Friday, March 29, 2013

Anak Muda Mahu Debat Polisi, Tolak Tawaran 10 Minit Bentang Manifesto

Kenyataan Terbuka
29 Mac 2012

Anak Muda Mahu Debat Polisi, Tolak Tawaran 10 Minit Bentang Manifesto

Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) mewakili anak muda perintis perubahan dengan ini menolak tawaran 10 minit Kementerian Penerangan untuk Pakatan Rakyat bentang Manifesto pilihanraya.

SAMM ingin tegaskan, tawaran 10 minit berbentuk rakaman di atas nama 'transformasi' kononnya memulihkan demokrasi adalah sebenarnya memberi gambaran jelas sejauh mana keikhlasan kerajaan pemerintah. Sudahlah masa yang diberi 10 minit itu jauh dari mencukupi, ditayangkan pula dalam bentuk rakaman yang menjadikan tayangan tersebut boleh diedit dan dimanipulasi mengikut acuan media milik kerajaan.

Barisan Nasional umumnya telah berkempen dan berpropaganda sepanjang penggal melalui media arus perdana. Di sebelah pihak lagi, Pakatan Rakyat terpaksa jelajah seluruh negara menyampai maklumat dalam bentuk ceramah demi menepis segala tohmahan yang dilempar.SAMM percaya tidak perlu diadakan ceramah jika media perdana benar-benar bertindak adil memberi ruang sama-rata. 

Lebih buruk, ceramah Pakatan Rakyat juga terpaksa melalui pelbagai rintangan termasuklah gangguan penyokong Umno yang dibantu kebisuan pihak berkuasa. Kesan dari sorotan serangan di tempat ceramah ini juga sedikit sebanyak menakutkan orang ramai untuk hadir ke tapak ceramah dan seterusnya ketandusan maklumat. Ketika yang sama, satu pihak lagi dengan selesa menyampaikan dakyah secara terus ke dalam rumah melalui peti telivisyen.

Dalam situasi kritikal sebegini, apakah 10 minit yang diberi itu difikirkan cukup? Apakah ini sahaja yang mampu diberi oleh sebuah kerajaan 55 tahun? Atau kerajaan takut pekungnya terdedah kepada golongan atas pagar yang rata-ratanya sukar ditembusi melalui ceramah dan media alternatif.

SAMM menyokong penuh pendekatan yang diambil oleh Pakatan Rakyat yang sebulat suara menolak tawaran 10 minit 'mengarut' ini, Sebagai anak muda progressif, SAMM bertekad memastikan kesedaran rakyat khususnya golongan atas pagar berada di tahap tertinggi untuk memilih pihak mana yang wajar diundi demi masa depan bersama. 

Justeru itu, SAMM yakin anak muda seluruh tanahair pasti mengalukan satu wancana debat dianjurkan untuk membentang polisi masing-masing. SAMM sedia menganjurkan wancana debat polisi ini namun terpulang kepada pihak kerajaan. Wancana debat tersebut juga perlu diadakan secara langsung terus ke kaca tv di semua saluran utama media perdana. Jika ini berlaku, maka barulah apa yang dikatakan 'transformasi' itu berfungsi walaupun SAMM yakin rakyat lebih memilih 'reformasi'.

Semoga Perdana Menteri Malaysia merangkap Menteri Wanita ini punya keberanian untuk merealisasikan aspirasi anak muda melalui wancana debat ini, atau simpan saja 'transformasi' yang berbondong itu. 

Sekian,

Edy Noor Reduan
Pengarah Propaganda
Solidariti Anak Muda Malaysia

No comments: