Tanggal 16 September kian mengamit. Segala persoalan bakal terjawab tidak lama lagi. Setelah sekian lama menanti, inilah saatnya yang paling ditunggu-tunggu. Seluruh rakyat Malaysia yang mahukan perubahan, kini seolah-olah tidak boleh tidur lena gara-gara menantikan detik 16 September itu. Ramai yang takut dan gusar, apakah misi itu akan tercapai atau tidak. Mereka khuatir kerajaan pimpinan Pak Lah bakal melakukan sesuatu yang diluar dugaan gara-gara "fobia" dengan tarikh itu. Mungkinkah "darurat" bakal berlaku? Inilah yang sedang bermain difikiran kebanyakan orang. Semua ini tidak mustahil, jika Pak Lah melihat masa depan mereka semakin kritikal. Apatah lagi orang-orang seperti Najib, Hamid Albar, Khairy dan lain-lain pahlawan UMNO yang selama ini begitu lantang mencaci dan menghina Anwar.
Lihat sahaja apa yang berlaku di Permatang Pauh baru-baru ini. Habis diri Anwar "ditelanjangkan" secukup-cukupnya. Tidak cukup dengan isu "liwat Saiful", kemudian diikuti pula dengan berbagai isu rasuah yang kononnya berlaku ketika Anwar berada dalam kerajaan. Dari RM60 juta hinggalah ke RM15 Bilion nilai yang diwar-warkan. Takut dengan bayang sendiri, akhirnya Ezam dan Nallakarupan digunakan untuk itu. Sungguh malang nasib kedua-dua "pahlawan" itu, pabila nasib mereka kini "umpama melukut ditepi gantang" dan "habis madu sepah dibuang". Ini kerana, gara-gara merekalah Anwar akhirnya menang dengan majoriti besar baru-baru ini. Ezam dan Nalla ternyata gagal melaksanakan tugas yang diamanahkan kepada mereka. Apakah kedua-dua "mangkuk hayun" ini akan diberi ruang lagi untuk "menempelkan" diri mereka selepas misi membenamkan Anwar gagal?. Apa yang pasti, Ezam kini "kepanasan", mandi tak basah tidur pun tak lena. Segalanya sudah terjawab, walau apa jua keadaan sekalipun mereka menyerang tetapi rakyat adalah hakim negara!. Terbukti kini Anwar semakin diterima dan kini beliau menjadi Ahli Parlimen dan Ketua Pembangkang yang sah di Dewan Rakyat.
Berita hangat dan paling sensasi yang sedang dinantikan kini ialah apakah tarikh 16 September bakal menjadi kenyataan. Benarkah Pakatan Rakyat kini bakal menambah lebih 40 kerusi parlimen untuk membentuk kerajaan baru? Semua ini senantiasa bermain di kepala rakyat Malaysia. Apa yang pasti tanda-tanda ianya bakal menjadi kenyataan nampak semakin positif. Biarpun puak-puak UMNO dan BN menafikan omongan Anwar selama in. Bahkan ada sesetengah pemimpin mereka yang percaya semua ini tidak akan terjadi dan Anwar hanya berangan-angan semata-mata.
Dalam pada itu, ada juga pemimpin UMNO yang sudah mula "gelisah" dan "tidak duduk diam" sekarang ini. Orang-orang seperti Pak Lah dan Najib nampaknya semakin "gemuruh" dibuatnya. Mantan PM Mahathir awal-awal lagi sudah menyatakan akan lari ke luar negara jika Anwar menjadi Perdana Menteri. Bahkan kini, Mahathir telah mendesak orang-orangnya untuk menggasak Pak Lah secara lebih agreasif. Tekanan dibuat supaya Pak Lah menyerahkan kuasa kepada Najib sekarang. Alasan yang diberikan oleh Mahathir, tahun 2010 terlalu "lewat" untuk memulihkan maruah dan mengembalikan sokongan rakyat kepada UMNO/BN. Tambahan pula 2010 terlalu hampir dengan pilihanraya umum ke-13 yang dijangkan akan diadakan seawal tahun 2012 nanti. Desakan Mahathir ini jelas sekali membebankan kepala otak Pak Lah. Tekanan yang diterima dari dalam dan luar ini amat memeritkan. Mungkin juga perkara ini menyebabkan Pak Lah semakin takut berhadapan dengan segala kemungkinan akan datang. Lantaran itulah, sejak Anwar menang berbagai kebajikan ditaburkan untuk rakyat. Bajet 2009 lalu yang bertemakan "kerajaan prihatin" jelas sekali membuktikan Pak Lah semakin terdesak.
Isu minyak yang dimainkan oleh Anwar selama ini juga semakin menjerat dirinya. Biarpun sebelum ini kenyataan Anwar ditolak bulat-bulat, terutamannya tentang persoalan minyak naik dan minyak turun. Ini jelas dapat dilihat semasa "Debat Anwar-Shabery" baru-baru ini. Sekarang terbukti bahawa minyak boleh diturunkan jika pasaran minyak global turun. Mengapa selama ini kerajaan berdolak dalih?. Bukankah ini satu penipuan yang nyata sebenarnya. Rakyat ditipu selama ini. Namun kini ternyata "power" Anwar semakin terserlah. Kembalinya ke parlimen maka minyak telah diturunkan sebanyak RM0.15, dan bakal turun lagi menjelang Hari Raya Aidil Fitri tidak lama lagi. Kenyataan ini telah diwar-warkan di media arus perdana. Apakah ini petanda yang riwayat UMNO/BN bakal berakhir dalam masa terdekat ini?
Nampak benar kini Pak Lah begitu gusar akan tarikh 16 September. Ini terbukti, bila beliau berkali-kali mahukan ahli parlimen dari Sabah dan Sarawak berjanji malahan membuat akujanji taat setia kepada kerajaan BN pimpinannya. Sudah dua kali akujanji ditandatangani, namun Pak Lah tetap tidak berpuas hati. Tambahan pula dalam pertemuan dengan ahli parlimen BN Sabah dan Sarawak di parlimen baru-baru ini, hanya separuh dari mereka yang menandatangi surat akujanji itu. Selebihnya masih menjadi tanda tanya. Geli benar mendengar kenyataan TPM Najib, bahawa ahli parlimen terbabit sebenarnya setia kepada BN cuma mereka menyatakan menerusi SMS dan panggilan telefon kepada beliau. Malang sungguh nasib Najib Razak kali ini, akujanji yang diharapkan tapi beliau boleh merima pula SMS dan panggilan. Kononnya Najib berkata, beliau memahami hati setiap ahli parlimen terbabit. Ini jelas menunjukkan kedangkalan TPM Najib sebenarnya. Sejak bila pula beliau boleh menjadi "bomoh" untuk menilik hati orang agaknya? Apa yang menarik juga ialah, Pak Lah terpaksa membuat lawatan tergempar ke Sabah baru-baru ini dan mengarahkan projek pembangunan dijalankan segera. Walhal, beliau sendiri mendengar kenyataan beberapa ahli parlimen disana yang peruntukkan RM3 bilion yang diberikan kepada negeri Sabah sebenarnya terlalu kecil dan langsung tidak mencukupi.
Lantaran itulah Pak Lah terpaksa merayu dan menagih simpati agar jangka hayatnya sebagai Perdana Menteri diselamatkan. Beliau tahu, jika kuasanya hilang! bukan sahaja dirinya akan susah malahan anak beranak serta menantunya juga akan turut menerima padah. Apa yang jelas, menantu kesayangannya Khairy kini menikus tanpa sebarang kabar berita. Baru beliau tahu "langit tinggi atau rendah". Baru beliau tahu, siapa Anwar sebenarnya. Apakah Khairy juga akan turut melompat. Yang pasti, Pak Lah dalam bahaya kini. Ahli Parlimen BN Sabah dan Sarawak bakal menghukum beliau akibat layanan serta pengagihan kekayaan yang tidak sama rata selama ini. Tiada apa yang boleh beliau lakukan lagi. Gelombang perubahan semakin jelas terasa. Pak Lah bukan sahaja harus berhadapan dengan kenyataan, malahan juga harus menerima takdir ini. Beliau sepatutnya mengikut jejak PM Jepun yang lebih rela meletakkan jawatannya baru-baru ini. Apakah Pak Lah ingin mengikut PM Samak di Thailand, yang kini mendapat desakan kuat dari seluruh rakyat agar beliau meletakkan jawatannya? Apakah ini yang Pak Lah mahukan?
Terkini, ternyata laporan terkini menyatakan lebih dari 40 orang ahli parlimen BN bakal serta Pakatan Rakyat. Bahkan khabarnya ada ahli parlimen yang sudah tidak sabar-sabar lagi untuk membuat pengumuman hari ini, namun ianya dihalang oleh Anwar. Pengumuman akan dibuat serentak supaya ia lebih berkesan dan Pak Lah tidak sempat untuk membongkarkan segala kesalahan ahli parlimen terbabit. Jika tidak, samalah dengan apa yang berlaki kepada Yong Teck Lee dalam kes SAPP di Sabah dulu. Tiba-tiba rasuah RM5 juta dibongkarkan setelah dua ahli parlimen SAPP menyatakan sudah hilang kepercayaan kepada Pak Lah, dan akan menyokong usul undi tidak percaya di Parlimen. Namun akhirnya Pak Lah diselematkan juga oleh Yang Dipertua Dewan Rakyat, Pendikar Amin Tak Mulia itu. Jika tidak, sudah pasti awal-awal lagi Pak Lah sudah dihumbankan dari kerusi empuknya itu.
Sesungguhnya, senario yang berlaku ini jelas sekali amat bermakna buat seluruh rakyat. Tarikh keramat 16 September yang merupakan "pembentukan Malaysia" juga telah dicadangkan sebagai "cuti umum" oleh Anwar. Langkah ini mendapat sokongan daripada pemimpin Pakatan Rakyat. Justeru itu Sabah dan Sarawak sepatutnya lebih gembira dengan semua ini. Selama ini mereka terpaksa merayakan "Hari Kemerdekaan" yang dikira dari tarik 31 Ogos 1957. Walhal mereka menyertai Malaysia pada 16 September 1963 sebenarnya. Justeru itu, adalah menjadi kewajaran untuk tarikh 16 September dijadikan cuti umum dan hari bersejarah untuk rakyat Sabah dan Sarawak. Apa yang pelik ialah selama ini, UMN/BN telah memesongkan minda rakyat disana kononnya mereka turut sama menikmati nikmat kemerdekaan tanggal 31 Ogos 1957. Lantaran itulah juga, bila Anwar mengumumkan 16 September sebagai cuti umum maka Pak Lah begitu teruja dan takut. Kerana ia sememangnya boleh mendorong ahli parlimen Sabah dan Sarawak menyokong Anwar, kerana mereka tahu Anwar adalah pemimpin sebenar yang dapat membela dan menyatu-padukan rakyat Sabah Sarawak dengan Semenanjung Malaysia.
Akhirkalam, sama-samalah kita nantikan detik 16 September 2008 ini dengan penuh semangat dan kebanggaan. satu sejarah baru bakal tercatit bahawa UMNO/BN bakal menamatkan riwayatnya setelah lebih 51 tahun memerintah negara ini. Demokrasi kian hancur dan hilang terus. Rakyat dinafikan hak. Siapa yang menentang kerajaan akan dianggap penderhaka biarpun terbukti kebenarannya. Pemimpin yang berkuasa bebas dan selamat dari undang-undang. Sistem kehakiman dan polis diperalatkan sewenang-wenangnya. rakyat dibebankan dengan berbagai penipuan serta penyelewengan. Rakyat terpaksa menanggung hutang yang dibuat oleh pemimpin kerajaan. Mereka bebas merompak segala khazanah dan wang rakyat. Maka itulah kita mahu perubahan demi keadilan seluruh rakyat. Marilah kita berdoa agak segala perancangan ini bakal terlaksana jua akhirnya. Sememangnya apa yang dilakukan oleh Pak Lah dalam menangani hati rakyat kini sudah "terlewat" sebenarnya.
[Sejarah tercipta 16 September juga bersamaan 16 Ramadhan, mungkinkah ini secara kebetulan atau ditakdirkan. Selamat berpuasa di bulan Ramadhan buat semua muslimin dan muslimat yang dihromati sekalian. Terima kasih kerana terus memberi sokongan kepada blog ini. Semua pengunjung terutamanya warga Pahang adalah dijemput singgah ke blog terbaru cucumatkilau www.pahangdaily.blogspot.com yang lebih panas dan sensasi].
EDYES WROTE:
ARTIKEL INI DICILOK DARI CUCU MAT KILAU. HAK CIPTA TAK TERPELIHARA, BIASA LAH.
No comments:
Post a Comment