Friday, September 24, 2010

Debat 3 Penjuru Pada Perspektif Juwaini Abdul Rahman

[UPDATE 29SEPT 8PM]

PERHATIAN! TERDAPAT RALAT DALAM ENTRI INI.

Saya benar2 kesal kerana menyangka tulisan di bawah yang saya petik sepenuhnya adalah sebenarnya bukan nukilan Amin Ahmad, tetapi Juwaini Abdul Rahman.

Oleh demikian saya memohon maaf sekiranya kesilapan di pihak saya mengelirukan semua pembaca. Saya akan buat satu entri baru untuk membetulkan keadaan kerana saya perlu menangkap semua pembaca entri ini pada period sebelum pengumuman ini.

[UPDATED]



Salam revolusi,

Artikel di bawah saya salin dan tampal ke blog ini kerana pandangan kongklusif Juwaini Abdul Rahman tidak jauh bezanya dengan apa yang saya gambarkan dalam entri ringkas saya mengenai debat bersejarah tersebut. Entri yang dimaksudkan adalah di sini.

Kepada siapa yang terlepas mengikuti debat calon AMK dan tidak berkesempatan untuk menonton rakaman debat tersebut, tulisan Juwaini Abdul Rahman di bawah menceritakan siapa sebenarnya mereka yang di pentas. Hayatilah perspektif penulis kerana perspektif ini berada dalam landasan realiti.

Sepanjang-panjang tulisan Juwaini Abdul Rahman dalam artikelnya di bawah, hanya satu perkara sahaja yang tidak saya setujui, apabila Juwaini menyatakan Rafizi adalah calon terbaik AMK (dibandingkan dengan chegubard sebagai calon yang mempunyai blueprint yang realistik untuk memperkasakan sayap AMK). Juwaini melihat Rafizi sebagai calon terbaik sedangkan apa yang saya lihat, rafizi tidak lain dan tidak bukan, hanya seorang penipu dan peniru - akan saya jelaskan dalam entri yang seterusnya. Itu adalah hak Juwaini dalam penulisannya di atas pengamatannya sendiri, kita wajar menghormati pengamatan beliau sepertimana pelontar komen di blog edyesdotcom menghormati pendirian edyes. 

Oleh demikian, luangkanlah masa untuk melihat bagaimana Juwaini Abdul Rahman mengadili para calon ketua AMK dari perspektifnya sendiri. Pasti banyak yang disetujui.


SEPUTAR DEBAT CALON KETUA AMK

Oleh: Juwaini Abdul Rahman

Pada 18 September 2010, bertempat di Taiping Golf Resort, telah dilangsungkan satu ‘debat’ 3 penjuru (asalnya 4 penjuru) antara calon Ketua Angkatan Muda Keadilan. Saya berasa bertuah kerana telah menjadi salah seorang penonton dan mengambil bahagian dalam acara tersebut. Saya ke sana dengan ditemani oleh dua orang adik lelaki saya.

Debat tersebut telah dipengerusikan oleh saudara Afendi aka Matsamankati dan disertai oleh saudara Hasmi, saudara Rafizi dan saudara Badrul Hisham.

Saya tidaklah terlalu berminat untuk mengulas apa yang mereka perkatakan sebab saya rasa mereka sudahpun menulis tentang manifesto dan harapan mereka di blog peribadi mereka. Saya hanya berminat untuk membincangkan kekuatan, kelemahan dan pandangan peribadi saya terhadap peluang mereka untuk memenangi kerusi Ketua AMK itu.

Pidato mereka dimulakan dengan saudara Hasmi membuka gelanggang, diikuti oleh saudara Rafizi dan diakhiri oleh saudara Badrul.

Dari segi kekuatan, saudara Hasmi mempunyai pengaruhnya yang tersendiri terutamanya di kalangan komuniti Jalan Telawi dan Sekolah Politik IKD. Beliau adalah seorang penulis yang pandai menari dengan mata pena dan papan kekunci. Tulisannya sentiasa penuh dengan idea dan potensi untuk diperkembangkan menjadi gagasan massa.

Saudara Hasmi juga merupakan seorang yang sangat idealis. Beliau melihat dunia ini dari sudut pandangan seorang manusia yang punyai jiwa yang bersih. Saya tidak pasti samada sifat idealis ini merupakan satu kekuatan atau kelemahan untuk dirinya. Kalau saya mahu beliau jadi sahabat saya, saya akan sentiasa yakin dia takkan mengkhianati saya. Kalau saya memilih untuk beliau jadi lawan saya, saya tahu dia takkan main kotor untuk menewaskan saya.

Kendatipun secara peribadinya saya lebih hampir secara peribadi dengan beliau berbanding dua calon lain, tapi secara realistiknya saya tidak fikir beliau akan memenangi pertandingan ini atas sebab-sebab yang akan saya nyatakan kemudian. Dari perspektif sebagai seorang alumnus Sekolah Politik IKD yang mementingkan diri, saya lebih suka beliau kalah. Pada pandangan mata saya, beliau adalah seorang budayawan dan penulis yang hebat. Dalam bahasa anak muda, beliau adalah seorang yang cool. Beliau akan hilang ‘aura’ cool itu apabila beliau memegang jawatan politik seperti Ketua AMK.

Saudara Rafizi pula adalah seorang elitis (berdasarkan pengakuan beliau sendiri walaupun di akhir sesi beliau menolak label elitis tersebut) dan ahli ekonomi yang pintar. Saya tidak layak untuk mempertikaikan merit seorang yang mempunyai ijazah berganda dalam bidang kejuruteraan dan perakauan. Tambahan pula beliau merupakan seorang bekas pelajar terbaik SPM di MCKK dahulu. Makanya dari segi intelektual dan kredibiliti, saya tidak punyai alasan untuk mempertikaikan kehebatan beliau.

Dari sudut pidatonya, beliau adalah seorang yang mempunyai kemahiran berpidato yang baik. Seorang yang mengutamakan isi (hujah) berbanding kulit (gaya). Isu-isu bukan tradisional (ekonomi) yang dibawanya juga bersifat terkini dan merupakan luahan rasa hati anak-anak muda di Malaysia. Isu pembelian kereta, isu pemilikan rumah, isu gaji di Malaysia yang terlalu rendah dan sebagainya, kalau didengari oleh anak-anak muda Malaysia, saya pasti mereka akan memilih beliau sebagai pemimpin masa depan negara. Malahan kalau saya punyai kuasa memilih dalam PKR, undi saya sudah tentunya untuk beliau.

Tapi, ada tapinya…

Calon ketiga yang turut sama bertanding nanti adalah saudara Badrul yang juga dikenali sebagai Chegu Bard. Saya melihat saudara Badrul merupakan seorang penarik massa (crowd puller) yang kuat. Pidatonya hebat, agresif dan penuh isi. Beliau mendapat sokongan dari anak-anak muda. Hal ini dapat dibuktikan melalui laungan reformasi yang beliau terima sebelum sesi perdebatan ini dimulakan dan bilangan kehadiran penyokong beliau dari kumpulan penunggang motorsikal yang saya sudah lupa namanya. Tumpuan beliau dalam pidato adalah lebih ke arah memperkukuhkan parti yang mana hal ini berbeza dengan idealisme saudara Rafizi yang lebih menumpukan ke arah menarik undi seluruh masyarakat Malaysia.

Saudara Badrul menjelaskan usaha-usaha yang akan beliau lakukan dari aspek perkaderan (recruiting) ahli baru dan gagasan memperkasakan parti. Beliau membentangkan permasalahan yang wujud dalam sayap AMK dan (kredit untuk beliau) idea-idea yang telah, sedang dan akan beliau lakukan untuk menangani permasalahan tersebut. Dalam banyak hal, saya melihat beliau sebagai antitesis kepada saudara Rafizi (dan juga KJ!) dari sudut cara pemikiran dan tindakan beliau. Saudara Badrul adalah seorang yang praktikal (street smart) manakala saudara Rafizi adalah seorang yang lebih ke arah teoretikal (book smart). Kalau mereka berdua sanggup bergandingan, saya pasti mereka akan menjadi regu masa depan yang ideal untuk memimpin Malaysia.

Sekarang saya akan mengulas dari sudut peluang ketiga-tiga calon pula. Saya menggunakan analogi lumba kuda yang merupakan salah satu analogi paling saya gemari. Saya melihat saudara Badrul sebagai kuda terkuat/terlaju (strongest horse), saudara Rafizi sebagai kuda terbaik (best horse) dan saudara Hasmi sebagai kuda stallion (white horse).

Majoriti akhbar siber menulis saudara Hasmi sebagai ‘dark horse’, tapi saya menolak perlabelan ini kerana bagi saya, cukup sukar untuk saya ketemu sisi gelap pada diri saudara Hasmi (selain dari tabiat merokok beliau!). Namun demikian, saya rasa beliau terlalu ‘baik’ untuk memenangi pertandingan ini. Beliau tidak pandai ‘menikam’ kawan dan lawan. Kalau dalam AMK wujud jawatan Mursyidul Am atau spiritual leader (not in a religious way!), saya fikir itu jawatan terbaik untuk beliau. Bahkan beliau sendiri mengakui beliau lebih berusia berbanding dua orang lawannya itu. Kematangan beliau itu juga dizahirkan melalui diplomasi yang beliau tunjukkan dalam perdebatan ini apabila beliau menjadi timbangtara/pengimbang kepada saudara Rafizi dan saudara Badrul yang dilihat agak cenderung menarik audiens ke arah ekstrem kiri dan ekstrem kanan. (Jangan ditanya siapa pihak kiri mahupun pihak kanan! Siapa yang tonton debat ini, pasti tahu siapa leftist dan siapa mainstream). Kematangan saudara Hasmi ini saya rasa ada kalanya akan menggugat peluang beliau untuk menang pemilihan kali ini.

Saya fikir saudara Badrul akan memenangi pertandingan ini. Beliau mempunyai pengaruh yang kuat berbanding saudara Rafizi yang dikatakan sebagai calon yang baru (walaupun anggapan ini salah!) dan tidak dikenali. Beliau juga mempunyai blueprint yang realistik untuk memperkasakan sayap AMK. Walaupun demikian, saya ulangi sekali lagi pandangan saya yang saudara Rafizi adalah calon terbaik untuk jawatan ini walaupun saya sedar beliau mungkin menghadapi kesukaran untuk menang biarpun (dikatakan) beliau mendapat ‘endorsement’ dari pimpinan tertinggi parti.

Apapun sebagai ahli baru PKR (tetapi penyokong lama PKR khususnya dan PR umumnya!) saya rasa sesiapapun yang menang, AMK akan berada di dalam tangan yang selamat. Semoga pertandingan ini dijalankan dengan penuh integriti dan berdiri atas dasar perjuangan sebenar.

Namun demikian, terdapat beberapa persoalan peribadi yang saya rasakan masih belum terjawab.

1. Kenapa Rafizi memilih YB Amir sebagai regu beliau? Tanpa memilih untuk bersifat prejudis, saya tidak merasakan YB Amir merupakan gandingan yang sesuai untuk beliau dari segi kewibawaan. Mungkinkah orang lain ada jawapannya?

2. Ketua AMK seharusnya memberi keutamaan ke arah memperkasakan parti atau memenangi pilihanraya? Saya melihat saudara Badrul mengutamakan parti dan saudara Rafizi lebih ke arah mahu menawan Putrajaya.

3. Salah satu idea paling berwawasan dalam pertandingan debat tersebut adalah cadangan saudara Hasmi supaya Perdana Menteri dipilih secara terus oleh kesemua rakyat Malaysia yang layak mengundi. Ini idea yang hebat bukan? Kenapa saya katakan begitu? Kerana 52% dari pengundi Semenanjung Malaysia tidak menerima Barisan Nasional sebagai parti pemerintah mereka.

2 comments:

Amin Ahmad said...

Salaam.

Tulisan ini bukan dibuat oleh saya. Rujuk di: http://ureka.asia/2010/09/seputar-debat-calon-ketua-amk/

Saya harap ia dapat diperbetulkan.

Edyes said...

salam,

saya dah usul periksa, dan kesilapan telah berlaku. kesilapan ini akan dibaiki serta merta.

kebetulan entri ini dalam ureka di celah2 siri2 pemilihan AMK cetusan saudara. dan entah bagaimana saya melihat ini sebagai siri bonus.

terima kasih atas makluman...

Tukar Tiub - Brader Isham

Terkini di blog Aduka Taruna

Pak Bakaq si Penarik Becha

Comandante Che gue Bard

iklan