Sunday, November 13, 2011

Tahniah PRM di Atas Kongress Nasional ke-43



Kenyataan Terbuka
Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM)
13 November 2011

Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada Parti Rakyat Malaysia (PRM) sempena ulangtahun kelahiran sebuah parti yang berjuang di atas nama rakyat.

Pada tarikh 11 November 56 tahun yang lalu, PRM telah diasaskan oleh seorang aktivis pejuang kemerdekaan iaitu Ahmad Boestamam sejurus selepas beliau dibebaskan dari penjara pada tahun 1955. PRM ditubuhkan dengan nama asalnya Parti Rakyat pada tanggal 11 November 1955.

Mengimbau kembali bagaimana PRM ditubuhkan adalah mengenai sejarah perjuangan Ahmad Boestamam dalam menuntut kemerdekaan negara. Dari seorang penulis dan juga wartawan yang prolifik, Ahmad Boestaman menjadi aktivis kemerdekaan setelah terdedah dengan tekanan penjajah British. Beliau begitu terkenal menerbitkan Testamen Politik Api antaranya yang mengajukan gagasan ‘merdeka dengan darah’. Kerana karya tersebut, beliau dihadapkan ke mahkamah British atas tuduhan menghasut.

Dari semangat melawan penjajah ini lahirlah Angkatan Pemuda Insaf (API), sebuah pertubuhan politik kiri yang bergerak secara radikal. API ditubuhkan pada 17 Februari 1946 di Ipoh oleh Ahmad Boestamam dan beberapa aktivis pejuang kemerdekaan.

API yang pada awalnya merupakan sayap pemuda Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) diharamkan oleh kerajaan British pada 17 Julai 1947 dalam Warta Kerajaan Malaya Union. Tindakan mengharamkan pertubuhan yang berhaluan kiri itu adalah mengikut Ordinan Persatuan, 1947 (Societies Ordinance, 1947). API merupakan pertubuhan politik yang pertama diharamkan oleh British.

Tindakan mengharamkan API didakwa disebabkan kononnya kekacauan yang dilancarkan serta kegiatan-kegiatan golongan kiri adalah dipelopori oleh API. Kerajaan British juga mendakwa asas-asas perjuangan API yang merbahaya kepada British melalui buku Testament Politik API yang ditulis oleh Ahmad Boestamam dan akhirnya beliau dipenjarakan selama 7 tahun dari 1948 hingga 1955.

Walaupun dipenjarakan dalam tempoh yang begitu lama, semangat berjuang Ahmad Boestamam tidak berakhir di sini. Bebasnya dari penjara, Ahmad Boestamam kembali ke kancah politik tanahair dengan menubuhkan Parti Rakyat yang hari ini dikenali sebagai PRM.

Memenangi sebuah kerusi parlimen sebagai pembangkang dalam pilihanraya tahun 1959 menjadikan Ahmad Boestamam sebaris dengan tokoh politik terkenal seperti Dato Onn Jaafar dan menjadi anggota pembangkang yang sangat disegani.

Ahmad Boestamam akhirnya ditangkap buat kali ketiga dalam zaman yang berbeza, kali ini beliau ditangkap oleh kerajaan yang dipilih oleh rakyat sendiri. Beliau masih sebagai ahli parlimen Setapak ketika ditangkap pada tahun 1963 di atas alasan subversif.

Begitulah sejarah perjuangan Ahmad Boestamam sehingga terlahirnya gerakan API dan parti PRM. SAMM sebagai gerakan anak muda radikal sangat mengkagumi ketokohan Ahmad Boestamam. SAMM tidak berselindung untuk menyatakan Ahmad Boestamam sebagai ikon pejuang dan turut menganggap SAMM adalah kelahiran semula Angkatan Pemuda Insaf atau API Muda dalam arena politik masakini. Testimen Politik Api antaranya berbunyi "Keras lawan keras, Api lawan api" menjadi teras semangat perlawanan SAMM dalam menempuh ranjau menumbangkan kerajaan yang menindas rakyat.

PRM hari ini dipimpin oleh seorang wanita yang cukup berkelayakkan. Dr Rohana Ariffin memangku jawatan presiden PRM sejak tahun 2010 dan dilihat bertungkus-lumus mengembalikan wajah PRM sebenar walaupun PRM dikatakan sebuah parti yang sudah berkubur. PRM yang mewarisi perjuangan Ahmad Boestamam masih lagi sebuah parti yang sah dan tidak pernah dibubarkan oleh sesiapa.

Pendaftaran PRM masih kekal sah sebagai parti politik mengikut Pendaftar Pertubuhan dan parti yang berlogo kegagahan seladang itu masih terbuka untuk disokong dan didokong oleh rakyat Malaysia. Tahniah buat Dr Rohana Ariffin yang begitu kental dalam cubaan beliau membawa PRM kembali ke zaman kegemilangannya.

Kongress Nasional PRM ke-43 berlangsung hari ini di ibupejabat PRM di Petaling Jaya Utama. Perasmian Kongress Nasional PRM diwarnai kehadiran Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu dan beberapa ahli parlimen. Ketua penyelaras SAMM Che'GuBard turut dijemput hadir memberi kata alu-aluan.

SAMM juga mengambil peluang untuk mengucapkan tahniah dan selamat berkongress kepada Parti Rakyat Malaysia, antara parti pembangkang terawal yang kekal konsisten sejak 56 tahun yang lalu. Semoga PRM kembali menjadi parti pendokong rakyat yang dipandang tinggi oleh kawan dan lawan.


Edy Noor Reduan (EDYES)
Pengarah Propaganda SAMM
www.anakmudamalaysia.com

No comments: