Wednesday, October 8, 2008

Mahkamah Tolak Permintaan Pendakwa ! Tiada kes Mahkamah Tinggi

oleh Malaysiakini

Mahkamah Tinggi hari ini menolak permohonan pihak pendakwa dalam kes liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menyemak keputusan Mahkamah Sesyen untuk mendengar merit permohonan pendakwa bagi memindahkan kes tersebut ke mahkamah lebih tinggi.

Pihak pendakwa memfailkan permohonan tersebut semalam untuk menyemak keputusan Hakim Mahkamah Sesyen SM Komathy Suppiah yang telah menolak bantahan mereka berhubung pendengaran permohonan memindahkan kes liwat Anwar itu ke mahkamah lebih tinggi.

Komathy telah memutuskan, beliau mempunyai budibicara untuk mendengar hujah-hujah berhubung bantahan peguambela yang mempersoalkan kesahihan sijil dari pihak pendakwa untuk memindahkan kes tersebut ke Mahkamah Tinggi.

Sehubungan itu, beliau menolak bantahan awal pihak pendakwa yang berhujah bahawa adalah wajib bagi Mahkamah Sesyen, mengikut Seksyen 418A (3) Kanun Prosedur Jenayah, untuk memindahkan kes tersebut ke Mahkamah Tinggi sebaik sahaja sijil pemindahan dikeluarkan oleh pihak pendakwa.

Mahkamah Tinggi menolak untuk mendengar permohonan semakan tersebut melalui sepucuk surat bertarikh semalam dan dialamatkan kepada ketua pendakwaraya kes tersebut, Datuk Yusof Zainal Abiden.

Salinan surat tersebut turut dihantar kepada Komathy dan para peguam Anwar.

Hakim tidak puashati


Menurut surat tersebut - yang ditandatangani oleh penolong pendaftar kanan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Haslina Basarudin - permohonan pihak pendakwa untuk membuat semakan berkenana, telah ditujuk kepada Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah semalam.

Haslina berkata, selepas meneliti surat tersebut, hakim berkenaan berpendapat bahawa semakan terhadap keputusan berhubung bantahan awal, yang dibuat oleh hakim Mahkamah Sesyen, telah seharusnya dibuat di peringkat ini.

Menurutnya, hakim Mahkamah Sesyen seharusnya diberi peluang untuk mendengar dan memutuskan merit bantahan awal pihak peguambela (dalam pemindahan kes) sebelum sebarang tindakan semakan dibuat.

Oleh itu, kata Haslina, pendengaran merit bantahan awal peguambela seharusnya diteruskan di Mahkamah Sesyen.

Sementara itu di Mahkamah Sesyen, hakim Komathy hari ini meneruskan mendengar hujah peguam Anwar mengenai sebab-sebab mengapa mereka membantah permohonan pihak pendakwa untuk memindahkan kes tersbut ke Mahkamah Tinggi.

Anwar, 60, telah didakwa di Mahkamah Sesyen dengan tuduhan melakukan hubungan seks di luar tabii ke atas bekas pembantunya, Mohamad Saiful Bukhari Azlan, di sebuah kondominium empat bulan lalu.

Pihak pendakwa kemudiannya memohon untuk memindahkan kes tersebut ke Mahkamah Tinggi tetapi pihak peguambela berhujah bahawa sijil pemindahannya tidak sah kerana ia ditandatangani oleh Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail yang disiasat oleh Badan Pencegah Rasuah (BPR) berhubung laporan polis yang dibuat oleh Anwar terhadapnya.


edyes wrote:

Dapat juga kita berjumpa dengan Dato Seri Anwar Ibrahim di jamuan rumah terbuka Pakatan Rakyat pada 12 Oktober bertempat di Padang Kelab Sultan Sulaiman.

Jika kes ini dipindah ke mahkamah tinggi, sudah tentu DSAI merengkok dalam tahanan kerana tiada jaminan untuk Anwar di mahkamah tinggi.

Berita penolakkan mahkamah sesyen ini adalah rentetan kemenangan demi kemenangan yang bakal membawa negara ini ke arah MALAYSIA BARU.

Anwar juga dikatakan masih mempunyai sokongan ahli parlimen untuk menumbangkan kerajaan BN. Cuma kali ini tarikhnya dirahsiakan.

Alhamdullillah

No comments: