Thursday, December 23, 2010

Apa kata Kolumnis Rahman Shaari tentang Chegu Bard?

Oleh Nazli Ibrahim aka Beduk Canang

Saya tertarik apabila membaca ruangan Bicara Selasa di akhbar Sinar Harian oleh kolumnis Rahman Shaari pada 14 Disember lalu.

Tulis beliau dalam ruang itu, gelaran cikgu yang ada pada guru yang melibatkan diri dalam politik hari ini tidak lagi menjadi kebanggaan guru-guru ini. Kebanyakkan guru yang berpolitik ini lebih menunjukkan minat untuk menggunakan gelaran yang datang dari istana.

Keadaannya amat berbeza ketika zaman sebelum merdeka hinggalah ke era 80an di mana guru-guru ketika itu amat berbangga dengan gelaran cikgu yang disandang mereka.

Walaupun ada antara guru tersebut yang turut mendapat gelaran lain dari istana tetapi gelaran guru tetap menjadi kebanggaan lantaran status seorang pendidik anak bangsa dan juga pejuang menuntut kemerdekaan.

Tulis beliau lagi, kalaulah ada guru berpolitik hari ini yang dipanggil dan beliau juga merasa selesa dan bangga dengan gelaran cikgu yang ada padanya ianya ialah bekas calon Ketua AMK, Chegu Bard.

Alasan untuk beliau percaya begitu kerana Chegu Bard tentunya tidak akan terkenal dengan gelaran Chegu Bard sekiranya beliau sendiri tidak menggemari gelaran itu.

Beliau turut menulis, seseorang yang sedar akan pentingnya peranan guru dalam kehidupan, akan berasa bangga apabila memikirkan Chegu Bard yang rupa-rupanya ada lagi manusia Melayu yang masih senang hati dengan gelaran 'cikgu'.

Rahman Shaari turut memberikan beberapa contoh personaliti terkenal dikalangan orang-orang terdahulu yang mengekalkan gelaran cikgu walaupun telah menerima gelaran lain.

Antaranya ialah Cikgu Ali Ahmad (MB Perlis) yang menerima gelaran Dato, Cikgu Ishak Arshad (Dato), Cikgu Shahnon Ahmad (Profesor) dan Noordin Hassan dan tidak ketinggalan Allahyarham Ghafar Baba yang entah bagaimana tiba-tiba lebih dikenali dengan gelaran Encik Ghafar Baba (sebelum bertukar kepada Tun).

Biarpun mereka ini tidak lagi bertugas sebagai guru dan menjawat jawatan tinggi dengan gelaran Dato, namun mereka tetap kekal dengan panggilan cikgu dikalangan masyarakat setempat dan mereka amat selesa dengan keadaan itu.

Komennya lagi tentang anak muda yang bernama Chegu Bard ini, beliau melihat Chegu Bard seorang pemimpin muda yang progresif dan tidak mudah mundur dalam mempertahankan pendiriannya.

Rahman turut menyebut jika Chegu Bard dijaga dengan baik oleh pucuk pimpinan parti pasti beliau dapat memberikan jasa terbaik kepada partinya dan rakyat negara ini.

Beliau turut mengulang apa yang disebut oleh Chegu Bard, PKR haruslah membuktikan ketelusannya seperti mana yang dipertikaikan oleh parti itu terhadap ketelusan SPR.

Di akhir tulisannya, beliau titipkan, "Chegu Bard akan terus berkeras, kerana itu ialah sifat pejuang. Kita yakin, dia akan menjadi aset kepada rakyat."

Begitulah antara ringkasan pandangan Rahman Shaari terhadap Chegu Bard dalam artikelnya itu, bukan pandangan saya.

Cikgu Rahman Shaari (Profesor Madya) adalah seorang sasterawan yang juga seorang bekas guru di awal kerjaya beliau. Pernah berkhidmat di IPTA tempatan dan telah melahirkan banyak novel, cerpen, kajian dan lain-lain.

Kini beliau berkhidmat di Fakulti Seni dan Sains Sosial, Universiti Malaya sebagai Senior Research Fellow.

No comments:

Tukar Tiub - Brader Isham

Terkini di blog Aduka Taruna

Pak Bakaq si Penarik Becha

Comandante Che gue Bard

iklan