Thursday, December 17, 2020

Kisah Anwar 'Fly' Ketika Belajar di MCKK

 


Kisah Anwar 'Fly' Ketika di MCKK


Sejak sekian lama saya tersentuh dengan pelbagai kisah keperibadian Datuk Seri Anwar Ibrahim, malam ini sekali lagi tercuit dengan perasaan bangga apabila membaca tulisan sahabat saya saudara Yusof atau nama penanya Milo Suam, yang menggarap sebuah kisah yang saya yakin tidak ramai mengetahuinya - kisah Anwar 'fly' ketika di zaman persekolahan.

Saya pernah juga hidup di zaman asrama. Ketika itu kegiatan 'fly' menjadi kebiasaan rakan-rakan sekolah untuk berhibur di pekan, berhibur dengan cara anak sekolah, melepak, merayau, mengorat dan sebagainya. Saya mengaku tidak terlibat sama sekali. Inilah satu norma kebiasaan bagi budak asrama, bukan norma baharu seperti zaman Covid.

Namun menurut sahabat saya yang memetik kisah ini dari buku bertajuk Anwar Ibrahim: The Evolution of Muslim Democrate tulisan Dr Charles Allers, Anwar Ibrahim kerap 'curi-curi keluar' dari asrama yang disebut dalam buku tersebut dengan istilah 'sneak out' bukan untuk bersuka ria, tetapi beliau dengan begitu cergas mengadakan aktiviti kemasyarakatan kepada penduduk setempat.

Antara aktiviti yang dilakukan oleh Anwar ketika di sekolah Malay College of Kuala Kangsar (MCKK) ialah memberi kelas tuisyen dan motivasi percuma kepada pelajar-pelajar miskin di kawasan sekitar. Beliau turut menyertai program-program agama di sekolah pondok atas bukit, berdekatan Istana. Itulah aktiviti Anwar bersama beberapa rakannya termasuk salah seorang bernama Osman Bakar.

Ironinya, Anwar yang fasih berbahasa Inggeris telah 'curi-curi keluar' sekolah di hujung minggu untuk mengajarkan bahasa Inggeris kepada pelajar sekolah pondok. Sebagai pertukaran, Anwar dan rakan-rakan pula dapat menimba ilmu pengetahuan Agama Islam dan Bahasa Arab dari guru sekolah pondok tersebut.

Rupa-rupanya Anwar telah mengaplikasikan kaedah adaptasi ilmu sejak dari zaman sekolah lagi. Maka tidak hairanlah mengapa beliau diangkat menjadi Menteri Pelajaran ketika berumur 39 tahun pada 1986. Sebagai Menteri Pelajaran, Anwar telah dipilih sebagai Presiden Persidangan Agung UNESCO ke-25 dan pada tahun 1988, beliau menjadi Presiden Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

Kisah Anwar 'fly' ini wajar dijadikan pedoman buat semua anak-anak muda di luar sana. Mereka boleh belajar dari kesungguhan Anwar untuk melihat anak bangsanya maju ke depan apabila memanfaatkan dan mengorbankan masa-masa yang indah seorang remaja.

Cubalah kita bermenung sejenak, apakah yang kita lakukan sewaktu zaman persekolahan atau zaman kita muda-muda dahulu?

Mungkin jika zaman tersebut sudah ada media sosial, sudah pasti aktiviti terpuji yang pernah dilakukan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim ini akan mendapat liputan yang meluas dan tular sebagaimana tularnya nama-nama besar seperti Ustaz Ebit Lew.

Kisah seperti ini juga sering difilemkan oleh penggiat filem barat dalam genre biografi, dan adalah menjadi kebanggaan rakyat Malaysia betapa Anwar juga mempunyai banyak singkapan sejarah yang boleh dimegahkan dan mungkin boleh difilemkan.

Semoga anak-anak muda juga lebih mengenali wibawa Datuk Seri Anwar Ibrahim dan menjadikan beliau sebagai tokoh sumber inspirasi moden.

EDY NOOR REDUAN
Aktivis Blogger

No comments: