozita Che Wan, SAMM Johor tidak berniat mempertikaikan rezeki yang diterima oleh bakal anaknya tetapi apalah salah kiranya Rozita Che Wan mempunyai sedikit jiwa yang besar dan menjadi seorang selebriti yang "Noble" dengan menolak pemberian KPJ ini, sebaliknya meminta KPJ membantu ramai lagi orang-orang susah yang memerlukan bantuan rawatan kesihatan daripada mereka.

Hadzril Rizal
Penyelaras
SAMM Johor

Thursday, October 16, 2014

Taja Artis Bersalin: KPJ Tidak Sensetif Terhadap Rakyat Kebanyakkan

Kenyataan Media
16 Oktober 2015

Taja Artis Bersalin: KPJ Tidak Sensetif Terhadap Rakyat Kebanyakkan

Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) Negeri Johor membantah keras cadangan Hospital Ampang Puteri milik Kumpulan Perubatan Johor (KPJ) yang ingin memberikan tajaan kepada aktress Rozita Che Wan termasuk urusan bilik bersalin, bilik penginapan, rawatan dan layanan kelas A secara percuma.

Apakah asas KPJ membenarkan pengurusan Ampang Puteri untuk memberikan tajaan ini? Sedangkan ramai lagi rakyat negeri Johor yang langsung tidak dapat menikmati apa-apa keistimewaan di pusat-pusat perubatan milik KPJ.

Sementelah pula, pasangan artis ini juga bakal menikmati laba besar hasil daripada penjualan hak eksklusif gambar-gambar bayi mereka nanti kepada pihak Astro. Tidak mungkin pasangan artis ini tidak mempunyai kemampuan untuk membayar yuran perubatan sehingga perlu diberi secara percuma.

Ramai rakyat Johor yang terpaksa berbaris panjang di klinik-klinik kesihatan awam, malahan senarai menunggu untuk rawatan penyakit kritikal seperti pembedahan pintasan jantung di hospital-hospital pakar Kerajaan juga begitu panjang.

SAMM Johor juga baru-baru ini terpaksa mencari ikhtiar dan berbincang dengan Bank Rakyat untuk mendapatkan bantuan kewangan bagi merawat adik Mohd Aqil Rida yang berasal dari Parit Sulong, Johor yang memerlukan rawatan pembedahan jantung di IJN.

Tetapi di mana peranan KPJ? Mengapa KPJ tidak mahu menghulur bantuan rawatan percuma kepada anak kelahiran Johor seperti kes adik Mohd Aqil Rida ini? Mengapa KPJ tidak memberikan diskaun dan insentif lain kepada anak-anak Johor terutamanya kepada kumpulan berpendapatan rendah untuk menerima rawatan yang lebih sofistikated?

SAMM Johor ingin memperingatkan KPJ sebagai antara pemain utama pusat perubatan dalam negara akan tanggungjawab sebenar KPJ. KPJ janganlah terlalu mengejar populariti sebaliknya ingat juga tanggungjawab sosial yang terpikul terhadap aspek kesihatan anak Johor.

Mencari populariti juga bukan dengan bermaksud menaja sekelompok artis yang kaya raya sebaliknya memberikan insentif dan limpahan nikmat dunia perubatan moden kepada seluruh anak negeri Johor.

Sehubungan itu, SAMM Johor mendesak KPJ membatalkan hasrat ini dan Kerajaan Negeri juga perlu untuk melihat akan insentif dan diskaun yang boleh diberikan oleh KPJ kepada seluruh anak negeri Johor.

Hadzril Rizal
Penyelaras
SAMM Johor

Tukar Tiub - Brader Isham

Terkini di blog Aduka Taruna

Pak Bakaq si Penarik Becha

Comandante Che gue Bard

iklan