Bantah kenaikan harga minyak: Lagi ahli Umno Sabah sertai KEADILAN
TENOM: Sekumpulan 42 ahli Umno dari Kampung Lohot Ulu Tomani, Tenom bertindak keluar parti sebagai membantah tindakan kerajaan menaikkan harga minyak kelmarin.
Wakil kumpulan itu, Room Tukau berkata, kenaikan tersebut membuktikan kerajaan Umno Barisan Nasional (BN) menzalimi rakyat khususnya di Sabah yang majoritinya merupakan warga miskin.
“Kerajaan kata Ron97 dinaikkan kerana rakyat ada pilihan membeli Ron95 yang agak murah, alasan itu tidak munasabah kerana pengangkutan merupakan keperluan penting di pedalaman.
“Apabila harga minyak naik, kos pengangkutan akan turut baik sebagaimana yang berlaku sebelum ini,” katanya.
Semalam, bekas ahli Umno terbabit menyerahkan borang keahlian kepada Ketua Cabang Tenom, Datuk Halik Zaman.
Mengulas penyertaan tersebut, Halik ketika dihubungi Keadilan Daily.com hari ini berkata, kenaikan itu menyebabkan penduduk di kawasan pedalaman Sabah terutama golongan miskin bertambah sengsara.
Katanya, Ron97 merupakan pilihan utama pemilik kenderaan di Tenom dan ia memudahkan pergerakan kenderaan di kawasan itu yang bentuk muka buminya berbukit bukau.
“Apabila harga minyak berkenaan naik lagi, sudah pasti kesan paling serius ditanggung rakyat yang majoritinya berada dalam paras kemiskinan.
“Peniaga pula akan memindahkan kos pengangkutan itu kepada pembeli dengan menaikkan harga barang.
“Penduduk Tenom kebanyakannya warga miskin. Maka, golongan inilah yang paling terbeban setiap kali berlakunya kenaikan harga minyak,” katanya.
Pada 1 Februari lalu, harga petrol RON97 dinaikkan 10 sen meningkat menjadi RM2.50 seliter berbanding RM2.40 sebelumnya. Kenaikan itu merupakan yang keempat berturut-turut bagi petrol RON97 dan dinaikkan sehari selepas BN memenangi pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri Tenang, Ahad lalu.
Sebelum ini, harga RON97 mula dinaikkan kepada RM2.15 pada 2 November tahun lalu, RM2.30 pada 1 Disember tahun yang sama dan terus meningkat kepada RM2.50 pada 4 Januari tahun ini.
Berikutan kezaliman BN itu, menurut Halik, kira-kira 200 lagi ahli Umno di kawasan itu bakal menyertai KEADILAN dalam masa terdekat.
“Sejak Cabang Tenom mempergiatkan program dan berjaya menembusi kubu Umno BN di Tenom, kami sering diburu dan diganggu oleh ‘orang-orang tertentu’. Mereka ini kerap menghalang penduduk Tenom dari mendengar dan menerima penerangan dari pimpinan KEADILAN.
“Namun, saya anggap semua itu sebagai cabaran dalam perjuangan. Apa yang pasti, penerangan kepada rakyat harus diteruskan kerana program KEADILAN tidak mungkin dilaporkan TV3 dan media arus perdana yang dikuasai Umno BN,” tambah Halik.
Dengan kemasukan kali ini, sejumlah 383 ahli dari parti lawan menyertai KEADILAN dalam tempoh tiga minggu. - KeadilanDaily
No comments:
Post a Comment