Tuesday, April 29, 2008

Rentetan Mutakhir : Kes ugut Karpal

TERKINI : Kenyataan Dari PAS Negeri Johor

PAS Negeri Johor ingin membuat kenyataan berkaitan dengan isu "darah YB Karpal Singh halal dibunuh" yang disiarkan oleh akhbar Sin Chew Daily dan The STAR keluaran Sabtu, 26 April, 2008 serta kenyataan Sdr. Norman Fernandez, Naib Pengerusi DAP Negeri Johor.

1. Kenyataan tersebut bukanlah merupakan kenyataan atau pendirian PAS Johor Bahru ataupun PAS Negeri Johor. Kenyataan tersebut adalah sebenarnya pandangan atau komen pembaca laman web yang bernama "Alif" di siarkan dalam ruangan interaksi "Shoutbox" laman web PAS Johor Bahru. PAS tidak mengenali siapakah Alif dan juga identiti dirinya.

2. PAS Negeri Johor menyarankan kepada wartawan atau pemberita supaya membuat rujukan terlebih dahulu dengan kepimpinan PAS Johor terutamanya Prof. Dato' Dr. Mahfudz Mohammad, Pesuruhjaya PAS Negeri Johor sebelum membuat sebarangan ulasan di dalam akhbar. Ini bagi mengelakkan daripada berlakunya salah faham ke atas ulasan yang diterbitkan nanti.

3. Isu memohon maaf tidak timbul sama sekali kerana kenyataan tersebut bukanlah merupakan kenyataan atau pendirian rasmi PAS Negeri Johor.

4. Bagi kebaikan bersama, PAS Negeri Johor telah mengarahkan penyelia laman web PAS Johor Bahru supaya memadamkan kandungan kenyataan tersebut di dalam ruang shoutbox website PAS Johor Bahru di samping PAS Johor Bahru membuat komitment untuk menapis terlebih dahulu komen-komen yang diterima sebelum disiarkan dalam laman web.

5. PAS Johor Bahru telah membuat kenyataan maaf kepada DAP diatas apa yang telah berlaku yang juga disiarkan dalam laman web tersebut.

Sekian, terima kasih.

Prof. Dato' Dr. Mahfudz Mohammad
Pesuruhjaya PAS Negeri Johor

Sumber : BADAN PERHUBUNGAN PAS NEGERI JOHOR

Berita Dari Laman PAS Johor Bahru

Isu Karpal dan Ugutan Akan Selesai...

Alhamdulillah, semalam beberapa orang pimpinan kawasan PASJB telah menemani pelajar kolej dan bapanya untuk berjumpa dan berunding dengan Sdr Norman Fernandez dari DAP Johor berhubung laporan kes polis yang bersabit ugutan 'bunuh' kepada Pengerusi DAP Nasional YB Karpal Singh.

Perjumpaan kami dengan wakil dari DAP ini berjalan dengan baik memandangkan kami diperingkat kawasan sudah lama kenal mengenal dan saling berhubungan dalam urusan setinggan dan peniaga sekitar Johor Bahru yang memerlukan bantuan guaman dari beliau.

Sebelum itu pelajar kolej tersebut dengan ditemani bapanya telah menyerah diri kepada Balai Polis Central Johor Bahru dan disoal siasat dengan diambil keterangan selama beberapa jam oleh pegawai penyiasat polis berhubung laporan polis yang telah dibuat oleh YB Karpal Singh di Balai Polis Pulau Tikus, Pulau Pinang.

Dalam pada itu, Ketua Bahagian Siasatan Jenayah negeri, Senior Asisten Komisioner II, Amer Awal berkata, polis sedang menyiasat perkara itu mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan.

Selepas itu sekitar jam 3:15 petang beliau dihantar oleh 2 orang pegawai polis untuk menemui pimpinan PAS Kawasan Johor Bahru dan Sdr Norman Fernandez dari DAP untuk menyerahkan surat permohonan maaf dan menyesali perbuatan dan masalah yang ditimbulkan olehnya.

"Pelajar itu juga berjanji untuk tidak menghantar mesej sedemikian rupa ke sebarang peti mesej (shoutbox) dan pelajar itu juga merayu agar YB Karpal menarik balik laporan polis yang telah dibuat.

Sdr Norman Fernadez akhirnya bersedia untuk menolong dan berjanji akan mengajukan surat permohonan maaf tersebut kepada YB Karpal secepat mungkin dan menasihatkan pelajar kolej tersebut tidak mengulangi perbuatan 'nakal' itu dan seumpamanya.

Alhamdulillah Pakatan Rakyat peringkat negeri Johor tidak bermasalah dengan perkara ini dan sentiasa berbincang supaya agenda utama kita untuk mendaulatkan negara dan rakyat dengan kebajikan akan terlaksana menjelang PRU yang ke-13.

Alhamdulillah Pakatan Rakyat peringkat negeri Johor tidak bermasalah dengan perkara ini dan sentiasa berbincang supaya agenda utama kita untuk mendaulatkan negara dan rakyat dengan kebajikan akan terlaksana menjelang PRU yang ke-13.


Berita Penafian

Pemuda PAS nafi terlibat kes ugut Karpal
Oleh : Malaysiakini

Apr 29, 08 11:37am
Ketua Pemuda PAS Johor menafikan beliau turut mengiringi seorang pelajar menyerah diri ke balai polis semalam berhubung isu ugutan bunuh terhadap pengerusi DAP Karpal Singh

Dalam kenyataannya kepada Malaysiakini, Khairul Faizi Ahmad Kamil berkata beliau dalam perjalanan ke Kuala Lumpur dari Kluang pada jam 1 tengah hari sewaktu pelajar itu dilaporkan berbuat demikian.

"Saya tidak faham bagaimana saya telah dikaitkan dalam perkara ini bersama-sama dengan pemuda-pemuda PAS Johor," katanya hari ini.

Menurut agensi berita Bernama, yang dipetik Malaysiakini malam tadi, pelajar kolej berumur 19 tahun itu menyerah diri kepada polis berhubung dakwaan menghasut bagi pembunuhan ahli parlimen Bukit Gelugor dalam laman web PAS Johor.

Beliau yang dilaporkan diiringi bapanya dan empat anggota Pemuda PAS negeri yang diketuai Khairul Faizi tiba di ibu balai polis Johor Bahru selatan pada pukul 1 tengah hari.

Selepas keterangannya direkodkan oleh polis, lapor agensi berita itu lagi, pelajar itu pergi ke pejabat naib pengerusi DAP Johor Norman Fernandez pada 4 petang.

edyes wrote :

Walau apapun tuduhan dan tohmahan, kita harus meneliti akan kesahihannya sebelum membuat sebarang rumusan.


Berita Terdahulu

Seorang pelajar kolej berumur 19 tahun hari ini menyerah diri kepada polis berhubung dakwaan menghasut bagi pembunuhan pengerusi DAP Karpal Singh dalam lamanweb PAS Johor.

Diiringi bapanya dan empat ahli Pemuda PAS Johor yang diketuai pemimpinnya Khairul Faizi Ahmad Kamil, pelajar lelaki itu tiba di ibu balai polis Johor Baharu selatan pada jam 1 tengah hari.

Menurut Bernama, selepas keterangannya direkodkan oleh polis, pelajar itu pergi ke pejabat naib pengerusi DAP Johor Norman Fernandez pada jam 4 petang.

“Semasa di pejabat saya, beliau menulis surat memohon maaf dan menyatakan rasa kesal kepada Karpal kerana memuatkan komen itu dalam lamanweb itu.

“Pelajar itu juga berjanji tidak akan memuatkan mesej seumpama itu lagi di masa depan," kata Fernandez.

Fernandez juga berkata pelajar itu, yang namanya dirahsiakan, berharap Karpal akan memaafkannya dan menarik balik laporan polis yang dibuat terhadapnya.

Katanya DAP Johor akan bertemu Karpal esok untuk menyampaikan surat itu.kepada Karpal untuk membuat keputusan mengenai perkara itu," katanya.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Johor, SAC II Amer Awal semasa dihubungi berkata polis akan menyiasat kes itu mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan bagi ugutan jenayah.

Polis juga dijangka merekodkan kenyataan daripada beberapa orang lagi.

Dalam laporan polis Sabtu lalu di Pulau Pinang, Karpal mendakwa komen pengulas yang dikenali sebagai "Alif" dalam lamanweb PAS, berbaur ugutan bunuh.

Katanya komen itu mendakwa beliau (Karpal) telah menghina Islam dan “darahnya halal dibunuh.”

No comments: