Friday, May 2, 2008

Rentetan : Raja Petra Petra disiasat kes Najib-Altantuya

Polis menyerbu rumah Raja Petra Kamaruddin pagi ini berhubung siasatan mengenai tulisannya yang menyentuh timbalan perdana menteri Datuk Seri Najib Razak dengan Altantuya Shaariibuu.

Seramai lapan anggota polis tiba di rumah beliau pada jam 9 pagi tadi dan menyoalnya berhubung tulisan tersebut.

Pasukan tersebut diketuai oleh DSP Victor Sanjos dari bahagian jenayah siber Bukit Aman.

Polis yang berada selama dua jam di rumahnya, turut merampaskan komputer ribanya.

Raja Petra mengesahkan perkara itu ketika dihubungi Malaysiakini pagi ini.

Katanya, polis memberitahunya bahawa beliau disiasat bawah Akta Hasutan. Beliau diarahkan hadir di bahagian jenayah siber pagi esok.

Ketika dihubungi, Victor berkata, laporan terhadap Raja Petra dibuat oleh ketua pegawai penyiasat kes pembunuhan wanita Mongolia itu, Supt Gan Tack Guan.

Dalam laporan Gan itu, tulisan Raja Petra didakwa berunsur hasutan dan sesiapa sahaja yang membacanya, boleh mempercayai apa yang ditulisnya.

Tulisan Raja Petra juga dianggap sebagai komen sebelum penghakiman kes tersebut dibuat.

Kelmarin, Najib berkata beliau tidak pernah mengenali wanita Mongolia itu dan tidak pernah bertemu dengan mangsa terbabit.

"Dakwaan seorang saksi dalam perbicaraan kes Altantuya bahawa konon-kononnya si mati (Altantuya) pernah makan bersama dengan Razak Baginda dan individu bernama 'Najib Razak' tidak pernah disahkan, malah kredibiliti saksi itu juga tidak pernah diteliti.

"Dakwaan kononnya ada gambar si mati dengan (Abdul) Razak (Abdullah Baginda) dan timbalan perdana menteri juga tidak pernah dibuktikan oleh mana-mana pihak melainkan gambar rekaan yang terbukti palsu," kata Najib, melalui kenyataan yang dikeluarkan oleh setiausaha akhbarnya Datuk Tengku Sariffuddin Tengku Ahmad.

Kenyataan akhbar itu diterbitkan Malaysia Today semalam bagi menjawab artikel pengendalinya Raja Petra bertajuk "Let's send Altantuya's murderers to hell" pada 25 April.

Tengku Sariffuddin juga menafikan beberapa dakwaan dalam artikel tersebut, antaranya:


  • Najib dan isterinya Rosmah Mansor ada kaitan dengan pembunuhan Altantuya.
  • timbalan perdana menteri pernah menyokong permohonan visa wanita itu, dan
  • rekod imigresen wanita itu telah sengaja dihapuskan.

"Semua kenyataan ini merupakan kenyataan pandang dengar (hearsay) yang tidak pernah dibuktikan, tetapi pihak tuan sewenang-wenangnya menyiarkan kenyataan seperti itu seolah-olah ia (adalah) fakta," katanya.

Menjawab kenyataan ini pada hari yang sama, Raja Petra berkata beliau berasa gembira dan dihormati apabila setiausaha akhbar kepada timbalan perdana menteri sendiri sanggup menulis kepada Malaysia Today.

"Seperti saya nyatakan beberapa kali sebelum ini, satu-satunya jalan menangani media independen ialah berdepan dengannya, bukan mengabaikannya, kerana pengabaian anda boleh memusnahkan anda sendiri," katanya, memulakan reaksi segera dalam artikelnya "My reply to Datuk Tengku Sariffuddin Tengku Ahmad".

Selain mempertikaikan kewibawaan sistem kehakiman negara, khususnya sewaktu perbicaraan Anwar, penulis blog terkenal itu juga menyebut beberapa insiden layanan buruk polis yang didakwanya dialaminya dan juga isterinya.

Artikel awal Raja Petra minggu lepas dimulakan dengan isu menuntut keadilan buat Altantuya sewaktu kunjungan bapa mangsa bunuh itu Shaariibuu Setev ke Kuala Lumpur bagi mendesak perbicaraan kes bunuh anaknya dijalankan dengan adil.

Selain Abdul Razak, seorang penganalisis politik yang dikaitkan dengan Najib, dua anggota polis pasukan berprofil tinggi Unit Tindakan Khas (UTK) di Bukit Aman turut dituduh dalam kes tersebut mulai Jun tahun lepas.

Cif inspektor Azilah Hadri, dan koperal Sirul Azhar Umar didakwa membunuh Altantuya, di lokasi mukim Bukit Raja, Shah Alam antara 19-20 Oktober 2006.

Abdul Razak, pula didakwa bersubahat dengan Azilah dan Sirul Azhar di Wilayah Persekutuan sehari sebelum pembunuhan itu.

Pembunuhan Altantuya mula menggegarkan negara apabila penganalisis politik ini dan beberapa anggota polis, termasuk Azilah dan Sirul Azhar, ditahan polis pada 7 November 2006.

sumber : malaysiakini

No comments:

Tukar Tiub - Brader Isham

Terkini di blog Aduka Taruna

Pak Bakaq si Penarik Becha

Comandante Che gue Bard

iklan