Tuesday, August 9, 2011

Bila 100 Ribu Rakyat Sedia Untuk Ditahan !




Rusuhan di London, mengakibatkan banyak harta-benda yang punah terbakar. Kecurian pun banyak berlaku di mana banyak supermarket yang ditembusi oleh perusuh yang mengambil kesempatan. Banyak kenderaan polis dan kenderaan awam dibakar, dan terdapat juga laporan yang mengatakan 3 orang polis dimasukkan ke hospital selepas dirempuh kereta perusuh.

Cuba lihat laporan di bawah;
Sementara itu, AFP melaporkan sekurang-kurangnya 160 orang ditahan oleh polis kerana didakwa terbabit dalam rusuhan dan samun di utara London sejak Ahad lalu manakala keganasan baru dilaporkan tercetus dan merebak ke bahagian lain di ibu negara Britain itu.
Wartawan AFP melaporkan beribu-ribu penduduk mencuri barangan dari sebuah gedung barangan elektrik di kawasan Brixton, selatan London pada awal pagi ini, menakala gerombolan pemuda membaling objek ke arah polis.
Menurut Scotland Yard, kejadian mencuri merebak ke beberapa kawasan di utara, timur dan selatan bandar raya ini, sementara sekumpulan kira-kira 50 pemuda merosakkan harta benda di kawasan tumpuan pelancong di Oxford Circus.

Perusuh merosakkan sebuah kereta polis dan memecahkan tingkap di Enfield, pinggir utara London kira-kira lima kilometer dari Tottenham, medan kekacauan pada malam sebelumnya.

Pasukan polis tambahan dikerahkan di kawasan-kawasan kediaman bergolak selepas tiga anggota polis dimasukkan ke hospital akibat dirempuh kereta.
Ini namanya perhimpunan tidak aman, atau lebih senang dipanggil rusuhan. Sekucar-kacirnya bandaraya yang berumur satu milenium iaitu Bandaraya London, hanya 160 orang sahaja yang ditangkap polis. Penangkapan tersebut juga punya kewajaran bagi membendung rusuhan daripada menjadi lebih buruk.

Cuba kita kenang kembali peristiwa yang berlaku pada 9 Julai 2011, atau dikenali sebagai B-709. Ratusan ribu rakyat di atas jalanraya menuntut hak demokrasi. Mereka berhimpun secara aman sebelum dileraikan dengan penuh kekasaran. Namun displin tetap ada, kerana tersemat dalam jiwa setiap demonstran yang hadir ke Kuala Lumpur pada tanggal 709 itu, sebuah semangat cintakan negara. Inilah patriotik sebenar, bukan seperti 'pakturut' berbaju merah.

Dalam peristiwa bersejarah BERSIH 2.0, cuba kira berapa jumlah kedai yang dipecah masuk oleh demonstran ? Berapa jumlah kenderaan polis yang terbakar? Berapa jumlah bas RapidKL yang terbalik dek amukan demonstran pengejar demokrasi ? dan berapa pula orang anggota polis yang cedera parah hingga dikejarkan ke hospital kerana dirempuh rakyat yang menuntut pilihanraya bersih dan adil ?

Sifirnya mudah, jika dalam keadaan perhimpunan aman yang tidak tercetus sebarang rusuhan dan huru-hara, lebih 1500 rakyat Malaysia telah ditahan sepanjang kempen BERSIH samada pra atau pascanya. Bagaimanakah agaknya jika bukan perhimpunan aman yang berlaku pada 9 Julai 2011 tetapi sebuah rusuhan? Pastinya lebih seratus ribu rakyat yang bakal ditahan. Kerajaan Malaysia dan pak polisi harus berasa bersyukur kerana demonstran BERSIH berhimpun atas semangat cintakan negara dan juga keamanan, bukan seperti apa yang berlaku di London.

Namun begitu percayalah wahai Kerajaan Malaysia, jika 100ribu rakyat perlu ditahan oleh polis, berjaya merevolusikan negara ini dengan sistem pilihanraya yang bersih dan adil, jika 100ribu rakyat bakal disumbat dalam tahanan demi sebuah pilihanraya yang boleh diharap dan dipercayai, pasti ratusan ribu rakyat akan bersedia untuk ditahan. Demi demokrasi, demi pilihanraya bersih dan adil, supaya dipilihanraya jugalah tumbangnya kerajaan penipu lagi zalim.

Kami rakyat masih mahukan proses peralihan kerajaan melalui pilihanraya. Oleh demikian, jangan sesekali perlekeh hasrat rakyat yang akhirnya menjadikan pilihan yang ada itu bukan pilihanraya !

BERSIH 3.0 bersedia pada bila-bila masa. Pembongkaran 'Mismah-gate' membangkit ghairah rakyat untuk turun menentang sekuat mana pun kerajaan sedia ada! Adalah satu detik awal sebuah kerajaan apabila rakyatnya mula mengugut!


EDYES @ edyesdotcom

Disiarkan di lidahrakyat.com

No comments: