Tuesday, November 15, 2011

SAMM Sambut Kehadiran BERSIH 3.0






Kenyataan Terbuka
Solidariti Anak Muda Malaysia(SAMM)
15 Nov 2011

Kerajaan Barisan Nasional terus ditekan supaya membuat pertimbangan serius dalam merealisasikan tuntutan pilihanraya bersih dan adil.

Setakat hari ini, kerajaan melalui agensi SPR dilihat masih tidak membuat apa-apa pendekatan awal untuk baik-pulih sistem pilihanraya terutamanya dalam aspek tuntutan yang tidak memerlukan perubahan akta seperti penggunaan dakwat kekal.

Dalam PRU 2008, pihak SPR telah membeli sejumlah dakwat kekal bernilai RM8juta untuk digunakan dalam pilihanraya tersebut. Malangnya atas desakan kerajaan, SPR telah menarik semula penggunaan dakwat kekal empat hari sebelum PRU-12 walaupun menyedari tindakkan penarikan itu membazirkan RM8 juta wang negara selain menimbulkan keraguan besar. Peristiwa pembatalan penggunaan dakwat kekal di saat-saat akhir itu juga membuktikan SPR mempunyai kuasa untuk membuat keputusan tanpa sebarang perubahan akta di parlimen. Ia diakui sendiri oleh pakar perlembagaan, Aziz Bari.

Dalam perkembangan lain, timbul pelbagai spekulasi negetif terhadap SPR dan JPN dalam isu kewarganegaraan segera untuk membenarkan warga asing mengundi dan juga spekulasi memanjangkan penggunaan undi pos kepada anggota RELA dan penjawat awam selain polis dan tentera. Ini sama sekali bukan satu usaha baik-pulih sistem pilihanraya tetapi melacur sistem pilihanraya demi untuk terus berkuasa. Ia tidak selari dengan usaha merealisasi tuntutan BERSIH 2.0.

Justeru itu, Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) memberi sokongan penuh untuk BERSIH 3.0 sedia dilancarkan bila-bila masa dari sekarang. SAMM melihat pelancaran BERSIH 3.0 adalah demi memastikan BN benar-benar menunaikan janjinya terlebih dahulu sebelum membubarkan parlimen. Tarikh untuk perhimpunan BERSIH 3.0 juga sudah dipilih dan akan diumumkan oleh seketariat BERSIH dalam masa terdekat.

BERSIH 3.0 yang bakal dilancarkan ini juga bertujuan untuk memberi kata dua kepada Perdana Menteri samada lakukan perubahan sistem pilihanraya terlebih dahulu sebelum PRU13 atau berdepan dengan satu lagi perhimpunan protes rakyat terbesar dalam sejarah.

SAMM berpendapat, pengumuman tarikh BERSIH 3.0 akan turut menjadi faktor pemantau perjalanan Jawatankuasa Khas Parlimen (PSC) supaya ia tidak dilengah-lengahkan dengan sengaja di atas muslihat tertentu. Penetapan tarikh BERSIH 3.0 adalah selari dengan peluang yang diberi kepada kerajaan untuk buktikan penambah-baikkan sistem pilihanraya melalui PSC.

Seandainya apabila tiba masanya kerajaan terus berdolak-dalik dalam soal tuntutan BERSIH sebelum ini, BERSIH 3.0 ketika itu sudah bersedia dengan mobilisasi besar dan Kuala Lumpur bakal sekali lagi dipenuhi lautan rakyat tidak kira apa warna kulitnya dan apa jua warna bajunya. SAMM tetap bergerak ke arah mobilisasi BERSIH 3.0 walaupun PSC sedang dalam proses sebagai langkah berjaga-jaga.

Harus diingat, setiap mereka yang turun pada BERSIH 2.0 akan tetap hadir lagi sekali apabila menyedari tiada apa yang boleh menghalang 120 ribu rakyat berhimpun di Kuala Lumpur pada tanggal 9 Julai lalu. Mereka yang tidak sempat hadir pada BERSIH 2.0 juga akan turun bersama apabila menyedari demi demokrasi, tiada apa yang perlu ditakuti apabila hak untuk berhimpun itu wujud dalam perlembagaan.

Berapa ratus ribu yang akan turun dalam BERSIH 3.0 bukan soalnya lagi. Kerana kali ini semua yang hadir turut bersedia untuk dicekup dan ditangkap, memandangkan makanan yang disediakan adalah semewah RM25 sekepala. Pihak berwajib perlu sediakan kem tahanan yang lebih besar untuk BERSIH 3.0 kerana rakyat yang hadir kali ini semuanya lapar... Lapar demokrasi!

SAMM dengan ini, menyatakan tahap sedia bukan sahaja untuk turun berdemonstrasi secara aman, tetapi bersedia untuk ditahan oleh pihak berkuasa dengan syarat, sediakan makan minum secukupnya kerana ramai akan bersama SAMM untuk ditahan dan kemudian dibenarkan makan percuma.

BERSIH 3.0 akan membuka tirainya bila-bila masa dari sekarang. Tarikhnya akan diumum sebagai amaran bagi pihak kerajaan supaya serius melaksana reformasi pilihanraya.

Jangan sekali-kali 'under-estimate' kekuatan rakyat. SAMM bersama ratusan NGO sudah buktikan mobilisasi rakyat kuat di BERSIH 2.0 dan kami tiada masalah untuk buktikannya semula dalam BERSIH 3.0.


Edy Noor Reduan (EDYES)
Pengarah Propaganda SAMM
www.anakmudamalaysia.com

No comments: