Friday, October 31, 2014

Kenaikan Tambang Bas Ekspress : Rejim Putrajaya Jangan Tambah Derita Rakyat

Siaran Umum
31 Oktober 2014

Kenaikan Tambang Bas Ekspress : Rejim Putrajaya Jangan Tambah Derita Rakyat

Kerajaan Pemerintah seringkali menggunakan alasan bahawa rasionalisasi subsidi bahan bakar Petroleum akan memberikan manfaat kepada pengangkutan awam. Penjimatan yang terhasil ekoran daripada rasionalisasi itu akan digunakan untuk menambahbaik pengangkutan awam.

Namun, hari ini segala kata-kata itu terbukti meleset setelah Pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), Tan Sri Syed Hamid Albar mengumumkan cadangan kenaikan tambang bas ekspress sebanyak 30%. Hal ini ekoran daripada kesulitan operator bas ekspress yang menanggung beban peningkatan kos operasi kerana kenaikan harga bahan bakar diesel.

Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) telah berulang kali menyatakan bahawa rasionalisasi subsidi ini akan memunculkan kesan rantaian terhadap harga barangan dan perkhidmatan. Namun, Kerajaan Pemerintah yang pekak dan buta ini tidak mampu melihat dan mendengar rintihan hati rakyat kebanyakan.

Semasa rejim Abdullah Badawi menaikkan harga minyak sebanyak 78 sen seliter juga menggunakan alasan yang sama. Namun, Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) pada 2011 mendedahkan Rangkaian Pengangkutan Integrasi Deras Sdn Bhd (RapidKL) mencatat kerugian terkumpul sehingga 31 Disember 2010 berjumlah RM293.82 juta. Pemerkasaan yang diingini tidak berlaku tetapi kerugian yang membesar pula yang berlaku.

Kegagalan rejim Putrajaya mengurustadbir hasil negara ini dengan baik telah menyebabkan ketidakmampuan negara untuk mengekalkan pemberian subsidi bahan bakar petroleum. Putrajaya sepatutnya tidak meneruskan hasrat merasionalisasikan subsidi bahan bakar sebaliknya membuat penilaian terhadap pelaburan-pelaburan Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) yang terus mencipta kerugian besar.

Sebagai contoh 1MDB yang mencatatkan kerugian hampir RM35 billion merupakan antara siri kegagalan Putrajaya yang akhirnya mengempiskan kantung perbendaharaan negara. Keputusan pelaburan yang merugikan perlu dihentikan segera. Putrajaya tidak sepatutnya mengheret rakyat menanggung beban ketidakmampuan rejim ini untuk memerintah.

SAMM mendesak Putrajaya untuk menilai semula cadangan kenaikan 30% ini. Kenaikan ini adalah terlalu tinggi dalam keadaan rakyat bergelut dengan tekanan kenaikan kos sara hidup. Apa pilihan lagi yang ada pada rakyat sekiranya tambang bas ekspress ini juga dinaikkan dengan drastik? Hendak memandu sendiri bebanan kos minyak dan tol menjadi perkiraan, hendak naik bas ekspress juga tambang sudah menjadi begitu mahal.

Sehubungan itu juga, SAMM menegaskan agar Putrajaya tidak mengulangi lagi kesilapan-kesilapan dalam membuat keputusan yang menjejaskan kualiti hidup rakyat. Cukuplah dengan kesilapan bodoh membiarkan rasuah berleluasa, ketirisan dalam perbelanjaan negara, menubuhkan GLC yang hanya tahu mencipta kerugian dan juga merasionalisasikan subsidi. Janganlah ditambah derita rakyat ini lagi.

Ahmad Anwar Asyraf
Pengarah Pemikir Kaum Muda
Solidariti Anak Muda Malaysia

Wednesday, October 29, 2014

PERLAWANAN AKHIR PIALA MALAYSIA 2014, SIMBOL PENYATUAN SEMANGAT KESUKANAN

Kenyataan Media
29 Oktober 2014

PERLAWANAN AKHIR PIALA MALAYSIA 2014, SIMBOL PENYATUAN SEMANGAT KESUKANAN

Sekalung tahniah buat Pahang FA (Tok Gajah) dan Pasukan JDT (Harimau Selatan) kerana kejayaan melangkah ke pentas akhir Piala Malaysia 2014. Kedua-dua pasukan telah berusaha keras melalui liku-liku getir sehingga berjaya melayakkan diri ke pentas akhir yang dijadual berlangsung pada 1 November di Stadium Bukit Jalil.

KEBANGKITAN SEMULA KEGEMILANGAN BOLASEPAK DOMESTIK

Mengimbau kembali era kemahsyuran bolasepak negara di zaman 60an hingga awal 90an, dapat dilihat fenomena setiap perlawanan dalam liga Malaysia dipenuhi oleh penyokong pasukan masing-masing. Puluhan ribu membanjiri stadium walaupun hanya perlawanan liga.

Di pertengahan 90an pula, ia sedikit merosot apabila beberapa pemain mula terpalit dengan gejala rasuah yang menghancurkan bolasepak tempatan. Ia menyebabkan sambutan orang ramai semakin berkurangan malah arena bolasepak luar negara pula yang menjadi perhatian seperti liga inggeris dan sebagainya.

Namun hari ini walaupun rekod pasukan kebangsaan agak terumbang-ambing, tetapi liga kebangsaan khususnya Piala Malaysia memperlihatkan sambutan yang memberangsangkan. Liga bolasepak yang berkualiti mampu melahirkan pemain yang hebat untuk mewakili negara. Ini yang harus diterapkan dan SAMM menggesa supaya format liga dikekalkan dan tidak diubah sewenangnya.

SAMM juga bersetuju dengan beberapa usaha revolusi dan mereformasikan persatuan bolasepak contoh seperti TRW (Kelantan) dan JDT (JohorFc ) demi kemajuan bolasepak liga domestik. Malah, FAM juga patut direvolusikan dari sebuah persatuan kepada sebuah badan korporat yang profesional dan berdaya saing.

ELAK BUDAYA SAMSENG BOLASEPAK MENULAR

Adalah amat mengecewakan di kalangan sesetengah peminat apabila timbulnya budaya samseng atau juga dikenali sebagai "HOOLIGANISMA" di kalangan peminat bolasepak negara. Budaya hooliganisma ini sudah lama mencemar arena bolasepak Eropah sehingga ada yang meragut nyawa. 

SAMM Pahang dan SAMM Johor mengharapkan pihak berwajib seperti FAM dan PDRM dapat menangani serta membendung gejala ini daripada berulang kembali di pentas final nanti. FAM juga perlu mengekang cara pembahagian tiket perlawanan agar lebih adil dan saksama.

SAMM juga menyeru mana-mana peminat sama ada dari Pahang atau Johor supaya tidak membawa semangat kenegerian yang melampau, tetapi jadikan ia semangat kesukanan antara kita. Menang atau kalah sudah menjadi adat pertandingan. Jadikan perlawanan ini sebagai satu simbol penyatuan, bukan perbalahan.

Perlu diingat dalam saingan liga yang semakin kompetitif saat ini, pemain sudah mula berhijrah dan mewakili kelab dan negeri yang bukan kelahiran asal mereka. Oleh yang demikian sama ada pasukan Kelantan, Felda Pahang, JDT, Selangor atau Kedah sekalipun yang harus kita pandang adalah mereka-mereka ini membawa semangat negara Malaysia.  

Sokongan kita sebagai peminat akan menyuntik semangat atas satu harapan bolasepak Malaysia kembali gah semula ke pentas antarabangsa. Bolasepak adalah medium penyatuan kita sebagai rakyat Malaysia, jangan cemari hak rakyat ini dengan ketegangan antara dua negeri yang bertanding di perlawanan akhir.

Hogoh Pahang Hogoh / LuaskanKuasaMu

Kenyataan bersama

Amirul Syazwan
Penyelaras
SAMM PAHANG

Dan

Hadzril Ridzal
Penyelaras
SAMM JOHOR

Monday, October 27, 2014

Kuarantin Peserta Acara Marathon Bagi Mengelak Penularan Wabak Ebola

Kenyataan Media
27 Oktober 2014

Kuarantin Peserta Acara Marathon Bagi Mengelak Penularan Wabak Ebola 

Dunia dikejutkan dengan virus Ebola iaitu sejenis penyakit demam berdarah. Penyakit epedemik yang masih tiada sebarang vaksin dan penawar boleh membawa maut, kini menular di beberapa buah negara luar khususnya negara Afrika. 

Baru-baru ini Negara Malaysia telah dikejutkan dengan berita seorang penuntut warga negara Nigeria berusia 24 tahun, dikuarantin di Hospital Umum Sarawak (HUS) selepas menunjukan tanda-tanda awal jangkitan Ebola.

Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) mengesa Kementerian Kesihatan menjelaskan situasi wabak berkenaan dari semasa ke semasa bagi memastikan masyarakat sekeliling tidak panik.

Dalam masa yang sama, Kerajaan negeri P.Pinang melalui Penang Tourism sedang dalam persiapan akhir menganjurkan satu acara larian tahunan antarabangsa iaitu Penang Bridge International Marathon 2014 yang akan berlangsung pada 16 November 2014. Acara marathon seperti ini amat mendapat perhatian dari warga afrika, termasuklah dari negara yang terbabit dengan wabak ebola.

Sehubungan itu SAMM menyarankan supaya Kementerian Kesihatan memperketatkan pengesanan dan kawalan pintu masuk antarabangsa untuk setiap peserta acara tersebut. Meletakkan mesin pengimbas suhu badan di pintu sempadan semata-mata adalah tidak mencukupi. Sebaliknya, pihak berwajib harus mengenakan saringan berkuarantin khususnya terhadap pelawat dan pelancong dari negara yang terkesan wabak ebola.

SAMM memandang serius terhadap tahap kesihatan peserta-peserta acara larian tahunan Penang Bridge International Marathon 2014 dan turut mengharap agensi-agensi Kerajaan Negeri Pulau Pinang dapat berkerjasama dengan Kementerian Kesihatan untuk memasti tahap kesihatan peserta acara tersebut terjamin.

Penularan wabak ebola ke atas negara ini harus disekat secara serius, langkah pencegahan yang efektif amatlah dialu-alukan.

Sekian,

Mohd Faizal AB Rahman
Penyelaras Kebangsaan
Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM)

Manfaatkan Kompleks Perumahan Kerajaan Yang Terbiar

Siaran Umum
27 Oktober 2014

Manfaatkan Kompleks Perumahan Kerajaan Yang Terbiar


Pemikir Kaum Muda, Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) telah pun mengutuskan sepucuk surat kepada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Kementerian Belia dan Sukan dan Kerajaan Negeri Johor berhubung keperluan untuk memanfaatkan semula kompleks-kompleks perumahan Kerajaan yang terbiar.

Dengan sedikit kerja-kerja membaikpulih lot rumah dan keperluan asas yang lain, kompleks perumahan ini dapat diguna sebagai rumah transit yang membolehkan anak-anak muda menyewa selama 2 tahun atau ditawarkan kepada mereka dengan menggunakan kaedah sewa-beli pada harga yang berpatutan.

Dengan mengambil contoh, kompleks perumahan Kerajaan Daerah Muar yang terletak di Kampung Kenangan Tun Dr. Ismail, Muar yang telah terbiar begitu lama, adalah amat menyedihkan kompleks perumahan yang mempunyai puluhan rumah tidak dapat memberi manfaat kepada warga yang memerlukan rumah.

Adalah amat merugikan jika kita telah mengeluarkan kos pembinaan projek perumahan Kerajaan tersebut dan kini akhirnya ia tidak lagi digunapakai. Sekurang-kurangnya Kerajaan akan dapat memungut sedikit hasil daripada sewa lot-lot rumah yang ada ini.

Selain itu juga, dengan perubahan status kompleks ini juga dapat menjimatkan sedikit kos untuk membina kompleks perumahan transit yang baru dan juga dapat menambah jumlah perumahan transit berbanding yang dirancangkan seterusnya membuka lebih banyak peluang kepada anak-anak muda untuk menduduki rumah jenis ini.

Ahmad Anwar Asyraf
Pengarah Pemikir Kaum Muda
Solidariti Anak Muda Malaysia

P/S Gambar yang dilampirkan adalah kompleks perumahan Kerajaan Daerah Muar seperti yang dinyatakan dalam Siaran Umum diatas

Pentadbiran Universiti Malaya Perlu Berhenti Jadi Pengampu Rejim Penguasa

Siaran Umum
27 Oktober 2014

Pentadbiran Universiti Malaya Perlu Berhenti Jadi Pengampu Rejim Penguasa

1. Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) membantah keras arahan yang dikeluarkan oleh pentadbiran Universiti Malaya yang mengancam untuk mengambil tindakan keras terhadap pelajar yang menghadiri program Pidato Anwar Ibrahim. Ini menyerlahkan betapa teruknya IPT dicengkam secara songsang oleh rejim Penguasa.

2. Universiti Malaya sebagai universiti tertua dalam negara seharusnya mengamalkan kebebasan akademik dan meraikan kematangan para pelajar untuk mendengar pidato-pidato daripada tokoh politik merentasi sempadan parti supaya mereka dapat menilai dan memahami perjalanan politik tanahair.

3. Tindakan pentadbiran Universiti Malaya ini juga merupakan contoh paling klasik mengapa taraf universiti kita semakin merosot dan hilang daya saing di peringkat dunia. Ia bukanlah kerana mutu para siswazah kita tetapi sikap bebal pentadbiran universiti yang hanya tahu mengampu tuan-tuan politik Penguasa semata-mata. Tetapi, hilang idea untuk membentuk acuan siswazah yang berdaya saing.

4. Sultan Nazrin Muizzudin Shah yang juga Pro-Canselor UM telah menitahkan mengenai kepentingan minda terbuka yang akan menyuburkan perasaan sabar dan toleransi untuk bersedia mendengar hujah yang berbeza betapa sekali tidak dipersetujui. Minda terbuka ini akan memberikan ruang untuk membolehkan lahir dan tumbuhnya idea baru, menyemarakkan budaya inovasi dan menyuburkan minda kreatif. Tetapi tindakan pentadbiran UM ini bertentangan dengan kehendak minda terbuka seperti yang dititahkan oleh Pro-Canselornya sendiri.

6. Pentadbiran Universiti Malaya juga seharusnya memahami bahawa usaha membina negara bangsa ini bukan bermaksud kita perlu menanam di dalam minda pelajar kita untuk hanya memihak kepada parti penguasa semata-mata tetapi sebaliknya turut mengakui kepelbagaian faham politik. Universiti seharusnya memainkan peranan penting bagi mengelakkan pelajar mewarisi iklim politik jumud dan ketaksuban melampau yang tidak dapat menerima kepelbagaian sudut pandang politik.

7. SAMM juga ingin merakamkan ucapan jutaan tahniah kepada Presiden MPPUM yang sanggup berdepan dengan tindakan pihak pentadbiran universiti termasuklah disingkir dari pengajian. Ini membuktikan kehendak para pelajar Universiti Malaya yang ingin mengangkat kebebasan akademik dalam universiti tersebut.

8. Sehubungan itu, SAMM menyeru setiap pelajar Universiti Malaya untuk membanjiri Dataran Dewan Tunku Canselor (DTC) Universiti Malaya bagi menunjukkan solidariti membebaskan Universiti Malaya daripada cengkaman hegemoni songsang penguasa dan juga menolak sikap profesor-profesor kangkung yang melacurkan prinsip mereka dalam mendidik anak bangsa yang merdeka ini.

Ahmad Anwar Asyraf
Pengarah Pemikir Kaum Muda
Solidariti Anak Muda Malaysia

Saturday, October 18, 2014

Taja Artis : Bukan Penjelasan Selebriti Yang Ditagih Tetapi Kumpulan Perubatan Johor

Kenyataan Media
18 Oktober 2014

Taja Artis : Bukan Penjelasan Selebriti Yang Ditagih Tetapi Kumpulan Perubatan Johor

Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) Johor menghargai usaha Rozita Che Wan untuk memberikan penjelasan sebagai respons balas kepada isu tajaan rawatan bersalin oleh KPJ Ampang Puteri.

Namun begitu, yang dipersoalkan adalah Kumpulan Perubatan Johor (KPJ) yang menaungi Hospital Ampang Puteri bukanlah Rozita Che Wan. Mengapa KPJ masih berdiam diri dan tidak memberikan penjelasan asas keputusan memberikan tajaan tersebut.

Maka, rakyat Johor tidak menagih penjelasan Rozita Che Wan tetapi jawapan konkrit daripada anak syarikat kumpulan Johor Corporation (JCorp) itu. KPJ perlu bertanggungjawab untuk memberikan penjelasan kerana JCorp dan KPJ adalah merupakan syarikat sayap pelaburan Negeri Johor.

Malah, sebelum ini beberapa keputusan pelaburan, perniagaan dan promosi yang dilakukan oleh JCorp telah menyebabkan kerugian besar termasuklah Amanah Saham Johor satu ketika dahulu. Sudah pastilah, rakyat negeri ini sebagai stakeholders tidak rasmi mempunyai hak untuk mengetahui asas keputusan tajaan tersebut.

Kepada Rozita Che Wan, SAMM Johor tidak berniat mempertikaikan rezeki yang diterima oleh bakal anaknya tetapi apalah salah kiranya Rozita Che Wan mempunyai sedikit jiwa yang besar dan menjadi seorang selebriti yang "Noble" dengan menolak pemberian KPJ ini, sebaliknya meminta KPJ membantu ramai lagi orang-orang susah yang memerlukan bantuan rawatan kesihatan daripada mereka.

Hadzril Rizal
Penyelaras
SAMM Johor

Thursday, October 16, 2014

Taja Artis Bersalin: KPJ Tidak Sensetif Terhadap Rakyat Kebanyakkan

Kenyataan Media
16 Oktober 2015

Taja Artis Bersalin: KPJ Tidak Sensetif Terhadap Rakyat Kebanyakkan

Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) Negeri Johor membantah keras cadangan Hospital Ampang Puteri milik Kumpulan Perubatan Johor (KPJ) yang ingin memberikan tajaan kepada aktress Rozita Che Wan termasuk urusan bilik bersalin, bilik penginapan, rawatan dan layanan kelas A secara percuma.

Apakah asas KPJ membenarkan pengurusan Ampang Puteri untuk memberikan tajaan ini? Sedangkan ramai lagi rakyat negeri Johor yang langsung tidak dapat menikmati apa-apa keistimewaan di pusat-pusat perubatan milik KPJ.

Sementelah pula, pasangan artis ini juga bakal menikmati laba besar hasil daripada penjualan hak eksklusif gambar-gambar bayi mereka nanti kepada pihak Astro. Tidak mungkin pasangan artis ini tidak mempunyai kemampuan untuk membayar yuran perubatan sehingga perlu diberi secara percuma.

Ramai rakyat Johor yang terpaksa berbaris panjang di klinik-klinik kesihatan awam, malahan senarai menunggu untuk rawatan penyakit kritikal seperti pembedahan pintasan jantung di hospital-hospital pakar Kerajaan juga begitu panjang.

SAMM Johor juga baru-baru ini terpaksa mencari ikhtiar dan berbincang dengan Bank Rakyat untuk mendapatkan bantuan kewangan bagi merawat adik Mohd Aqil Rida yang berasal dari Parit Sulong, Johor yang memerlukan rawatan pembedahan jantung di IJN.

Tetapi di mana peranan KPJ? Mengapa KPJ tidak mahu menghulur bantuan rawatan percuma kepada anak kelahiran Johor seperti kes adik Mohd Aqil Rida ini? Mengapa KPJ tidak memberikan diskaun dan insentif lain kepada anak-anak Johor terutamanya kepada kumpulan berpendapatan rendah untuk menerima rawatan yang lebih sofistikated?

SAMM Johor ingin memperingatkan KPJ sebagai antara pemain utama pusat perubatan dalam negara akan tanggungjawab sebenar KPJ. KPJ janganlah terlalu mengejar populariti sebaliknya ingat juga tanggungjawab sosial yang terpikul terhadap aspek kesihatan anak Johor.

Mencari populariti juga bukan dengan bermaksud menaja sekelompok artis yang kaya raya sebaliknya memberikan insentif dan limpahan nikmat dunia perubatan moden kepada seluruh anak negeri Johor.

Sehubungan itu, SAMM Johor mendesak KPJ membatalkan hasrat ini dan Kerajaan Negeri juga perlu untuk melihat akan insentif dan diskaun yang boleh diberikan oleh KPJ kepada seluruh anak negeri Johor.

Hadzril Rizal
Penyelaras
SAMM Johor

Wednesday, October 15, 2014

Di Antara Ahli Parlimen Ikat Perut dan Rakyat Lehernya Terjerut

Kenyataan Media
15 Oktober 2014

Di Antara Ahli Parlimen Ikat Perut dan Rakyat Lehernya Terjerut

TANGGAL 13 Oktober 2014, perbicaraan kes aksi BlackOut 505 depan Parlimen Malaysia berlangsung di Mahkamah Jalan Duta dengan 7 orang saksi pendakwa ditampilkan. Perbicaraan yang dijadualkan berlangsung sehingga Jumaat akhirnya ditangguhkan ke bulan November.

33 orang aktivis menghadapi pertuduhan tanpa wajah pemimpin politik mengimbau rasa solidariti rakyat yang mengimpikan demokrasi luhur terpancar di bumi Malaysia. Mereka datangnya dari dekat dan jauh, ada yang dari Johor, Pahang, Kedah dan dari seluruh pelusuk negara.

Mereka yang dari jauh menumpang di rumah teman-teman yang tinggal di sekitar Lembah Kelang, ketika rehat tengahari ada yang berkongsi sepinggan nasi tetapi masih terus tertawa dan bercerita persoalan melawan rejim yang menindas rakyat. Tiada sekelumit rasa kegusaran dan kepayahan yang terpancar dari wajah mereka.

Ketika yang sama juga, di Parlimen sedang berlangsung perbahasan Bajet 2015. Kerusi-kerusi kosong ketika Ketua Pembangkang membahaskan bajet bukan hanya berlaku di sebelah Barisan Nasional tetapi juga beberapa gambar menunjukkan di sebelah Pakatan Rakyat juga banyak yang kosong. 

Dalam bajet ini banyak lagi kelompongan dan ketidakpastian dalam aspek kebajikan buat rakyat tetapi apa yang pasti ialah kenaikan gred gaji Ahli-Ahli Parlimen.

Saya menolak kenaikan gaji Ahli Parlimen ketika rakyat sedang bergelut dengan bencana kenaikan harga bahan bakar yang akan menyeret sama kenaikan kos sara hidup. Apa hujahnya untuk menghalalkan kenaikan gaji Ahli Parlimen? 

Kononnya Ahli Parlimen ini terpaksa mengikat perut. Ahli Parlimen juga perlu ingat akan hujah Perdana Menteri yang mendesak rakyat untuk mengubah cara hidup ketika kenaikan harga bahan api satu ketika dahulu.

Kenapa wujud double standard? Rakyat dipinta mengikat perut tetapi Ahli Parlimen pula akan menikmati kenaikan gaji? Mengapa tidak dinasihatkan sahaja Ahli Parlimen ini untuk mengubah cara hidup dahulu. 

Mengapa tidak, ahli parlimen memulakan kempen kesederhanaan. Dari yang berkereta mewah tukar kepada kereta yang sederhana. Daripada yang sering berkunjung ke Coffee House hotel, ubah saja kepada warung-warung atau foodcourt. Namun sering kali dilihat apa yang berlaku adalah sebaliknya, sebelum jadi ahli parlimen berkenderaan biasa-biasa tetapi sesudah menjadi ahli parlimen, vellfire menjelma, dan pelbagai lagi.

Adakah Ahli Parlimen ini mempunyai kasta yang berbeda dari rakyat kebanyakan? Jika rasa sulit menjadi Ahli Parlimen dan terbeban, mengapa sibuk menawarkan diri mahu menjadi Ahli Parlimen hinggakan sanggup menipu pilihanraya dan mencantas sesama kawan?

Ahli Parlimen BN senang kerana mereka bukan sahaja menerima gaji Ahli Parlimen tetapi juga secara peribadinya ramai antara mereka yang dilantik ke pelbagai jawatan dalam Kerajaan selain Menteri Kabinet hingga menjadi pengarah itu dan ini yang membawa imbuhan hingga belasan dan puluhan ribu ringgit setiap bulan.

Contohnya Ahli Parlimen Baling, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim, adakah dia tergolong dalam kelompok mengikat perut? Berapa jumlah rumah dan kereta mewah yang mampu beliau beli hasil daripada menduduki kerusi empuk di Tabung Haji, begitu juga dengan Ahli Parlimen BN yang lain.

Ahli Parlimen BN biasa pun tidak perlu bersusah payah kerana mempunyai peruntukan pembangunan kawasan Parlimen masing-masing. Perbelanjaan pejabat khidmat Ahli Parlimen dan kakitangan tambahan juga mempunyai saluran bantuannya dari Kerajaan.

Kepada Ahli Parlimen PR, saya mengakui benar anda susah dan kesempitan tetapi amat mengecewakan apabila anda menerima kenaikan tangga gaji ini. Sepatutnya peruntukan-peruntukan seperti yang disebut di atas lah yang perlu diperjuangkan oleh Ahli Parlimen PR. Mereka menang dengan undi rakyat maka hak peruntukan kawasan juga harus diuruskan oleh Ahli Parlimen sendiri.

Semalam Ketua Pembangkang sebelum mengakhiri ucapan perbahasan beliau mengakui sokongan terhadap kenaikan gaji tersebut yang dikatakan munasabah itu.Seharusnya Ketua Pembangkang menolak kenaikan gaji tersebut dan memberikan cadangan agar pegawai-pegawai khas Ahli-Ahli Parlimen ini di bawa masuk ke dalam satu skim gaji yang dibayar oleh Kerajaan seperti juga kaedah pembayaran gaji Ahli Parlimen.

Tanpa pasukan penyelidik dan pegawai khas, apakah Ahli Parlimen mampu meningkatkan mutu dan prestasi perbahasan di Dewan Rakyat. Mampukah Ahli Parlimen secara keseorangan menguruskan hal-hal rakyat saban hari di kawasan mereka? Mengapa tidak disuarakan hal-hal yang menjaga kebajikan pegawai mereka sendiri.

Cadangan ini juga mesti hanya melantik pegawai khas dan penyelidik yang berkaliber bukan hanya membawa rakan atau penyokong sebagai peneman yang tidak memberi nilai tambah kepada prestasi di Parlimen dan di kawasan.

Tetapi nampaknya Ahli Parlimen PR kelihatan lemah terkulai setakat ini. Hanya menerima kenaikan ini walhal inilah kesempatan terbaik yang ada untuk memperjuangkan hak demokrasi. Malah seharusnya mengembalikan hak dana pembangunan kepada Ahli Parlimen tanpa mengira anutan politik kepartian dan juga memperjuangkan pegawai sokongan mereka yang bekerja keras siang dan malam membantu berkhidmat untuk rakyat.

Dalam hal sama, Kerajaan-kerajaan negeri PR juga sepatutnya mengumumkan jika BN bertindak adil mengembalikan dana pembangunan dan lain-lain hak wakil-wakil rakyat PR mengikut lunas demokrasi, maka di peringkat negeri juga ADUN BN akan menerima layanan yang sama. Malah tidak salah jika dimulakan dahulu agar menjadi contoh lebih baik.

Akhirnya, sekali lagi saya ingin merakamkan kekecewaan kepada Ahli Parlimen BN dan lebih lagi kepada Ahli Parlimen PR jika hanya menerima kenaikan gaji ketika rakyat sedang bergelut mencari sesuap nasi sehari-hari. Malah dari segi pencapaian atau persembahan wakil rakyat di Dewan Legislatif itu juga harus diselia dengan KPI atau sistem penilaian lain. 

Rakyat tidak mahu wakil rakyat yang bisu dan makan gaji buta sahaja atau wakil rakyat yang masuk ke Dewan sebentar, tekan butang komputer tanda sudah log in, kemudian keluar ke kafetaria berbual seketika dan selepas itu terus menghilangkan diri. Atau juga wakil rakyat yang hanya masuk untuk bercakap kosong dan membuat bising menjadikan Dewan Tertinggi Legislatif itu seperti pentas hiburan sarkas sahaja.

Saya masih ingat lagi bagaimana Ahli Parlimen Teluk Kemang melintasi kelompok demonstran yang hadir ke Parlimen untuk menghantar memorandum menolak kenaikan harga minyak dan GST baru-baru ini. Bukan sahaja angkuh tidak turur bertegur sapa malah sewaktu kenderaannya menghampiri tempat demonstran berkumpul, beliau secara sengaja mengambil akhbar dan membaca tanpa memandang langsung ke arah rakyat yang sedang menunjuk rasa. 

Inikah citra wakil rakyat penuh keangkuhan yang diperlukan oleh negara ini?

Che'GuBard
Pengasas
Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM)

Tuesday, October 14, 2014

Penubuhan Forum Selatan Satu Idea Yang Baik

Kenyataan Umum
14 September 2014

Penubuhan Forum Selatan Satu Idea Yang Baik

Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) Negeri Johor menyambut baik cadangan Kerajaan Johor untuk menubuhkan Pusat Persuratan Melayu Nusantara atau Forum Selatan. Idea untuk memperkasakan bahasa Melayu Johor ini sememangnya sesuatu yang amat penting dalam mencipta ruang pengukuhan tamadun kenegeraan. 

Forum Selatan yang akan menggabungkan Johor-Riau-Singapura di atas satu platform untuk mengungkap kembali sejarah kebudayaan, bahasa dan penulisan memang wajar disokong oleh segenap lapisan rakyat negeri ini. Ini memandangkan ikatan sejarah dan hubungan antara 3 wilayah ini yang telah terjalin berkurun lamanya. Tiada yang dapat menyangkal fakta ini. 

SAMM Johor juga amat berharap agar idea ini tidak terhenti dengan satu aspek sahaja. Ia harus berkembang dengan penyatuan kebudayaan dan keseniaan serta jalinan hubungan diplomatik dan ekonomi yang utuh antara 3 wilayah ini. Kerajaan Johor juga perlu memulakan inisiatif pembangunan pusat sehenti kebudayaan dan keseniaan Johor-Riau-Singapura. 

Begitu juga dalam aspek pembangunan kebudayaan dan keseniaan semua segmen masyarakat yang ada di bumi Johor. Dalam pada kita memacu kemajuan berasaskan pembangunan ekonomi dan fizikal, usaha-usaha untuk turut membawa bersama perkembangan bahasa, budaya dan adat resam juga tidak boleh dipinggirkan. 

Sememangnya usaha ke arah perkembangan dan pengukuhan bahasa, budaya, keseniaan dan adat resam Johor ini menjadi antara intipati yang akan dikemukakan SAMM Johor kepada Kerajaan Negeri supaya diangkat sebagai antara agenda Bajet Negeri 2015. 

Sebagai rekod, terdapat satu rancangan wilayah pembangunan ekonomi yang meliputi ketiga-tiga wilayah ini dan dikenali dengan nama SIJORI yang telah agak lama tidak disebut atau dijayakan. Adalah menjadi harapan SAMM Johor agar rancangan Forum Selatan ini dapat memulakan semula rancangan pembangunan ekonomi yang telah lama sepi itu.

SAMM Johor berharap agar segala usaha ini menjadi kenyataan supaya kegemilangan tamadun Johor yang berusia ratusan tahun ini dapat dikembalikan semula. 

Hadzril Rizal
Penyelaras
Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) Johor

Bajet 2015 : Wanita dan Belia

Kenyataan Media
14 Oct 2014

Bajet 2015 : Wanita dan Belia

Bajet 2015 membawa sedikit impak positif kepada wanita. Antaranya Pembelian premis Rumah Perlindungan Khas Wanita Seluruh Malaysia, Pusat penjagaan kanak-kanak di premis pejabat swasta dibenarkan unruk diperluas dan program latihan kemahiran untuk suri rumah (1Malaysia Support For Housewives ) untuk kembali ke pasaran kerja.

Namun begitu, sasaran untuk memperkukuh program pengarah wanita dengan sasaran 30% penglibatan wanita dalam lembaga pengarah dan kumpulan pengurusan agak tidak realistik untuk dicapai dalam tempoh setahun perlaksanaannya. Ini kerana pada masa ini, peratusan wanita dalam kelompok ini hanyalah 10% sahaja.

Program Women Career Comeback pula hanya menumpukan kepada golongan wanita  professional yang mempunyai kelayakan. Bagaimana dengan wanita bukan profesional? Tiada dasar jelas mengenai halatuju kumpulan wanita ini. 
Sementara itu, penambahbaikan cuti menjaga anak juga tidak menyeluruh. Hanya tertumpu kepada penjawat awam. Tiada insentif untuk majikan sektor swasta untuk menambahbaik cuti menjaga anak kepada wanita di sektor swasta. Seharusnya Bajet 2015 perlu merangka dasar yang menyeluruh.

Bagi anak muda pula, perkara positif dalam Bajet 2015 antaranya adalah kajian semula PLKN walaupun idea ini berasal daripada Belanjawan 2015 Pakatan Rakyat namun Segmentasi Wanita Muda SAMM turut menyambut baik pengumuman Kerajaan. Selain itu, penambahbaikan program Rakan Muda dan program Agropreneuer muda juga merupakan perkara positif dalam menggalakkan anak muda terlibat secara aktif dalam aktiviti sukarela dan pertanian.

Sungguhpun begitu, Segmentasi Wanita Muda SAMM berpandangan Akademi Kepimpinan Belia adalah satu pembaziran. Adakah program di universiti tidak mencukupi? Seharusnya pihak Kerajaan memberikan tumpuan untuk memberikan nilai tambah kepada program kepimpinan belia di peringkat universiti. Aspek kepimpinan ini patut dipupuk dari zaman universiti dan tidak perlu ditambah lagi program lain.

Program kesukarelawan antarabangsa pula boleh diibaratkan sebagai kera dihutan disusukan, anak di rumah mati kelaparan. Hakikatnya, banyak lagi kawasan dalam negara ini yang memerlukan sukarelawan terutama di kawasan-kawasan pedalaman.

Selain itu, pengumuman Program keusahawanan yang sama seperti tahun-tahun lepas melalui MaGIC dan sebagainya yang sehingga kini tidak menampakkan hasil yang memberangsangkan.

Idea 1 Malaysia Youth City juga nampak absurd. Apakah kawasan ini akan hanya menempatkan orang muda? Apa rasionalnya? Ekosistem yang sesuai perlulah merangkumi populasi penduduk yang seimbang dari segi taburan umur.

Satu lagi aspek adalah skim perumahan belia. Walaupun, skim ini baik untuk membolehkan belia memiliki rumah namun Segmentasi Wanita Muda ingin mengemukakan persoalan, di kawasan manakah rumah-rumah ini akan ditawarkan? Pemilikan rumah pertama tidak melebihi RM 500,000?

Subsidi RM200 sebulan untuk bayaran ansuran bulanan pinjaman perumahan adalah idea yang albagus tetapi apakah ia adil untuk keseluruhan belia dalam negara apabila skim ini hanya terhad kepada 20,000 pemohon sahaja. 

Tambahan pula, permohonan adalah berdasarkan siapa cepat dia dapat. Mungkinkah Kerajaan melihat diri mereka umpama sebuah syarikat korporat yang menawarkan pelan seperti jualan murah ini?

Kesimpulannya, walaupun bajet 2015 ini mula memberikan sedikit insentif baik kepada rakyat namun begitu terdapat beberapa kelemahan dasar yang cukup meresahkan dan dibimbangi tidak dapat mencapai objektif yang diharapkan sebaliknya hanya satu lagi bentuk pembaziran perbendaharaan negara.

Young Syefura Othman
Penyeralas Segmentasi Wanita Muda 
Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM)

Bajet 2015 : Penstrukturan Semula Kabinet dan Perjawatan Awam

Kenyataan Media
14 Oktober 2014

Bajet 2015 : Penstrukturan Semula Kabinet dan Perjawatan Awam

Pemikir Kaum Muda SAMM (PKM SAMM) melihat ketempangan nyata dalam sistem pentadbiran Kerajaan sedia ada ketika ini. Pertindihan portfolio antara agensi juga menyebabkan peningkatan belanja mengurus kita. Justeru, penstrukturan semula kabinet dan perjawatan awam mampu menjimatkan perbelanjaan pengurusan Kerajaan Persekutuan.

1. Jemaah Kabinet

Zaman pentadbiran Najib mempunyai bilangan Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang ramai. Ketika ini menjangkau kepada 10 orang Menteri. Ini sudah pasti melibatkan perbelanjaan emolumen bertaraf Menteri yang tinggi termasuklah kepada elaun-elaun dan kemudahan-kemudahan lain yang diterima sebagai Menteri. 

Selain itu, budaya perlantikan 2 Menteri bagi Kementerian Kewangan dan Kementerian Pelajaran juga menyebabkan berlakunya peningkatan belanja mengurus kementerian terbabit. Umum mengetahui bahawa gaji dan elaun bagi Menteri bukan kecil jumlahnya. 

Apakah Menteri Kewangan dan Menteri Pendidikan tidak mempunyai kecerdikan untuk memacu kementerian ini secara bersendirian? 

Jika bebanan tugas sebagai seorang Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri dijadikan alasan untuk melantik seorang lagi Menteri, maka PKM SAMM melihat PM dan TPM perlu melepaskan jawatan mereka sebagai Menteri Kewangan dan Menteri Pelajaran. 

Pemikir Kaum Muda SAMM mencadangkan Perdana Menteri sepatutnya melihat semula kesesuaian kesemua Menteri di JPM. Jika Menteri hanya memegang port-folio kecil adalah lebih baik jika port-folio itu diserahkan kepada Timbalan Menteri. Sumber yang ada jika dimanfaatkan sepenuhnya dengan lebih efisyen pasti akan menjimatkan.

Jika di Kementerian Pelajaran terdapat keperluan untuk mengasingkan antara pelajaran peringkat sekolah dan peringkat tertiari, pengasingan ini boleh dibuat diperingkat Timbalan Menteri sahaja. 

2. Perjawatan Awam

Bagi sektor perjawatan awam juga, PKM SAMM juga tidak dapat melihat kewajaran kewujudan dua orang Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Pelajaran. KSU ini sama ada berada di gred gaji Turus atau JUSA A yang semestinya menelan perbelanjaan gaji dan elaun yang tinggi. 

Apakah keperluan 2 KSU diwujudkan dan dalam masa yang sama juga KPM mempunyai 3 TKSU iaitu TKSU Pembangunan Pelajaran, TKSU Pengurusan dan TKSU Pembangunan Pelajaran Tinggi. Kesemua mereka ini akan dibantu oleh Ketua Pengarah dan barisan pengarah yang lain mengikut portfolio masing-masing. 

Begitu juga dengan Kementerian Dalam Negeri yang mempunyai 5 orang TKSU iaitu 2 orang TKSU Kanan bertaraf JUSA A dan 3 orang TKSU bertaraf JUSA B. 

Bukankah 5 orang TKSU di sesebuah kementerian terlalu ramai? Pada masa yang sama, KDN juga mempunyai beberapa jabatan yang mempunyai Ketua Pengarah masing-masing. Ketua Pengarah ini masih boleh berfungsi di bawah kawalan KSU dan Menteri. TKSU hanyalah satu peringkat fasilitasi dalam membantu dan mewakili kuasa KSU sahaja. 

Sehubungan itu, Pemikir Kaum Muda SAMM melihat adalah wajar sekali Perdana Menteri menilai semula saiz kabinetnya dan JPA untuk meneliti aspek perjawatan khidmat awam ini. 

Seperti yang didedahkan oleh PKM SAMM selepas pembentangan bajet, yang menunjukkan perbelanjaan mengurus-tadbir negara adalah terlalu tinggi merangkumi 82% dari keseluruhan Bajet 2015.

Dengan penstrukturan semula Kabinet dan Penjawat Awam Tertinggi akan dapat menjimatkan perbelanjaan Pengurusan dan seterusnya penjimatan ini dapat disalurkan kepada perbelanjaan pembangunan yang lebih memberi manfaat langsung kepada rakyat. 

Ahmad Anwar Asyraf
Pengarah Pemikir Kaum Muda
Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM)

Sunday, October 12, 2014

PTPTN : Dalil dan Tindakan Yang Sama Terhadap Hutang Kroni Berkepentingan

Kenyataan Media
13 Oktober 2014

PTPTN : Dalil dan Tindakan Yang Sama Terhadap Hutang Kroni Berkepentingan


Perdana Menteri dalam ucapan pembentangan Bajet2015 telah menuturkan bahawa roh seorang mukmin itu tergantung-gantung dengan sebab berhutang, waima dosa orang mati syahid pun diampuni, melainkan hutangnya. Ia dipetik daripada hadith riwayat Muslim dalam mengingatkan peminjam-peminjam PTPTN untuk mengambil iktibar dan membuat pembayaran balik.

Pemikir Kaum Muda SAMM (PKM SAMM) suka memperingatkan Perdana Menteri agar turut mengambil iktibar daripada hadith tersebut dalam mengurus-tadbir negara ini. Perdana Menteri tidak boleh sengaja melupakan bagaimana pentadbirannya telah melupuskan hutang berjumlah RM589 juta oleh Tan Sri Tajuddin Ramli daripada Pengurusan Danaharta Nasional Berhad.

Ini adalah satu contoh paling klasik bagaimana pihak Kerajaan Persekutuan memberikan layanan sungguh istimewa kepada kaum kapitalis kroni terpilih.

PKM SAMM ingin bertanya kepada Perdana Menteri, adakah hanya roh peminjam PTPTN sahaja yang akan tergantung-gantung tetapi kelompok kapitalis kroni terpilih ini tidak termasuk dalam golongan seperti diriwayatkan oleh Hadith tersebut?

Perdana Menteri dan kerajaan tidak patut mensasarkan kepada kelompok-kelompok rakyat biasa yang masih lagi bergelut dengan kenaikan kos sara hidup dengan mempergunakan dalil-dalil dan hadith-hadith bagi tujuan mengutip hutang. Malahan, kelompok kapitalis kroni ini terus sahaja dibiarkan bebas berkeliaran walaupun mempunyai bebanan hutang ratusan juta ringgit.

Sangat menyakitkan hati rakyat, Kerajaan Persekutuan juga dengan sewenangnya menawarkan pelan pelupusan hutang atau pelan penstrukturan hutang termasuklah tawaran penstrukturan hutang kepada saudagar permaidani, Deepak Jaikishan. Ini satu lagi contoh layanan istimewa terhadap hutang kelompok kroni terpilih ini.

Kepada rakyat pula, kerajaan bertindak kejam apabila menawarkan ugutan CCRIS dan halangan imigrasi kepada peminjam PTPTN. Puluhan ribu lepasan universiti berdepan muflis apabila disenaraikan dalam sistem CCRIS.

Tambah pedih luka di hati rakyat, apabila kerap kali Kerajaan Persekutuan atas nama menjaga keberdayaan ekonomi, sering menggunakan pelan tindakan bail-out bagi menyelamatkan syarikat yang mempunyai kepentingan kroni dengan melupuskan berbilion ringgit. Tetapi dalam amsa sama, memilih untuk mempergunakan hadith untuk rakyat.

Mengapa tidak kerajaan mengemukakan penstrukturan semula buat semua peminjam PTPTN yang mempunyai masalah pembayaran? PKM SAMM mencadangkan penstrukturan semula pembayaran serendah RM50 sebulan dengan syarat tertentu contohnya tanggungan yang besar.

Dengan cara ini, setengah juta peminjam PTPTN mampu memulangkan jumlah yang besar setiap bulan, walaupun tempoh pembayaran menjangkau 30 tahun, biarlah asalkan pembayaran dibuat. PKM SAMM mengingatkan semula, pinjaman pendidikan tidak harus dijadikan sumber keuntungan mana-mana agensi, malah ia sepatutnya berbentuk biasiswa.

Asrul Nizam
Penyelidik Segmen
Pemikir Kaum Muda SAMM

SAMM Parit Sulong Bersama Bank Rakyat Sampaikan Sumbangan Kepada Pesakit Jantung

Kenyataan Media
13 Oktober 2014

SAMM Parit Sulong Bersama Bank Rakyat Sampaikan Sumbangan Kepada Pesakit Jantung

Pada tanggal 10 Oktober 2014, Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) Zon Parit Sulong, Johor bersama-sama dengan Bank Rakyat Kluang telah menyampaikan cek bantuan kewangan kepada pesakit jantung, adik Mohd Aqil Rida Bin Mohd Akmar. 

Bantuan berjumlah RM 32,000 sumbangan daripada Bantuan Zakat Bank Rakyat itu telah disampaikan oleh Encik Mohd Jamal Nasir, Pengurus Bank Rakyat Cawangan Kluang kepada bapa pesakit tersebut di kediamannya di Parit Sulong, Johor. 

Adik Mohd Aqil merupakan pesakit jantung yang memerlukan rawatan pembedahan jantung di Institut Jantung Negara yang telah tertangguh selama ini ekoran daripada ketidakmampuan untuk menampung perbelanjaan kos pembedahan yang berjumlah RM 32,000. 

SAMM Parit Sulong mengambil inisiatif memanjat tangga-tangga pejabat dan institusi kewangan bagi mencari penyumbang dan syukur ke hadrat Illahi akhirnya, Bank Rakyat sudi menghulurkan bantuan kepada pesakit ini. 

Program khidmat kebajikan SAMM ini adalah kesinambungan daripada program Kembara Ramadhan yang lalu di mana SAMM Parit Sulong turut giat menyantuni golongan fakir dan tidak berkemampuan. 

Sehubungan itu, SAMM Parit Sulong ingin mengucapkan jutaan penghargaan dan terima kasih yang tidak terhingga kepada pihak pengurusan dan warga kerja Bank Rakyat di atas kesudian dan kemurahan hati untuk tampil bersama-sama kami dalam memberikan harapan baru kepada adik Mohd Aqil Rida ini. 

SAMM Parit Sulong juga turut mendoakan keselamatan dan kesejahteraan Adik Mohd Aqil Rida dan keluarga. Semoga Adik Mohd Aqil Rida akan segera sembuh seperti sedia kala. 

SAMM Parit Sulong akan terus menjalankan aktivisme kesukarelawan dan kebajikan kepada masyarakat sekitar dan menyeru agar lebih ramai anak muda Johor untuk bersama-sama kami dalam beraktiviti serta berharap lebih banyak lagi syarikat swasta tampil seperti Bank Rakyat untuk faedah dan kemaslahatan masyarakat. 

Mohd Heder
Penyelaras
Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) Zon Parit Sulong

Saturday, October 11, 2014

BAJET 2015: PENGHARAPAN YANG KECUNDANG

Kenyatan Umum
10/10/2014

BAJET 2015: PENGHARAPAN YANG KECUNDANG

Setiap tahun rakyat Kelantan termanggu di depan televisyen melihat Menteri Kewangan membentangkan belanjawan. Pengharapan yang cukup tinggi untuk melihat sesuatu mengalir ke bumi Kelantan.

Tahun ini sekali lagi bajet yang kononnya untuk rakyat mengecewakan rakyat Kelantan. Di saat rakyat Sabah mendapat manfaatnya bila PM mengumumkan pembinaan lebuhraya Borneo sejauh 1000 kilometer lebih. Rakyat Kelantan masih bergelut dengan lebuhraya maut.

Lebih memeritkan, disaat hasil bumi Kelantan yang disedut secara rakus oleh Petronas seolah kami ini umpama  tidak mempunyai apa-apa hak yang sewajarnya.

Dato Mustapha Mohd yang juga Menteri penuh dalam kabinet Najib seakan mengiyakan dan membiarkan Kelantan diperlakukan sedemikian.

Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) Kelantan melihat situasi ini dengan cukup serius. Adakah hanya kerana perbezaan politik yang berlainan, Kerajaan Pusat menafikan hak rakyat Kelantan? Apakah rakyat Kelantan tidak mempunyai maruah sehingga begitu teganya Kerajaan Pusat mempermainkannya.

Selain lebuhraya, rakyat Kelantan juga melihat isu Royalti dan menaiktaraf Lapangan Sultan Ismail sepatutnya diberikan keutamaan dan hak yang sepatutnya. Namun seperti tahun-tahun sebelumnya ia hanya mimpi.

SAMM Kelantan berjanji, akan bersama-sama rakyat Kelantan mengembeleng tenaga untuk menuntut hak ini. Hak yang dinafikan oleh rejim zalim BN.

Hj Osama
Penyelaras SAMM Kelantan

Rumusan Bajet 2015 : Dasar Yang Baik Namun Perlu Pemantauan Perlaksanaannya

Kenyataan Media
10 Oktober 2015

Rumusan Bajet 2015 : Dasar Yang Baik Namun Perlu Pemantauan Perlaksanaannya

Secara dasarnya Pemikir Kaum Muda SAMM (PKM SAMM) melihat Bajet 2015 sebagai satu belanjawan yang sedikit baik jika dibandingkan dengan belanjawan-belanjawan yang dibentangkan oleh Perdana Menteri sebelum ini.

PKM SAMM menyambut baik pengumuman skim perumahan belia yang membolehkan belia membeli rumah melalui perkongsian pintar Kerajaan, bank dan pelbagai agensi. Walaubagaimanapun, jumlah rumah yang ditawarkan agak kecil berbanding nisbah populasi golongan muda dalam negara.

Selain itu, skim pembiayaan sewa-beli bagi skim PR1MA untuk individu yang tidak berupaya mendapat pembiayaan daripada bank juga merupakan satu langkah yang baik yang diutarakan dalam bajet kali ini.

Strategi ke 7 Bajet 2015 juga mensasarkan kepada peningkatan pengangkutan awam. Beberapa insentif peningkatan pengangkutan awam diperkenalkan seperti projek LRT 3 dan MRT namun begitu ia tidak menyeluruh kepada ibu-ibu negeri dan bandar-bandar utama di seluruh negara.

Adalah diharapkan agar pihak Kerajaan dapat memperincikan sepenuhnya pelan peningkatan pengangkutan awam ini agar meliputi ibu-ibu negeri lain dan bandar-bandar utama di seluruh negara.

Pembangunan bandar juga perlu turut sama mengangkat aspek kebersihan alam sekitar dan juga membina perumahan lengkap untuk komuniti dalam bandar.

Dengan mengambil Jepun sebagai contoh, Jepun menjadikan laluan sistem rel sebagai kunci kepada penyusunan bandar mereka. Di mana terdapat integrasi di antara stesen pengangkutan rel dengan bangunan-bangunan sekitar. Malah, pusat-pusat tumpuan komuniti juga dibina berdekatan dengan stesen-stesen pengangkutan rel bagi memudahkan pengguna.

Selain itu, PKM SAMM melihat Bajet 2015 ini akan membawa satu transformasi sosial kepada negara. Dengan penekanan kepada pengukuhan peranan wanita dalam aspek pembangunan negara dan pembuat keputusan adalah satu langkah yang baik dalam mengangkat martabat wanita kita.

Bagi kelompok anak muda pula, Bajet 2015 memberikan tumpuan untuk memberdayakan usahawan muda melalui Program MaGIC, SME Bank, Agro Bank dan Online Resource Centre. Bajet 2015 ini juga memberikan tumpuan ke arah mempromosikan aktivitisme dan kesukarelawan kepada anak muda yang mana akhirnya ia akan membantu kepada pembinaan modal insan negara.

Bajet 2015 juga menarik apabila menawarkan dan mengukuhkan lagi insentif-insentif kepada majikan untuk memberikan latihan-latihan kepada pekerja mereka bagi meningkatkan diri kepada tenaga separa mahir dan mahir.

Secara tidak langsung dengan peningkatan melalui latihan seperti ini juga, pekerja dapat juga meningkatkan taraf hidup dan pendapatan mereka nanti.

Namun begitu, PKM SAMM juga masih melihat Kerajaan Persekutuan terpaksa mengeluarkan perbelanjaan mengurus yang agak besar ekoran daripada saiz kabinet yang agak besar dan pertindihan bidangkuasa di antara agensi-agensi. Seharusnya pihak Kerajaan dapat menilai semula kewujudan beberapa portfolio Menteri di JPM dan agensi-agensi yang dilihat bertindih kuasa agar perbelanjaan mengurus dapat dikecilkan jumlahnya.

Rumusannya, PKM SAMM menyambut baik Bajet 2015 yang agak komprehensif ini namun dalam masa yang sama menyeru kepada rakyat dan masyarakat sivil yang lain untuk memantau perlaksanaan setiap dasar yang digariskan dalam Bajet 2015 ini. Ini adalah perlu bagi memastikan Bajet 2015 ini benar-benar mencapai sasaran yang diharapkan dan tidak tersasar sehingga mengakibatkan kita terus menanggung defisit demi defisit untuk tahun-tahun mendatang.

Ahmad Anwar Asyraf
Pengarah Pemikir Kaum Muda
Solidariti Anak Muda Malaysia

Wednesday, October 8, 2014

Wanita Muda SAMM: Realisasikan 'Langkah Kajang' ke Putrajaya

Kenyataan Umum
8 Oktober 2014

Realisasikan 'Langkah Kajang' ke Putrajaya

Segmentasi Wanita Muda SAMM (Wanita Muda) mengucapkan tahniah kepada Menteri Besar Selangor yang baru, YAB Azmin Ali dan juga barisan EXCO negeri Selangor yang baru. Sepertimana yang pernah dinyatakan SAMM sebelum ini, krisis pertukaran MB Selangor harus ditamatkan dengan segera.

Wanita Muda menghargai sikap YAB Azmin yang melantik lebih ramai barisan exco dari kalangan anak muda seperti YB Nik Nazmi, YB Amir dan YB Zaidy. 

Seperti mana yang kita sedia maklum, langkah kajang dicaturkan bagi menukar MB Selangor selepas MB terdahulu dilihat gagal untuk terjemahkan manifesto yang diumum Pakatan Rakyat.

Antara slogan 'Langkah Kajang' ialah untuk melangkah ke Putrajaya. Sebagai NGO yang mesra PR, suka kami mengingatkan tentang salah satu janji pilihanraya PR ialah Pendidikan Percuma. Isu yang melibatkan anak muda khususnya golongan mahasiswa ini wajar diambil perhatian.

Walaupun PR tidak berjaya menguasai kerajaan persekutuan pada pilihanraya umum lalu, tetapi PR masih mengekalkan penguasaan besar terhadap kerajaan selangor, sebuah kerajaan maju, kaya dan sangat mirip dengan persekutuan malaysia dari segi komposisi kaumnya.

Pendidikan Percuma

Sehubungan itu, besar harapan Wanita Muda mahu melihat YB Nik Nazmi selaku pengerusi tetap pendidikan melakukan sesuatu untuk melaksanakan manifesto PR bersesuaian dengan kemampuan kerajaan negeri.

Wanita Muda Mencadangkan; 

1. Pendidikan percuma kepada semua pelajar institusi selangor ialah unisel, kuis dan inspens, atau

2. Pendidikan percuma kepada pelajar anak selangor di institusi Selangor, atau

3. Pendidikan percuma kepada pelajar miskin di institusi pendidikan Selangor atas inisiatif mengesan golongan ini dengan lebih tepat.
 
Jika pendidikan percuma dapat dilaksana, Unisel contohnya boleh menjalankan temuduga terbuka bagi memilih pelajar terbaik dari seluruh negara. 

Namun sebagai menghormati dasar hak belajar dan pendidikan percuma untuk semua, Wanita Muda mencadangkan supaya ditetapkan kuota bagi memberi keadilan sewajarnya seperti 40% untuk anak selangor,  30% pelajar-pelajar pintar dari seluruh negara, 20% pelajar pertengahan dari keluarga miskin dan 10% pelajar antarabangsa. 

Wanita Muda SAMM percaya YB Nik Nazmi mempunyai idea yang lebih baik, bagaimana cadangan ini mampu dilaksanakan.

Program ini jika berjaya dilaksanakan,  mampu melonjak istitusi pendidikan selangor dengan cepat dan membuka mata rakyat malaysia bahawa pendidikan percuma bukanlah mustahil.

Dasar Perumahan

Masalah seterusnya yang membelengu anak muda ialah soal perumahan. Kini kawasan-kawasan yang dahulunya dilihat sebagai terkebelakang seperti Puncak alam, Kundang, Rawang dan lain-lain telah membangun dengan begitu pesat, pembangunan tersebut turut menyebabkan harga rumah melambung tinggi. 

Jika dahulu kerajaan melaungkan slogan rumah mampu milik, kini rakyat hanya membaca slogan tersebut sebagai rumah mampu tengok. Ia langsung tidak mencecah kadar mampu dari sudut pendapatan bulanan.

Kerajaan selangor perlu segera menyelesaikan permasalahan ini, samada dengan membina rumah mampu milik yang boleh dibeli oleh rakyat melalui kaedah sewa beli ataupun membina rumah rumah untuk disewa oleh rakyat dengan kadar yang berpatutan.

Permintaan terhadap perumahan dan permainan dalam industri perumahan boleh juga dikurangkan dengan kaedah waqaf. Di mana, waqaf Selangor membeli rumah-rumah dikawasan strategik dan menyewakannya kepada rakyat dengan syarat-syarat tertentu. 

Ini jika dilakukan tentu dapat menyekat nafsu golongan berkemampuan untuk menambah bilangan hartanah untuk disewakan, di mana mangsa sewaan mahal ialah golongan miskin, anak muda dan pelajar. Jika permintaan terhadap perumahan berkurangan, dengan sendiri harga rumah mampu diturunkan.

Sekian,

Young Syefura Othman
Penyelaras Segmentasi Wanita Muda
Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM)

Tuesday, October 7, 2014

Ayuh Bersama Serah Memorandum Protes Harga Minyak dan Bantah GST di Parlimen

Kenyataan Media
7 Oktober 2014

Ayuh Bersama Serah Memorandum Protes Harga Minyak dan Bantah GST di Parlimen

Penurunan jumlah subsidi yang juga menyebabkan kenaikan harga bahan api tempatan dijangka akan menyebabkan kenaikan kos sara hidup rakyat. Malah respon umum menunjukkan penurunan subsidi yang disebut 'tak sengaja' oleh Perdana Menteri, cukup mengguris perasaan orang ramai.

Harus diingat, subsidi adalah hak milik rakyat Malaysia sebagai galang-ganti kepada setiap hasil galian khazanah negara yang ditemui, termasuklah petrolium, gas asli, bijih besi dan semua hasil bumi. Maka sekiranya mana-mana subsidi dipotong tanpa alasan yang kukuh, ia menjadi satu rompakkan terbuka hak milik rakyat.

Lebih parah, kenaikkan harga minyak berlaku ketika kerajaan dalam rangka memperkenalkan cukai baru iaitu GST. Secara tidak langsung, semua kenaikkan harga barang/perkhidmatan yang berpunca dari kenaikan harga minyak akan dikenakan jumlah cukai yang lebih besar. Ini menguntungkan pihak kerajaan berkali ganda manakala rakyat pula yang sengsara.

Justeru itu, Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) menyokong penuh usaha gabungan NGO Bantah GST dan PROTES menyusun gerakan massa. 

Bersempena perbahasan pembentangan bajet yang bakal berlangsung, satu aksi perarakan serahan memorandum akan diadakan di perkarangan Parlimen. Memorandum bantahan ini akan diserahkan kepada ahli parlimen dari pihak Pakatan Rakyat dan juga pihak ahli parlimen penyokong kerajaan (BBC) di mana kedua-dua belah pihak telah dimaklumkan.

SAMM menyeru kepada semua pihak, NGO atau NGI, berparti atau tidak berparti, penyokong kerajaan mahupun sebaliknya, untuk bersama dalam aksi tersebut adalah seperti berikut;

Perarakan dan penyerahan memo bantahan
Tarikh: 8 Oktober 2014 (Rabu)
Masa: 10 pagi
Lokasi: Depan Parlimen (berkumpul di Tugu Negara)

Kepada semua yang tidak bersetuju dan rasa tertipu dengan janji-janji yang tidak ditepati, anda dijemput hadir dalam aksi ini. Mohon juga kerjasama semua pihak khususnya pihak media untuk bantu hebahan dan membuat liputan.

Ayuh kita lihat, wakil rakyat mana yang benar-benar ambil peduli keresahan rakyat dari kerakusan demi kerakusan pemerintah. Terjemahkan undi anda dengan lebih berhati-hati agar tidak ditipu lagi.

Sekian,

Edy Noor Reduan
Pengarah Propaganda
Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM)


Kegagalan 2 Temasya Sukan Berprestij, Khairy Perlu Fokus Kerja Bukan Berzumba

Kenyataan Media

7 Oktober 2014


Kegagalan 2 Temasya Sukan Berprestij, KJ Perlu Fokus Kerja Bukan Berzumba


Khairy Jamaluddin memulakan karier sebagai seorang Menteri Belia dan Sukan dengan penuh bergaya dan berketerampilan. Dengan memperlihatkan keterbukaan penuh progresif seorang Menteri muda, Khairy Jamaluddin berjaya menggamit perhatian ramai anak muda di kala prestasi ramai anggota Kabinet Persekutuan dipersoal. 

Namun selepas berakhir dua temasya sukan yang punya prestij tersendiri iaitu Sukan Komanwel dan Sukan Asia, nampaknya Khairy terus bergelut dengan prestasi pelbagai sukan negara kita. 


Kegagalan mencapai sasaran emas di Sukan Komanwel dan ditambah dengan persembahan yang jauh tersasar dalam Sukan Asia menambah perit Khairy. Tambah buruk seorang atlit kita terperangkap dalam persoalan penggunaan bahan larangan hingga mengakibatkan pingat emas yang dimenangi telah ditarik balik.

 

Dalam temasya Sukan Komanwel, prestasi atlit kita bukan sahaja tidak dapat mencapai sasaran pingat, malahan kita berada di kedudukan lebih bawah daripada seteru jiran, Singapura. Manakala dalam Sukan Asia pula, jumlah pingat emas yang diperolehi setaraf negara Mongolia.

 

Mengapa mutu sukan kita semakin merosot? Apakah kita tidak mempunyai atlit-atlit yang baik di sebalik 30 juta rakyat kita berbanding Singapura yang hanya mempunyai populasi 4 juta lebih penduduk sahaja? Atau pun KBS telah hilang keupayaan untuk menggarap dasar pembangunan sukan kita?

 
Khairy perlu segera mencari formula kemenangan jikalau tidak mahu mengikut jejak kegagalan Menteri terdahulu dalam mengangkat martabat sukan negara. Sama ada rombakan MSN dan ISN dengan suntikan "orang baru" yang ingin dilaksanakannya itu akan berjaya, hanya masa yang menentukan.

 
Tetapi sebagai seorang Menteri Kabinet berkelulusan Oxford sepatutnya Khairy telah mempunyai satu perancangan menyeluruh pembangunan sukan sebaik sahaja menjejakkan kaki di Pejabat Menteri KBS. Bukannya menunggu sehingga imej sukan negara terus merosot dan tercalar dalam dua aksi sukan berprestij ini.

 
Masakan Khairy tidak mempunyai idea progresif untuk pembangunan sukan seperti mana yang ditonjolkan dalam aksi Zumba sempena pelancaran FIT Malaysia? Masakan Khairy tidak mempunyai bakat sebagai seorang Menteri dan pemimpin muda seperti mana bakat yang ditonjolkan di layar perak?

 
SAMM mempersoalkan di manakah Khairy ketika negara perlu melahirkan lebih ramai atlit pelapis masa depan? Apakah Khairy tidak dapat melihat keperluan untuk memunculkan pelapis Dato' Lee Chong Wei? 


Apakah Khairy sedar akan kelemahan Persatuan Sepak Takraw hingga menyebabkan skuad kita tewas kepada Korea Selatan?

 

Khairy perlu berbuat sesuatu jika mahu terus glamour di kalangan anak muda, tetapi bukan dengan aksi zumba dan aksi lakonan layar perak tetapi perlu hadir dengan idea progresif untuk membangunkan sukan negara kita. Janganlah hanya berbelanja besar dalam bidang sukan tetapi hasilnya memualkan - ini suatu tragedi. 

 
Jika kegagalan mencapai sasaran emas dalam temasya-temasya sukan berprestij sebegini terus berulang, tidak dapat tidak Khairy perlu berbisik kepada Perdana Menteri untuk menukar ke Kementerian lain ataupun menghantar sepucuk surat perletakkan jawatan sebagai Menteri Belia dan Sukan.


Khairy Jamaludin menteri kelahiran Oxford yang disangka hebat, rupanya hanya seorang hero 'bed time story' semata.


Zuraidi Abdullah

Penyelaras Segmentasi Sukan SAMM

Solidariti Anak Muda Malaysia

Sunday, October 5, 2014

Maknanya, kita TAK SENGAJA menaikkan harga minyak - Najib Razak

"Kita bukan menaikkan harga minyak, kita mengurangkan subsidi. Ada bezanya, maknanya kita TAK SENGAJA menaikkan harga minyak" - Najib Razak

"Tapi adakah maknanya SENGAJA turunkan subsidi sebab kebocoran sempadan dan ketirisan dalam pentadbiran?" - Edy Noor Reduan

Friday, October 3, 2014

Bersyukur Atau Protes: SAMM Jawab Kenyataan Menteri

Kenyataan Media
3 Oktober 2014

Bersyukur Atau Protes: SAMM Jawab Kenyataan Menteri

1. Kenyataan Menteri KPDNKK, YB Datuk Hassan Malek yang meminta rakyat bersyukur dengan kenaikan harga bahan bakar dilihat begitu menghiris perasaan rakyat. Sama ada Menteri ini tidak sengaja mengeluarkan kenyataan itu atau sememangnya tidak mempunyai tahap pemikiran seorang pemimpin.

2. Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) melihat pihak kerajaan tidak mempunyai alasan yang releven untuk kenaikan harga bahan bakar yang menjadi kunci kenaikan kos sara hidup. Ketika ini harga minyak pasaran dunia merundum ke aras paling rendah dalam tempoh 3 tahun. Mengapa kerajaan tergamak menaikkan harga minyak domestik?

3. Kata-kata untuk menjimatkan perbelanjaan negara, pembangunan luar bandar, menaiktaraf sistem pengangkutan awam, menambah kadar BR1M dan sebagainya hanyalah satu penyedap halwa telinga sahaja. 

4. Imbas kembali, zaman Tun Abdullah Ahmad Badawi sewaktu kenaikan harga bahan bakar mencecah 78 sen seliter, yang ketika itu harga minyak global mencanak tinggi. Maka lebihan pendapatan dari kenaikan itu kononnya digunapakai untuk menaik-taraf pengangkutan awam. Apa hasilnya? Hanya lambakan bas-bas Rapid yang tersadai menjadi besi buruk kerana urustadbir yang penuh ketirisan.

5. September 2013, Perdana Menteri YAB Dato' Seri Najib Razak umum kenaikan harga bahan bakar RON95 dan Diesel untuk menjimatkan perbelanjaan negara. Sama juga alasannya ketika ini. Namun, siapakah yang boros dan tidak amanah dalam mengurus perbelanjaan? Rakyat atau Kerajaan? Banyak kelompongan dalam pengurusan perbendaharaan negara yang tidak diatasi sehingga kini.

6. Alasan menteri kononnya kenaikan harga bahan bakar kali ini didorong oleh langkah untuk mencegah penyeludupan. SAMM melihat sepatutnya pihak kerajaan pertingkat operasi di pintu sempadan untuk mencegah penyeludupan. Bukan menghukum rakyat di atas kebocoran sempadan. Semua lorong-lorong tikus laluan penyeludup perlu dipantau rapi yang melibatkan pelbagai agensi. Atau apakah agensi-agensi terbabit di pintu sempadan telah gagal sama sekali sehingga Kerajaan Persekutuan terpaksa mengambil langkah menaikkan harga bahan bakar?

7. Sekali lagi, Kerajaan Persekutuan menggunakan hujah kononnya harga bahan bakar kita antara yang termurah. SAMM berpandangan tidak patut jika ingin dibandingkan dengan negara "net importer" lain kerana hakikatnya kita adalah negara "net exporter" petroleum. Rakyat juga sering dimomokkan dengan ungkapan sumber minyak negara semakin habis sedangkan penemuan-penemuan telaga minyak baru sering sahaja dirahsiakan daripada pengetahuan khalayak umum.

8. Adalah tidak adil juga jika kita membandingkan harga bahan bakar di antara negara kita dan negara jiran dengan menggunakan matawang kita. Umum mengetahui bagaimana nilai matawang kita yang semakin rendah berbanding matawang negara jiran. Tambahan lagi, kita juga harus melihat Pendapatan Per Kapita negara tersebut berbanding dengan kita. Dengan kuasa beli mereka yang besar walaupun harga minyak mereka tinggi, ia tidak akan mengganggu keadaan taraf hidup rakyat mereka.

Apa pun hujahnya, kenaikan harga bahan bakar ini menunjukkan kegagalan dahsyat Perdana Menteri dan Kabinetnya dalam menjaga amanah menguruskan perbendaharaan negara. Lantas, mengambil jalan mudah menaikkan harga bahan bakar bagi membendung defisit yang semakin membesar.

Untuk kesekian kalinya, rakyat Malaysia harus membayar harga yang mahal diatas siri kelemahan dan kegagalan Perdana Menteri dan kabinetnya mengurustadbir negara. Maka rakyat harus protes, bukan bersyukur membabi-buta.

Ahmad Anwar Asyraf
Pengarah Badan Penyelidik SAMM
Solidariti Anak Muda Malaysia 

Thursday, October 2, 2014

Kenaikan Harga Petrol Adalah Demi Keuntungan Berganda GST

Kenyataan Media
2 Oktober 2014

Kenaikan Harga Petrol Adalah Demi Keuntungan Berganda GST

Tindakkan kerajaan menaikan harga bahan api sebanyak 20sen bermula tengah malam tadi bakal menyebabkan kehidupan rakyat lebih sengsara. Kenaikkan ini juga mendorong kesan berantai kenaikkan harga barang dan kos sara hidup yang tidak mungkin mampu dikawal. Ini adalah satu rompakkan terbuka kerajaan Malaysia terhadap rakyatnya.

Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) dengan ini menggesa rakyat seluruh negara khususnya anak muda agar menunjukkan protes secara ampuh. Kerajaan hari ini sekali lagi telah mencabar kesabaran rakyat dan kita tidak harus berdiam diri kerana kesulitan lebih besar menanti di hadapan.

SAMM telah menjangka kenaikan harga petrol dan diesel ini. Ia adalah persediaan kerajaan untuk mengaut untung yang lebih besar dengan perlaksanaan GST. Malah harga komoditi petrol itu sendiri akan meningkat lebih 15sen seliter dari RM2.30 menjadi RM2.45 selepas GST dilancar (1 April 2015). 

Ketika ini juga harga petrol dunia telah menurun sebanyak lebih 25% sejak Mac 2014. Banyak negara termasuklah India dan United Kingdom telah mengambil langkah menurunkan harga petrol. Tiada alasan untuk harga minyak tempatan dinaikkan.

Namun di Malaysia, kerajaan sengaja membiarkan harga barangan melambung. Sifirnya, lebih tinggi harga barang/perkhidmatan maka lebih tinggi cukai GST yang dikutip. Lebih tinggi perbelanjaan isi rumah akibat dari kenaikkan harga bahan api, lebih banyak GST masuk kantung kerajaan.

Masihkah kita ingat bagaimana seorang Perdana Menteri merayu supaya diberikan peluang untuk memerintah sepenggal lagi? Masihkah kita ingat janjinya untuk tidak menaikkan harga bahan api walaupun harga minyak dunia melambung? Malangnya, walaupun ketika harga minyak global menurun, kerajaan telah menaikkan harga minyak domestik sebanyak 40 sen semenjak kekal memerintah lepas PRU13.

Justeru itu, SAMM bermula dari malam tadi telah melancarkan flashmob di beberapa lokasi dan akan terus menyusun lebih banyak flashmob di seluruh negara. Satu perhimpunan besar-besaran membantah kenaikan harga petrol 'demi GST' akan menggegar tanahair. Anak muda harus bersedia dan menyambut gerakan murni ini.

Edy Noor Reduan
Pengarah Propaganda
Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM)