Lawatan Kerja SAMM ke Sabah 30 Sept – 2 Okt
Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) akan mengadakan satu lawatan  kerja rasmi ke Sabah bermula 30 September 2011 hingga 2 Oktober 2011.  Lawatan kerja rasmi ini sebahagian dari rangka kerja yang diputuskan  dalam Rapat (pengurusan) Kebangsaan yang diadakan hujung minggu lepas.
Lawatan ini bertujuan untuk bertemu dan menyusun massa muda radikal  di bumi dibawah bayu. Selain itu ia juga bertujuan untuk memulakan kaji  selidik, mengumpul pendapat dan suara muda di Sabah mengenai beberapa  isu.
Seramai 6 orang delegasi dari SAMM Kebangsaan yang diketuai sendiri  oleh che’GuBard akan memenuhi jadual padat aktiviti yang dijadualkan  akan diadakan di K.Kinabalu, Kudat dan Sandakan. Semua acara ialah acara  tertutup.
Pertemuan dan taklimat khas bersama kader – kader baru SAMM di Sabah  dan pertemuan dengan pimpinan SAMM Sabah menjadi agenda utama. Pertemuan  dengan pemimpin politik (parti pemerintah dan pembangkang), pemimpin –  pemimpin masyarakat setempat serta beberapa tokoh muda turut diadakan,  ini bertujuan untuk bertukar pandangan dan mengumpul pendapat isu  sebenar di Sabah.
Perbagai isu terpendam di Sabah ;  dari isu kerakyatan, isu tanah  NCR, isu royalti sehinggalah tuntutan janji pelaksanaan Perkara  Perjanjian 20 yang mengikat Sabah ke dalam Malaysia. Semua isu ini tidak  boleh diselindungkan saja. Masalah rakyat Sabah juga masalah rakyat  Malaysia. Anak Muda Malaysia tidak kira di mana termasuk kita di  semenanjung harus memahami apa sebenarnya yang berlaku di Sabah. Sabah  sebahagian dari kita, jika mata kiri sakit mata kanan berpotensi tinggi  berjangkit.
Selama ini kita cuma dimaklumkan mengenai pandangan dan situasi Sabah  melalui propaganda pihak tertentu sahaja. Ia mungkin ditambah atau  disunting ikut kepentingan. SAMM berharap dengan lawatan kerja ini dapat  melihat sendiri dan mengumpul suara pandangan anak muda Sabah yang  sebenar. Selain dapat mencari titik temu kerjasama yang lebih erat dalam  menyusun kebangkitan massa muda.
Kenyataan Media :
Khairul Fauzi Hj Muhammud
Penyelaras SAMM Kebangsaan
29 September 2011
Penyelaras SAMM Kebangsaan
29 September 2011

No comments:
Post a Comment