Monday, August 25, 2008

Politik Orang Terdesak

Hari ini merupakan hari terakhir kempen Pilihanraya Kecil Permatang Pauh. Selama kita berkempen di Permatang Pauh, fitnah dihamburkan kepada saya bertujuan mencemarkan maruah saya dan keluarga. Matlamat kempen UMNO ini tidak lain dan tidak bukan hanya untuk menggagalkan Perubahan yang bakal berlaku. Alangkah miskinnya kempen sebegini. Sedang kita mengungkapkan landasan serta asas bagi Perubahan mereka pula sibuk mencanang politik adu domba dan fitnah.

Semalam kita berbesar hati dan terharu menerima kehadiran Tuan Guru Nik Abdul Aziz di Permatang Pauh, walau sedikit uzur Tuan Guru masih bertegas mahu hadir membantu kempen. Malah imam yang menjadi saksi sumpah di Masjid Wilayah Persekutuan tempoh hari sudah mengakuan bahawa beliau diarah oleh pihak atasan untuk hadir ke majlis tersebut, serta sumpah yang dibuat ternyata tidak selari dengan tuntutan Syariat Islam. Nampaknya UMNO sudah terdesak waima sanggup mempergunakan agama.

Kita sentiasa memastikan agenda kita adalah demi rakyat. Makanya persepakatan kita ini dikenali sebagai Pakatan Rakyat. Kita percaya Malaysia yang makmur, adil dan perkasa untuk umat Melayu, orang Cina, kaum India, Iban, Kadazan dan lain-lain. Ini membezakan di antara kita dengan Kerajaan Barisan Nasional yang diketuai UMNO. Mereka rakus berkuasa merompak khazanah negara, tidak mempedulikan nasib rakyat yang menanggung beban akibat kenaikan mendadak harga minyak. Sejenak di dalam permenungan mengingatkan saya kepada sajak sahabat saya WS Rendra yang berjudul Sajak Orang Kepanasan.

“karena kami terlantar di jalan
dan kamu memiliki semua keteduhan …..
karena kami kebanjiran
dan kamu berpesta di kapal pesiar …..
maka kami tidak menyukaimu”

Saya menyeru segenap jentera untuk sentiasa waspada, hati-hati dan memohon dari Allah S.W.T agar diberi kemenangan buat kita melaksanakan harapan dan cita-cita rakyat untuk Malaysia yang Merdeka, Makmur dan Perkasa.

ANWAR IBRAHIM

No comments: