Thursday, November 10, 2011

BERSIH 3.0

Kerajaan Barisan Nasional terus ditekan supaya membuat pertimbangan serius dalam merealisasikan tuntutan pilihanraya bersih dan adil.

Setakat ini, kerajaan melalui agensi SPR dilihat masih tidak membuat apa-apa pendekatan awal untuk baik-pulih sistem pilihanraya terutamanya dalam aspek tuntutan yang tidak memerlukan perubahan akta seperti penggunaan dakwat kekal.

Malah timbul pelbagai spekulasi negetif terhadap SPR dan JPN dalam isu kewarganegaraan segera untuk membenarkan warga asing mengundi dan juga spekulasi memanjangkan penggunaan undi pos kepada anggota RELA dan penjawat awam selain polis dan tentera. Ini sama sekali bukan satu usaha baik-pulih sistem pilihanraya tetapi melacur sistem pilihanraya demi untuk terus berkuasa. Ia tidak selari dengan usaha merealisasi tuntutan BERSIH 2.0.

Justeru itu, BERSIH 3.0 sedia dilancarkan bila-bila masa dari sekarang demi memastikan BN benar-benar menunaikan janjinya terlebih dahulu sebelum membubarkan parlimen. Tarikhnya sudah dipilih dan akan diumumkan dalam masa terdekat.

BERSIH 3.0 yang bakal dilancarkan ini juga bertujuan untuk memberi kata dua kepada Perdana Menteri samada lakukan perubahan sistem pilihanraya terlebih dahulu sebelum PRU13 atau berdepan dengan satu lagi perhimpunan protes rakyat terbesar dalam sejarah.

BERSIH 3.0 akan turut memantau perjalanan PSC supaya ia tidak dilengah-lengahkan dengan sengaja di atas muslihat tertentu dan penetapan tarikh BERSIH 3.0 selari dengan peluang yang diberi kepada kerajaan untuk buktikan penambah-baikkan sistem pilihanraya melalui PSC.

Seandainya apabila tiba masanya kerajaan terus berdolak-dalik dalam soal tuntutan BERSIH sebelum ini, BERSIH 3.0 ketika itu sudah bersedia dengan mobilisasi besar dan Kuala Lumpur bakal sekali lagi dipenuhi lautan rakyat tidak kira apa warna kulitnya dan apa jua warna bajunya.

Harus diingat, setiap mereka yang turun pada 709 akan tetap hadir lagi sekali apabila menyedari tiada apa yang boleh menghalang 120ribu rakyat berhimpun di Kuala Lumpur pada tanggal 9 Julai lalu. Mereka yang tidak sempat hadir pada BERSIH 2.0 juga akan turun bersama apabila menyedari demi demokrasi, tiada apa yang perlu ditakuti.

Berapa ratus ribu yang akan turun dalam BERSIH 3.0 bukan soalnya lagi. Kerana kali ini semua yang hadir turut bersedia untuk dicekup dan ditangkap, memandangkan makanan yang disediakan adalah RM25 sekepala. Pihak berwajib perlu sediakan kem yang lebih besar kerana rakyat yang hadir kali ini semuanya lapar... Lapar demokrasi!

Edyes dengan ini, menyatakan tahap sedia bukan sahaja untuk turun berdemonstrasi secara aman, tetapi bersedia untuk ditangkap dengan syarat, sediakan makan minum secukupnya kerana ramai akan bersama saya untuk ditangkap dan kemudian dibenarkan makan percuma.

BERSIH 3.0 akan membuka tirainya bila-bila masa dari sekarang. Tarikhnya akan diumum sebagai amaran bagi pihak kerajaan supaya serius melaksana reformasi pilihanraya.

Jangan sekali-kali 'under-estimate' kekuatan rakyat. Kami sudah buktikan rakyat kuat di BERSIH 2.0 dan kami tiada masalah untuk buktikannya semula dalam BERSIH 3.0.


EDYES @ edyesdotcom

No comments: