Sunday, September 4, 2011

Bukit Kepong: SAMM mahu Putrajaya tampil sejarah sebenar kemerdekaan





KUALA LUMPUR, 2 Sept — Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) mahu kerajaan menggunakan sambutan ulang tahun Hari Kemerdekaan Ke-54 menampilkan sejarah sebenar kemerdekaan negara.

“SAMM akan ke hadapan bagi merealisasikan apa itu sejarah,” kata Penyelarasnya bagi Wilayah Persekutuan Shariful Azmir Mustafa dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini.

Katanya, isu serangan ke atas Balai Polis Bukit Kepong pada 1950 telah dikenang sebagai serangan kumpulan pengganas ke atas sekumpulan anggota polis yang bertahan di rumah pasong.

Persepsi ini katanya, telah ditulis oleh pengkaji sejarah mengikut acuan pihak tertentu bagi menyembunyikan hakikat sebenar — pihak yang menentukan apakah kriteria pejuang kemerdekaan.

“Ia menjadi satu kepercayaan ramai apabila Jins Samsudin membuat filem Bukit Kepong berdasarkan persepsi betapa pihak yang menyerang rumah pasong Bukit Kepong itu adalah pengganas sedangkan gerakan yang diketuai oleh Mat Indera juga sebenarnya harus dikenang sebagai salah satu serangan ke atas kubu British yang menjajah Tanah Melayu untuk beberapa abad lamanya,” katanya.

Tambah beliau, SAMM Wilayah Persekutuan ingin menegaskan bahawa sejarah kemerdekaan negara harus segera dikaji semula oleh pengkaji sejarah yang tidak berkepentingan selain daripada merekodkan sejarah sebenar, bukan oleh pengkaji sejarah upahan yang menulis berdasarkan telunjuk pihak yang menang bagi menutup sejarah di sebalik sejarah.

Jelas beliau, tindakan Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu mengulas mengenai peristiwa Bukit Kepong dan watak sebenar Mat Indera dalam ceramahnya harus dipuji kerana ia membangkitkan ghairah rakyat terutamanya dari golongan anak muda untuk mengetahui sejauh manakah British itu dianggap sebagai penjajah dan “apakah dengan menyerang British itu akan dianggap sebagai pengkhianat di Tanah Melayu.”

“Pihak polis di rumah pasong Bukit Kepong itu juga bertugas bagi mempertahankan kepentingan British seperti estet getah dan ladang.

“Adakah Pasukan polis ketika zaman jajahan British menunjukkan taat setia mereka terhadap Queen of England apabila lagu ‘God Save the Queen’ didendangkan setiap kali lawatan pegawai tertinggi British?” katanya.

Beliau menambah ia juga persoalan yang harus digali semula untuk rakyat mengetahui sejarah penentangan penjajah yang sebenar.

“Ia berkait rapat dengan proses menuntut kemerdekaan apabila semua kumpulan, kesatuan dan pertubuhan yang bergerak menuntut kemerdekaan telah diharamkan kecuali Umno. “Kumpulan penuntut kemerdekaan ini akhirnya dituduh sebagai pengkhianat dan pengganas hanya kerana menentang British yang statusnya masih lagi penjajah di Tanah Melayu ketika itu,” kata beliau.

Jelas Shariful Azmir, turut menjadi persoalan ialah mengapa Umno sahaja yang dibenarkan berkempen untuk merdeka sedangkan banyak lagi pergerakan menuntut kemerdekaan.

“Adakah Umno membenarkan pertubuhan mereka menjadi tali barut British demi untuk merdeka di atas acuan penjajah ?

“Oleh yang demikian, SAMM Wilayah Persekutuan di atas rasa tanggungjawab ke atas sejarah negara yang dikhuatiri terperosok, harus digemburkan semula untuk tatapan rakyat,” katanya sambil menambah, “sejarah peradaban negara juga seharusnya disifatkan dengan lebih keterbukaan kerana ia membentuk asal usul kita rakyat Malaysia.”

“Rakyat juga harus lebih terbuka dan berjiwa besar untuk menerima hakikat sebenar sejarah negara, lebih-lebih lagi apabila ianya melibatkan proses menuntut kemerdekaan,” kata Shariful Azmir.

No comments: