Saya akan pertahankan hak Abdullah Ahmad Badawi yang merujuk saya sebagai Evil. Saya juga akan pertahankan hak Abdullah menuduh saya berniat jahat. Saya hormati hak Abdullah sebagai individu dan menghormati haknya untuk berkata-kata.
Sekarang bolehkah Abdullah menghormati hak saya?
Dendam kesumat Abdullah terhadap saya tidak perlu dibangkitkan hingga melibatkan perundangan negara.
Jika Abdullah yang berada di singgahsana merasa sedih melihat Jalur Gemilang diterbalikan secara maya di alam siber oleh saya, seribu kali lagi saya merasa sedih bertanggungjawab menerbalikan jalur gemilang itu.
Setiap hari bila saya membuka blog saya, hati saya terguris melihat jalur gemilang ini terbalik. Namun saya tabahkan hati saya kerana bagi saya nilai masa hadapan dan nilai nyawa seorang rakyat Malaysia lebih utama dari segala perlambangan.
Saya terbalikkan jalur gemilang setelah Kerajaan melaksanakan “Self-Service System” di stesen-stesen minyak seluruh negara. Tindakan kerajaan ini mengakibatkan atendan-atendan pam di seluruh Malaysia menerima notis perberhentian kerja pada 1 Ogos 2008. Mereka akan mula kehilangan punca pencarian pada 1 September 2008.
Kebanyakan pekerja stesen minyak di pekan-pekan kecil dan kawasan luar bandar adalah anak watan, warganegara Malaysia. Kalau kita boleh menangisi dan membesarkan tindakan kilang-kilang multinasional memberhentikan pekerja, bagaimana pula dengan nasib pekerja-pekerja orang Melayu, Cina, India dan kaum-kaum lain yang hilang pekerjaan akibat tindakan Kerajaan yang sepatutnya mewakili mereka ini.
Adakah kerana saya protes terhadap penindasan menerusi polisi oleh Kerajaan terhadap anak bangsa sendiri adalah berniat jahat?
Apakah saya menerbalikan bendera Malaysia supaya masyarakat mendengar keluhan saya tentang nasib anak-anak watan ini menjadikan saya seorang yang jahat?
Setiap hari terpampang di dada akhbar nasib anak-anak watan yang dilanda kemiskinan. Setiap hari terpampang di dada akhbar anak-anak watan mencabut nyawa mereka sendiri bahkan lebih dasyhat mencabut nyawa anak-anak mereka sekali kerana tidak sanggup berhadapan dengan kemelut ekonomi dan masalah rumahtangga yang hadir setelah mereka di landa kemelut itu.
Saya pernah melaluinya. Saya pernah kehilangan pekerjaan dan bukan sekali tetapi lebih dari itu. Saya tahu jerih perihnya. Saya masih ingat hangatnya airmata saya mengalir di pipi sewaktu saya membelai rambut anak saya yang sedang lena. Saya masih merasa pedihnya tidak dapat memberikan yang terbaik untuk anak-anak saya.
Tetapi, diluar sana, bukan lagi soal memberikan yang terbaik tetapi memberikan keperluan asas pun sudah tidak termampu. Memang benar, kita masih belum menjadi seperti Myanmar, tetapi haruskan kita menunggu sehingga kita setaraf dengan Myanmar?
Dimanakah ahli-ahli politik yang kita lantik pada 8 Mac 2008 yang lalu. Berapa ramaikah yang bermati-matian mempertahankan hak rakyat dengan segala kudrat mereka? Berapa ramaikah pula yang terhoyong-hayang ke sana ke mari terus bermain politik?
Sekarang kita berhadapan dengan kemelut dalaman UMNO yang mengikat pemimpin-pemimpin mereka sepenuh masa untuk mempertahankan kedudukan mereka di dalam pemilihan UMNO di peringkat Cawangan, kemudian Bahagian dan akhirnya peringkat nasional, begitu juga dengan MCA.
Fokus ahli-ahli politik yang sepatutnya menjana minda mereka untuk memberi yang terbaik kepada rakyat Malaysia sebenarnya telah terhapus dengan kesungguhan mereka bermain politik.
Saya mengeluh, saya tahu rakyat segelintirnya turut mengeluh sama. Saya tahu majoriti rakyat Malaysia merasai kesan di atas merudumnya ekonomi mereka sendiri akibat tindakan kerajaan yang tidak tepat. Ya, saya yakin di dalam banyak hal, tindakan oleh kerajaan tidak tepat.
Akibatnya, rakyat merasai kesengsaraannya. Persoalannya bukan berapa ramai yang mengalami kesengsaraan tetapi berapa ramai yang berani meluahkan kesengsaraan mereka.
Bagi atendan-atendan pam minyak yang kehilangan punca pencarian bermula 1 September ini, dunia mereka sudah roboh. Bukan mudah malah hampir mustahil untuk mencari pekerjaan dikampung dan dipekan kecil dengan hanya berbekalkan sijil tamat sekolah rendah, tamat tingkatan 3 dan tercicir dari tingkatan 5. Bukan juga mudah bagi pak cik dan mak cik yang yang tidak mempunyai apa-apa kelulusan dan kini berusia lebih 50 tahun yang terpaksa bekerja seharian di pam minyak dan kini seharian hidup mereka hendak ke mana?
Orang-orang kecil, warga kerdil Malaysia mengalami kesengsaraan. Saya mahu hak mereka tidak diabaikan. Apabila hak mereka kita abaikan seperti yang berlaku sekarang, yang bersalah bukan sahaja kerajaan, bukan sahaja ahli-ahli politik dan bukan sahaja orang-orang kaya.
Apakah kita fikir insan-insan kecil ini pedulikan kebanggaan kita pada Jalur Gemilang? Mereka juga ingin berjaya. Ingin membelai anak-anak mereka setiap malam. Mereka juga ingin mandikan anak-anak mereka dengan kebahagiaan.
Apakah patriotik namanya berdiri tegak menjulang panji dan bendera sedang kaki bergelumang najis?
Bagi saya, itu bukan patriotik namanya. Sebuah negara boleh wujud tanpa panji tanpa bendera, tanpa nama dan kebesarannya. Tetapi bolehkah wujud sebuah negara tanpa rakyat, tanpa insan kerdil. Bukankah kita dulupun insan kecil juga?
Salam saya buat Abdullah.
Sheih Kickdefella
No comments:
Post a Comment