Monday, February 23, 2015

Kisah Najib Sailang Tarikh Kahwin Anak Muhyiddin


Tulisan Santai
23 Februari 2015

Kisah Najib Sailang Tarikh Kahwin Anak Muhyiddin

Di sebuah kampung yang banyak masaalah, telah berlaku satu pertembungan yang tidak disangka-sangka. Akhirnya satu keputusan diambil, iaitu pengunduran yang sementara.

Muhyiddin berang, persiapan untuk melangsungkan perkahwinan gilang gemilang anaknya yang vogie the vogue itu kini tergendala.

"Anak aku ini bukan orang sembarangan, anak aku tersohor di seluruh kampong, juara karaoke daerah" getus hati Muhyiddin yang masih tidak berpuas hati.

Muhyiddin bagaimanapun terpaksa akur menangguhkan majlis perkahwinan anaknya yang vogie the vogue itu. Ini semua adalah angkara Najib yang sengaja memilih bukan sahaja tarikh yang sama iaitu 28 Mac 2015, malah lokasi yang hampir sama iaitu di sebuah hotel mahsyur sekitar KLCC untuk majlis perkahwinan 'tiba-tiba' anak Najib.

Mentang-mentanglah Najib itu ketua kampong, apakah tidak ada tarikh lain untuk majlis perkahwinan anaknya itu? Sedangkan Muhyiddin telah menempah segala macam onde-onde, tempahan tarian zapin, juga menempah kehadiran artis seperti Akim and the magic street, Stacy mewangi dan Jep sepahtah. Tempahan kad jemputan juga telah siap yang hanya menunggu masa untuk dihantar kepada dif kehormat seluruh negara.

Maka, terpaksalah dibatalkan semua tempahan yang mengakibatkan banyak ringgit deposit telah hangus. Kad jemputan berbentuk 3D itu juga terpaksa dibuang, apa kelas timbalan ketua kampong nak hantar kad yang ada pembetulan. Persiapan berbulan-bulan lamanya, menjadi sia-sia.

Sebagai timbalan ketua kampong, pastinya Muhyiddin terkesan dengan sikap Najib yang seolah-olah ingin berseteru dan cuba mengeruhkan lagi hubungan yang sememangnya retak menanti belah. Walaupun tauke besar kampong iaitu mamak bendahara teguh di belakang Muhyiddin, namun dalam soal majlis perkahwinan ini Muhyiddin mengambil jalan berundur setapak dan sedia untuk membalasnya jika berpeluang.

Masih terngiang-ngiang di fikiran Muhyiddin lantas tidak mampu melelapkan matanya apabila memikirkan apakah yang akan diperkata kepadanya kerana sanggup mengalah?

"Muhyiddin nak buat majlis kahwin anaknya hujung Mac… Najib mat monggol sailang tarikh sama hahahahaha…"

Barangkali begitulah ayat-ayat yang mungkin kedengaran di kalangan orang kebanyakkan. Muhyiddin tidak dapat membayangkan malu besar bakal dilalui oleh mereka sekeluarga. Orang kampong dah tau, majlis kawin tak jadi. Mereka bukan faham antara maksud tangguh dengan maksud tak jadi.

"Ada ubi ada batas, ada hari boleh ku balas" mengetap-ngetap bibir Muhyiddin dengan muka yang sembab itu mengekspressikan kemarahan terhadap mat monggol. 

"Siaplah kau, sampai masa, silap-silap sebelum 28 Mac, aku sailang pulak jawatan yang kau sandang!" Kata Muhyiddin sebelum menyambung tidur petangnya.

EDY NOOR REDUAN
Aktivis Blogger
SAMM

(gambar sebagai hiasan)
 

Monday, February 16, 2015

Hambar di Sogo Bukan Satu Pengakhiran, Tetapi Satu Permulaan Yang Baik

Tulisan Umum
16 Feb 2015

Hambar di Sogo Bukan Satu Pengakhiran, Tetapi Satu Permulaan Yang Baik

Beberapa laporan media mengatakan himpunan melawan kezaliman Sabtu lalu di perkarangan pusat membeli belah Sogo agak hambar. Dengan penyertaan yang tidak sampai angka ribu, pastinya ia diluar dugaan pengamal media tempatan mahupun media antarabangsa.

Himpunan yang hanya dimobilisasi selama dua hari oleh sekumpulan anak muda akhirnya mampu juga berpesta di jalanan dengan satu jumlah yang cukup. Jika jumlah tidak cukup, mana mungkin mereka berarak menari zumba di jalanraya. Bukan satu kejayaan yang besar, namun ia satu permulaan yang baik dan mampu menarik lebih banyak pihak untuk aksi akan datang, termasuklah pihak polis.

Kehadiran beberapa sosok politik termasuk Nurul Izzah dan Nik Nazmi tidak banyak memberi impak. Hadir untuk menunjuk muka semata-mata kemudian hilang, adalah lebih baik tidak muncul langsung. Tidaklah saya halang untuk mana-mana sosok politik hadir ke demonstrasi kecil ataupun besar, tetapi mengapa tidak ikut anak muda turun ke jalanraya dari Sogo hingga ke Puduraya? Apa beza kamu dengan Azmin?

Kehadiran sosok parti ini juga sedikit sebanyak menukar tajuk berita, samada di portal online atau TV3, himpunan anak muda menentang kezaliman dan ketidak-adilan sudah menjadi himpunan pihak pembangkang menuntut pembebasan Anwar. Ada bezanya, gerakan anak-anak muda dan aktivis untuk menumbangkan regim tidak boleh disamakan dengan usaha memenangkan Pakatan Rakyat. Hanya secara tidak langsung ia selari. 

Begitu juga perbezaan antara himpunan melawan kezaliman dan himpunan bebaskan Anwar, tetap ada perbezaan walaupun sedikit. Kita lawan sistem dan keputusan penghakiman yang berat sebelah selain polisi kerajaan yang menindas rakyat, manakala pula Anwar menjadi salah satu subjeknya iaitu dizalimi. Harus diingat, bukan Anwar seorang sahaja yang dizalimi. Anda semua turut dizalimi, hanya sedar atau tidak sedar yang membezakan fikrah. Atau mungkin saja sedar dalam kepasrahan.

Berbalik kepada soal kehadiran, ya benar tidak dinafikan jumlah yang hadir itu agak hambar. Ia sedikit pun tidak mengecewakan anak muda yang memilih untuk muncul pada hari tersebut, mungkin hanya yang dikecewa ialah himpunan tidak diserikan dengan kehadiran pihak polis berseragam. 

Pihak polis juga telah berevolusi. Mereka langsung tidak respon kerana sedar setiap respon akan menggandakan kehadiran. Jika dulu pihak polis akan membuat benteng manusia bagi menghalang anak muda masuk ke Dataran Merdeka contohnya, kini ia tidak berlaku lagi. Mereka sedar setiap halangan akan menyebabkan perlawanan menjadi sensasi.

Keadaan ini bukanlah satu pengakhiran bagi anak muda, ia membuka ruang untuk anak muda mengatur perlawanan baru dengan lebih tersusun. Barangkali anak muda akan memberi isyarat kepada orang ramai supaya turunlah ramai-ramai selepas ini kerana polis takkan kacau kita lagi. Tiada lagi gas pemedih mata, hanya yang dijanjikan ialah pesta lebih besar di atas jalanraya.

Saya faham, ramai aktivis dan anak muda membangkitkan hujah-hujah yang membantut hasrat mereka hadir dalam himpunan kali ini dan mungkin juga akan datang. Antara hujahnya, hadir demonstrasi tidak akan membuahkan hasil bermakna, datang himpunan hanya beberapa jam dan berakhir di kedai kopi, hanya akan turun ke jalanraya jika ia mampu menumbangkan regim dan lain-lain lagi yang semaksud.

Mari saya jawabkan, jika turun demonstrasi dengan harapan tidak mahu berakhir di kedai kopi, boleh sahaja berakhir di lokap jika kamu mahu. Contenglah dinding bas polis, jika bernasib baik kamu akan diberkas. Katakan kepada polis bahawa insiden tersebut adalah satu ekpresi spontan di atas 'jenayah pembunuhan integriti dan kebebasan kehakiman' dan ia satu mesej kepada regim bahawa anak muda sedia bangkit dan lawan.

Hadir demonstarsi kecilan juga umpama menghadiri perlawanan bolasepak di stadium. Perlawanan pertama liga super edisi 2015 umpamanya, kita turun ke stadium untuk memberi sokongan. Kita tahu jika menang perlawanan pertama ini, belum tentu akan menjadikan pasukan tersebut juara musim tersebut. 

Begitu juga dengan demonstrasi, Sabtu lalu adalah perlawanan pertama, kita tahu tanahair ini dizalimi, kita sebagai anak muda turunlah ke jalanraya. Ini soal masa depan kamu, janganlah kata hanya ingin menonton perlawanan ini dari kaca smartfon di rumah melalui facebook dan twitter.

Dalam masa sama, adalah tidak adil untuk membandingkan antara dua era 1998 dan 2015. Kejutan budaya berlaku pada 1998, dalam keadaan rakyat ketika itu penuh energetik. Namun hari ini anak muda sedang bergelut menyalakan api perlawanan ketika rakyat letih diharuk pelbagai hala oleh regim. Masing-masing memikirkan survival, sedangkan kunci kebahagiaan terletak di tangan regim.

Jika ditanya kepada saya apakah semuanya sudah berakhir, saya katakan ia baru sahaja bermula dan ini adalah satu perlawanan yang panjang. Jika era 1998 bermula dengan gelombang pertama yang dasyat, di manakah gelombang tersebut selepas beberapa tahun? 

Saya optimis gerakan anak muda era kali ini mempunyai harapan yang tersendiri. Biarlah ia bermula dengan satu cetusan yang kecil, momentum disusun dan dibina mampu bercambah secara organik. Masih banyak lagi frontline dan penggerak anak muda belum campur tangan. 

Jika mahu diharapkan parti politik, tunggulah mereka hilang negeri maka ketika itu barulah mereka benar-benar muncul dari mula hingga akhir demonstrasi. Saya tidaklah kata mereka-mereka ini lupa diri, tidak juga saya kata mereka umpama kacang lupakan kulit walaupun mereka sedar kedudukan mereka ini asalnya dari perjuangan jalanraya.

Sekurang-kurangnya mereka tidak menabur janji untuk memastikan Anwar Ibrahim tidak merengkok dalam penjara walaupun sehari, kecuali Azmin Ali. Janji Azmin itu dilafazkan dengan penuh dramatik pada hari Anwar dijatuhkan bersalah sebelum penamaan calon pilihanraya kecil Kajang. Mungkin ketika itu kerana Azmin belum lagi menjadi Menteri Besar maka berjanjilah dulu, agar akhirnya mendapat restu.

Hari ini, sudah masuk hari ke enam Anwar Ibrahim merengkok dalam penjara. Belum ada isyarat dari Azmin untuk merempuh mana-mana penjara, merempuh yang kena dengan maksudnya. Apakah takut terlucut kerusi empuk? 

Janji tetaplah sebuah janji, ia dilafazkan dengan saksi dan rakaman. Manusia berpegang kepada janji, Azmin berpegang pada kerusi. Jika ditanya mengapa harapkan Azmin semata-mata, di mana yang lain? Jawapannya juga berbentuk persoalan - Apakah Azmin yang menabur janji dan mendapat habuan, che'GuBard pula yang harus ke depan?

Edy Noor Reduan
Aktivis Blogger
SAMM

Wednesday, February 11, 2015

Anwar Bayar Kegagalan Kita, 5 Tahun Ansuran di Penjara

Tulisan Terbuka
10 Februari 2015

Anwar Bayar Kegagalan Kita, 5 Tahun Ansuran di Penjara

Hari ini 10 Februari, hari yang sebak. Perasaan ini tidak mampu disembunyikan, ia dapat dilihat di mana-mana. Saya tidak hairan jika sehari ini keadaan tenang seribu bahasa, kerana esok masih ada dan masih mampu berbisa, kerana lusa masih utuh untuk perlawanan seterusnya.

Ketika tulisan ini digarap, kartunis zunar sedang berada di lokap. Beliau diberkas sebelum sempat melahirkan kartun-kartun sinikal yang baru. Dalam kepala saya terbayang 5 ekor kanggaroo menjadi teras lukisan beliau barangkali. Saya klasifikasi penangkapan kartunis Zunar ini satu tindakan 'prevention' sebelum satu serangan bom berlaku di PWTC contohnya. Jangan serius sangat, saya hanya menyindir.

Sungguh cekap dan efisyen sekali pihak polis raja di Malaysia, walaupun Zunar ditangkap bukan kerana kartunnya, tapi hanya kerana secebis tulisan di twitter. Malah twitter menjadi ruangan paling selamat ketika ini kerana IGP sendiri yang buat rondaan berkala. Tidakkah IGP mahu meronda di ruangan facebook pula? Rasanya ramai lagi 'penjenayah' media sosial masih bebas melampias konklusi yang merentap institusi kehakiman.

Siapa lagi bakal direman selepas ini hanya kerana bersimpati terhadap institusi kehakiman negara? Sila ambil giliran masing-masing, tunggu di rumah nanti 'tiga paku' datang angkut semua. Apakah kalian percaya bahawa penangkapan demi penangkapan akan meredakan perlawanan?

Bercakap soal perlawanan, tidak salah jika saya katakan gerakan menumbangkan regim bermula dengan jelas pada era 1998. Di sini gerakan bermula dengan menempuhi pelbagai episod. Antara siri episod yang paling menjadi perhatian ialah liwat 1 dan 2, yang menjadikan negara ini bergelumang dengan berita kelucahan selama belasan tahun khususnya 5 tahun kebelakangan ini.

Episod lucah ini hadir ketika kedudukan regim berada dalam keadaan sangat bahaya. Pertama ialah ketika Anwar gagal diperguna semasa beliau memegang tampuk nombor dua negara lantas mencetus saga perlawanan. Kedua ialah ketika 5 negeri tumbang dalam tsunami pilihanraya umum ke-12 yang juga di atas faktor Anwar dalam momentum yang sangat gamat. Jangan dilupa fakta ini, apatah lagi menafikannya.

Saya percaya kalian semua ada bersama dalam perlawanan ini samada dalam episod pertama atau kedua, atau kedua-duanya. Walaupun Anwar adalah faktornya, tetapi harus diingat bahawa perlawanan ini bukan soal Anwar, bukan soal menyelamatkan maruah keluarganya. Perlawanan ini adalah perlawanan kita, perlawanan ini adalah soal rakyat, soal perjuangan menyelamatkan tanahair.

Bicara soal perjuangan, ketika datangnya harapan membentuk sebuah negara rakyat, kita memilih perjuangan ini dengan meletakkan Anwar Ibrahim sebagai kereta kebal yang akhirnya menjadi sasaran utama. Segala kekuatan persenjataan regim dihalakan terhadap sosok ini, senjata berat, senjata ringan, senjata halus, senjata boleh laras, senjata dalam sekam. Semuanya fokus menjatuhkan kredibiliti, membunuh karektor dan karisma, diulang dan diulang hingga membuahkan hasil tersendiri - iaitu ke'redho'an kita membenarkan Anwar ke penjara.

Apalah nak dipeduli, kamu sudah punya kerajaan beberapa negeri, ramai antara kamu sudah menjadi Adun, berjawatan dalam kerajaan negeri, dalam GLC, ada juga yang bakal menerima insentif pencen sebagai bekas ahli parlimen dan sebagainya. Sedarkah kamu kemewahan yang sementara ini, bagaimana ia bermula? Apakah kamu tergamak menikmati ghanimah manakala Anwar dibunuh dan maruah keluarganya tercela?

Kepada kalian yang terus berjuang tanpa mengharap balasan, mungkin saja terdapat seribu kekecewaan di dalam perjalanan. Tapi sebagai pejuang hatinya waja, bukan tisu dan kertas. Apalah nak dikira bila peluang dan cetusan untuk perlawanan seterusnya kini di depan mata. Ya benar ini bukan soal Anwar, tetapi soal prinsip bilamana seseorang itu ditindas dan dizalimi hingga ke liang penjara. 

Kepada 'pahlawan papan kekunci', samada kalian dituduh sedemikian ataupun memilih untuk menjadi demikian, saya percaya kalian adalah watak penting dalam perlawanan ini. Teruslah jadi pahlawan walau di mana sekalipun, cuma saya nak bagitau bau canister itu cukup menghairahkan. Sila guna sarung tangan, canister itu panas demi meruapkan asap pedih. Garam adalah penawar penting, tetapi meletakkan canister itu ke dalam sebaldi air adalah pencegah yang lebih baik. Sila lari jika semua orang lari, tetapi sila jangan lari jika semua yang di depan itu steady.

Berbalik kepada cerita hari ini, Anwar dijatuhkan hukuman penjara sampai mati. Tiada hujah teknikal dari para hakim, hanya bergantung kepada kredibiliti seorang Saiful, sampel dan plantif tercemar menjadi bukti. 

Saya mengikuti perbicaraan, saya juga bersama che'GuBard menulis sebuah buku 'FITNAH' terhadap Anwar, mendapati segala keraguan munasabah terhadap pertuduhan tidak terjawab. Saya penuh yakin Anwar tidak bersalah.

Dari pengamatan saya, walau mati hidup semula, kalian semua tidak percaya kepada Saiful. Kalian akui bahawa ia adalah sebuah konspirasi ulang cerita sepertimana episod terdahulu. Ya, kalian juga pasti Anwar tidak bersalah. Tetapi gamaknya seolah kalian membiarkan Anwar diheret ke penjara.

Situasi pada hari ini menunjukkan Anwar tidak punya kekuatan seperti waktu gemilangnya iaitu waktu kita bersama menghambat regim. Sudah teruk dibedil dari serata sudut, namun kereta kebal yang terputus rantai ini masih melawan dengan laras yang masih bisa meledak dan tidak akan menyerah kalah. Dalam status begini pun, Anwar dihumban ke penjara di atas sikap dan karektor perjuangannya selama belasan tahun. 

Telah saya katakan tadi, perjuangan ini adalah perjuangan kita bersama. Jujurnya, pemenjaraan Anwar tanpa kebangkitan adalah kemenangan besar buat gerombolan. Apakah kegagalan kita menumbangkan regim zalim ini harus dibayar oleh Anwar dengan sebuah harga - sisa sisa terakhir kehidupannya? 

Berikut saya petik kata-kata akhir Anwar kepada para hakim; 

"Dalam menunduk kepada tuan politik, mereka memalukan diri sendiri dan menjadi rakan jenayah dalam pembunuhan sistem kehakiman. Anda mempunyai peluang untuk membetulkan kesilapan tetapi anda pilih untuk terus berada di pihak yang gelap"

Ia seraya menyebabkan para hakim panas punggung dan beredar dari tempat duduknya.

Ya benar, tidak ada jalan yang jelas ketika ini untuk Anwar dinobatkan sebagai Perdana Menteri seperti mana yang pernah diidamkan. Anwar juga manusia, tidak lari dari silap dan salah kira. Tetapi di atas sekelumit jasanya terhadap diri kita (jika ada), ayuh kita atur sebuah gerakan ampuh bebaskan Anwar dari penjara, dengan prinsip. 

Jelas, perlawanan kita dari dulu dan selepas ini bukan demi menobatkan seseorang, bukan demi sosok pemimpin tertentu, tapi demi rakyat dan menyelamatkan tanahair dari genggaman regim zalim.

Ayuh! Genggam tangan, hayunkan ke atas. Suara Rakyat Masih Keramat!!

Edy Noor Reduan
Aktivis Blogger
Solidariti Anak Muda Malaysia

Thursday, February 5, 2015

SAMM Pertimbang Bertemu Menteri KPDNKK Desak Penurunan Harga Barang

Kenyataan Umum
5 Februari 2015

SAMM Pertimbang Bertemu Menteri KPDNKK Desak Penurunan Harga Barang

Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) dan sekutu telah lama mendesak agar harga barang dan perkhidmatan di pelbagai peringkat diturunkan memandangkan situasi harga minyak dunia yang rendah kebelakangan ini.

Isu peniaga meraih kesempatan mengaut lebihan keuntungan dari situasi ini menjadi hangat apabila Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani terkhilaf apabila memasukkan sedikit hujah yang menyentuh satu etnik di dalam komentar beliau mendesak penurunan harga barang.

SAMM cuba melihat ruang yang ada untuk menggunakan sepenuh peluang ini bagi memulakan kempen dalam fasa kali ini dengan cetusan kemarahan rakyat di setiap peringkat. 

SAMM berpandangan dalam isu penurunan harga barang ini, isu kenyataan perkauman itu bolehlah diketepikan sebaliknya masyarakat dan semua lapisan pemimpin politik perlu kembali kepada persoalan pokok iaitu harga barang dan perkhidmatan yang masih lagi tinggi.

Walaupun ramai yang berkata dengan turunnya harga bahan bakar, rakyat akan mempunyai lebihan pendapatan untuk dibelanjakan namun, dengan harga barang yang masih kekal tinggi ia tidak banyak membantu meringankan beban rakyat dan tidak melebarkan pendapatan boleh guna rakyat ketika ini.

Dalam masa yang sama, SAMM menyambut baik saranan dan desakan daripada Menteri Belia dan Sukan, YB Khairy Jamaluddin dan Ahli Parlimen Kulai, YB Teo Nie Ching agar Tenaga Nasional Berhad menurunkan tarif mereka. Walaupun TNB menyatakan penurunan harga bahan bakar mentah dunia tidak memberikan kesan kepada mereka, tetapi sebagai sebuah pemain monopoli industri tenaga ini, TNB wajar menurunkan sedikit tarif mereka.

Sewaktu kenaikan harga bahan bakar mentah dunia, TNB telah mendesak Kerajaan untuk menaikkan tarif dengan alasan input kos bahan bakar telah naik maka seharusnya TNB juga mempunyai sikap setiakawan dengan rakyat dan menurunkan sedikit tarif mereka. 

SAMM amat teruja sekiranya pengurusan TNB bersedia untuk mengurangkan sedikit margin keuntungan mereka demi memastikan rakyat dapat bernafas semula di kala keadaan ekonomi yang semakin tidak tentu ini.

Oleh itu, SAMM sedang mempertimbangkan kemungkinan untuk mengatur pertemuan dengan Menteri dan Pegawai Kementerian terbabit bagi menyatakan desakan agar tindakan segera diambil oleh Kementerian dan menandakan permulaan kempen ini.

Ahmad Anwar Asyraf
Pengarah Pemikir Kaum Muda
Solidariti Anak Muda Malaysia