Tuesday, April 8, 2008

PAS menafikan menjadi "tunjang" Pakatan Rakyat

PAS menafikan ia mahu menjadi "tunjang" Pakatan Rakyat seperti digembar-gemburkan media sehingga mengundang reaksi negatif pemimpin-pemimpin DAP.

Timbalan menteri besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob - yang dilaporkan memulakan kenyataan kontroversi itu minggu lalu - berkata beliau tidak bermaksud memaksa DAP dan PKR menerima PAS sebagai teras utama pakatan yang baru diumumkan.

"Pakatan itu masih lagi di peringkat awal yang dipersetujui semua parti pembangkang termasuk PAS, PKR dan DAP. Jadi soal siapa yang perlu mengetuai pakatan itu belum diputuskan.

"Sesiapa pun boleh mengetuai pakatan tersebut apabila ia dipersetujui semua ahli dalam pakatan yang dibentuk," katanya hari ini seperti dilaporkan Harakahdaily.net.

Pakatan, nama awal yang masih di peringkat cadangan, diumumkan 1 April lalu kini menunggu keputusan muktamad daripada setiap satu daripada tiga parti pembangkang itu.

Keputusan menubuhkannya dibuat dalam satu perjumpaan awal minggu lepas yang dihadiri ketua umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim, presiden PKR Dr Wan Azizah Ismail, presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan tokoh utama DAP Lim Kit Siang.

Ahmad melahirkan rasa kesal pada laporan-laporan media yang dianggapnya "menyimpang daripada kenyataan asalnya" mengenai isu tersebut.

Memetik Ahmad, agensi berita Bernama pada 2 April melaporkan "PAS wajar menjadi tunjang kepada pakatan itu sekiranya ia mahu merealisasikan impian menubuhkan sebuah Negara Islam."

"Memang ideologi PAS, DAP dan PKR tidak sama, tetapi kita yakin masih ada ruang yang mampu mewujudkan persefahaman bagi memastikan Pakatan Rakyat ini dapat dilaksanakan," beliau dipetik sebagai berkata.

"Tiada halangan untuk PAS wujudkan kerajaan Islam kerana Islam tidak akan mengabaikan mana-mana pihak, apa yang penting ialah kita saling memahami dan sekali gus menjadikan Pakatan Rakyat sebagai alternatif kepada BN."

Menurut media rasmi PAS lagi, kenyataan pemimpin parti itu ditulis mengikut "persepsi wartawan sendiri" dan bukannya menulis apa yang disampaikannya.

Ahmad dilaporkan berkata kenyataannya tidak pernah menyebut soal negara Islam seperti dilaporkan.

Tambahnya, beliau sebenarnya mahu memberi masa kepada mana-mana pihak dalam Pakatan Rakyat memahami mengenai konsep pentadbiran berteraskan Islam yang dilaksanakan di Kelantan sejak lebih 18 tahun.

"Tidak dinafikan kita memerlukan masa untuk memberi kefahaman kepada semua pihak mengenai konsep pentadbiran Islam yang dibawa PAS.

"Buat masa ini biarlah semua ahli dalam pakatan faham sebelum sesuatu itu dilaksanakan. Ini kerana pakatan yang dibentuk dilihat sudah diterima rakyat," beliau, yang juga timbalan pesuruhjaya PAS negeri, dilaporkan berkata.

Sementara itu pengerusi DAP Karpal Singh hari ini menafikan beliau memperkeci-kecilkan usaha Kelantan melaksanakan pentadbiran Islam seperti dituduh menteri besar Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat semalam, lapor Bernama.

Sambil menyifatkan kenyataan Nik Abdul Aziz "mengelirukan", Karpal berkata dalam satu kenyataan: "Saya tidak pernah, pada bila-bila masa pun, memperkecil-kecilkan Islam.

"Kami tidak berbalah dengan PAS melainkan berhubung ideologi asas parti itu untuk menjadikan Malaysia sebuah negara Islam dan memperkenalkan undang-undang hudud."

Mursyidul am PAS itu dilaporkan mengkritik ahli parlimen Bukit Gelugor setelah menyatakan parti itu tidak seharusnya bermimpi untuk menjadi tunjang Pakatan Rakyat yang dicadangkan itu dan mewujudkan sebuah negara Islam.

Nik Abdul Aziz juga menyifatkan kenyataan DAP itu sebagai memperkecil-kecilkan usaha Kelantan untuk mempromosikan Islam.

edyes wrote :

ok, case close. penafian telah di buat oleh PAS dan DAP. Terbuktilah bahawa isu-isu yang berbangkit ini adalah semata-mata permainan media arus perdana dan bertujuan untuk mengalihkan perhatian.
>
Diharap perkara sebegini akan di ambil iktibar dan kita di semua peringkat tidak kiralah sebagai rakyat atau pemimpin, jangan terlalu cepat melatah. Di mana ada kesepakatan, di situ ada jalan penyelesaian...

No comments: