Analisa di bawah bukan tulisan saya, ianya adalah nukilan seorang perunding Sumber Manusia Strategik, Teknologi Sains Maklumat dan program pembangunan organisasi yang sedang melanjutkan pengajian di peringkat PhD di sebuah universiti terkemuka tempatan. Beliau adalah saudara Shaharul Rashid
Amati analisi beliau di bawah;
Analisa kerusi Parlimen Sarawak menurut PRN
Berakhirnya musim 'panas' di Sarawak, kini beralih kepada teka-teki bilakah akan pula terjadinya musim 'panas' seluruh negara. Mungkinkah pilihanraya umum akan datang diadakan semasa musim panas di Malaysia? Seandainya di Malaysia ada musim panas atau summer sepertimana di negara-negara hemisfera utara, mungkin PRU diadakan pada bila-bila masa di antara bulan Jun sehingga Ogos tahun ini.
Petandanya sudah sedikit nampak sepertimana di masa lalu, apabila guru-guru besar dan para pengetua menerima surat untuk menyegerakan apa-apa bentuk ujian dan peperiksaan di peringkat sekolah. Maklumlah sekolah-sekolah kenalah ditutup beberapa hari bagi memberi peluang kepada penyediaan menjelang hari mengundi dan proses mengundi.
Bagi penulis, tidak kisahlah bilakah PRU13. Ini kerana penulis yakin perkara ini pastinya membuntukan pemikiran Perdana Menteri yang disayangi ramai, Datuk Seri Mohd Najib Razak. Bukannya senang untuk Najib meletakkan tarikh atau tempoh lebih-lebih lagi melihat faktor 'kemenangan' di Sarawak yang mempunyai beberapa persoalan-persoalan yang tersirat di sebalik kemenangan itu. Selain faktor persepsi pengundi, yang turut memburukkan peluang BN di peringkat Pusat pastinya ialah untuk mengadakan pilihanraya sebelum keadaan ekonomi dunia memasuki fasa pra-gawat setelah lebih dua tahun berada di peringkat pertumbuhan ekonomi yang tinggi dan stabil.
Kelemahan ekonomi mikro dan kadar pengangguran meningkat mampu terus menggugat BN
Pastinya kitaran ekonomi akan ada naik dan turunnya. Hanya bila-bila masanya graf ekonomi negara selaras dengan ekonomi dunia pasti kembali menunjukkan penguncupan. Apabila ini berlaku, kebanyakan kerajaan di dunia ini mampu tumbang jika pilihanraya diadakan semasa penguncupan ini berlaku. Di Malaysia, penguncupan ekonomi pastinya melibatkan para peniaga yang kebanyakannya terdiri dari kaum Cina. Meskipun kini makro ekonomi nampak bagus, boleh dikatakan 70 peratus kaum Cina sudah pun menolak kerajaan BN, bagaimana pula jika ekonomi semakin menguncup, lebih teruk lagilah sokongan kaum Cina kepada BN.
Pada PRU 1999, kemenangan BN di bawah mantan PM, Tun Mahathir Mohamad adalah disebabkan oleh kemampuan beliau mengemudi ekonomi negara menghadapi tempoh kemelesetan ekonomi ketika itu yang menyebabkan kaum Cina menyokongnya secara berpadu. Hanya pengundi Melayu yang dilihat beralih sokongan kepada parti pembangkang ketika itu seperti PAS dan PKN (nama dulu untuk PKR). Situasi Umno kehilangan undi Melayu itu jelas nampak apabila negeri-negeri Melayu seperti Kelantan dan Terengganu jatuh ke tangan PAS sementara di Kedah Umno dan PAS hanya berselisih 2 kerusi dan PAS menawan banyak kerusi di dalam DUN Pahang serta Selangor.
Kini, isu sedunia yang turut melanda negara yang menyebabkan kejatuhan Tunisia dan Mesir serta mengganggu gugat kestabilan banyak negara Arab ialah isu pengangguran tegar. Di Malaysia meskipun makro ekonomi adalah baik, kini seramai 300,000 pemuda dan bekas pekerja yang terpaksa dihentikan bekerja oleh syarikat-syarikat yang mula menggunakan sistem automasi teknologi maklumat bagi mengurangkan keperluan kepada tenaga buruh Malaysia. Jumlah 300,000 ini kebanyakannya ialah pengganggur graduan Melayu yang kebanyakannya mengharapkan pekerjaan dan pastinya kemarahan mereka sukar dibendung dan mampu ditunjukkan di dalam bentuk kertas undi.
Pakatan mampu menambah sehingga 10 kerusi Parlimen dari Sarawak
Dengan Sabah dan Sarawak yang selama ini dianggap sebagai 'deposit tetap' BN, kini ternyata sudah tidak lagi berikutan keputusan pilihanraya DUN Sarawak yang dilangsungkan dua hari lepas. Di negeri Sarawak, Dewan Rakyat memiliki 31 kerusi dan di Sabah pula 25 kerusi. Kini di Parlimen, BN Sarawak memiliki 29 kerusi tersebut manakala selebihnya lagi iaitu 2 kerusi milik DAP. Melihat kepada keputusan di kesemua 71 kerusi DUN Sarawak, ia memberikan gambaran jelas jika dilihat undi-undi yang dijumlahkan di peringkat DUN diselaraskan bagi Parlimen, BN berpotensi besar kehilangan sehingga 10 kerusi Parlimennya di Sarawak kepada DAP dan PKR dalam PRU nanti.
Dengan kemenangan 13 kerusi DAP dalam PRN Sarawak baru ini, jelas sekali kerusi Parlimen yang dimiliki sekarang iaitu Kuching akan terus kekal dalam PRU 13 nanti. Ini kerana kerusi-kerusi DUN di bawah Parlimen Kuching seperti Pending dan Padungan dimenangi oleh DAP.
Manakala di bawah Parlimen Sibu, dari 3 kerusi DUNnya, DAP menang besar di DUN teramai pengundi iaitu di DUN Pelawan meskipun dua DUN lagi iaitu Bawang Assan dan Nangka dimenangi masing-masing oleh SUPP dan BN. DAP memang kalah di Bawang Assan tetapi tipis. Namun begitu, menjumlahkan undi yang diterima oleh BN dan Pakatan Rakyat (PR) di ketiga-tiga DUN di sini menampakkan keadaan menjadikan Sibu kawasan Kelabu bagi kedua-dua pihak. Jumlah diperolehi oleh BN di Parlimen Sibu ialah 21,953 undi manakala PR pula mendapat 21,234 dengan majoriti 719.
Parlimen Sibu boleh dirampas BN jika ada perpindahan pengundi Bumiputera Islam?
Kita menjangkakan BN boleh kembali merampas Sibu jika persempadanan semula dibuat oleh Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia (SPR) melibatkan kerusi DUN Dalat di bawah Parlimen Mukah yang bersebelahan dengan Parlimen Sibu dengan DUN Nangka yang kebanyakannya pengundi Melayu. Jika SPR dapat melakukan strategi persempadanan ataupun perpindahan pengundi dengan memasukkan sedikit kawasan DUN Dalat yang juga bermajoriti Melayu-Melanau sekurang-kurangnya 1,000 ke 2,000 pengundi ke dalam DUN Nangka di bawah Sibu, pastinya BN mampu merampas Sibu semula walaupun dengan majoriti yang kecil.
Selain DUN Dalat, satu lagi DUN di bawah Parlimen Mukah ialah DUN Balingian yang ditandingi sendiri oleh Ketua Menteri, Tan Sri Pehin Taib Mahmud. Oleh itu, dengan penjelasan yang diberikan penulis mengenai strategi yang mungkin dilakukan oleh SPR sebelum PRU akan datang, semoga PR perlulah mula berhati-hati dan mengambil perhatian.
Walaupun DAP berhadapan kemungkinan kehilangan Sibu berdasarkan trend pengundian dua hari lepas, di dalam PRU akan datang, DAP masih boleh meningkatkan usaha bagi merampas Bawang Assan atau menutup jurang majoriti. Setiausaha Agung SUPP, Datuk Wong Soon Koh menewaskan calon DAP, Alice Lau dengan majoriti 1,808 pada PRN minggu lepas berbanding dengan majoriti beliau perolehi sebanyak 2,504 semasa PRN 2006. Apa yang penulis andaikan di sini ialah mengambil konsep penjumlahan kesemua kerusi DUN di bawah sesuatu kerusi Parlimen bagi membayangkan kemungkinan di dalam PRU akan datang.
Namun begitu, andaian begini tidak semestinya benar kerana setiap pengundi berhak memilih calon masing-masing yang mungkin berbeza parti di dalam setiap kertas undi DUN dan Parlimen. Memang tidak dinafikan, ramai pengundi yang memilih parti-parti yang lain di setiap kertas undi DUN dan Parlimen tetapi majoritinya lebih memilih parti yang sama mewakili mereka sama ada di Parlimen mahupun di DUN terutamanya di Sarawak. Namun begitu. kaedah penjumlahan ini adalah satu bentuk kaedah ramalan yang boleh difikirkan sebagai perancangan dan juga amaran bagi menyediakan pelan bertindak.
Lima kerusi parlimen Sarawak dalam tangan DAP sahaja
Dengan keputusan PRN Sarawak yang terbaru ini, dengan kaedah penjumlahan ini, DAP mampu merampas sehingga 5 kerusi Parlimen Sarawak di dalam PRU nanti. Yang pastinya DAP boleh merampas kerusi Parlimen Stampin, Sarikei, Lanang dan Miri dengan majoriti besar dan mudah tetapi mampu merampas Parlimen Bintulu dengan majoriti kecil. Bagi Parlimen Stampin, PR telah memenangi dengan besar di DUN Batu Kawah dan Kota Sentosa melalui DAP dan DUN Batu Lintang melalui PKR.
Parlimen Sarikei, kedua-dua kerusi DUNnya iaitu Repok dan Maradong dimiliki melalui DAP manakala di Parlimen Lanang, DAP menguasai kedua-dua DUN Bukit Assek dan menang tipis di DUN Dudong. Lonjakan penguasaan di Lanang adalah disebabkan populariti penyandangnya, Wong Ho Leng yang juga Ketua Pembangkang DUN Sarawak dan ahli Parlimen Sibu yang memperolehi majoriti melebihi 8,000 undi di DUN Bukit Assek. Di Parlimen Miri pula, di mana salah satu kerusi DUNnya iaitu DUN Piasau yang menyaksikan kekalahan Presiden SUPP/BN, Tan Sri George Chan kepada calon muda DAP, Ling Sie Kiong. Dua DUN lagi, Pujut dan Senadin masing-masing dimenangi oleh DAP dan BN. Di DUN Senadin, PKR mewakili PR hanya kalah tipis 58 undi kepada calon BN.
Sementara itu, kedudukan 'kelabu' bagi DAP untuk menang mampu dicapai di Parlimen Bintulu meskipun dua daripada tiga DUNnya dimenangi oleh BN di Jepak dan Kemena. DAP berjaya mengekalkan kerusi DUN Kidurong dengan menambah majoriti sehingga 7,000 undi jika dibandingkan dengan majoriti sebanyak 1,664 pada PRN 2006. Yang menarik di Bintulu ialah, DUN Jepak adalah penempatan Melayu Bumiputera Islam dan DUN Kemena lebih ke pedalaman dihuni oleh pengundi Bumiputera bukan Islam. Jumlah pengundi berdaftar di Jepak dan Kemena jika dicampurkan adalah menyamai jumlah pengundi berdaftar di Kidurong sendiri yang kebanyakannya kaum Cina yang tinggal di bandar Bintulu sendiri.
PKR boleh tambah 4 kerusi Parlimen tetapi tentangan sengit dijangkakan
Bagi PKR pula, dengan meningkatkan penguasaan mereka di 3 kerusi DUN dan pertambahan undi di banyak kerusi DUN yang mempunyai komposisi pengundi Cina dan di kawasan bandar juga membolehkan mereka memberi cabaran kepada BN Sarawak dalam PRU akan datang. Tentangan yang boleh dikatakan boleh mencabar BN ialah di Parlimen Saratok di mana salah satu DUNnya dimenangi oleh PKR di DUN Krian dan satu lagi DUN Kelaka yang dimenangi oleh BN.
Namun begitu, keadaan nampak lebih mudah di Parlimen Selangau dengan pengundi berjumlah hampir 22,000 orang yang menempatkan DUN Tamin dan Kakus. Meskipun PKR tewas di kedua-dua kerusi itu yang dimenangi oleh PRS/BN yang penduduknya bermajoriti bumiputera bukan Islam, fakta menarik ialah kemampuan PKR mengurangkan majoriti BN di kedua-dua DUN tersebut jika dicampur dari 5,229 undi pada PRN 2006 kepada hanya 1,894 undi pada kali ini. Lagi menarik ialah ketika PRU 2008, Parlimen Selangau ini dimenangi BN tanpa bertanding melalui calonnya Joseph Entulu Belaun. Melihat situasi ini, PKR berkemampuan bertanding di sini di dalam PRU 13 nanti. Yang istimewa juga mengenai Parlimen Selangau ialah di sinilah terletaknya empangan Bakun yang menjadi kontroversi membabitkan penduduk Penan dan Orang Ulu.
Isu Empangan Bakun dan AlKitab memang sah mengurangkan undi BN kali ini di pedalaman
Empangan ini sebenarnya terletak di sempadan dengan satu lagi kerusi parlimen pedalaman iaitu Parlimen Kapit yang menempatkan dua lagi kerusi DUN iaitu Pelagus dan Katibas. Kerusi Pelaguslah yang dimenangi oleh satu-satunya calon Bebas di dalam DUN Sarawak kali ini manakala calon BN di Katibas menang dengan majoritinya dikurangkan dari 3,332 undi (PRN 2006) kepada 2,256 undi. Sebenarnya majoriti ini boleh dikurangkan lagi sehingga 1,359 undi sekiranya tiada pertandingan 3 penjuru di antara BN, SNAP dan PKR. Begitulah juga keadaannya di Pelagus sekiranya tiada pertandingan 3 penjuru antara BN, PKR dan Bebas, jika dikira undi yang diperolehi oleh semua calon pembangkang akan mendapat hampir 7,000 undi dan calon BN dari PRS hanya mendapat 3,000 undi. Sekiranya dalam PRU akan datang, parti-parti pembangkang boleh mengelakkan situasi pertandingan banyak penjuru, maka Parlimen Kapit juga dengan mudah boleh ditawan PR.
Sememangnya dalam PRN kali ini, isu Penan dan Bakun sebenarnya banyak merubah undi penduduk di Parlimen Selangau dan Kapit yang sebelum ini dilihat menyokong PRS/BN. Dari tinjauan jumlah pengundi yang keluar mengundi di DUN Kakus,Tamin,Pelagus dan Katibas yang masing-masing mempunyai dua DUN terletak bawah Parlimen Selangau dan Kapit yang berjumlah 30,268 pengundi. Jumlah undi popular diperolehi oleh BN ialah 14,593 undi manakala pembangkang(termasuk undi PKR,PCM,SNAP dan Bebas) ialah 15,675 undi. Ini bermakna dalam PRN kali ini, pengundi bumiputera bukan Islam sebenarnya telah beralih dengan banyaknya dari BN kepada pembangkang ekoran isu Bakun dan juga isu penggunaan nama Allah dan AlKitab kerana rata-ratanya beragama Kristian.
PKR juga mampu berikan tentangan tetapi sengit sekali di dalam Parlimen Lawas, di mana terletaknya kerusi DUN Be'kalalan yang dimenangi oleh Ketua PKR Sarawak, Baru Bian dan satu kerusi lagi, DUN Bukit Sari yang kebanyakannya adalah Melayu berketurunan Brunei. Bukit Sari dimenangi oleh calon Melayu dari PBB/BN. Pertandingan sengit dijangkakan di Lawas kerana komposisi Parlimen ini ialah 60% pengundi Melayu yang majoritinya dari DUN Bukit Sari dan 40% adalah kaum Iban/Dayak yang kebanyakannya dari Be'kalalan. Namun, jika Baru Bian boleh menunjukkan ketrampilannya di DUN Sarawak yang mungkin dipilih sebagai Ketua Pembangkang baru di DUN Sarawak(meskipun PKR hanya menang di 3 kerusi sahaja), kotak-kotak undi kaum Iban/Dayak di Bukit Sari boleh beralih arah kepada PKR beserta pertambahan sokongan dari kaum bumiputera bukan Islam sendiri di kerusi DUN Be'kalalan sendiri.
Walaupun menang 2/3 kerusi DUN Sarawak, ternyata BN menang membentuk kerajaan dan memperolehi kuasa eksekutif,namun sepertimana dalam artikel penulis sebelum ini, PR perlulah menang 'bergaya' atau menang 'motivasi' meskipun kalah mengejar kuasa. Keputusan PRN kali ini jelas bertepatan dengan ramalan penulis di dalam artikel sebelum ini 'Jika PR kalah pun, biarlah bergaya'. Hanya penulis tidak tepat ialah dalam artikel itu, penulis telah meramalkan BN gagal memperolehi 2/3 majoriti.
Keputusan DUN Ngemah dan DUN Telang Usan hasil tiada kesepakatan pembangkang
Penulis ada juga menulis ketidaksepakatan pembangkang terutamanya di antara PKR dan SNAP pasti memberikan masalah terutamanya perpecahan undi di sesetengah kerusi. Contohnya seperti DUN Ngemah yang sebelum ini disandang oleh Presiden PCM, Gabriel Adit Demong yang tidak bertanding bagi memberi laluan kepada calon PCM yang lain iaitu Adeh Demong. Bagi DUN Ngemah, terdapat pertandingan 5 penjuru yang akhirnya dimenangi oleh calon PRS/BN, Alexander Vincent apabila memperolehi undi sebanyak 2,361 undi. Namun begitu, jika ditambah kesemua yang diperolehi oleh calon-calon pembangkang yang lain, jumlahnya ialah 2,871 undi. Dengan ini, jika pertandingan ini adalah 2 penjuru, pastinya parti pembangkang sudah mampu menambah satu lagi kerusi di DUN Sarawak, tidak kiralah dari PCM, SNAP ataupun PKR.
Satu lagi contoh hasil daripada ketidaksefahaman PKR dan SNAP berlaku di DUN Telang Usan yang menyaksikan pertandingan 4 penjuru antara BN, SNAP, PKR dan Bebas. Disebabkan perpecahan undi, calon BN menang dengan 3,597 undi. Tetapi tahukah anda dengan menjumlahkan undi yang diperolehi oleh SNAP, PKR dan Bebas, jumlah undi pembangkang adalah lebih 4,000 undi. Jika pertandingan dua penjuru, maka parti pembangkang mempunyai kelebihan bagi menduduki kerusi DUN Telang Usan.
BN menang tetapi presiden-presiden komponen BN semuanya hilang majoriti
BN mengekalkan penguasaannya di banyak kerusi walaupun majoriti yang diperolehinya jatuh dengan banyaknya, maka PR boleh mendabik menang kerana 'menang' moral di dalam melakukannya. Antaranya ialah di DUN Tarat, BN mendapat majoriti sebanyak 1,995 undi jika dibandingkan dengan 3,256 undi dalam PRN 2006, DUN Asajaya BN mendapat majoriti 4,489 (dulu 5,063), DUN Lambir mendapat 1,521 majoriti (dulu 2,834) dan banyak lagi DUN yang majoriti telah turun. Ini termasuklah penampilan PAS di dua kerusi DUN iaitu Beting Maro dan Sebuyau yang berjaya menurunkan majoriti BN. Di Beting Maro, majoriti diturunkan sehingga 391 undi (dulu 895) manakala di Sebuyau, majoriti terkini ialah 2,276 (dulu 2,448).
Pemimpin-pemimpin kanan parti yang merupakan Presiden dan Timbalan Presiden komponen BN Sarawak juga mengalami penurunan yang banyak di kerusi masing-masing. Selain dari Presiden SUPP yang menjadi 'gergasi' yang tewas di DUN Piasau, kesemua Presiden parti komponen BN Sarawak mengalami penurunan majoriti.
Antaranya ialah di DUN Pakan, Presiden SPDP, Datuk Seri William Mawan memperolehi majoriti 1,197 undi sedangkan dalam PRN 2006 mendapat 1,763 undi. Di DUN Baleh pula, Presiden PRS, Datuk Seri Dr James Masing memperolehi majoriti 3,898, turun hampir 1000 undi dari 4,802 undi. Bukan itu sahaja, Timbalan Ketua Menteri II, Datuk Seri Alfred Jabu dari PBB juga mengalami penurunan jumlah majoriti undi dari 2,677 kepada 1,916 undi pada PRN kali ini.
Taib Mahmud hilang 25% penyokongnya dalam PRN 2006 kali ini
Yang mengejutkan juga ialah Ketua Menteri sendiri, Taib Mahmud yang mengalami penurunan yang agak banyak di DUN Balingian. Sepertimana yang kita ketahui, majoriti pemenang dikira dengan mengambil jumlah undi diperolehi oleh pemenang dan ditolak dengan jumlah undi diperolehi calon yang mendapat undi kedua tertinggi. Di Balingian berlakunya pertandingan 3 penjuru di antara Taib, PKR dan Bebas. Majoriti diperolehi Taib kali ini ialah 5,154 undi iaitu kurang 572 undi jika dibandingkan dengan majoriti dalam PRN yang lepas iaitu 5,726 undi. Namun begitu, jika undi yang diterima oleh calon PKR ditambah dengan calon Bebas(kedua tertinggi) di Balingian, secara harfiahnya majoriti sebenar di antara pengundi BN dan pembangkang, Taib sendiri telah mengalami penurunan majoriti sehingga 4,283 undi. Ini bermakna Taib telah hilang 1,443 pengundi atau 25% daripada pengundinya sebelum ini semasa PRN 2006.
Perpaduan PR Sarawak adalah isu utama kena diselesaikan
Banyak kesilapan dan masalah yang timbul di dalam PRN kali ini di pihak PR terutamanya PKR. Tidak dinafikan PAS masih jauh lagi diterima di Bumi Kenyalang dan di masa hadapan kerusinya boleh ditandingi oleh calon dari PKR berbangsa Melayu atau Bumiputera Islam. DAP terus mengungguli lebih dari 70 peratus undi kaum Cina di semua penempatan atau kotak undi Cina. Masalah SNAP dan PKR haruslah diselesaikan sebelum tibanya PRU ke 13.
Isu kekayaan Taib, empangan Bakun dan AlKitab masih lagi relevan untuk digunakan oleh pembangkang dalam PRU akan datang terutamanya untuk merebut kerusi Parlimen di Sarawak. Hanya perlu pastikan usaha mengurangkan berlakunya pertandingan lebih dari 2 penjuru di kawasan-kawasan penempatan pedalaman mampu meningkatkan kemampuan PR bagi member tentangan sengit untuk merampas sehingga 10 kerusi Parlimen daripada BN di samping mengekalkan 2 kerusi Parlimen kini dipegang melalui DAP di Kuching dan Sibu (berdasarkan penjumlahan undi peringkat DUN).
Jika sentimen yang sama berlaku di kalangan pengundi Cina berterusan sehingga ke dalam PRU 13 di Semenanjung Malaysia di samping menumpukan usaha menarik undi kaum Melayu di Semenanjung bagi mengekalkan status kedudukan parlimen hari ini, ditambah dengan pertambahan kerusi dari Sarawak ke kantung PR, maka harapan BN memperolehi semula 2/3 majoriti di peringkat Parlimen sekali lagi boleh dinafikan PR.
Jika ramalan ini mampu berlaku dengan kegagalan BN menambah kerusi di Parlimen, pastinya perpaduan di dalam BN sendiri boleh bergoyah. Oleh itu, bagi menghadapi PRU13, PR perlu meletakkan usaha menarik semula pengundi Melayu di Semenanjung menyokongnnya dari kalangan orang muda serta bijak menyelesaikan tuduhan-tuduhan yang melibatkan peribadi beberapa pemimpin pembangkang, isu tadbir urus di negeri-negeri PR, pengunduran pemimpin-pemimpin lama PR dan menyepadukan kempen melalui media baru mungkin mampu meletakkan BN di dalam keadaan 'lebih panas' dari biasa.
Shaharul adalah seorang perunding Sumber Manusia Strategik, Teknologi Sains Maklumat dan program pembangunan organisasi. Beliau juga kini melanjutkan pengajian di peringkat PhD di sebuah universiti terkemuka tempatan. Selain itu, beliau juga menulis beberapa artikel analisa perkembangan politik, sosial dan ekonomi yang diterbitkan di beberapa laman web dan media cetak. Beliau boleh dihubungi di rashidzack@yahoo.com