Saturday, September 13, 2008

Husam : Politik Malaysia dalam perlumbaan

Politik Malaysia dalam perlumbaan - menjatuhkan Abdullah atau menyambung hayatnya.

Abdullah menghadapi dua serangan serentak : dalam UMNO dan di luar.

Anwar menetapkan September atau mana-mana tarikh terdekat untuk bukan sahaja Abdullah dijatuhkan tetapi juga seluruh kerajaannya bertukar. Lagi dekat Anwar menghampiri matlamat ini, lagi pantas dua kumpulan lain berlari menuju garis penamat. Satu, kumpulan dalam UMNO yang melihat jika sesuatu tidak dilakukan, Anwar besar kemungkinan menjadi orang paling awal mencapai garis penamat. Abdullah tewas, Anwar berjaya.

Untuk mengelakkan kerajaan BN tumbang, Abdullah mesti diturunkan secepat mungkin. Muhyidin, hari ini, (10 September) sudah pun membuat kenyataan di Singapura, bahawa Abdullah perlu berundur lebih awal dari yang ditetapkan, Jun 2010.

Hari yang sama, Mustapa Ali, membuat kenyataan di Terengganu, menolak kemungkinan Anwar akan berjaya, dalam apa yang dilihat sebagai langkah awal ke arah melumpuhkan gerakan menurunkan Abdullah.

Selain September, Oktober dan Disember adalah garis-garis penamat untuk lumba lari dalam politik negara kita. Oktober adalah bulan mesyuarat Agung UMNO akan diadakan di mana pencalonan jawatan tertinggi UMNO akan berlangsung. Disember adalah mesyuarat Agung Pemilihan UMNO.

Tengku Razaleigh sudah mengumumkan beliau bersedia menentang Abdullah untuk jawatan Presiden UMNO. Halangan utama beliau ialah sistem kuota yang ditetapkan sejak zaman Mahathir lagi, yang memberi kelebihan kepada pemegang jawatan Presiden dan Timbalan Presiden yang sedia ada.

Kiranya bola yang disepak oleh Muhyidin hari ini bergolek kencang, Abdullah paling lewat akan berundur Disember ini. Mahathir yang secara sukarela keluar dari UMNO atas protes ke atas Abdullah, kini dipelawa oleh Muhyidin untuk memasuki semula UMNO.

Masuknya Mahathir untuk apa? Menjatuhkan Abdullah dari dalam dengan membantu Ku Li untuk menentang Abdullah. Lazimnya MT UMNOlah yang akan memutuskan permohonan memasuki UMNO. Jika Abdullah tahu bahawa Mahathir masuk untuk menjatuhkan beliau, beliau sepatutnya menyekat kemasukan itu. Namun, jika ia tetap diteruskan, bermakna Abdullah sudah tidak dapat menguasai MT UMNO lagi dan ini petanda awal Abdullah sedang menggelunsur turun, tidak lebih dari Disember. Sungguhpun Abdullah dan Najib sudah pun memeterai persetujuan bahawa pelan pengunduran Abdullah adalah Jun 2010, pelan itu nampaknya sudah mula tercabar.

Pelan tersebut berjaya mematikan langkah Najib sebagai potensi pencabar terdekat Abdullah. Tapi kini, pemain baru muncul iaitu Muhyidin. Sekalipun tidak jelas apa pos yang beliau sendiri akan tandingi, namun kenyataan se orang Naib Presiden kanan supaya Abdullah berundur lebih awal, akan mengubah corak permainan. Ia tidak mudah dilupuskan begitu saja.

Keputusan Permatang Pauh dan kontraversi Ahmad Ismail adalah perkembangan baru yang mewajarkan penilain semula dibuat ke atas pelan peralihan kuasa 2010. Anutan umum dalam dan luar UMNO adalah bahawa kunci UMNO untuk kekal relevan dalam menerajui kerajaan ialah Abdullah digantikan dengan segera. Daya kepimpinannya amatlah lemah dan beliau gagal meningkatkan keupayaannya mengendalikan negara sekalipun selepas tamparan hebat Mac 2008. Bahkan perkembangan sejurus selepas pilihanraya memperlihatkan dengan lebih jelas ketidakupayaan beliau.

Kemaraan Khairy dengan gaya rambonya, terakhir, di Permatang Pauh, sekali lagi mengingatkan masyarakat Malaysia penguasaan politik tiga beranak ala Abdullah yang tidak disenangi oleh segenap lapisan masyarakat. Langkah membuta tuli menaikkan harga minyak sebegitu besar telah meninggalkan kesan yang parah dalam dada rakyat.

Adakah Abdullah kecundang? Tidak semestinya. Jika UMNO bahagian kekal paralais, isyarat yang dihantar oleh Muhyidin tidak akan bersambut. Penguasaan mekanisma kuasa melalui sistem kuota mungkin mengekalkan Abdullah dipuncak kuasa sekalipun beliau nyata amat lemah dan tidak lagi popular.

Apa kesannya? Tekanan untuk mengubah UMNO melalui mekanisma di luar UMNO akan lebih rancak dan kuat selepas Disember.

Muhyidin, dan juga Ku Li, sudah tentu akan bekerja kuat untuk mendapatkan cukup pencalonan. Itu pun tujuan Muhyidin membuat jolokan terbaru ini. Untuk membangkitkan kesedaran UMNO Bahagian-bahagian. Memang Muhyidin telah mendapat imej pemimpin yang serious untuk melakukan pemulihan UMNO. Ku Li muncul sebagai pilihan selepas Najib tidak lagi dapat bergerak. Najib kini seumpama jin yang perkasa tetapi telah dibotolkan oleh pawang. Jika mereka berjaya mendapat pencalonan lebih besar, Oktober/November sudah pun cukup untuk garis penamat Abdullah boleh ditumbangkan atau tidak diketahui.

Jika Ku Li dan Muhyidin bakal menggantikan Abdullah dan Najib serentak, senario politik selanjutnya memerlukan perhitungan baru.

Jika keduanya gagal, adakah Abdullah akan membiarkan Muhyidin begitu saja?

Muhyidin mempunyai satu lagi pilihan - bersama Anwar selepas Disember.

Jika itu berlaku, potensi untuk menumbangkan kerajaan Abdullah selepas Disember masih terbuka, jika ia gagal dilakukan sebelum itu.

Di sinilah PAS diperlukan oleh Abdullah. Menyambung hayat politik beliau.

Samada PAS bersetuju atau tidak menjadi terompah kayu Abdullah, belum berbangkit. Dalam perbincangan ini, ia adalah hipotesis semata-mata.

Bilakah tarikh Abdullah lebih seronok untuk PAS menyatakan kesediaannya untuk bersama Abdullah? Tentulah sebelum Oktober. Jika PAS sanggup berbuat demikian sebelum Oktober, UMNO bahagian-bahagian mungkin menganggap itu satu kesempatan baru. Mereka mungkin mencalonkan semula Abdullah dan cadangan Muhyidin akan menikam beliau sendiri selepas ini. Abdullah kekal dipuncak walaupun lembik. Najib juga, dengan segala masalah yang menghantuinya. Tapi mungkin untuk sementara. Jika Najib akhirnya akan gugur, siapakah Naib Presiden yang nanti terpilih dalam pemilihan dan kemudiannya bergerak menggantikan Najib? Biarlah masa menjawabnya tetapi tentunya bukan Muhyidin.

Relakah PAS berketuakan seorang pemimpin lemah seperti Abdullah? Pemimpin PAS lah yang perlu menjawabnya.

Jika ini berlaku, Abdullah berjaya mencapai dua matlamat sekali gus. Mengukuhkan semula kedudukannya dalam UMNO dan Kerajaan dan menumpaskan pelan Anwar. Sekali imbas, itulah natijah positifnya.

Adakah PAS bersedia berbuat demikian? Katakan PAS bersedia. PAS menyertai kerajaan Abdullah sebelum Oktober. Ia adalah satu lumba lari, telah kita sebutkan tadi. Date linenya berkisar September dan Oktober. Satu dari cara untuk memudahkan PAS menerima cadangan bersama Abdullah,ialah ISA.

Dalam konteks ini, kenyataan pemimpin tertentu tadi perlu diperhitungkan.

Namun, siapakah yang boleh menjamin dinamisma politik Malaysia terhenti setakat itu?

Adakah Muhyidin dan Ku Li yang kita andaikan tewas itu akan berdiam diri selepas pelan perubahan menerusi UMNO ternyata tertutup? Jika mereka bergabung dengan Anwar selepas Disember, bagaimana kedudukan kerajaan Abdullah-PAS?

Adakah semua ahli Parlimen PAS akan menyertai kerajaan Abdullah-PAS atau setengahnya kekal dengan gagasan Pakatan Rakyat? Berapa yang kekal dan berapa yang beralih? Perlu diingat bahawa Muktamar PAS yang terkini meluluskan usul sebulat suara untuk memperkasakan Pakatan Rakyat. Majlis Syura PAS, seperti disebut oleh anggotanya, Ketua Dewan Ulama' PAS Pusat dalam temuramah bersama Harakah, tidak mengizinkan kerajaan campuran bersama UMNO.

Jika yang kekal dengan Pakatan Rakyat adalah separuh, tidakkah nanti kumpulan UMNO yang akan bergabung dengan Anwar boleh mencukupi apa yang hilang? Adakah Ahli Parlimen Sabah dan Sarawak yang kini bersetuju bersama Anwar akan lebih ghairah bersama Anwar dengan adanya PAS dalam BN? Adakah desas desus bahawa MCA juga secara senyap-senyap memperhitungkan untuk keluar dari BN dan akan menyebabkan Kerajaan Abdullah-PAS tidak dapat bertahan lama?

Jika peluang Muhyidin untuk menjadi Timbalan Perdana Menteri ada bersama Anwar dan tidak melalui UMNO, apa yang menghalang Muhyidin bersama orangnya untuk menyertai Anwar?

Jika Anwar sudah mempunyai 30 Ahli Parlimen BN untuk menyeberang, Anwar hanya perlukan Muhyidin membawa sekitar sebelas orang sahaja lagi untuk menggantikan separuh ahli Parlimen PAS yang menyertai Abdullah. Bahkan sebahagian dari separuh itu boleh balik semula ke pangkuan Pakatan Rakyat.

Jika dinamisma-dinamisma ini mengambil tempat, kerajaan Abdullah-PAS akan menjadi yang terpendek dalam sejarah.

Saya tak mau parti saya berakhir menjadi Pembangkang bersama Abdullah! Janganlah kerana Abdullah, kita mempersiakan harapan jutaan rakyat Malaysia untuk satu peluang perubahan politik Malaysia.

Sekalipun ada mana-mana pihak teringin merapatkan PAS dengan Abdullah, tunggulah langit menjadi lebih cerah. Selepas Monsoon Timur Laut berlalu, Insya Allah langit politik Malaysia akan menjadi lebih terang.....

edyes wrote:

PAS for ALL ! All For PAS !

2 comments:

Anonymous said...

ini bukan lagi satu perlumbaan tapi satu perjudian!

Anonymous said...

kalau perjudian aku mmg tak setuju sbb yg menang bersorak dan yg kalah tergadai....kalau boleh dua2 menang dlm politik malaysia hari nie.