Thursday, April 24, 2008

Anwar yakin tubuh kerajaan sebelum 16 Sept.


KOTA KINABALU 23 April - Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa pakatan pembangkang akan dapat menubuhkan Kerajaan Persekutuan yang baru sebelum sambutan Hari Malaysia pada 16 September ini.

Menurutnya, pakatan tersebut tidak perlu tergesa-gesa untuk memikirkan mengenai perkara itu kerana keutamaan kini ialah terhadap program penjelasan agenda dan hala tuju mereka.

''Sekarang kita biarkan Parlimen bersidang seperti biasa, kita tidak perlu tergesa-gesa kerana tidak ada sebab untuk kita tergesa-gesa kerana saya yakin dengan izin Allah, kami akan berada di sana (sebagai kerajaan).

''Kalau tidak bulan depan, mungkin bulan seterusnya, mungkin Mei, Jun, Julai, sambutan merdeka atau sambutan Hari Malaysia. Saya jangka kita tidak akan melepasi tarikh itu," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita sejurus tiba di Kota Kinabalu bagi lawatan dua hari ke Sabah. Malam ini beliau akan memberi ceramah di Dewan Persatuan Kebudayaan Kadazandusun di Penampang dekat sini.

Anwar memberitahu, antara agenda pakatan pembangkang yang akan dijelaskan ialah mengenai royalti minyak yang perlu dinaikkan kepada 20 peratus bagi Sabah, Sarawak dan Terengganu memandangkan semua negeri tersebut kebetulan merupakan negeri termiskin.

Katanya, isu lain yang akan dibangkitkan ialah aspek pembelaan masyarakat luar bandar, pendidikan, perumahan rakyat, pinjaman mikro kredit dan masalah pendatang asing tanpa izin.

''Saya amat yakin Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) di Sabah akan menerima penjelasan mengenai agenda kami," katanya sambil menolak desas-desus bahawa beliau akan mengadakan perbincangan bagi menarik Ahli Parlimen Sabah menyertai pembangkang semasa lawatannya.

Beliau sebaliknya secara sinis berkata, perbincangan dengan Ahli Parlimen tersebut boleh diadakan pada bila-bila masa sama ada di Hong Kong, Abu Dhabi atau Singapura.

Anwar turut mendakwa beberapa Ahli Parlimen telah membuat keputusan untuk menyertai pakatan pembangkang cuma tidak menyatakannya secara terbuka kepada umum.

Ditanya mengapa beliau semasa menjawat Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan tidak pernah membangkitkan soal kenaikan royalti minyak kepada Sabah, Anwar berkata, beliau pada masa itu berada di dalam kerangka pentadbiran UMNO dan BN.

Katanya, kerangka pentadbiran yang kini menjadi agenda pakatan pembangkang sama sekali berbeza dengan kerangka kerajaan BN hari ini yang akan memperjuangkan hak dan ketuanan rakyat.

No comments: