Tuesday, February 3, 2009

Sokong Pembubaran DUN Perak !

Sepertimana saya menyokong artikel di bawah;

oleh kickdefella

Pengumuman oleh Speaker Dewan Undangan Negeri Perak bahawa 2 ahlinya yang heboh akan lompat dari PKR ke UMNO menandakan menimbulkan seribu persoalan. Apakah kedua-dua mereka benar-benar telah meletak jawatan atau, surat perletakan jawatan tanpa tarikh yang mereka tandatangani selepas 8 Mac 2008 lalu telah digunakan untuk melucutkan jawatan mereka.


Apapun, adalah lebih berhemah bunyinya bila kedua-dua mereka disebut sebagai meletakkan jawatan. Bagaimana pula dengan Timbalan Speaker DUN Perak sendiri yang khabarnya akan ke kandang MCA? Apakah surat tanpa tarikh yang sama akan digunakan oleh Menteri Besar untuk memberi sedikit pulangan maruah dan harga diri kepada ahli DUN tersebut.


Jika dua meletakkan jawatan beerti Pakatan Rakyat ada 30 dan BN 27 dan jika 3 orang yang meletakkan jawatan, maknanya PR 29 dan BN 27. Beerti dalam tempoh 60 hari kelak, 2 atau 3 kerusi yang akan menjadi tumpuan siri pilihanraya kecil akan menentukan kerajaan yang baru. Apa rasionalnya kerajaan yang baru dibentuk berdasarkan amanat pengundi dari 3 kerusi DUN?


Jika PR kalah kesemua kerusi itu, BN akan mengambil alih Kerajaan Negeri dengan majoriti 1 kerusi. Jika PR menang 1 dan kalah 2, PR akan terus kekal sebagai kerajaan bersandarkan majoriti 1 kerusi. Begitulah seterusnya dan matematik memberi kita hanya satu kesimpulan iaitu, pilihanraya kecil ini hanya akan menambah kekalutan dalam pentadbiran Kerajaan Negeri Perak dan memberi masa depan yang mendung.


Jalan sebaiknya di dalam keadaan genting begini ialah untuk Menteri Besar setelah berbincang dengan tujuan mendapat persetujuan pemimpin-pemimpin parti dalam Kerajaan Negeri Perak, mengadap DYMM Sultan Perak dan menasihatkan supaya Baginda bersetuju untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri Perak. Pembubaran Dewan Undangan Negeri Perak akan membolehkan para pengundi di Perak membuat keputusan semula kepada pihak manakah mandat mahu diberikan.


Tentu sekali ini adalah jalan terbaik buat PR kerana mereka mempunyai kekuatan untuk memperolehi mandat yang lebih besar berdasarkan populariti pentadbiran mereka kepada rakyat (bukan berdasarkan tomahan yang dilemparkan menerusi media arus perdana). Walaupun keputusan akhir di bawah Tuanku Sultan, namun pembubaran DUN adalah satu-satunya langkah yang tinggal untuk menjamin rakyat mendapat sebuah kerajaan yang bermandat lebih besar dan tidak goyang.


Dengan mandat lebih besar, Kerajaan Negeri akan dapat menumpukan lebih banyak masa mentadbir dan bukan bermain politik. Faktor politik semasa menyebelahi Pakatan Rakyat kerana UMNO yang menjadi tunggak BN sedang berhadapan kemelut pemilihan pucuk pimpinannya dan kemungkinan jika berlaku pilihanraya sama ada kecil atau pilihanraya negeri, ia akan berlaku sewaktu atau sebelum pemilihan tersebut.


Ini juga mungkin memberi ruang di peringkat pusat bagi Abdullah Ahmad Badawi melengahkan transisi tampuk kuasa dan bertahan lebih lama seperti yang diramalkan oleh Tun Dr. Mahathir.


Apapun yang akan terjadi sehari dua ini, apa yang sedang kita saksikan ialah satu sandiwara politik hebat dari kedua-dua belah. Isu moral atau tidak bermoral tidaklah begitu bernilai dalam permainan politik di Malaysia dan ianya tidak konsisten. Hari ini satu pihak menentang aksi lompat parti bila ianya tidak menyebelahi mereka dan petangnya pula menyokong bila lompatan ini dijangka memasuki ke gawangnya.


edyes wrote:

Jika pilihanraya seluruh DUN Perak berlaku, saya jangkakan Pakatan Rakyat akan memperolehi kerajaan majoriti 2/3 negeri Perak.

1 comment:

Anonymous said...

Saya menyokong untuk bubar kerajaan negeri. Saya tidak berasa yakin dengan segelintir adun PKR dan DAP dan bila2 masa mereka boleh menyeberang parti.
Fahaman sekular mereka cukup kuat. Tiada dosa pahala. Semata2 kebendaan sahaja.