Wednesday, March 20, 2013

MAHKAMAH RAKYAT: Dr M punca krisis Lahad Datu






Dr Mahathir dipersalahkan kerana menjadi orang bertanggungjawab memberi taraf kerakyatan melalui ‘Projek IC’ di Sabah.
KUALA LUMPUR: Rata-rata panelis forum ‘Mahkamah Rakyat : Kisah dari Lahad Datu, Siapa Pengkhianat Sebenar?’ anjuran SAMM dan APS menyimpulkan mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohammad sebagai individu yang menjadi punca sehingga timbulnya krisis terbabit.
Dr Mahathir dipersalahkan kerana menjadi orang bertanggungjawab memberi taraf kerakyatan melalui ‘Projek IC’ di Sabah sejak awal tahun 80-an.
Bekas tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) Hassnar Ebrahim dalam ucapannya mengakui, beliau pernah menandatangani 500 borang kosong dalam satu masa semasa menjadi Ketua Daerah Sandakan.
Terlibat dalam Projek IC tanpa sedar, Hasnar berkata borang kosong terbabit kemudiannya disahkan dan dibawa kepada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) sebelum diubah menjadi sijil kelahiran.
Katanya, semasa Sabah di bawah pemerintahan Parti Bersatu Sabah (PBS) antara 1979 sehingga 1984, tidak kurang daripada 125,000 jumlah kad pengenalan yang dikeluarkan kerajaan persekutuan kepada sebilangan besar pendatang haram.
“Gunung berapi dalam dada saya sudah mahu meletup.
“Kalau ini fitnah dakwa saya kita jumpa di mahkamah,” katanya di hadapan kira-kira 1, 000 orang  di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur Selangor (KLSCAH) malam tadi.
Peranan Megat Junid
Beliau turut mengakui wujud pertemuan bekas Timbalan Menteri Dalam Negeri Allahyarham Tan Sri Megat Junid Megat Ayub dengan 15 pegawai tertinggi kerajaan ketika itu termasuk Ketua Pengarah Imegresen, polis, dan Timbalan Ketua Pengarah JPN di pejabat Jabatan Perdana Menteri.
Beliau mendakwa, semasa pertemuan itu Megat Junid memberitahu mereka Dr Mahathir sendiri meluluskannya dan mahu meminta RM 2 juta untuk kos
projek terbabit.
“Berikutan itu saya ditahan ISA selama 59 hari namun tidak diseksa atau dipukul,” katanya yang juga pernah menjadi saksi penting kes petisyen Pilihan Raya Dewan Undangan Negeri (DUN) Likas pada tahun 1999.
Sementara itu, Siti Aminah Mahmud berkata dirinya tidak sedar terlibat dalam Projek IC di Sabah ketika menjadi ahli Umno dan bertugas di Pejabat Umno Bahagian Sembulan.
Katanya, pada tahun 1990 sehingga 1995 beliau membantu mendapatkan gambar dan cap jari pendatang asing untuk dihantar ke pejabat Umno.
“Saya tak tahu di mana mereka cetak kad pengenalan…saya bantu Umno di Sabah dan menambahkan undi Melayu,” katanya.
Beliau juga ditahan di bawah ISA dan disiasat selama 10 hari.
Turut hadir berucap pemimpin Sabah Datuk Kalakau Untol, ahli parlimen Tuaran Datuk Seri Wilfred Bumburing, bekas Timbalan Panglima Tentera Darat Leftenan Jeneral (B) Datuk Ghafir Abdul Hamid dan sasterawan negara Tan Sri A Samad Said.
Suasana forum tersebut juga meriah dengan jualan baju, buku, termasuk produk makanan bijirin sarapan Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai super hero yang laris dijual dengan harga RM15.


 Lagi berita bergambar, klik di sini








No comments: