Saturday, May 29, 2010

Sesi Ulangtayang : Kerajaan Penjajah !




Artikel di bawah diulang-tayang sempena kongress PKR yang sedang berlangsung! Kepada yang sudi, selamat membaca...

"Inilah niat mereka. Anda tahu, kami akan mengumumkan satu pilihanraya kecil dalam satu pilihanraya kecil," katanya sebuah agensi berita AFP.

"Saya akan bertanding dalam pilihanraya kecil itu, polis juga sudah mengetahui (perancangan) itu."

ANWAR IBRAHIM

Assalamualaikum dan salam sejahtera kepada semua sahabat seperjuangan.

Kerajaan Penjajah. Tajuk entri kali ini agak menggerunkan, semoga Allah memberi perlindungan kepada saya. Kerana rakyat telah dicabar maka saya tampil dengan buah fikiran yang agak lama terpendam meluap-luap. Saya akan ulas berkenaan Dato Seri Anwar Ibrahim di akhir entri ini.

Saya masih ingat sewaktu saya kecil dulu, saya sering dibawa ke Port Dickson oleh arwah bapa untuk bersantai. Kami pergi sekeluarga dan kerap juga wan saya dibawa bersama. ‘Wan’ adalah panggilan bagi nenek di negeri kelahiran saya iaitu Negeri Sembilan.

Sepanjang perjalanan dari batu empat P.Dickson ke Teluk Kemang, saya begitu teruja dengan rumah-rumah bungalow yang begitu besar. Seraya itu saya pernah berjanji kepada wan untuk menghadiahkan bungalow P.Dickson betul-betul di tepi pantai. Janji seorang cucu yang juga janji seorang kanak-kanak riang yang belum kenal erti kehidupan sebenar.

Sedarkah saudara sekalian, jika saya belajar sehingga ke universiti sekalipun, jika saya bergaji 4 ribu  sebulan sekali pun, belum tentu wan saya dapat merasai bungalow yang telah saya janjikan. Kalau saya tahu erti kehidupan sebenar di negara ini, sudah tentu saya tidak akan berjanji kepada wan untuk membeli rumah bungalow itu. cukup cerita kisah silam. Wan saya pun dah arwah berbelas tahun yang lalu.

Kita rakyat yang mempunyai sebuah negara, kita rakyat ada kerajaan ‘prihatin’, kita rakyat ada sumber alam yang begitu lumayan. Tetapi apakah yang kita ada buat diri kita? hutang kereta 50 ribu, hutang rumah 150 ribu, hutang pinjaman peribadi 20 ribu kononnya nak buat business sampingan. Apakah yang telah kita miliki sebenarnya? adakah aset atau liability ? Berapa ramai rakyat Malaysia yang mampu beli kereta dengan cash? Tiada apa yang boleh dibanggakan jika setakat makan gaji bayar hutang. Saya percaya rakyat tertekan apabila memikirkan nasib ini.

Bukanlah saya nak menyalahkan kerajaan kerana hutang-hutang yang kita 'nikmati', tetapi wajarkah kita mempunyai hutang sebanyak itu jika kita hidup di negara yang cemerlang? Cuba kita andaikan, jika kereta kancil baru dijual dengan harga RM10 ribu, Proton Wira pula 15 ribu, adakah ianya menjadi beban yang besar kepada rakyat? atau adakah kerajaan pula yang terbeban dengan penetapan harga tersebut?

Bayangkan, jika kita hanya membayar RM100 sebulan untuk kereta proton saga baru, dan RM200 sebulan untuk rumah teres, bukankah banyak lebihan gaji? Mengapa keadaan itu tidak boleh berlaku di negara ini? Bukan satu perkara yang mustahil untuk merubah semua kepada sesuatu yang lebih baik untuk rakyat, kita bisa melakukannya, tetapi bukan melalui UMNO. Namun realiti sebenar yang dihadapi oleh rakyat ialah, bayaran untuk saga baru ialah RM400 sebulan manakala bayaran untuk rumah flat kos sederhana pula RM600 sebulan baik dari segi sewaan mahupun belian. Kerajaan penjajah!

Mengapa kerajaan membiarkan harga Gen-2 60ribu bersamaan 4 kali ganda dari harga kos sedangkan pengeluar Gen2 adalah milik kerajaan? Mengapa kerajaan sanggup menjual kereta nasional dengan harga yang begitu murah kepada negara lain asalkan terjual tetapi kepada rakyat Malaysia, mencecah 60ribu?  Sebagai contoh, Proton Persona dijual dengan harga RM 35ribu di negara teluk dan jauh lebih murah di serata eropah dengan spek yang hampir sempurna, berbanding dengan penjualan kepada rakyat sendiri dengan harga RM60ribu bersama spek minima! Bukankah ini satu bentuk penindasan dan 'double standard'? Oleh kerana rakyat berada di bawah genggaman kerajaan maka rakyat harus dibebankan untuk membantu kerajaan. Kerajaan penjajah!

Apabila rakyat yang semakin terbeban ini mencari inisiatif lain seperti berniaga, lain pula halanganya. Mana-mana kawasan yang telah berjaya menjadi tapak perniagaan, akan keluar notis untuk dirobohkan dengan alasan lazim, kerajaan ingin membangunkan kawasan perniagaan yang lebih proper. Seperti yang kita sedia maklum, ada wang disebalik tujuan ikhlas, pasti, pasti, pasti terdapat kepentingan tersendiri apabila pelbagai transaksi lumayan berlaku. Setelah dibangunkan tapak perniagaan yang selesa, maka akan ada pula bayaran bulanan yang tinggi dengan tapak yang begitu terhad dan syarat-syarat yang amat ketat. Kerajaan penjajah!

Lain pula jadinya di Petaling Street. Kita semua tahu bahawa apa yang diniagakan di PS adalah barangan tiruan, cetak rompak dan tidak kurang juga aktiviti pelacuran serta banyak terdapat unsur kongsi gelap. Namun, peniaga serba samseng itu diberi layanan kelas pertama oleh kerajaan di mana dapat kita lihat atap serba moden beserta pintu gerbang gergasi dibangunkan untuk perniagaan haram. Salahkah jika saya katakan, suapan telah berlaku terhadap agensi kerajaan maka laluan mudah diberi kepada peniaga  berstatus kongsi gelap Petaling Street dan ia lebih dipermudahkan dengan mengiktiraf Petaling Street sebagai salah satu destinasi pelancongan. Shit!

Kita kaji semula dengan buah fikiran yang terbuka, semua projek kerajaan didahului dengan kepentingan yang tersendiri. Kerajaan membangunkan rumah flat untuk rakyat miskin, dengan kos beberapa juta di atas kertas, maka naiklah bangunan flat 17 tingkat 'secukup syarat' berupa seperti sarang merpati. Rumah-rumah flat tersebut bukanlah diberi secara percuma di atas kerobohan rumah setinggan yang telah diduduki selama berpuluh tahun, malah rakyat yang dikenalpasti miskin harus pula membayar kadaran sewa kepada DBKL, Inikah yang dinamakan Program Rakyat Termiskin?

Tanah asal yang diduduki oleh penduduk rumah flat ini telah tergadai kepada cukong untuk membina kondominium mewah. Rakyat serba kekurangan dipaksa duduk dan bayar sewa di rumah flat 17tingkat yang sesak lagi padat namun tanah asal mereka telah dibahagi-bahagikan kepada pemaju demi kekayaan dan kemewahan segelintir umat. Kerajaan penjajah!

Projek-projek tembatan banjir sentiasa dipandang remeh, hanya setelah kerugian berbilion ringgit, kerajaan muncul bersama projek billion trowong smart yang juga mempunyai dikenakan tol untuk lalulintas sedangkan ia adalah projek tembatan banjir. Bawah tanah, atas tanah, semua projek kerajaan Barisan Nasional adalah hanya yang memenuhkan poket kroni dan proxy sambil menindas rakyat kebanyakkan. Kerajaan penjajah!

Demikian jugalah sekatan yang dilakukan terhadap pemimpin yang berniat untuk membela bangsa. Demi menjaga kepentingan peribadi yang dipupuk sejak dulu kini dan selamanya, usaha untuk menghalang panjatan DSAI menjadi agenda utama para pemimpin kerajaan penjajah. Tindakan tahun 1998 yang lalu diulangi oleh pemimpin yang menjanjikan Islam Hadhari ini demi tujuan yang sama iaitu menghalang pembongkar rahsia dari memiliki kuasa. Iaitu kuasa yang boleh menghumban mereka ke dalam kegelapan. Kerajaan penjajah!

Rakyat pasti bangkit membela pemimpin yang menjanjikan pembelaan. Di saat rakyat berhimpun keluar ke jalanan, datang pula truck merah bomba bersama water canonya. Bomba yang hadir ini bukan datang untuk memadamkan bangunan yang terbakar, tetapi memadamkan api kemarahan rakyat. Air kimia dan bom asap itu tidak akan berjaya memadamkan luapan kemarahan rakyat terhadap kerajaan. Kerajaan penjajah.

Layarilah youtube untuk hari berikutnya, akan dapat di lihat rakyat dipukul, dihentak, disepak, diterajang oleh anjing-anjing kerajaan. Pemandangan sebegini tidak akan dilihat dalam bulletin utama tv3. Berhimpun secara aman bertukar ganas angkara mata-mata gelap, Special branch memainkan peranan untuk rosakkan himpunan aman seperti yang berlaku pada gerakan reformasi 1998. Siapa polis untuk belasah rakyat ? Dalam undang-undang mana yang membolehkan polis memukul orang yang berhimpun? Polis mempunyai hak untuk menangkap, tetapi bukan memukul! where is the rule of law?

Pemimpin seperti Dato Seri Anwar Ibrahim tidak terlepas dari menjadi mangsa kerajaan penjajah. Dengan persediaan yang cukup rapi untuk menumbangkan kerajaan penuh korupsi, langkahan dangkal dari pihak kerajaan menjelma demi mematikan langkah Anwar, untuk seketika gamaknya. Perancangan DSAI sampai juga ke tangan UMNO. Pada pilihanraya kecil di Sanglang kelak, Anwar dikatakan akan membuat pengumuman bahawa beliau akan bertanding di satu lagi pilihanraya kecil yang 'besar'.

Saya jangkakan pilihanraya kecil itu akan melibatkan sebuah kerusi parlimen. Apabila berita ini tersebar ke tangan UMNO, maka laporan polis dibuat supaya DSAI tidak akan dapat bertanding atas sebab terlibat dengan jenayah / masih dalam perbicaraan.

Inilah cara juak Barisan Nasional untuk menggagalkan usaha merampas kerajaan dari tangan mereka. Keadaan ini memberikan tidak banyak pilihan kepada kita sebagai rakyat. Adakah kita perlu lakukan lebih lagi..? Rakyat jangan dicabar, jika rusuhan adalah jalan yang terakhir bagi kita, itulah pilihan yang telah diberi oleh kerajaan penjajah yang memerintah.

Percayalah, mereka dan gagasan mereka akan mempertahankan kerajaan ini bagi menjaga segala rahsia korup mereka. Bukan hanya menjaga kroni-kroni, dan hasil-hasil haram, malah mereka pasti dalam ketakutan kerana segala kemungkaran dan kejahatan yang dilakukan selama berpuluh tahun akan terbongkar apabila kerajaan penjajah ini ditumbangkan.

Kerajaan penjajah ini mempunyai kuasa dalam semua bidang. Polis, FRU, mahkamah, media, SPR, BPR dan agensi-agensi lain, jawatankuasa itu dan ini yang menyokong penuh kemungkaran yang berlaku. Kita berazam untuk ubah mentaliti dangkal yang menyelubungi seluruh pegangan kerajaan.

Ayuh, bangkitlah. Jika kamu semua tidak berkesempatan untuk berjuang menentang penjajah seperti di zaman Tok Janggut, jika kamu semua tidak sempat lahir untuk menentang penjajah British bersama Datuk Dol Said, Inilah masanya untuk kamu buktikan darah kepahlawanan yang ada dalam diri setiap rakyat. Saya percaya, setiap anak Pahang mempunyai darah kepahlawanan Mat Kilau, setiap anak Perak mempunyai semangat menentang penjajahan Datuk Maharajalela, setiap anak Terengganu mempunyai resam Rahmah Limbung, dan akhir sekali, setiap anak Malayu mempunyai darah Jebat dalam memartabatkan keadilan. Bangkitlah bangsaku, menentang penjajah era baru. Kerajaan Penjajah.

RE-FOR-MA-SI

RE-FOR-MA-SI

RE-FOR-MA-SI

TAKBIR!!
EDYES

30 JUNE 2008 - diedit serba sedikit pada 29 Mei 2010


No comments: