Friday, February 18, 2011

Keadilan Untuk Allahyarham Sa'aid & Adik Ahmad Nizamudin

MANGSA TEMBAKAN KEMPEN FACEBOOK – harakah daily

Satu laman peminat Facebook atas nama 'Keadilan Untuk Allahyarham Sa'aid & Adik Ahmad Nizamudi'n dibuka dipercayai berkaitan kematian seorang lelaki dan anak saudaranya yang ditembak pegawai Unit Pencegah Penyeludupan (UPP) Pengkalan Kubor semalam.

Sehingga berita ini ditulis, laman Facebook yang meletakkan gambar kad pengenalan mangsa sebagai gambar profil itu kini mempunyai 1,329 pengikut.

Bagaimanapun tiada sebarang maklumat terperinci mengenai pengendali dan laman tersebut disertakan.

Melihat kepada entri terawalnya yang dimasukkan pada jam 4.08 pagi tadi, laman itu dipercayai baru dibuat hari ini.

Semalam, Ahmad Nizamuddin Mohamad, 19, cedera parah selepas terkena dua tembakan di rusuk kanan yang dilepaskan pegawai UPP yang didakwa ingin mempertahankan diri.

Nizamuddin ditembak selepas didakwa menyerang empat anggota UPP di perkarangan Hospital Tumpat ekoran salah faham berhubung punca kematian bapa saudaranya, Said Mat Hassan, 56.

Menurut Ketua Polis Kelantan, Datuk Abdul Rahim Hanafi, Sa'aid ditemui empat anggota UPP dalam sebuah kereta Kancil di tepi jalan di Kampung Wakaf Tin di sini pada jam 7.45 pagi dalam keadaan lemah, berwajah pucat serta mulutnya berbuih.

Katanya, anggota UPP itu turut menemui 20 guni beras siam dalam kereta berkenaan.

Menurutnya, melihat keadaan Sa'aid yang tenat, anggota UPP membawanya ke Hospital Tumpat untuk mendapat rawatan. Said disahkan meninggal dunia sebaik tiba di hospital itu.

Bagaimanapun, khabar angin yang sampai ke pengetahuan ahli keluarganya termasuk Nizamuddin mengatakan Sa'aid meninggal dunia akibat dibelasah anggota UPP menyebabkan mereka bertindak menyerang penguat kuasa berkenaan pada pukul 9.20 pagi.

Ekoran tembakan itu, Nizamuddin dibawa ke Hospital Tumpat untuk mendapatkan rawatan, bagaimanapun dia terpaksa dirujuk ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) di Kota Baharu kerana keadaannya yang parah.

Sementara itu, dipihak keluarga Allahyarham pula mempunyai versi berbeza berhubung kejadian tersebut.

Menurut mereka, kematian mangsa akibat dipukul dengan teruk oleh empat anggota UPP terbabit.

Penjelasan versi keluarga itu juga turut dimuatkan dalam entri Facebook tersebut.

"Saksi (anak saudara mangsa) yang menyaksikan kejadian pukul hingga mati Allahyarham Sa'aid ditembak sebanyak 2 das tembakan.

"Sebutir peluru mengenai bahagian dada kanan dan sebutir peluru lagi mengenai perut sebelah kiri mangsa. kejadian berlaku sejam selepas Allahyarham Sa'aid di pukul sehingga mati," entri dalam facebook itu dipetik.

Anak sulung Allahyarham, Nik Suriani Sa'aid ketika ditemui Harakahdaily di kediamannya semalam turut melahirkan rasa kecewa dengan apa yang menimpa keluarganya.

Lebih mengecewakan ekoran bapanya dituduh penyeludup beras terbesar di Malaysia itu seperti dilapor beberapa media.

"Saya mahu keadilan diberikan kepada keluarga saya, bersihkan nama baik keluarga saya.

"Buktikan bapa saya penyeludup beras terbesar Malaysia, sedangkan beras yang dibawanya tidak sampai pun RM700 nilainya," katanya.

Kelmarin, kerajaan dan Polis Diraja Malaysia diminta menyiasat lebih terperinci berhubung kes kematian seorang peniaga beras, allahyarham Said Mat Hassan, 56, termasuk anak saudaranya yang cedera parah terkena tembakan, Ahmad Nizamudi'n, 19.

Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan Negeri, Datuk Husam Musa, berkata rakyat serta keluarga mangsa ingin mengetahui punca sebenar kejadian sehingga berlakunya kematian serta tembakan terhadap Riduan.

Beliau berkata demikian kepada Harakahdaily ketika melakukan lawatan ke atas keluarga mangsa di Unit Forensik Hospital Daerah, Tumpat di sini malam tadi.

Terdahulu beliau mengunjungi keluarga allahyarham di Kampung Bendang Pak Yong, dekat sini untuk mengucapkan takziah kepada keluarga terbabit di atas apa yang berlaku.

Husam seterusnya berharap kerajaan melakukan siasatan secara adil serta tidak melindungi mana-mana pesalah dalam kejadian itu.

"Kita juga kesal bagaimana ianya boleh berlaku sehingga mengakibatkan kematian dengan kesalahan hanya menyeludup beras.

"Seorang lagi mangsa ditembak dua das hanya kerana tindakan 'hilang sabar' akibat trauma berhubung kejadian yang menimpa keluarga mereka,"ujarnya.

Menurut Husam perkara itu (seludup beras) memang salah disisi undang-undang, namun amat tidak wajar mereka dihukum sedemikian.

Kejadian dikatakan berlaku kira-kira pukul 8.30 pagi setelah mangsa keluar dari rumah untuk meneruskan kerja hariannya sejak sekian lama dengan berniaga beras.

Bapa mentua mangsa, Shafie Che Tah, 69, ketika ditemui berkata bagaimanapun menantunya itu akhirnya ditangkap polis Unit Pencegah Penyeludupan (UPP).

"Dia dipukul hingga pengsan dan dipercayai meninggal dunia selepas itu. Anak saudara allahyarham (Riduan) pula mengamuk apabila melihat sekumpulan UPP datang ke hospital.

"Saya diberitahu dia ditembak dua das dari pihak UPP dalam pergelutan itu,"ujarnya ketika ditemui.

Riduan kini dirawat di Hospital Raja Perempuan Zainab ll, Kota Bharu. - Harakahdaily
 
 
KLIK SINI UNTUK KE LAMAN FACEBOOK TERSEBUT DAN BERIKAN SOKONGAN !!

No comments: