Friday, February 5, 2010

Khalid : TITM Dan Saya

Membaca Pelita Ilmu, Dipersilakan...

Saya meletakkan tulisan TITM di blog saya sebagai bukti bahawa saya tidak merasa marah atau dendam terhadap beliau. Sebenarnya saya turut bersimpati terhadap beliau dalam isu ini. Dia dikecam jauh lebih teruk dari saya, sedangkan dia hanya berusaha untuk menjalankan tugas yang tidak ingin dipikulnya sejak dari awal lagi.

TITM merupakan salah seorang pimpinan yang mudah didampingi dan di dalam sesi perbahasan atau perbincangan saya melihat beliau sanggup mendengar hujjah-hujjah dari semua pihak, termasuk yang tidak berlatar-belakang pendidikan agama. Hujjah dipertimbangkannya berdasarkan kekuatan hujjah, bukan atas dasar siapa yang bercakap. Dalam beberapa isu, termasuk berhubung isu kalimah Allah, semasa mesyuarat Lujnah Politik PAS Pusat atau yang di rumah DSAI, kami sealiran.

Namun, seperti biasa, tidak mungkin kita bersetuju di atas semua perkara. Dalam soal keputusan JK Disiplin, saya akur dan tidak membantah, namun itu tidak bererti saya setuju secara keseluruhan atau berpuas-hati. Benar, saya telah menyebut bahawa matlamat minima tercapai tetapi itu tetap merupakan yang paling minima. Tetapi, adakah kita patut berpuas-hati dengan hanya yang minima?

HARAPAN AHLI DAN PENYOKONG TERHADAP JK DISIPLIN

Sememangnya ramai yang mengharapkan JK Disiplin akan menyelesaikan kemelut di Selangor. Kemelut yang begitu meruncing sehingga TGNA mencadangkan EGM untuk diadakan. Kemelut yang berpunca dari tindakan yang sering menjejas kepentingan PR melalui tindakan dan kenyataan yang jelas bercanggah. Kemuncak dari itu apabila berlaku peristiwa berhubung SelCAT. Ramai yang mengharapkan tindakan akan diambil terhadap punca kemelut itu, tetapi malangnya harapan ini musnah apabila yang dihukum ialah orang yang mempertahankan PR dan punca kemelut dilepas dengan hanya amaran.

Apabila ahli marah dan seteru tidak, sepatutnya ianya dilihat sebagai satu petanda bahawa ada yang kurang betul. Jangan kita respon dengan memarahi pula ahli sedangkan kemarahan ahli pasti ada sebabnya. Ahli telah sabar menunggu berbulan-bulan untuk melihat penyelesaian tetapi apa yang terhasil adalah sebaliknya. Tidakkah wajar kekecewaan mereka? Maka timbullah berbagai andaian.

JANGAN DIPATAH SEMANGAT KEPEMUDAAN PEMUDA

Saudara Abdullah Karim, seorang AJK Pemuda Pusat yang tidak langsung berkepentingan dalam isu ini menjadi marah, apa sebabnya? Kita harus tanya diri kita sendiri. Jangan pula kita menempelaknya dengan ugutan tindakan atau tuduhan tidak bertanggung jawab dengan mengatakan ‘kritik kemudiannya tinggal’. Saya pasti rancangannya untuk ‘tinggal’ sudah lama dibuat, malahan lama sebelum keputusan ini dikeluarkan.

Sebagai pemimpin, kita mesti galakkan kritikan yang membina walau datang dari apa saluran dan dari siapa sekalipun. Jangan dipatahkan sayap burung yang baru ingin terbang. Jangan dipadamkan semangat kepemudaan pemuda yang ingin berjuang. Ingat akan tindakan Saidina Umar (RA) apabila dinyatakan oleh seorang pemuda akan dihunus pedang untuk dibetulkan diri Umar. Umar memuji sikap pemuda tersebut dan tidak menempelaknya.

Selami pointnya dan fikirkan. Kalau betul, terima. Kalau tidak, jelaskan mengapa tidak. Pemimpin mesti berbesar hati, jangan sempit dan ingin mengongkong pemikiran pengikut. Kita perlu ‘engage’ dan beri penjelasan. Ini akan menjadikan pengikut bangga dengan sikap pemimpinnya dan pada masa yang sama, masyarakat sekeliling akan menghormati dengan keterbukaan pemimpin kita. Maka, janganlah diperlihatkan PAS bagaikan berkuku besi - kamu kritik, kamu dikenakan tindakan!

JANGAN MENEPIS KRITIKAN

Saya melihat TITM berpegang kepada pendirian bahawa ahli tidak sepatutnya mempertikaikan keputusan JK Disiplin. Mereka tiada fakta, hanya andaian. Namun inilah sebenarnya peranan JK Disiplin untuk menjelaskan. Keadilan mesti bukan sekadar dilaksana tetapi dilihat terlaksana. Dalam erti kata lain, JK Disiplin mesti meyakinkan semua bahawa keputusan dan hukuman yang telah ditetapkan adalah adil. Tidak cukup dengan hanya mengatakan “kami tahu, kamu tidak tahu” atau “kami ada fakta, kamu hanya andaian”. Ini kaedah menepis teguran namanya. Tiada yang terhasil dengan tepisan begini. Yang tidak berpuas hati akan terus tidak berpuas hati. Sebaliknya kita mesti jelaskan, dedahkan dan buktikan bahawa ianya adil.

Tepisan kedua, “kalau nak pertikai pun, guna saluran yang sepatutnya”. Sebenarnya inilah yang ahli melakukan selama ini. Mereka sabar menunggu berbulan-bulan, menjaga adab berjamaah, mengharapkan penyelesaian. Malangnya yang terhasil adalah sebaliknya. Sebenarnya keputusan JK Disiplin telah menyebabkan sebahagian dari ahli hilang keyakinan dengan ‘saluran yang sepatutnya’. Mereka menunggu dengan penuh harapan, yakin bahawa keadilan akan terlaksana namun akhirnya harapan dimusnahkan. TITM mesti ingat apa tujuan JK Disiplin dirujuk dalam soal ini. Termasuk hakikat bahawa ianya sebagai pengganti kepada EGM.

Adakah EGM dulu dicadangkan oleh kerana tindakan saya? Atau untuk menapis golongan yang dilihat anti-PR?

BUKAN SEMUANYA ANDAIAN

Hakikatnya ahli dan penyokong juga mempunyai fakta. Bukan semuanya andaian. Sebagai contoh saya kemukakan fakta yang diketahui umum.

1. Semua tahu PJ telah melakukan banyak perkara untuk menjejaskan kedudukan PR Selangor semenjak dahulu lagi. Kenyataan dan tindakan beliau menimbulkan berbagai masalah sehingga akhirnya di pertemuan di Tropicana beliau turut berjanji tidak akan bertelagah lagi dengan PR secara terbuka.
2. Beliau terus dengan kerenah beliau dalam isu SelCAT. Ini juga fakta.
3. Akhirnya beliau lepas dengan amaran dan saya yang dihukum. Sedangkan semua tahu saya menyanggah beliau kerana kesalahan beliau. Ini juga fakta.

Dengan fakta yang sebegini, tidak salah ahli dan masyarakat umum membuat andaian bahawa ada yang tidak kena. Mereka tidak boleh membaca hati dan niat seseorang. Mereka akan menghakimi tindakan JK Disiplin berdasarkan yang zahir. Mereka akan membuat andaian berdasarkan fakta yang ada pada mereka. Oleh itu pemimpin mesti jelaskan, dedahkan dan buktikan keputusan yang dibuat adalah adil. Bukan sekadar menyatakan “tiada agenda”, “saya ikhlas” dan sebagainya.

Walau dinafi seribu kali akan adanya agenda tertentu, namun “actions speak louder than words” atau tindakan lebih menyakinkan dari kata-kata. Kata-kata mengatakan tiada agenda, malangnya tindakan bagaikan menyatakan sebaliknya.

KESALAHAN KHALID LEBIH SERIUS!

Ada yang mengatakan, kesalahan Khalid lebih serius! Serius atau sebaliknya boleh dinilai berdasarkan siapa yang membuat aduan. Dalam kes saya, aduan dibuat oleh Dewan Harian PAS Selangor, pendek kata PJ sendiri.

Saya difahamkan bahawa aduan terhadap PJ dibuat oleh MB Selangor, Back Benchers Club Selangor, iaitu semua ADUN PR Selangor yang bukan ahli-exco dan juga, sekiranya diambil kira isu EGM, TGNA!

Kalau aduan MB, BBC PR Selangor dan TGNA semuanya dianggap remeh dan tidak serius, saya rasa kita kena tunggu PJ buat aduan atas dirinya sendiri barulah dianggap serius. Kalau ini berlaku, sah serius kerana ada yang sudah hilang akal!

Ada juga yang mengatakan kesalahan saya lebih serius kerana saya melakukan kesalahan terhadap parti sendiri. PJ pula melakukan kesalahan terhadap orang lain. Saya amat berharap ini bukan pandangan pimpinan PAS! Kalau ini pandangan pimpinana PAS maka tiada maknalah cogan kata ‘PAS for All’ dan pegangan, Islam adil terhadap semua. Malahan saya berani katakan sikap ini sikap Yahudi dan bukan sikap Islam. Kalau ada yang berfikiran begitu, harap sangat dibetulkan!

Lagipun, adakah benar PJ tidak menyalahi partinya? Bukankah amanat dari muktamar Ipoh dan Shah Alam mendesak supaya PR dikukuhkan? Tidakkah tindakan beliau menyalahi amanat tersebut? Atau adakah usul tersebut hanya tipu-helah politik dan satu pembohongan? Kalau ada yang menganggap ianya pembohongan, harap sedar bahawa bagi kebanyakan ahli muktamar, ianya keputusan yang mesti dipatuhi. Dan saya menyanggah PJ atas sebab tidak akur kepada keputusan muktamar.

KESAN KEPUTUSAN JK DISIPLIN

Saya tidak bersedih kerana digantung jawatan. Kita berjuang bukan kerana jawatan. Saya sedih kerana hasil keputusan JK Disiplin, imej PAS tercemar. Selama ini PAS dilihat sebagai ‘weak link’ di Selangor. Apabila disebut kerajaan PR akan jatuh kerana ada yang akan melompat, semua melihat pada PAS. Sehingga PJ terpaksa mendedahkan isu ‘Baiah taklik’ untuk meyakinkan rakan-rakan PR. Namun tindakan beliau menyanggah beberapa keputusan PR secara terbuka terus mengundang kesangsian.

Keputusan JK Disiplin mengukuhkan kesangsian ini. Rakyat melihat PAS tidak kommitted kepada usaha menjayakan PR Selangor kerana yang menimbulkan masalah tidak dikenakan tindakan. PAS terus dianggap mempunyai ‘perancangan rahsia’ dan ‘agenda tertentu’ seolah-olah hanya menunggu masa untuk bersama BN.

Sekali lagi kita tidak boleh salahkan rakyat atas andaian tersebut. Kita yang menimbulkan kesangsian dengan tindakan kita sendiri. Amat sukar untuk mengembalikan kepercayaan rakyat terhadap kesungguhan PAS untuk bersama PR setelah apabila mereka baru sahaja mahu percaya, kita yang menimbulkan kesangsian kembali. Amat malang bagi PAS, peluang keemasan untuk membuktikan kesungguhan kita akhirnya terlepas begitu sahaja, malahan ditambahkan pula kesangsian.

Saya setuju dengan kata-kata TITM, “kalau anda tidak boleh membantu jamaah, jangan menyusahkan jamaah”. Malangnya, bagi saya, keputusan JK Disiplin yang banyak menyusahkan PAS berbanding kritikan dan teguran ahli. Minta maaf banyak-banyak.

KALAU TERSILAP

Rasulullah (SAW) sendiri mengaku tersilap dan seterusnya meletakkan tentera Islam dikedudukan yang dicadangkan oleh Hubab di Badr. Umar (RA) pernah menarik balik keputusan beliau apabila ditegur seorang muslimat. Imam Shafii pula terkenal dengan peristiwa qaul Jadid dan qaul Qadimnya. Kalau tersilap tiada salahnya diperbetulkan kalau kita mampu. Kalau mampu diperbetulkan, tidak cukup dengan memohon ampun dengan Allah semata-mata sambil membenarkan kerosakan terhadap imej PAS berterusan.


KESIMPULAN

Hormat saya terhadap TITM tetap kekal seperti biasa. Kalau berjumpa di Shah Alam, tetap boleh berbincang dan minum bersama. Tetapi saya tidak bersetuju dengan keputusan JK Disiplin, namun saya terima dan saya akur.

Tetapi ketetapan PAS untuk mengukuhkan PR akan saya terus pertahankan. Dan akan saya sanggah siapa sahaja yang ingin menggagalkannya. Biar pun ianya bergelaran PJ. Mahupun SUA ataupun TP dan siapa sahaja yang ingin mengkhianati keputusan muktamar dan perjanjian persepakatan PR. Kerana muktamar adalah badan tertinggi dan kehendak PAS ditentukan di sana. Yang lain hanya perlaksana!

Kita berjuang supaya keadilan dan kebenaran Islam terserlah. Bukan oleh kerana tokoh tertentu. Tokoh datang dan tokoh pergi, namun perjuangan Islam terus dihayati. Keadilan dan kebenaran Islam tidak akan terbukti melalui ‘politik khianat’ serta ‘politik oppurtunis’. Keadilan dan kebenaran Islam akan terserlah melalui kejujuran berpakat dan semangat setiakawan bersama. Oleh itu, sekiranya ada yang ingin khianat biarlah dunia mengetahui bahawa politik khianat BUKAN dari Islam. Biarlah ahli jamaah Islam bangun untuk menghalang penkhianatan sebegini demi menyelamatkan nama baik Islam.

WaLlahu 'Alam
KHALID SAMAD

No comments: