Wednesday, September 15, 2010

FAM Tak Pernah Bijak !


Melihat perkembangan Piala Malaysia yang berlangsung semalam, saya bersyukur apabila mengenangkan format Piala Malaysia telah kembali kepada yang asal dengan 16 pasukan bertanding, masing-masing melayakkan diri melalui saingan liga yang kompetetif.

Tidak seperti tahun kebelakangan ini, format yang dilaksana tidak kompetetif dan jelas sekali hanya untuk memastikan pasukan negeri Pahang contohnya, layak secara automatik ke kancah berpristige Piala Malaysia. Format yang menunjukkan betapa FAM tidak bijak. Saya tidak tahu sejak bila, tapi FAM memang tak bijak, tidak berpendirian, dan bergerak atas kehendak individu tertentu.

Bicara tentang bolasepak adalah satu topik yang menarik terutamanya apabila menyentuh fasal bolasepak tempatan. Ini kerana seburuk atau sehebat mana bolasepak tempatan, ia jauh lebih baik untuk diberi sokongan daripada bermati-matian menyokong kelab liga inggeris.

Tidak dinafikan permainan eropah itu lebih menarik dan menghiburkan, namun tidakkah kita mahu pasukan negeri bertanding dengan lebih kompetetif di peringkat asia. Begitu juga dengan pasukan kebangsaan kita, tidakkah kita mahu melihat sekali lagi secara hidup, pasukan negara melangkah ke perlawanan akhir Piala Asia ? ataupun sekurang-kurangnya menjuarai asia tenggara dalam kejohanan Piala Suzuki.

Sejak tahun 1990, apakah pencapaian terbaik skuad bolasepak kebangsaan selain daripada menjadi naib juara dalam edisi pertama kejohanan Piala Tiger(sekarang dikenali sebagai Piala Suzuki) pada tahun 1996 yang ketika itu skuad dipimpin oleh Wan Jamak Hassan dan hanya pingat emas Sukan SEA pada tahun 2009. Pasukan negara pernah layak ke sukan asia edisi 2007 tetapi hanya melalui slot sebagai tuan rumah, akhirnya pasukan negara menjadi sumber ketawa pada kejohanan tersebut apabila dibolosi 13 gol dalam 3 perlawanan di peringkat kumpulan.

Pasca piala asia 2007, ada perkhabaran baik apabila ada penyandang peringkat tertinggi badan bolasepak negara sedia untuk mengundur diri atas rasa tanggungjawab apabila keputusan memalukan skuad kebangsaan pada piala asia. Keputusan pengunduran bagi jawatan timbalan presiden itu diterima sebulat suara dan berharap reformasi dalam badan induk bolasepak negara menjadi kenyataan.

Namun, panas yang disangka sampai ke petang tidak kesampaian apabila hujan turun dengan lebatnya di awal tengahari. Individu kehormat yang telah berundur kini kembali untuk menguasai badan induk bolasepak negara. Tidaklah diketahui sekembalinya untuk membaik pulih labu yang telah rosak, atau lebih merosakkannya. Adalah lebih baik sekiranya satu undang-undang dibentuk agar setiap mereka yang melepaskan jawatan atau berundur tidak boleh kembali memegang tampuk yang dilepaskan selagi pasukan kebangsaan tidak memenangi piala dunia, contohnya.

Lebih memilukan, seorang presiden persatuan bolasepak negeri yang terpilih untuk mengubah nasib bolasepak negara hanya diletakkan sebagai mempengerusikan jawatankuasa pembangunan bolasepak wanita, walaupun mempunyai kapasiti sebagai timbalan presiden FAM. Aduhai, FAM dilihat sungguh menyedihkan dengan perlakuan seperti ini.

Kemajuan bolasepak negara masih tidak ke mana. Badan manakah yang bertanggungjawab ke atas kemajuan sukan bolasepak di negara ini jika bukan Persatuan Bolasepak Malaysia atau dikenali sebagai FAM. Hari ini, FAM sekali lagi dipetik sebagai satu badan yang gagal berpendirian tetap terutamanya dalam aspek pengambilan awang import.

Jadi, topiknya yang membawa kepada penghasilan entri kali ini ialah - perlukah pemain import untuk pasukan negeri dan kelab?

Saya melihat keperluan pemain import dalam kancah liga bolasepak Malaysia adalah bersifat seimbang pada pandangan umum. Punya kebaikkan dan keburukkan, itu kita akan bincang. Namun ianya akan dilihat lebih buruk apabila FAM tidak tegas dalam pendiriannya di mana kebenaran penggunaan awang import silih bertukar ganti, sekejap boleh dan sekejap tak boleh. Ia pastinya memberi kesan terhadap pengurusan kelab dan persatuan kerana setiap kali pemansuhan pemain import, ia berkait rapat dengan kekeringan kantung kelab dan persatuan.

Walaupun saya dapati lebih ramai yang bersetuju pemain import kembali ke kancah liga Malaysia, pada pandangan saya, hanya dari aspek kehadiran penonton sahaja yang menjadi pro kepada perlunya pengambilan pemain import. Atau adakah satu lagi faktornya ialah pemain negara dapat belajar 'skill' dari pengalaman pemain-pemain import? Saya tidak rasa begitu.

Satu keburukkan yang nyata apabila pemain import dibenarkan ialah pos-pos penting dalam pasukan negeri dan kelab akan dikuasai oleh awang import. Kita ambil kehebatan dua musim pasukan negeri Kedah yang menggenggam 6 piala utama liga Malaysia secara berturut sebagai contoh, faktor utama hebatnya pasukan kedah ketika itu ialah kerana pasukan Kedah mempunyai 2 daripada 3 pemain import terbaik negara iaitu Marlon Alex James sebagai algojo jaringan dan Nelson Sam Martin yang bertindak sebagai perancang tengah. Pada musim seterusnya di mana tiada pemain import dibenarkan, pasukan Kedah pulang tanpa sebarang piala.

Cubalah saudara bayangkan, apakah nasib pasukan kebangsaan apabila seluruh pasukan negeri dan kelab yang bertanding dalam liga Malaysia menempatkan awang import pada 2 pos penyerang dan satu pos perancang utama tengah? Penyerang negara akan habiskan lebih banyak masa dalam bangku simpanan, dan pastinya para pelapis penyerang kebangsaan tidak langsung mempunyai peluang untuk beraksi. Hasilnya, pasukan kebangsaan akan terus dimalukan.

Di sini ingin saya jelaskan, mengapa pelepasan 3 pemain import untuk setiap pasukan bertanding akan merugikan semua pihak.

Pertama dan terpenting, kantung kewangan pasukan negeri dan kelab akan kering mengenangkan keghairahan memiliki awang import yang ramai tetapi kedudukkan pasukan di akhir musim adalah tidak memberangsangkan berbanding perbelanjaan yang dikerah.

Kedua, Ramai di antara pemain tempatan yang sebenarnya berpotensi untuk menyerlah tetapi dinafikan haknya untuk menunjukkan aksi kerana jumlah pemain import yang lebih dari mencukupi.

Ketiga, dalam keghairahan memenuhi kuota pemain import, tidak mustahil 'negro jual jam' akan mendapat tempat dalam skuad negeri mahupun kelab, dan hasilnya permainan mereka lebih tercicir dari pemain tempatan.

Pada penghujung musim, kita akan lihat akan ada kelab yang gulung tikar kerana hutangnya yang melimpah dek kerana tekanan untuk menggunakan pemain import yang bukan dua tetapi tiga.

Tiga pemain import untuk setiap persatuan negeri dan kelab telah diragui keberkesanannya kerana sejak era profesional, kouta 3 pemain import telah diperkenal sehingga hari ini kecuali pada tahun 1995-1996, hanya dua pemain import dibenarkan. Hasilnya apabila jumlah pemain import dikurangkan pada tahun 1995, pasukan negara kendalian Wan Jamak mara ke perlawanan akhir Piala Tiger sebelum tumpas kepada Thailand. Sepatutnya FAM mengambil iktibar bahawa dua pemain import adalah lebih baik dari tiga.

Kesimpulan yang merujuk kepada cadangan saya sebagai peminat tegar bolasepak tempatan, sekiranya FAM ingin membenarkan kembali penggunaan pemain import, satu pemain import untuk setiap persatuan negeri dan kelab adalah jumlah yang paling ideal.

Mengapa satu lebih baik dari dua dan tiga ialah, pertama ia dapat berganding dengan penyerang tempatan sekiranya formasi 4-4-2 digunakan dan sekiranya pemain import yang dibeli berposisi penyerang. Berganding dalam setiap serangan pastinya merancakkan kebolehan penyerang tempatan. 

Kedua, pasukan negeri dan kelab pastinya akan melakukan penyelidikan terbaik mereka dalam memilih pemain import paling berkualiti untuk pasukan. Kerana pastinya setiap pasukan bertanding tidak akan mempersiakan kuota pemain import yang begitu terhad.

Ketiganya ialah, pembelian pemain import yang berbaloi untuk liga bolasepak Malaysia. Andainya tiga pemain import, perbelanjaan yang mungkin adalah terbahagi tiga. Tetapi sekiranya untuk satu pemain import, barangkali jumlah tabungan yang diperuntukkan untuk membeli pemain import cukup untuk membeli pemain-pemain berstatus 'World Cup' yang tidak dibeli oleh kelab eropah.

Terus terang saya katakan bahawa saya tidak menyokong pengambilan pemain import. Tetapi jika FAM dan peminat lain berkeras, satu pemain import adalah ideal sepertimana yang dijelaskan di atas.

Saya mengaku bahawa saya tetap akan menyalahkan FAM setiap kali kem bolasepak negara dirundung malang. Kerana bagi saya, FAM tidak pernah bertindak bijak sejak dipelopori oleh mereka yang bukan ahli.


EDYES - 15 SEPTEMBER 2010 - 8.00PM

1 comment:

Anonymous said...

selagi pengurusan dan kaedah pengambilan pemain kebangsaan tidak berubah .. selagi tuh la bola sepak malysia tak ke mana2. bebaskan sukan dari tgn politik maupun monarki..

Tukar Tiub - Brader Isham

Terkini di blog Aduka Taruna

Pak Bakaq si Penarik Becha

Comandante Che gue Bard

iklan