Showing posts with label sejarah kemerdekaan. Show all posts
Showing posts with label sejarah kemerdekaan. Show all posts

Thursday, September 8, 2011

Fakta Sejarah Penting Yang Tidak Ada Dalam Buku Teks Sejarah Anda...



Salam sejarah,

Apa jua bahan yang bukan tulisan saya tetapi dimuatkan dalam blog ini dalam etika salin tampal, pastinya ia adalah terlalu penting untuk ditelaah. Sebagai penulis, saya akan berasa berbesar hati andainya tulisan saya diambil oleh rakan-rakan lain untuk disebarkan. Begitulah juga sekiranya ada tulisan lain yang dimuatkan dalam blog edyesdotcom, pastinya ia sebuah tulisan/fakta yang terbaik dan istimewa hingga diberi laluan untuk ditampal di sini.

Sehubungan itu, marilah sama-sama kita hadam tulisan di bawah yang saya petik dari blog pulakdah, di bawah;

Selepas 54 Tahun MERDEKA, Ghani Othman Masih DIJAJAH.

Sayang. Walaupun kita baru saja meraikan Tahun Kemerdekaan yang ke-54, namun pemikiran MB Johor, Ghani Othman masih dijajah. Lihat kenyataan beliau di bawah:
“Perjuangan melalui parti dan gerakan Umno yang sah itu adalah lebih teratur dan meluas dengan membabitkan pelbagai pertubuhan Melayu di Semenanjung, yang akhirnya berjaya menuntut kemerdekaan tanah air dan membina sejarah serta melangsungkan tamadun moden pascamerdeka di negara ini.

“Bagaimanapun, Mat Indera memilih untuk menjadi anggota gerakan komunis militan dan ganas dalam gerakan penentangan bersenjata PKM terhadap pentadbiran British,” kata Ghani dalam rencananya.

Tindakan Mat Indera terus menyertai PKM dan menyertai gerakan militan adalah haram, tidak sah dan tidak benar dengan menggunakan taktik kekejaman dan kezaliman, sehingga menyebabkan dia termasuk dalam golongan yang bertindak secara salah dan terpesong.

“Ini berlainan daripada pemimpin haluan kiri yang lain seperti Dr Burhanuddin, Ahmad Boestamam, Ishak Muhammad ataupun Ibrahim Yaakub tidak memilih untuk bertindak secara militan.
Sekarang kita fokus pada isi penting yang menjadi hujah MB Johor ini, dan saya akan nyatakan mengapa saya berani mengatakan pemikiran beliau masih dijajah.

Ghani Othman menyatakan bahawa hanya 'Perjuangan melalui parti UMNO yang sah' sahaja yang berjaya menuntut kemerdekaan. Siapa yang melabelkan UMNO parti yang sah dan parti selain UMNO ialah parti haram. British!. Bagaimana selepas 54 tahun Malaysia merdeka hujah ini masih boleh terpakai. Selepas pelbagai penyelidikan dibuat oleh ahli-ahli akedemik, pelbagai kertas kerja dan penulisan dikeluarkan telah menunjukkan bahawa gerakan partai yang dilabelkan kiri dan haram oleh penjajah ini sebenarnya turut memainkan peranan paling penting dalam memperjuangkan kemerdekaan. Malah sebenarnya merekalah yang lebih awal memperjuangkan kemerdekaan.

KMM ditubuhkan pada Mei 1937 dan dipimpini oleh Ibrahim Haji Yaakob, Mustapha Hussein, Ishak Haji Mohamad (Pak Sako), Ahmad Boestamam dan Burhanuddin Al Helmy.

Semasa perang dunia ke-2, (1942 – 1945) Jepun memasuki Tanah Melayu pada Disember 1941 dan KMM telah bekerjasama dengan Tentera Anti-Jepun Rakyat Malaya (TAJRM) atau Malayan People Anti Japanese Army (MPAJA). Ketika itu penjajah dan tentera British lari lintang pukang ke England meninggalkan rakyat tempatan menentang Jepun. Akhirnya pada 1942 Jepun telah mengharamkan KMM kerana perjuangan kemerdekaan Malaya. Dimanakah UMNO ketika ini? Dimanakah Dato' Onn dan Tunku Abd Rahman? TIDAK ADA. Tunku seorang pegawai jajahan di Kedah dan Dato' Onn sebagai Ketua Pejabat Kawalan Makanan Johor.

Selepas tamat peperangan dunia pertama dan berundurnya Jepun dari tanah Melayu satu gabungan Melayu Islam telah membentuk Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) pada 17 Oktober 1945 di Ipoh Perak. Slogan MERDEKA telah diluluskan serta benderanya ialah MERAH-PUTIH. Semboyan MERDEKA dilantangkan dan berjaya mengembleng seluruh tenaga dari pelbagai aliran agama, nasionalis dan sosialis. Namun malang. Puak-puak elit Melayu yang selesa hidup di bawah pentadbiran kerajaan British, iaitu mereka yang terdiri daripada kakitangan atau penjawat-jawatan yang pro pemerintah British telah menentangnya. Puak-puak elit Melayu ini akhirnya ramai yang menjadi pendokong UMNO yang dihalalkan atau disahkan British seperti kata Ghani Othman.

Antara yang memimpin PKMM ialah Dr Burhanuddin Al-Helmy, Ishak Haji Mohamad (Pak Sako), Abdullah CD (Cik Dat Abdullah), Ahmad Boestamam, Musa Ahmad, Khatijah Ali, dan Ustaz Abu Bakar Al Baqir. Mereka berkembang dan bergabung dengan pelbagai pertubuhan yang menjadi tulang belakang dan penggerak perjuangan kemerdekaan di seluruh Malaya, antaranya :

1.API (Angkatan Pemuda Insaf). Dibawah pimpinan Ahmad Boestamam. (Diharamkan pada 18 Jun 1948 pihak penjajah British dengan persetujuan YDP Umno Dato Onn Jaafar.)

2.AWAS (Angkata Wanita Sedar). Diketuai oleh Samsiah Fakeh.(Diharamkan pada 18 Jun 1948 pihak penjajah British dengan persetujuan YDP Umno Dato Onn Jaafar.)

3.BTM -Barisan Tani Malaya (BATAS). Ditubuhkan pada 7 Julai 1947 di Kajang. Ketuanya ialah Musa Ahmad. Setiausaha disandang oleh Abas manakala Mokhtar sebagai bendahari dan Kadir menjadi ketua bahagian propaganda. Pimpinan Negeri ialah Mokhtar - Kedah, Selangor - Musa Ahmad, Pahang - Abas,Johar - Kadir dan Negeri Sembilan - Ibrahim Baba.

4. Jabatan Kerja Melayu (JKM). Didirikan pada awal tahun 1946. Diketuai oleh Alimin, Setiausahanya pula Abdullah CD dan merangkap ketua bahagian selatan. Ketua di bahagian utara oleh Rashid Maidin dan bahagian timur oleh Kamaruzaman Teh.

5.Hizbul Muslimin.Ditubuhkan pada 17 Mac 1948. Tokoh yang terlibat ialah Ustaz Abu Bakar Al Baqir, Ustaz Abdul Rab, Dr Burhanuddin Al Helmy dan Kiayai Masyur Azahari. (Pada 18 Jun 1948 pihak penjajah British dengan persetujuan YDP Umno, Onn Jaafar mengharamkan Hizbul Muslimin yang dianggap 'Parti Islam Merah' dan merupakan 'bahaya dari gunung' kepada mereka.)

6.GERAM -Gerakan Angkatan Muda. Pimpinan Abd Aziz Ishak dan A Samad Ismail.

7. Kesatuan Buruh Melayu SeMalaya. Ditubuh pada tahun 1946 di bawah pimpinan Abdullah CD. Dipanjangkan penubuhan ke negeri-negeri lain pada 1947.

8.Pan Malayan Federation of Trade Union (PMFTU). Gerakan buruh pelbagai kaum. Pada 1947, kongres telah memilih Ganapathy sebagai Pesiden, Abdullah CD sebagai Naib Presiden dan Chen Lu sebagai Setiausaha.

8.Kesatuan Opera Melayu.

9.Persatuan Pemandu Teksi.

10.PETA -Pembela Tanah Air. (Ditubuhkan apabila KMM diharamkan pada 18 Jun 1948 pihak penjajah British dengan persetujuan YDP Umno, Onn Jaafar.)

11.Majlis Agama Tertinggi Se-Malaya (MATA). Pimpinan Ustaz Abu Bakar Al-Baqir.

Pada tahun 1947, sepuluh tahun sebelum merdeka, PKMM memperkuatkan perjuangan menuntut kemerdekaan dengan bergabung dengan beberapa pertubuhan bukan Islam dan bukan Melayu dalam Malaya Democratic Union, membentuk Barisan Bersatu Putera-AMCJA.

Barisan Bersatu Putera-AMCJA ditubuh pada 1947 dan menggubal 10 fasal Perlembagaan Rakyat untuk kemerdekaan.

Antara gerakan yang dilakukan oleh Barisan Bersatu Putera-AMCJA yang sangat berjaya dan menggugat kedudukan British adalah mogok seluruh Malaya yang dikenali sebagai HARTAL.



BERITA kejayaan hartal di dalam beberapa akhbar


HARTAL yang telah berlangsung pada 16 September 1947 ini telah mencatatkan sejarah satu mogok umum, di mana pada hari tersebut, tiada satu aktiviti pun yang dilakukan oleh seluruh rakyat Malaya. Ketika ini barulah British sedar bahawa gerakan-gerakan yang dicop sebagai pengganas dan berhaluan kiri ini sebenarnya mendapat sokongan masyarakat keseluruhannya. Berdasarkan faktor ini jugalah menyebabkan Mat Sabu berani berkata "Kalau British telah mengadakan referendum (sebelum memberi kemerdekaan) antara Burhanuddin, Tunku Abdul Rahman dan Burhanuddin, saya fikir rakyat pilih Burhanuddin,” kata beliau pada forum bertajuk Mat Indera — Pejuang atau Pengkhianat Kemerdekaan di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor baru-baru ini. Betul. Rakya pada ketika ini lebih menghormati Burhanuddin sebagai pemimpin mereka.

Akhirnya bagi menjaga kelangsungan kepentingan mereka, British telah berpakat dengan kumpulan Elit Melayu yang akhirnya menubuhkan Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (Perkembar – yang kini dikenali sebagai Umno), dan menggubal satu lagi perlembagaan yang dipanggil Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu.

British tidak menerima desakan Barisan Bersatu Putera AMCJA, telah menolak perlembagaan rakyat dan menggantikan Malayan Union dengan membentuk Persekutuan Tanah Melayu serta melantik Dato’ Onn menerajuinya.

Selepas pembentukan Umno ini, Barisan Bersatu Putera AMCJA dan seluruh anggota gabungannya telah diharamkan pada 18 Jun 1948 oleh pihak penjajah British dengan persetujuan Yang Dipertua (YDP) Umno, Dato' Onn Jaafar.

British telah mengisytiharkan Darurat pada tahun 1948, dengan alasan menentang gerakan komunis di Malaya dengan menggunakan 'preventive detention' iaitu tahanan tanpa perbicaraan yang kemudian dikuatkuasakan sebagai Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), mengambil tindakan menangkap sesiapa sahaja yang menentang.

Ketika inilah Mat Indera masuk berjuang di dalam hutan ketika ramai pimpinan atasan telah ditahan di bawah ISA. Jadi apa maksud Ghani Othman apabila berkata, 
"Tindakan Mat Indera terus menyertai PKM dan menyertai gerakan militan adalah haram, tidak sah dan tidak benar dengan menggunakan taktik kekejaman dan kezaliman, sehingga menyebabkan dia termasuk dalam golongan yang bertindak secara salah dan terpesong.

Ini berlainan daripada pemimpin haluan kiri yang lain seperti Dr Burhanuddin, Ahmad Boestamam, Ishak Muhammad ataupun Ibrahim Yaakub tidak memilih untuk bertindak secara militan."
Mat Indera masuk ke dalam hutan setelah melihat ramai pucuk pimpinan utama mereka ketika itu tela di ISA kan. Pemimpin mereka yang tidak bertindak secara militan, tetapi berjaya mempengaruhi masyarakat Tanah Melayu ketika itu telah di ISA kan. Bagaimana mereka hendak meneruskan perjuangan?. Jangan putar belitkan sejarah wahai MB Johor!. Penangkapan Ahmad Boestamam pada bulan Julai 1948-1954 telah membekukan kegiatan politik Ahmad untuk satu tempoh yang panjang, iaitu selama tujuh tahun.

Ibrahim Yaakob pula telah lari ke ke Jakar bersama isterinya Mariatun Haji Siraj, iparnya Onan Haji Siraj dan Hassan Manan pada 19 Ogos 1945. Beliau kembali ke Malaysia pada 1970 apabila Tun Abdul Razak menjadi Perdana Menteri Malaysia. Ketika itu, Tunku Abdul Rahman telah 'digulingkan' selepas Peristiwa 13 Mei.

Pak Sako

Ishak Haji Muhammad (Pak Sako) sendiri dipenjarakan sebanyak dua kali (1948 -1953) oleh British dan (1965-1966) oleh kerajaan Umno!

Pemimpin Hizbul Muslimin juga tidak terlepas. Pada 29 Julai 1948, pukul 12 tengah hari tiga orang pemimpin utama mereka ditangkap. Mereka ialah Syeikh Abu Bakar al-Baqir, Ustaz Abd. Rabb al-Tamimi, dan Ustaz Abdul Rauf Nur. Syeikh Abu Bakar dibebaskan daripada tahanan dalam bulan Oktober 1952.

Dan ramai lagi yang ditangkap selepas pengharaman kumpulan pejuang gerakan yang dilabelkan berhaluan kiri oleh British ini. Adakah maksud MB Johor ini supaya Mat Indera mengikut jejak langkah mereka adalah 'membiarkan dirinya ditangkap oleh British'?. Adakah itu maksud beliau?. Salahkah ketika itu Mat Indera mengambil langkah berjuang di dalam hutan bersama rakannya Pak Sanib, untuk melawan penjajah. Apa yang harus difahami adalah, hanya tinggal dua pilihan pada dirinya ketika itu. Pertama membiarkan dirinya ditangkap British atau melawan British dari dalam hutan. Salahkah pilihannya itu?

Wajarkah Mat Indera dilabelkan sebagai pengkhianat hanya kerana beliau menyerang Balai Polis Bukit Kepong yang ketika itu berada di bawah pemerintahan British dan menyokong British. Tidak adakah langsung jasa beliau dalam menentang penjajah. Jika MB Johor ini berfikiran begitu. Maka tidak sia-sialah British 'menganugerahkan' kemerdekaan di dalam dulang emas, kerana walaupun kita sudah 54 tahun MERDEKA, namun pemikiran Ghani Othman masih DIJAJAH.

MB Johor Contoh Terbaik Talibarut British? (Wajib Baca!!)



Perdebatan sejarah kemerdekaan kembali panas dengan pengakuan MB Johor, yang menukar pendiriannya setelah mengatakan Mat Indera sebagai Tokoh Terbilang suatu ketika dulu. Apakah tujuan MB Johor menukar pendirian? Apakah MB Johor ini ditekan oleh Umno Johor kerana kerisauan Johor juga bakal tumbang jika sejarah sebenar terungkai ?

Merujuk kepada kenyataan MB Johor dalam portal bernama;
Menteri Besar Datuk Abdul Ghani Othman berkata Mat Indera yang terlibat dengan gerakan menentang penjajah ketika negara diperintah oleh British, bukan seorang pejuang kemerdekaan sebaliknya pengganas yang kejam dan zalim.

Beliau berkata berdasarkan fakta sejarah peristiwa Bukit Kepong, Mat Indera adalah anggota Parti Komunis Malaya (PKM), sebagai Ketua Rejimen ke-10 yang kejam dan zalim serta mengancam keselamatan orang awam pada ketika itu.

"Apabila British menguatkuasakan undang-undang darurat pada 19 Jun 1948 di Tanah Melayu, semua parti politik berhaluan kiri seperti Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM), Angkatan Wanita Sedar (AWAS), Angkatan Pemuda Insaf (API) dan PKM telah diharamkan.

"Oleh itu, ramai anggota gerakan berhaluan kiri memilih tindakan sama ada berdiam diri, melarikan diri ke Singapura, bersatu dengan militan PKM atau meneruskan hasrat berjuang atas landasan lain termasuk menyertai Parti Kebangsaan Melayu Bersatu (Umno).

Sebelum diulas dengan lebih lanjut, mari kita renung apakah tindak tanduk penjajah British (atau boleh saya kata pengganas British?) ketika Mat Indera melancarkan gerakan kemerdekaan. British melabelkan Mat Indera sebagai pengganas komunis lalu meletakkan $75 000 untuk kepala Mat Indera. Keluarga Mat Indera juga diseksa dan dibuang daerah oleh British. Apabila Mat Indera ditangkap, hukuman untuk beliau adalah penyiksaan untuk berbulan lamanya dan akhirnya beliau dihukum gantung di Taiping.

Hari ini, Menteri Besar Johor membuat kenyataan bahawa Mat Indera seorang pengganas komunis yang kejam dan zalim walaupun dalam buku "Pengukir Nama Johor", MB Johor ini jugalah yang menamakan Mat Indera sebagai Tokoh Terbilang. Bukankah kenyataan MB Johor ini menyerupai imperialis Inggeris? Apakah kenyataan MB Johor ini melengkapkan kebenaran betapa Umno adalah talibarut British dan meneruskan legasi British?

Mungkin sedikit masa lagi akan ada pemimpin Umno yang tergamak mengatakan Tok Janggut juga sebagai pengganas kerana Tok Janggut juga membunuh polis melayu yang bernama Sarjan Che Wan di Pasir Mas, Kelantan. Tok Janggut yang dibunuh dan gantung secara terbali, kemudian diheret menyeberangi Padang Bank Kota Bharu, tidak pula dianggap pengganas dalam buku teks sejarah. Inikah yang dikatakan sejarah ?

Berbalik kepada kepahlawanan Mat Indera, beliau pada awalnya telah diiktiraf dalam buku Pengukir Nama Johor sebagai antara tokoh negeri Johor yang terbilang. Ironinya, yang mengiktiraf beliau sebagai tokoh terbilang itu adalah MB Johor sendiri, lantas MB Johor menyatakan;
Penulisan dan catatan tersebut menjadi bahan kajian di atas prinsip kebenaran akademik untuk memperkayakan khazanah maklumat dan rakaman peristiwa sejarah kemerdekaan untuk tatapan dan pengetahuan generasi sebagai iktibar, panduan dan peringatan.
Dengan kata-kata di atas, apakah kita juga boleh melebel sejarah kemerdekaan oleh Umno yang tertulis dalam mana-mana buku teks sejarah yang diiktiraf itu adalah semata-mata bahan kajian di atas prinsip 'kebenaran akademik' untuk memperkayakan khazanah maklumat dan rakaman peristiwa sejarah kemerdekaan untuk tatapan dan pengetahuan generasi sebagai iktibar, panduan dan peringatan ?

Kenyataan MB Johor hari ini juga menyebut, apabila British menguatkuasakan undang-undang darurat pada 19 Jun 1948 di Tanah Melayu, semua parti politik berhaluan kiri seperti Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM), Angkatan Wanita Sedar (AWAS), Angkatan Pemuda Insaf (API) dan PKM telah diharamkan. Tetapi MB Johor tidak pula merungkaikan mengapa hanya hanya gerakan melayu Umno sahaja yang tidak diharamkan?

Ternyata pihak British tidak memberi ruang kepada semua gerakan kemerdekaan apabila mengharamkan PKMM, AWAS, API dan PKM. Semua nasionalis yang menuntut kemerdekaan tidak diberi pilihan. Hanya dengan menyertai kumpulan bangsawan elit Umno untuk kemerdekaan acuan British, atau berdepan dengan risiko merengkok dalam penjara atau lebih buruk, dibunuh menjadi pejuang tidak bernama.

Walaupun kenyataan MB Johor hari ini bersifat dangkal dan bodoh sombong, tetapi kita harus bersyukur kerana ia secara tidak langsung memberi petunjuk jelas betapa kemerdekaan yang dituntut Umno diberi laluan mudah oleh British dengan satu keraguan - Benarkah Umno talibarut British? Ia juga secara langsung membangkitkan ghairah lebih ramai anak muda untuk mengetahui sejarah sebenar kemerdekaan di sebalik sejarah doktrin penutup minda.

Setinggi-tinggi terima kasih dan tahniah buat MB Johor yang serba flip-flop. Moga lebih ramai pemimpin Umno yang bersuara sepertimana kenyataan MB Johor hari ini. Keraguan sejarah kemerdekaan semakin terserlah dan memasuki era perdebatan terbuka. Benarlah kata orang, Umno akan dimakan sejarah, Umno sejarah...



Edyes @ edyesdotocom


Wednesday, September 7, 2011

Persoalan Kemerdekaan Yang Harus DIJAWAB ! (Wajib Baca!!)





Saya petik dari laman Facebook anak muda SAMM bernama Farel untuk renungan mereka yang berjiwa merdeka, persoalan yang harus dirungkai dengan sebesar jiwa... persoalan yang kerap menjadi taboo, tidak langsung dibawa ke hadapan ;

Buka Minda anda sambil berfikir... Tiada paksaan untuk terima hujah ini tetapi anda harus menilai dan mengkaji ... Selagi bernafas jangan pernah leka untuk berfikir.. Selaku Anak Muda pemikiran kita masih segar oleh itu jangan sia-sia kan pemikiran kita... - Farel Dedek Samm ( Penyelaras Solidariti Anak Muda Malaysia Segmentasi Mahasiswa)

"Soalan untuk renungan anak-anak muda pasca merdeka sempena 54 tahun “merdeka…”

1. Benarkah UMNO tidak pernah berperang dengan British dan pemimpinnya hanya berunding untuk mendapat kemerdekaan. Jadi Tunku adalah perunding atau pejuang ?

2. Sebelum Merdeka British begitu terancam dengan PKM selepas merdeka UMNO pula,walaupun sudah berdamai (1989) tetapi tetap gelabah. Apakah mereka bimbang mengenai hakikat sejarah yang akan terbongkar.?

3. Benarkah ramai tentera British telah menjadi korban gerila Tentera Pembebasan Rakyat Malaya(TPRM) yang terdiri dari seluruh bangsa rakyat Malaya yang bergabung tenaga bersama PKM?.

4. Bilakah semboyan MERDEKA bermula dan siapakah pemulanya ?

5. Benarkah ramai perajurit TPRM juga telah terkorban menentang tentera penjajah Inggeris sejak darurat 1948 hinggalah merdeka. Apakah maksud pernyataan ini ?

6. Kalau merdeka tanpa pertumpahan darah kenapa begitu ramai nama-nama askar Inggeris yang yang mati direkodkan di tugu negara kita. Kenapa mereka mati ? Mempertahankan siapa - tanah jajahan atau rakyat Malaya ?

7. Benarkah Darurat 1948 adalah perang terhadap rakyat yang berjuang bersemboyankan merdeka. Mereka ditangkap, dipenjara dan dibunuh yang terlepas menyusup ke hutan bergerila membentuk TPRM.

8. Akta darurat 1948 adalah demi keselamatan negara atau keselamatan imperialis Inggeris di Malaya ?.

9. Benarkah Darurat 1948 ini diisytiharkan sesudah kuasa penjajah Inggeris melihat PKMM, AWAS, API, PKM, BATAS, Kesatuan Buruh dan lain-lain telah berjaya mengumpulkan berjuta rakyat Malaya di bawah PUTERA-AMCJA untuk mengusulkan negara merdeka berpelembagaan.

10. Benarkah Darurat 1948 diistiharkan bagi mengekang tekanan dan suara merdeka di bawah PUTERA-AMCJA pelbagai kaum rakyat Malaya ketika itu.

11. Benarkah HARTAL yang dilancarkan pada 1948 adalah antara penyebab kuasa imperialis Inggeris melancarkan akta darurat 1948…. dan kenapa ?

12. Siapakah yang sebenarnya dalam keadaan darurat – imperialis Inggeris atau rakyat kerana kebangkitan seluruh rakyat ketika itu… ?

13. Benarkah akta ini adalah muslihat untuk British tidak mengisytiharkan perang sedangkan ia suatu perang terhadap rakyat yang berjuang menuntut Merdeka dengan membawa masuk 400,000 tentera dari tanah-tanah jajahannya ke Malaya ?

14. Kerana akta ini ramai pemimpin PKMM, AWAS, API serta lain-lain parti yang berjuang untuk menuntut merdeka telah bersama PKM dan berjuang dengan senjata menentang Inggeris dan kenapa ?

15. Jika mereka tidak memilih hutan dan gerila apakah pilihan yang ada untuk mereka kerana seluruh parti-parti progresif telah diharamkan. Apakah mereka perlu memilih rumah pasung Inggeris (balai polis), penjara atau tali gantung (UMNO sahaja yang tidak diharamkan ketika itu kerana ia ditaja oleh British).

16. Kenapa perang dalam negeri terus berlangsung selepas merdeka. Bukankah ini antara syarat yang dikenakan Inggeris untuk merundingkan kemerdekaan ? Apakah signifikan syarat ini ? Tidakkah untuk memberi masa kepada British bagi mengelak “premature withdrawal” ? dan apakah signifikannya terhadap soal perniagaan senjata jangka panjang ke Malaya oleh British serta kepentingan mempertahankan harta mereka (kolonial) yang masih ada.

17. Benarkah Inggeris memberi kemerdekaan kepada Malaya kerana mereka hormat orang Melayu yang mereka pernah tulis sebagai bangsa yang tinggal di atas pokok (1786) atau kerana mereka sudah tidak dapat tahan terhadap ribuan serangan bertubi-tubi dari gerila PKM yang menyebabkan beribu-ribu askarnya cedera dan terkorban.

18. Setujukah kalau kita katakan bahawa kita hanya ada sebelah buku sejarah iaitu versi UMNO sedangkan Inggeris mempunyai buku sejarah tentang negara kita yang lebih lengkap yang tersimpan di London.

19. Bolehkah wira-wira Melayu silam seperti Tok Janggut, Datok Bahaman, Mat Kilau, Dato Sagor, Dato Maharajalela dan yang lainnya yang dituduh oleh British sebagai pengganas itu adalah sebahagian dari pejuang kemerdekaan.

20. Benarkah pada tahun 1948 UMNO hanya sebuah parti (gerombolan) kecil minoriti seperti PERKASA hari ini ?

21. Kenapa semboyan UMNO adalah hidup Melayu dan bukan Merdeka, adakah ini kerana mereka pada awalnya memperlekehkan gerakan untuk merdeka atau takut atau ingin mengambil hati Inggeris. ?

22. Kenapa rundingan Baling 1955 gagal. Tidakkah Tunku di bawah tekanan David Marshallyang merancang untuk menggagalkan rundingan ini ? (Said Zahari (17 tahun pernah merengkok dalam penjara) Ketua Pengarang Utusan Melayu ketika itu - adalah penulis cerita ini masih hidup serta boleh diwawancara).

23. Kenapa Rundingan Baling II yang dijanjikan oleh Tunku tidak menyusul bagi menamatkan perang dalam negeri. Apakah kesannya, jika berdamai bukankah tiada tentera kita yang terpijak periuk api dan menjadi korban perang yang sia-sia?


24. Ramai pemimpin-pemimpin Melayu termasuk Ulama’ telah ditangkap dan dipenjara kerana mereka tidak sealiran dengan UMNO. Mereka telah dicap sebagai pengganas kemudianditangkap - kenapa ?

25. Di manakah pemimpin Melayu yang progresif seperti Dr. Burhanudin al-Helmi, Mustapha Hussein serta Pak Sako, Ahmad Buestamam, Ustaz Abu Bakar al-Bakir dan lain-lainnya telah menghabiskan usia mereka kalau bukan dalam penjara sedangkan mereka adalah nasionalis ?

26. Jika PKM adalah anti Agama dan Tuhan, bagaimana ulama’ seperti Ustaz Abu Bakar al-Baqir dan ramai pemimpin progresif Melayu boleh berjuang dalam satu pasukan yang sama menentang Inggeris.

27. Kenapa di setiap daerah (province) di China terdapat masjid malah jumlah orang Islam di China lebih dua kali ganda dari penduduk Islam di Malaysia ?. Begitu juga penganut agama lain bebas mengamal agama mereka.

28. Kenapa orang Melayu selalu ditakut-takutkan dengan fikiran lapuk terhadap komunis yang dituduh tidak percaya kepada Tuhan serta anti agama sedangkan UMNO menjunjungsistem ekonomi riba sedang Allah menganjurkan perang terhadap riba dan memberi ancaman dengan api neraka (al-Baqarah: 279 dan 275).

29. Kenapa ulama-ulama upahan UMNO lebih gemar menyerang socialism yang anti riba daripada menyerang capitalism yang mendukung sistem ekonomi riba ?.

30. Kenapa dalam setiap ulang tahun perayaan kemerdekaan UMNO tidak menonjolkan pejuang-pejuang lain yang sepanjang abad bergerila menentang kuasa penjajah Inggeris seperti Tok Janggut, Datok Bahaman, Mat Kilau Datok Maharajalela, Datok Sagor serta yang sebelumnya. Adakah hanya Tunku sahaja yang berjasa kerana dia dipilih oleh Inggeris menjadi wakil untuk berunding ?

31. Kenapa UMNO sangat benci dan memusuhi pemimpin progresif Melayu hingga sanggup melebelkan mereka sebagai komunis agar mereka dijauhi oleh masyarakat dan tidak mengganggu tahta kuasa yang sedang berada di tangan UMNO?

32. Siapakah yang menggerakan gerakan menentang Malayan Union 1948 sedangkan pada waktu itu UMNO hanya gerombolan dan sangat kecil jumlahnya.

33. Benarkah PUTERA-AMCJA telah menggerakan seluruh rakyat Malaya keluar menentang Malayan Union pada 1948. Kenapa tidak nampak satu pun bendera UMNO ketika itu sedangkan terdapat ribuan kibaran bendera yang lain.

34. Pernahkah UMNO menjelaskan tentang makna merah dan putih benderanya dan dari mana mereka telah menciplaknya ?

35. Betulkah MCA itu berasal daripada Parti Kuomintang (bukan PKM) yang pernah mengganas selama 14 hari ketika Jepun tewas pada tahun 1945 ?

36. Kenapa rakyat Malaysia disuruh mendewakan Tunku Abdul Rahman sahaja dan tidak boleh menghargai pejuang-pejuang kemerdekaan yang lain yang telah menyumbangkan bakti menghalau Inggeris keluar dari negara ini?

37. Kenapakah UMNO terus memusuhi PKM walaupun mereka sudah berdamai pada tahun 1989.
Adakah ini suatu cara untuk mereka terus menipu rakyat.

38. Adakah mana-mana rekod jenayah yang pernah dilakukan oleh ratusan bekas-bekas perajurit PKM yang dapat kita jadikan bukti bahawa mereka adalah spesis pengganas selepas 22 tahun mereka bersama rakyat.

39. Kenapa UMNO perlu gelabah apabila kisah sebenar Bukit Kepong didedahkan. Jika versi UMNO benar kenapa perlu gelabah kerana kebenaran tetap kebal..