Monday, April 7, 2008

PAS Tunjang Pakatan Rakyat?


PAS Tunjang Pakatan Rakyat?

Posted on Monday, April 07 @ 08:33:09

Oleh Azzam

Menurut laporan, Dato' Ahmad Yaakob, TMB Kelantan mengeluarkan kenyataan bahawa PAS perlu menjadi tunjang kepada Pakatan Rakyat supaya agenda Negara Islam dapat diteruskan. Kemudian kenyataan ini disokong oleh Pemuda Terengganu, Kedah dan Kelantan. Saya tidak mengetahui konteks ucapan Ust Ahmad Yaakob. Tetapi pada hemat saya, sekiranya kenyataan itu dibuat secara terbuka kepada wartawan dan tepat seperti dilaporkan, saya rasa kenyataan tersebut agak premature. Sokongan dibuat oleh pemuda juga agak premature.

Saya bukanlah terlibat secara langsung dalam politik, tetapi dengan sedikit lawatan dan dialog di Perak baru-baru ini, kita memahami bahawa sikap, tindakan dan akhlak yang kita tunjukkan semasa pemerintahan di negeri-negeri terbabit adalah lebih utama dari retorik negara Islam tersebut. Selain Kelantan, kita masih belum dapat buktikan keikhlasan, komitmen, akhlak kita dalam pemerintahan. Kita juga mengakui bahawa kemenangan kita tempohari bukanlah satu endorsement kepada negara Islam secara total, sebaliknya hanyalah kemahuan rakyat kepada satu kerajaan yang adil, bebas rasuah, berkebajikan dan transparen.

Kes di Perak wajar utuk dijadikan iktibar bagi pejuang Islam dalam sistem demokrasi khususnya golongan muda. Walaupun kita cuma menang enam kerusi, PKR tujuh dan DAP 18, kita dianugerahkan Allah sebagai MB. Kita tidak perlu mengatakan bahawa kita sebagai tunjang kepada Pakatan Rakyat di Perak kerana kita adalah sebahagian dari penyumbang kepada perubahan tersebut sahaja. Tetapi sebaliknya sekiranya kita mendakwa sebagai tunjang, saya yakin 100% bahawa MB bukannya dari orang PAS kerana kelihatan kita tamak untuk menjadi 'tunjang' tersebut. Kita melihat, khususnya di Perak, apa yang ditunjukkan oleh pimpinan di sana sangat cemerlang berbanding dengan retorik kosong siapa menjadi 'tunjang' ini.

Ust Ahmad Awang khususnya sebagai Pesuruhjaya di Perak telah menunjukkan contoh tauladan yang sangat baik. Beliau tidak bertanding dalam pilihanraya ke 12 lepas. Kerusi beliau telah diberikan kepada PKR iaitu Bagan Serai. Dan beliau bekerja bersungguh-sungguh menunjukkan keikhlasan beliau dan PAS dalam membantu perubahan rakyat ini. Kerana kesunguhan dan keikhlasan ini, seolah-olah beliau yang menjadi pemimpin pakatan rakyat walaupun tidak pernah disebut begitu. Kebolehan beliau memimpin, kebolehan memahami suasana, boleh berbahasa inggeris, boleh bertolak ansur dalam perkara dibenarkan agama dan kadang-kadang boleh buat kelakar masa perbincangan serius membuatkan beliau sangat dihormati bukan sahaja oleh pemimpin PKR tetapi juga DAP.

Bahkan sebelum DAP mengenali siapa Mohd Nizar, DAP sudah menerima segala keputusan yang dibuat oleh Ust Ahmad Awang kerana sifat-sifat tersebut. Bahkan kita juga dimaklumkan bahawa DAP menganggap Ust Ahmad Awang sebagai tok guru di Perak dan mereka mencium tangan tok guru ini. Itu sebelum mereka mengenali Mohd Nizar. Dan Mohd Nizar adalah orang ke lima dalam hiraki PAS Perak. Orang kedua, ketiga dan keempat juga mempunyai kebolehan masing-masing. Apa yang ditunjukkan oleh orang kelima Mohd Nizar adalah sangat cemerlang. Kualiti kepimpinan yang ada pada beliau menyebabkan semua orang merasai beliau layak untuk menjadi MB. Bahkan Lim Kit Siang sendiri tidak pernah mempertikaikan kelayakan Mohd Nizar sebagai MB. Lim cuma mempertikaikan MB daripada PAS. Kemudian beliau mengakui bahawa Mohd Nizar layak secara meritokrasi yang DAP perjuangkan selama ini.

Mohd Nizar dan PAS Perak tidak perlu meminta-minta atau berkempen untuk menjadi 'tunjang'. Itulah hakikatnya, bahawa kita diiktraf sebagai tunjang walaupun tidak perlu diucap. Bagaimana kita mahu menjadi 'tunjang' sekiranya kita gagal menyediakan pemimpin berkualiti di kalangan pemuda seperti yang ditunjukkan oleh PAS Perak. Dengan kita cuma ada 23 kerusi sahaja di Dewan Rakyat, saya bimbang keikhlasan kita nak menjadi 'tunjang' akan dilihat sebagai tamakkan kuasa sahaja. Ini adalah satu yang sangat premature.

Namun begitu, saya menaruh sangka baik kepada pimpinan bahawa konteks ucapan mereka adalah satu persediaan dalaman bagi anggota harakah supaya terus bekerja dan kita kelak akan diiktiraf dengan sendiri sebagai tunjang, tanpa kita membuat permohonan untuk itu. Pimpinan pemuda seharusnya menyambut saranan Ust Ahmad Yaakob dengan menyediakan barisan pemuda yang sanggup bekerja untuk kemenangan Pakatan Rakyat seperti yng ditunjukkan oleh Pemuda selangor.

Saya juga percaya damage control yang dilakukan oleh TG Nik Aziz dalam hal menjemput Karpal Singh ke Kelantan insya Allah memberikan kebaikan kepada Islam dan PAS. Sekian.
Azzam
edyes wrote :
Artikel yang sangat baik dari seorang pejuang PAS. Even orang PAS sendiri akui bahawa mereka bukanlah tunjang dalam komposisi Pakatan Rakyat. Keputusan PRU12 tempohari menunjukkan bahawa rakyat mahukan keadilan saksama, perubahan pentadbiran dan lebih kebajikan kepada rakyat, bukanlah satu endorsement kepada negara Islam secara total.
>
Namun begitu, kita bukanlah menolak Islam. Islam itu universal. Islam itu menyeluruh. Islam di mana-mana dalam kehidupan kita jadi tiada sebab kita menolak Islam malah mengagongkannya.
>
wallahualam.

No comments: