Thursday, May 3, 2012

SAMM Sedia Talian SMS Untuk Mangsa Kezaliman Pihak Berkuasa! #BersihStories



Kenyataan Terbuka
3 Mei 2012

SAMM Buka Talian SMS Untuk Mangsa Kezaliman Pihak Berkuasa

Secebis kesempatan diambil oleh Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) untuk mengucapkan tahniah kepada semua rakyat yang hadir dalam apa jua bentuk sokongan bagi menjayakan perhimpunan BERSIH 3.0. Tahniah rakyat Malaysia, himpunan terbesar dalam sejarah negara tercipta 28 April 2012.

Ternyata 'benchmark' himpunan rakyat terbesar di awal zaman reformasi suatu ketika dahulu telah dipecahkan oleh kejayaan BERSIH 3.0 dengan menghimpun 300 ribu rakyat di 11 venue seluruh Malaysia dan 73 negara di seluruh dunia. Ini suatu kejayaan mutlak hasil tindakbalas rakyat bagi menghalang cubaan pihak kerajaan pemerintah mengekalkan kuasa melalui pelbagai helah dan penipuan pilihanraya.

SAMM yang terlibat secara langsung dalam menjayakan BERSIH 3.0, menyedari pelbagai kesulitan dan kesengsaraan dilalui oleh semua peserta himpunan di atas ketelanjuran pihak berkuasa yang bukan sahaja gagal memastikan keamanan, tetapi telah merusuh di atas khabar angin yang sengaja diatur. Akhirnya ramai peserta yang mendapat kecederaan akibat dirempuh dan dibelasah oleh pihak polis yang 'hilang pedoman'. Ramai juga peserta yang ditangkap dan dibawa ke Pulapol.

Tidak kurang juga peserta himpunan BERSIH yang mengalami kerugian di atas kehilangan harta benda hasil daripada rusuhan pihak berkuasa. Para wartawan yang menjadi pemerhati berkecuali juga turut menjadi mangsa kezaliman pihak berkuasa sehingga ada alat media milik mereka dirampas.

Justeru itu, SAMM membuka talian SMS dan juga menyediakan email untuk semua mangsa kezaliman/keganasan/tangkapan pihak polis bagi menyatakan pengalaman masing-masing terutamanya mereka yang dipukul samada separuh mati atau hampir mati, diheret ke Pulapol dan juga yang mengalami kerugian/kehilangan harta benda di atas rusuhan pihak polis. Berikut adalah nombor talian SMS dan alamat email:

Nombor talian SMS : 018-9235083
Email SAMM : adu@anakmudamalaysia.com

Talian di atas juga dibuka kepada peserta yang mempunyai apa jua permasalahan dan kesulitan yang tidak berjaya diselesaikan seperti urusan dengan pihak polis dan keperluan khidmat guaman. Sila sertakan info/maklumat untuk dihubungi bagi keperluan makluman selanjutnya. Pengamal media juga dialu-alukan untuk memberi bantuan hebahan.

Pihak SAMM mengambil tanggungjawab untuk memastikan tiada mangsa yang dibiarkan dan tidak dibela setelah kita bersama 28 April 2012 menjadi sebahagian daripada sejarah menerpa kejayaan BERSIH 3.0 demi pilihanraya bersih dan adil serta ruang demokrasi yang terjamin.

Sekian

"Perjuangan Adalah Perlaksanaan Kata-Kata"


EDYES REDUAN
Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM)
www.anakmudamalaysia.com
edyesdotcom@gmail.com

No comments:

Tukar Tiub - Brader Isham

Terkini di blog Aduka Taruna

Pak Bakaq si Penarik Becha

Comandante Che gue Bard

iklan