Tuesday, October 13, 2009

Nobisha: Dari Bagan Pinang ke PRU13



Fakta 1 : PAS berjaya mengekalkan kerusi yang dimenanginya dalam PRU12 dalam pilihanraya kecil di Bukit Gantang, Manek Urai dan Permatang Pasir.

Fakta 2 : PKR berjaya mempertahankan kerusi yang dimenanginya dalam PRU12 dalam pilihanraya kecil Permatang Pauh, Bukit Selambau dan Penanti.

Fakta 3 : Barisan Nasional berjaya mempertahankan kerusi yang dimenanginya dalam PRU12 dalam pilihanraya kecil Batang Air dan Bagan Pinang. Barisan Nasional kehilangan kerusi parlimen Kuala Terengganu kepada PAS.

Saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan tahniah kepada Tan Sri Isa Samad yang menang dalam pilihanraya kecil Bagan Pinang. Majoriti sebanyak 5,435 adalah cukup besar untuk menggambarkan sokongan pengundi kawasan itu kepada beliau dan Barisan Nasional.

Kemenangan ini tentunya akan menjadi suntikan semangat kepada UMNO yang bersidang mulai 13 hingga 16 Oktober ini. Bagaimanapun, seperti yang saya sebutkan dalam Astro Awani malam tadi, ia adalah merupakan satu kemenangan sementara. Sementara tidak salah untuk Barisan Nasional merayakan kemenangan ini, namun cabaran yang lebih besar bagi parti itu ialah menghadapi PRU13 yang mesti diadakan sebelum Mac 2013.

Ketiga-tiga fakta di atas menunjukkan bahawa keputusan PRU12 masih tidak berubah. Barisan Nasional dan Pakatan Rakyat yang kini mempunyai kekuatan yang agak seimbang mempunyai tugas berat untuk memenangi hati pengundi. Dalam politik pasca PRU12, garisan antara kerajaan dan pembangkang menjadi semakin kabur.

Gabungan DAP, PKR dan PAS bukan saja diukur terhadap kehebatannya menyerang Barisan Nasional, tetapi juga kemampuannya mentadbir kerajaan-kerajaan negeri Pulau Pinang, Selangor, Kedah dan Kelantan. Sementara itu, Barisan Nasional juga akan dinilai kepada kemampuannya untuk memainkan peranan sebagai pembangkang yang efektif dan bermanfaat di negeri-negeri yang disebutkan itu. Parti-parti politik tidak lagi boleh membuat janji kosong dan mengharapkan rakyat akan menerimanya bulat-bulat.

Sejak mengambilalih jawatan Perdana Menteri, saya fikir Dato' Seri Najib Tun Razak telah mengambil beberapa langkah yang wajar bagi memenuhi kehendak rakyat. Bagaimanapun, apa yang penting sekarang ialah untuk menentukan keputusan kerajaan itu tidak digagalkan oleh kelemahan sistem penyampaian, termasuklah ketirisan sehingga menyebabkan kelompok sasar tidak mendapat manfaatnya. Dalam hal ini, saya ingin melihat Barisan Nasional dan Pakatan Rakyat menghentikan amalan politik naungan bagi membolehkan rakyat didahulukan.

Pendekatan Najib untuk "reach out" kelompok sasar dengan melepasi parti komponen Barisan Nasional adalah sesuatu yang baik. Apabila beliau mendekati masyarakat India tanpa melalui MIC, ia boleh dilihat sebagai satu usaha memecah dinding penghalang yang menyebabkan Barisan Nasional dilihat sebagai kelab ekslusif. Inisiatif ini disambut positif apabila masyarakat India memberikan undi yang besar kepada Barisan Nasional di Bagan Pinang. Kemenangan di empat peti undi majoriti India (Siliau, Atherton, Bradwall dan Sua Betong) di situ menunjukkan sokongan kaum tersebut.

Pada minggu ini, tumpuan rakyat adalah kepada dua aktiviti politik penting.

Pertama, persidangan agung UMNO. Persoalan yang berlegar di minda kebanyakan kita ialah sejauh manakah pindaan perlembagaan UMNO akan membawa perubahan kepada proses membuat keputusan parti itu, sekaligus menjadikan lebih efektif dan efisyen dalam memenuhi tuntutan rakyat. Saya telah melihat deraf cadangan konsep pemilihan dan pindaan perlembagaan tersebut. Insya-Allah, saya akan menulis mengenainya dalam posting akan datang.

Kedua, mesyuarat majlis tertinggi MCA yang akan membuat keputusan susulan mesyuarat khas agung parti itu. Keputusan majlis tertinggi MCA bukan sahaja memberikan kesan kepada parti itu, tetapi juga kestabilan Barisan Nasional dan kemampuannya menghadiri pilihanraya umum akan datang. Di sinilah kita akan melihat sama ada mereka mempunyai kebijaksanaan menyelesaikan masalah.

Akhir sekali, berbalik kepada pilihanraya kecil Bagan Pinang. Saya percaya PAS akan melakukan post-mortem kekalahan tersebut. PAS sudah lama bertapak dalam politik Malaysia. Kalah-menang adalah perkara biasa bagi parti itu. PAS pernah menang Terengganu dan pernah kehilangan Terengganu. Saya percaya parti itu akan mengambil tindakan bagi menentukan apa sahaja kelemahan dalam kempen pilihanraya Bagan Pinang tidak berulang lagi.

Sebagai pemerhati, saya ingin mencadangkan tiga perkara berikut untuk diberikan tumpuan oleh PAS:

Pertama, PAS dilihat sebagai terlalu liberal dalam hubungannya dengan PKR dan DAP. Malah, ada yang berpendapat PAS terlalu banyak mengalah. Itu persepsi awam. Mungkin benar, mungkin salah. Politik adalah persepsi dan ia harus diuruskan dengan baik.

Kedua, PAS memposisikannya sebagai organisasi yang mempunyai nilai-nilai moral yang tinggi. Malah, saya fikir itu jugalah sebab mengapa ia dihormati (walaupun ada yang tidak setuju dengan sesetengah keputusan PAS). Bagaimanapun, dalam mengekalkan hubungan dengan rakan-rakannya dalam Pakatan Rakyat, PAS dilihat mempertahankan beberapa perkara yang sebelum ini mereka tentang. Tidak hairanlah ada beberapa kenyataan pemimpin parti itu yang bercanggah dengan kenyataan terdahulu. Masyarakat menjadi keliru.

Ketiga, dalam pilihanraya Permatang Pasir, calon PAS tidak menjadi tumpuan. Kelemahan yang ada pada calon Barisan Nasional Rohaizat Othman menyebabkan orang tidak bercakap mengenai Salleh Man. Tidak banyak yang diketahui mengenai beliau. Dalam pilihanraya Manek Urai juga begitu. Hal yang sama berulang dalam pilihanraya Bagan Pinang. Ia menunjukkan seolah-olah PAS memberikan tumpuan kepada kekuatan parti dan sokongan rakan-rakan dalam Pakatan Rakyat untuk menang; bukannya pada kekuatan calon. Elok sekiranya PAS meletakkan calon yang artikulatif dan mampu menyatakan pendirian politiknya dengan jelas. Seseorang pemimpin politik harus berani menyatakan pendiriannya dengan terang.

Oh ya, mungkin ada yang kurang senang dengan cadangan-cadangan ini. Tak mengapalah, sebelum ini pun apabila saya memberikan cadangan, ada pembaca yang menghantar komentar berbahasa kesat dan maki-hamun. Malah, ada yang mempertikaikan niat dan keimanan saya. Nampaknya sesetengah orang tidak berminat membincangkan isu, sebaliknya memilih untuk menyerang orang yang memberikan pendapat. Begitulah hebatnya politik kita!

Bagi saya, terserahlah kepada bagaimana pemimpin dan penyokong parti-parti politik sama ada Barisan Nasional dan Pakatan Rakyat hendak menerima ulasan ini. Apa yang pasti ialah rakyat Malaysia sudah semakin bijak dan semakin berani membuat keputusan.

Tentulah menarik untuk melihat bagaimanakah mereka akan membuat keputusan dalam PRU13 nanti!

note: Nobisha seorang penganalisis politik yang berhaluan agak kanan. Namun dalam artikel kali ini nampak lebih neutral. Nobisha juga nampaknya begitu concern dalam menjayakan politik dua parti di negara ini dan ia pasti menguntungkan rakyat.


2 comments:

Anonymous said...

haha nobisha! , APA ITU NERAKA.

Anonymous said...

bro, dari ko layan mamat nobisha ni mengarok , baik ko suroh dia masuk PPP, KIMMA , MIC, latest 1 MAKKAL SAKTHI, banyak kerusi kosong lagi untuk orang 2 macai macam dia.