Thursday, September 8, 2011

Fakta Sejarah Penting Yang Tidak Ada Dalam Buku Teks Sejarah Anda...



Salam sejarah,

Apa jua bahan yang bukan tulisan saya tetapi dimuatkan dalam blog ini dalam etika salin tampal, pastinya ia adalah terlalu penting untuk ditelaah. Sebagai penulis, saya akan berasa berbesar hati andainya tulisan saya diambil oleh rakan-rakan lain untuk disebarkan. Begitulah juga sekiranya ada tulisan lain yang dimuatkan dalam blog edyesdotcom, pastinya ia sebuah tulisan/fakta yang terbaik dan istimewa hingga diberi laluan untuk ditampal di sini.

Sehubungan itu, marilah sama-sama kita hadam tulisan di bawah yang saya petik dari blog pulakdah, di bawah;

Selepas 54 Tahun MERDEKA, Ghani Othman Masih DIJAJAH.

Sayang. Walaupun kita baru saja meraikan Tahun Kemerdekaan yang ke-54, namun pemikiran MB Johor, Ghani Othman masih dijajah. Lihat kenyataan beliau di bawah:
“Perjuangan melalui parti dan gerakan Umno yang sah itu adalah lebih teratur dan meluas dengan membabitkan pelbagai pertubuhan Melayu di Semenanjung, yang akhirnya berjaya menuntut kemerdekaan tanah air dan membina sejarah serta melangsungkan tamadun moden pascamerdeka di negara ini.

“Bagaimanapun, Mat Indera memilih untuk menjadi anggota gerakan komunis militan dan ganas dalam gerakan penentangan bersenjata PKM terhadap pentadbiran British,” kata Ghani dalam rencananya.

Tindakan Mat Indera terus menyertai PKM dan menyertai gerakan militan adalah haram, tidak sah dan tidak benar dengan menggunakan taktik kekejaman dan kezaliman, sehingga menyebabkan dia termasuk dalam golongan yang bertindak secara salah dan terpesong.

“Ini berlainan daripada pemimpin haluan kiri yang lain seperti Dr Burhanuddin, Ahmad Boestamam, Ishak Muhammad ataupun Ibrahim Yaakub tidak memilih untuk bertindak secara militan.
Sekarang kita fokus pada isi penting yang menjadi hujah MB Johor ini, dan saya akan nyatakan mengapa saya berani mengatakan pemikiran beliau masih dijajah.

Ghani Othman menyatakan bahawa hanya 'Perjuangan melalui parti UMNO yang sah' sahaja yang berjaya menuntut kemerdekaan. Siapa yang melabelkan UMNO parti yang sah dan parti selain UMNO ialah parti haram. British!. Bagaimana selepas 54 tahun Malaysia merdeka hujah ini masih boleh terpakai. Selepas pelbagai penyelidikan dibuat oleh ahli-ahli akedemik, pelbagai kertas kerja dan penulisan dikeluarkan telah menunjukkan bahawa gerakan partai yang dilabelkan kiri dan haram oleh penjajah ini sebenarnya turut memainkan peranan paling penting dalam memperjuangkan kemerdekaan. Malah sebenarnya merekalah yang lebih awal memperjuangkan kemerdekaan.

KMM ditubuhkan pada Mei 1937 dan dipimpini oleh Ibrahim Haji Yaakob, Mustapha Hussein, Ishak Haji Mohamad (Pak Sako), Ahmad Boestamam dan Burhanuddin Al Helmy.

Semasa perang dunia ke-2, (1942 – 1945) Jepun memasuki Tanah Melayu pada Disember 1941 dan KMM telah bekerjasama dengan Tentera Anti-Jepun Rakyat Malaya (TAJRM) atau Malayan People Anti Japanese Army (MPAJA). Ketika itu penjajah dan tentera British lari lintang pukang ke England meninggalkan rakyat tempatan menentang Jepun. Akhirnya pada 1942 Jepun telah mengharamkan KMM kerana perjuangan kemerdekaan Malaya. Dimanakah UMNO ketika ini? Dimanakah Dato' Onn dan Tunku Abd Rahman? TIDAK ADA. Tunku seorang pegawai jajahan di Kedah dan Dato' Onn sebagai Ketua Pejabat Kawalan Makanan Johor.

Selepas tamat peperangan dunia pertama dan berundurnya Jepun dari tanah Melayu satu gabungan Melayu Islam telah membentuk Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) pada 17 Oktober 1945 di Ipoh Perak. Slogan MERDEKA telah diluluskan serta benderanya ialah MERAH-PUTIH. Semboyan MERDEKA dilantangkan dan berjaya mengembleng seluruh tenaga dari pelbagai aliran agama, nasionalis dan sosialis. Namun malang. Puak-puak elit Melayu yang selesa hidup di bawah pentadbiran kerajaan British, iaitu mereka yang terdiri daripada kakitangan atau penjawat-jawatan yang pro pemerintah British telah menentangnya. Puak-puak elit Melayu ini akhirnya ramai yang menjadi pendokong UMNO yang dihalalkan atau disahkan British seperti kata Ghani Othman.

Antara yang memimpin PKMM ialah Dr Burhanuddin Al-Helmy, Ishak Haji Mohamad (Pak Sako), Abdullah CD (Cik Dat Abdullah), Ahmad Boestamam, Musa Ahmad, Khatijah Ali, dan Ustaz Abu Bakar Al Baqir. Mereka berkembang dan bergabung dengan pelbagai pertubuhan yang menjadi tulang belakang dan penggerak perjuangan kemerdekaan di seluruh Malaya, antaranya :

1.API (Angkatan Pemuda Insaf). Dibawah pimpinan Ahmad Boestamam. (Diharamkan pada 18 Jun 1948 pihak penjajah British dengan persetujuan YDP Umno Dato Onn Jaafar.)

2.AWAS (Angkata Wanita Sedar). Diketuai oleh Samsiah Fakeh.(Diharamkan pada 18 Jun 1948 pihak penjajah British dengan persetujuan YDP Umno Dato Onn Jaafar.)

3.BTM -Barisan Tani Malaya (BATAS). Ditubuhkan pada 7 Julai 1947 di Kajang. Ketuanya ialah Musa Ahmad. Setiausaha disandang oleh Abas manakala Mokhtar sebagai bendahari dan Kadir menjadi ketua bahagian propaganda. Pimpinan Negeri ialah Mokhtar - Kedah, Selangor - Musa Ahmad, Pahang - Abas,Johar - Kadir dan Negeri Sembilan - Ibrahim Baba.

4. Jabatan Kerja Melayu (JKM). Didirikan pada awal tahun 1946. Diketuai oleh Alimin, Setiausahanya pula Abdullah CD dan merangkap ketua bahagian selatan. Ketua di bahagian utara oleh Rashid Maidin dan bahagian timur oleh Kamaruzaman Teh.

5.Hizbul Muslimin.Ditubuhkan pada 17 Mac 1948. Tokoh yang terlibat ialah Ustaz Abu Bakar Al Baqir, Ustaz Abdul Rab, Dr Burhanuddin Al Helmy dan Kiayai Masyur Azahari. (Pada 18 Jun 1948 pihak penjajah British dengan persetujuan YDP Umno, Onn Jaafar mengharamkan Hizbul Muslimin yang dianggap 'Parti Islam Merah' dan merupakan 'bahaya dari gunung' kepada mereka.)

6.GERAM -Gerakan Angkatan Muda. Pimpinan Abd Aziz Ishak dan A Samad Ismail.

7. Kesatuan Buruh Melayu SeMalaya. Ditubuh pada tahun 1946 di bawah pimpinan Abdullah CD. Dipanjangkan penubuhan ke negeri-negeri lain pada 1947.

8.Pan Malayan Federation of Trade Union (PMFTU). Gerakan buruh pelbagai kaum. Pada 1947, kongres telah memilih Ganapathy sebagai Pesiden, Abdullah CD sebagai Naib Presiden dan Chen Lu sebagai Setiausaha.

8.Kesatuan Opera Melayu.

9.Persatuan Pemandu Teksi.

10.PETA -Pembela Tanah Air. (Ditubuhkan apabila KMM diharamkan pada 18 Jun 1948 pihak penjajah British dengan persetujuan YDP Umno, Onn Jaafar.)

11.Majlis Agama Tertinggi Se-Malaya (MATA). Pimpinan Ustaz Abu Bakar Al-Baqir.

Pada tahun 1947, sepuluh tahun sebelum merdeka, PKMM memperkuatkan perjuangan menuntut kemerdekaan dengan bergabung dengan beberapa pertubuhan bukan Islam dan bukan Melayu dalam Malaya Democratic Union, membentuk Barisan Bersatu Putera-AMCJA.

Barisan Bersatu Putera-AMCJA ditubuh pada 1947 dan menggubal 10 fasal Perlembagaan Rakyat untuk kemerdekaan.

Antara gerakan yang dilakukan oleh Barisan Bersatu Putera-AMCJA yang sangat berjaya dan menggugat kedudukan British adalah mogok seluruh Malaya yang dikenali sebagai HARTAL.



BERITA kejayaan hartal di dalam beberapa akhbar


HARTAL yang telah berlangsung pada 16 September 1947 ini telah mencatatkan sejarah satu mogok umum, di mana pada hari tersebut, tiada satu aktiviti pun yang dilakukan oleh seluruh rakyat Malaya. Ketika ini barulah British sedar bahawa gerakan-gerakan yang dicop sebagai pengganas dan berhaluan kiri ini sebenarnya mendapat sokongan masyarakat keseluruhannya. Berdasarkan faktor ini jugalah menyebabkan Mat Sabu berani berkata "Kalau British telah mengadakan referendum (sebelum memberi kemerdekaan) antara Burhanuddin, Tunku Abdul Rahman dan Burhanuddin, saya fikir rakyat pilih Burhanuddin,” kata beliau pada forum bertajuk Mat Indera — Pejuang atau Pengkhianat Kemerdekaan di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor baru-baru ini. Betul. Rakya pada ketika ini lebih menghormati Burhanuddin sebagai pemimpin mereka.

Akhirnya bagi menjaga kelangsungan kepentingan mereka, British telah berpakat dengan kumpulan Elit Melayu yang akhirnya menubuhkan Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (Perkembar – yang kini dikenali sebagai Umno), dan menggubal satu lagi perlembagaan yang dipanggil Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu.

British tidak menerima desakan Barisan Bersatu Putera AMCJA, telah menolak perlembagaan rakyat dan menggantikan Malayan Union dengan membentuk Persekutuan Tanah Melayu serta melantik Dato’ Onn menerajuinya.

Selepas pembentukan Umno ini, Barisan Bersatu Putera AMCJA dan seluruh anggota gabungannya telah diharamkan pada 18 Jun 1948 oleh pihak penjajah British dengan persetujuan Yang Dipertua (YDP) Umno, Dato' Onn Jaafar.

British telah mengisytiharkan Darurat pada tahun 1948, dengan alasan menentang gerakan komunis di Malaya dengan menggunakan 'preventive detention' iaitu tahanan tanpa perbicaraan yang kemudian dikuatkuasakan sebagai Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), mengambil tindakan menangkap sesiapa sahaja yang menentang.

Ketika inilah Mat Indera masuk berjuang di dalam hutan ketika ramai pimpinan atasan telah ditahan di bawah ISA. Jadi apa maksud Ghani Othman apabila berkata, 
"Tindakan Mat Indera terus menyertai PKM dan menyertai gerakan militan adalah haram, tidak sah dan tidak benar dengan menggunakan taktik kekejaman dan kezaliman, sehingga menyebabkan dia termasuk dalam golongan yang bertindak secara salah dan terpesong.

Ini berlainan daripada pemimpin haluan kiri yang lain seperti Dr Burhanuddin, Ahmad Boestamam, Ishak Muhammad ataupun Ibrahim Yaakub tidak memilih untuk bertindak secara militan."
Mat Indera masuk ke dalam hutan setelah melihat ramai pucuk pimpinan utama mereka ketika itu tela di ISA kan. Pemimpin mereka yang tidak bertindak secara militan, tetapi berjaya mempengaruhi masyarakat Tanah Melayu ketika itu telah di ISA kan. Bagaimana mereka hendak meneruskan perjuangan?. Jangan putar belitkan sejarah wahai MB Johor!. Penangkapan Ahmad Boestamam pada bulan Julai 1948-1954 telah membekukan kegiatan politik Ahmad untuk satu tempoh yang panjang, iaitu selama tujuh tahun.

Ibrahim Yaakob pula telah lari ke ke Jakar bersama isterinya Mariatun Haji Siraj, iparnya Onan Haji Siraj dan Hassan Manan pada 19 Ogos 1945. Beliau kembali ke Malaysia pada 1970 apabila Tun Abdul Razak menjadi Perdana Menteri Malaysia. Ketika itu, Tunku Abdul Rahman telah 'digulingkan' selepas Peristiwa 13 Mei.

Pak Sako

Ishak Haji Muhammad (Pak Sako) sendiri dipenjarakan sebanyak dua kali (1948 -1953) oleh British dan (1965-1966) oleh kerajaan Umno!

Pemimpin Hizbul Muslimin juga tidak terlepas. Pada 29 Julai 1948, pukul 12 tengah hari tiga orang pemimpin utama mereka ditangkap. Mereka ialah Syeikh Abu Bakar al-Baqir, Ustaz Abd. Rabb al-Tamimi, dan Ustaz Abdul Rauf Nur. Syeikh Abu Bakar dibebaskan daripada tahanan dalam bulan Oktober 1952.

Dan ramai lagi yang ditangkap selepas pengharaman kumpulan pejuang gerakan yang dilabelkan berhaluan kiri oleh British ini. Adakah maksud MB Johor ini supaya Mat Indera mengikut jejak langkah mereka adalah 'membiarkan dirinya ditangkap oleh British'?. Adakah itu maksud beliau?. Salahkah ketika itu Mat Indera mengambil langkah berjuang di dalam hutan bersama rakannya Pak Sanib, untuk melawan penjajah. Apa yang harus difahami adalah, hanya tinggal dua pilihan pada dirinya ketika itu. Pertama membiarkan dirinya ditangkap British atau melawan British dari dalam hutan. Salahkah pilihannya itu?

Wajarkah Mat Indera dilabelkan sebagai pengkhianat hanya kerana beliau menyerang Balai Polis Bukit Kepong yang ketika itu berada di bawah pemerintahan British dan menyokong British. Tidak adakah langsung jasa beliau dalam menentang penjajah. Jika MB Johor ini berfikiran begitu. Maka tidak sia-sialah British 'menganugerahkan' kemerdekaan di dalam dulang emas, kerana walaupun kita sudah 54 tahun MERDEKA, namun pemikiran Ghani Othman masih DIJAJAH.

No comments: