Saturday, May 7, 2011

CheGuBard: Saya cuma insan kerdil dalam perjuangan yang besar

 Jawapan CheGuBard;
 
1. Ini bukan kali pertama isu keluar parti ditujah kepada che'GuBard, mungkin ada yang seronok dan mengharap sangat jika saya meninggalkan PKR.

2. che'GuBard masih Ketua Cabang PKR Rembau.

3. Semalam (6 Mei, 2011) saya meninggal rumah di Seremban sekitar jam 4.00 pagi untuk berada di Utara bagi paginya untuk beberapa pertemuan untuk urusan perniagaan. 2.30 petang saya ke KOMTAR untuk membincangkan beberapa perkara termasuk penyusunan program Ramadhan bagi mendekati Anak Muda melalui SAMM. Semua kena bersiap kerana mungkin ini Ramadhan yang terakhir sebelum berdepan PRU ke 13. Melihatkan perkembangan sebelum ini Ramadhanlah bulan dimana Umno memanipulasi sentimen untuk menyerang Pakatan Rakyat. Kemudian terus bekejar ke Taman Angsana, Kulim untuk dialog sempena program jamuan petang. Sebaik sahaja selesai terus bekejar untuk program pertemuan selepas Maghrib sebelum ke Ceramah Umum di Kampung Siam, Lunas yang dihadiri lebih 1000 orang. Dalam pada masa jadual yang padat dan penuh dapat pula panggilan telefon 'mama' dikejarkan ke Hospital KPJ, Seremban dan dimasukkan wad. 7 Mei jadual juga padat di Utara yang sepatutnya diakhirkan dengan ceramah umum di Dewan Cina, Jln Pandak Ahmad di Batu Gajah. Mujur apabila bercakap melalui telefon 'mama' kata dia 'ok' cuma gastrik teruk dan letih sangat. Dia sendiri nasihat tak perlu balik teruskan program dah selesai baru balik, jangan hampakan aktivis parti yang dah susah payah susun program.

4. Sememang jadual padat turun menggerakkan penerangan dan penyusunan anak muda merupakan rutin biasa, dua minggu sehari baru ada rehat sehari untuk bersama keluarga. Malangnya dalam kesibukan begini tiba - tiba dihujani ratusan panggilan, sms, email dan seumpamanya bertanya pasal keluar parti. Ada yang dilayan tetapi banyak yang tak dilayan.

5. Di kesan antara puncanya ialah berita di The Malaysian Insider (TMI) yang menyiarkan mengenai persoalan che'GuBard mungkin meninggalkan parti. Link berita seperti dibawah :
6. Setelah saya sendiri membaca tulisan tersebut ternyata penulis/wartawan yang menulis tersalah petik posting dalam blog ini. Perlu saya tegaskan posting bertajuk DAP mahukan pemimpin Melayu yang berintergriti memimpin negara bukan tulisan saya ia ialah 'cuplikan terbitan semula' dari tulisan Aspan Alias di blognya. Saya harap TMI dapat membetulkan semula fakta tersebut. Posting tersebut dalam blog saya dihujung artikel itu saya tulis 'aspanaliasnet' dan saya linkkan semula kepada blog nya.

7. Cuma kekeliruan ini menyerlahkan sebenar sikap teman dan lawan. Pro Bn sudah tentu kecewa dan saya terus diserang kerana mulanya mereka mungkin seronok dengan berita che'GuBard keluar parti, namun ternyata mereka makan hati apabila mendengar kononya keluar PKR tetapi masih bersama PR.

8. Saya tidak nafi memang saya tidak disenangi oleh beberapa 'pemuka' dalam parti. Saya dituduh pengkhianat dan menyerang parti. Persoalanya apa pengkhianatan saya ? Adakah kerana bekerja tanpa henti tanpa menunggu arahan ? atau kerana saya tegas mendesak ketelusan dalam parti termasuk mendesak penyelesaian laporan penyelewengan ketika pemilihan menyebabkan saya dilihat kianat ?

9. Saya tidak nafi memang saya berdepan dengan perbagai masalah pasca pemilihan, saya mendesak keadilan dan ketelusan tetapi saya pula dianggap musuh. Saya pertikaian laporan 'diselesaikan' dengan lansung saya tak dipanggil mengadap mana-mana jawatankuasa.

10. Namun saya tetap bersabar kerana agenda besar menumbang Bn dan mendesak perubahan dalam negara. Saya tidak ke media arus perdana walaupun banyak kali berpeluang berbuat demikian. Saya juga dihubungi agensi regim yang mahukan laporan salinan laporan saya yang punya fakta jelas agar parti boleh disabit terganggu daftarnya...namun semua saya elakkan.

11. Pergerakan saya sentiasa mengundang cuak puak yang dengki. Program SAMM berbentuk karnival yang kami buat pada Febuari lepas mahu dibatal oleh pemuka PKR dengan menemui pihak Majlis Kerajaan Tempatan untuk tujuan kami tak dibantu atau dibatal lesen. Ada pula yang menjaja nama Ketua Umum PKR menemui penganjur yang bukan PKR supaya membatalkan program saya di sebelah utara Semenanjung. Ini berlaku berulang di beberapa tempat. Untuk rekod SAMM cuba bereksperimen dengan turun ke kawasan PRK sebagai NGO mendekati anak muda, Ketika sibuk di Tenang ada pula pemuka jahat yang cuba melagakan gandingan baik SAMM dan sebuah pertubuhan yang dinamakan ANAK. Apa sebenarnya yang mereka mahukan? Namun semua tak dilayan saya terus bergerak, syukur masih ramai teman dalam PKR atau PR secara umumnya tidak mempedulikan perkara ini dan terus fokus. Tindakan 'busuk' mereka ini yang sebenar memalukan parti.

12. Rujuk semula berita TMI yang salah petik yang dinyatakan diatas. Ternyata berita tersebut menyebut sumber 'rakan di NS' (yang dipercayai seseorang dalam Perhubungan PKR NS yang tak senang dengan agresif cara saya bergerak) dan sumber dalaman ibu pejabat... dalam keadaan saya tidak melayan karenah media ada pemuka ini yang melayan media dengan perbagai tohmah.

13. Mereka ini sanggup menggunakan akhbar musuh untuk memuaskan nafsu politik mereka. Mereka sanggup bercakap dengan kertas tandas (meminjam cara Azmin Ali merujuk Utusan Malaysia). Klik sini saya cabar mereka ini keluar dan jangan berselindung disebalik kertas tandas dan menyamar dengan nama 'sumber'.

14. Kelemahan saya selaku ahli politik ialah saya tidak mampu bermuka dan bermanis kata sahaja. Bagi saya ini medan juang dan anak muda harus jadi kumpulan pendesak.

15. Kepada yang cuba menghubungi, menghantar sms atau email menyatakan sokongan saya amat hargai. Kepada yang menghantar masej caci dan maki juga dirai tetapi saya cuma menyatakan saya kerdil dalam dunia perjuangan yang besar. Sejak hari pertama saya melangkah saya telah tahu ia satu medan yang payah, namun demi cita - cita besar perubahan negara saya kayuh juga. Saya juga berharap agar kalau nak serang serang sahaja saya jangan sampai babitkan keluarga, anak serta isteri saya.... mereka banyak berkorban dengan hidup seadanya demi sama berjuang.

Sesiapa pun dijemput ikut rutin saya turun ke bawah jadual saya sila klik sini.

16. Jika saya mahukan jawatan banyak cara saya pasti memperolehinya, malah saya pernah menolak tawaran pun. Selaku anak muda saya yakin tidak salah mengimpikan sebuah gerakan yang sempurna dan untuk itu saya terus dan akan terus mendesak dan mengasak untuk perubahan itu.

Maaf kalau bercakap benar itu salah dan harap posting ini boleh menjelaskan. Kepada anak muda ayuh susun gerakan, perubahan perlu didesak bukan untuk ditunggu.

1 comment:

Anonymous said...

Cikgu Bard,

Politik itu permainan kotor, biar pun lawan atau kawan. Itulah risiko yang perlu cikgu hadapi.

Cuma pesanan saya adalah teruskan perjuangan cikgu bersama2 PKR, mudah2an satu hari nanti cikgu bakal kenal siapa musuh2 sebenar cikgu.

wasalam.