Friday, October 9, 2009

Debat : Siapa Pengkhianat Melayu ?

dipetik dari kedahlanie;

Sehubungan dengan beberapa siri kenyataan berbentuk tohmahan dan juga isu Pilihanraya Kecil (PRK) Bagan Pinang tentang Pengkhianatan Melayu terhadap Ketua Pembangkang YB Dato Seri Anwar Ibrahim, kami mewakili pemuda Pakatan Rakyat bersetuju menganjurkan Debat Terbuka di Bagan Pinang, Negeri Sembilan bersempena PRK kali ini.

Debat Terbuka ini adalah merupakan medan terbaik untuk rakyat Malaysia mendapat penjelasan dan gambaran sebenar dari batang tubuh YB Dato Seri Anwar Ibrahim pada setiap tuduhan dan dakwaan liar dari pimpinan tertinggi UMNO/BN pada setiap kali berlangsung pilihanraya kecil di dalam negara ini.

Kami merasakan sudah tiba masanya rakyat diberi ruang dan peranan yang sebenar menghayati proses demokrasi sepertimana tercatat didalam perlembagaan negara. Kami juga yakin program debat ini akan menjadi satu panduan serta bimbingan pendidikan politik yang sihat di negara ini dan dalam pada masa yang sama dapat mewujudkan suasana pilihanraya yang bebas, aman, adil dan harmoni serta membina ketamadunan bangsa Malaysia.

Oleh yang demikian kami juga yakin program Debat Terbuka ini akan menjadi penunjuk aras terhadap keberkesanan Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) memainkan peranan bebas berkecuali dan juga media elektronik serta cetak juga mendapat manfaat yang selama ini dikongkong di dalam kekangan parti pemerintah.

Dalam pada itu kami yakin dengan berlangsungnya program Debat Terbuka ini, rakyat dapat melihat sejauh mana keikhlasan dan kejujuran pimpinan UMNO/BN untuk merealisasikan retorik politik mereka tentang 1Malaysia. Kami yakin dan percaya bahawa kepimpinan tertinggi UMNO/BN akan merebut peluang ini untuk memperlihatkan kebenaran usaha gigih mereka. Justeru, kami ingin melihat sejauh mana keberanian YAB Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk menyahut cabaran Debat Terbuka ini.

Cuma kekuatiran kami ialah sindrom kedayusan dan kebaculan pimpinan tertinggi UMNO/BN akan terus menular dari dulu kini dan selamanya !

SURAT RASMI KEPADA TPM MALAYSIA

Kepada :
YAB TAN SRI MUHYIDDIN BIN HJ MOHD YASSIN
( PNBS, SPMP, SPMJ, PSM, SMJ, BSI, PIS )
Timbalan Perdana Menteri
Menteri Pelajaran
Pejabat Timbalan Perdana Menteri,
Jabatan Perdana Menteri
Aras 4, Blok Barat
Bangunan Perdana Putra
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62690 Putrajaya.

7hb Oktober 2009 / 18 Syawal 1430’H


YAB Tan Sri,

Jemputan Debat Terbuka Bersama YB Dato’ Seri Anwar bin Ibrahim,
Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia
Tajuk: Siapa Pengkhianat Melayu ?

Perkara di atas dengan segala hormatnya adalah dirujuk. Semoga surat ini menemui YAB Tan Sri di dalam keadaan kesihatan yang baik.

2. Sepertimana yang dimaklumi oleh YAB Tan Sri, kempen Pilihanraya Kecil Bagan Pinang ini dicemari dengan pelbagai tuduhan negatif dan berniat jahat terhadap YB Ketua Pembangkang, Dato’ Seri Anwar Ibrahim. Pemuda Pakatan Rakyat percaya ini ialah siri tuduhan liar tanpa asas yang telah dilemparkan bertujuan untuk menarik sokongan rakyat kepada Barisan Nasional. Tuduhan sebagai pengkhianat dan agen Yahudi terus dimainkan meskipun rakyat sudah sedia maklum ianya adalah fitnah lama dan satu pembohongan yang nyata.

3. Pihak YAB Tan Sri juga tidak ketinggalan di dalam memainkan isu lapuk dan bankrap idea ini apabila baru-baru ini telah melabelkan YB Ketua Pembangkang sebagai Pengkhianat Melayu. Justeru, kami mewakili saf kepimpinan Pemuda Pakatan Rakyat dan juga generasi muda Malaysia merasa terpanggil untuk menganjurkan satu Debat Terbuka di antara YAB Tan Sri dan YB Ketua Pembangkang. Kami merasakan program Debat Terbuka adalah medan yang terbaik bagi memberikan penjelasan sepenuhnya tentang siapakah pengkhianat Melayu yang sebenarnya kepada rakyat Malaysia khususnya para pengundi di kawasan N.31 Bagan Pinang, Negeri Sembilan.

4. Oleh yang demikian, kami mengalu-alukan kesudian dan keberanian YAB Tan Sri menyahut cabaran debat yang akan dianjurkan menurut maklumat seperti berikut :

Hari : Jumaat
Tarikh : 9 Oktober 2009
Masa : 9 malam
Tempat : Mana-mana tempat di kawasan Pilihanraya Kecil N.31 Bagan
Pinang yang akan dipersetujui secara bersama dengan pihak YAB Tan Sri.
Cadangan tempat :-

i. Dewan Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Chung Hwa, Port Dickson
ii. Dewan Politeknik Port Dickson, Teluk Kemang
iii. Dewan Institut Latihan Ilmu-Ilmu Islam, Port Dickson

Moderator : Tokoh akademik

5. Pihak kami juga mencadangkan supaya kaedah dan dan tatacara Debat Harga Minyak dan juga debat YAB Lim Guan Eng dan YB Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon digunapakai untuk program Debat Terbuka ini.

6. Kegagalan YAB Tan Sri memberi maklumbalas positif terhadap cabaran ini menzahirkan ketidakupayaan kepimpinan tertinggi UMNO/BN di dalam memberikan penjelasan kepada isu sebenar yang berkaitan dengan tajuk Debat Terbuka ini.

Sekian, terima kasih

Yang Benar,


Hj Nasrudin Hassan (Ketua DPP)
Shamsul Iskandar Mohd Akin (Ketua AMK)
Loke Siew Fook (Ketua DAPSY)


* KUASA RAKYAT KUASA KERAMAT *

edyes wrote:

Ada Beran ka Muhyeedin?

1 comment:

Xeno said...

Kalau debat, memang orang yg 'orator' akan berjaya terutama orang yang pandai raih simpati dan rapport penonton walaupun x betul. Lagi elok kita cari pemimpin yang pandai bertindak lebih dari bercakap.

ACTION SPEAKS LOUDER THAN WORDS

....dari frasa itu saja, kita tidak payah debat untuk tahu siapa sebenarnya pengkhianat bangsa melayu dan negara tanah melayu.

Sudah-sudahlah berdrama, PR.