Kenyataan Terbuka
9 September 2013
Tumpu Perkukuh Demokrasi Parlimen Sebelum Bentuk Kabinet Bayangan
Perlu diingat bahawa kabinet bayangan bukan sekadar senarai calon siapa nak jadi bakal menteri. Kabinet bayangan ialah senarai kumpulan atau individu ahli parlimen atau siapa sahaja yang dinamakan oleh parti pembangkang bagi menangani isu berdasarkan kementerian atau segmentasi.
Persoalan paling utama di Malaysia ialah kabinet bayangan di malaysia tidak akan berfungsi kerana demokrasi dan sistem berparlimen Malaysia tidak berjalan dengan baik. Sebagai contoh, jika kita meletakkan seorang atau sekumpulan sebagai pemantau perihal ekonomi, dan mereka mahu mengeluarkan cadangan balas berkaitan TPPA pasti gagal kerana semua rundingan mengenai TPPA dirahsiakan. Malah jika perjanjian itu ditandatangani pun hanya selepas beberapa tahun kemudian baru boleh perjanjian itu diketahui.
Perjanjian TPPA bukan sahaja menjadi rahsia kepada kabinet bayangan malah ahli parlimen kerajaan sendiri tidak memiliki butiran rundingan. Maka apakah ertinya kabinet bayangan tanpa ruang akses maklumat? Lagi contoh, jika PR bentuk kabinet bayangan untuk Kementerian Pertahanan maka adakah PR mampu memperolehi butiran pembelian senjata?
Maka sesiapa yang mahu bercakap soal kabinet bayangan harus memahami asas kewujudan kabinet bayangan itu dahulu. Jika tidak ia akan dilihat lebih kepada 'test market' untuk ketahui di mana kedudukan diri dalam kabinet tersebut, atau sebenarnya telah sebabkan pasukan sendiri terjerumus ke dalam perangkap musuh secara tidak sedar, memberi ruang kepada musuh untuk kucar-kacirkan kesepakatan.
Kepada dua ketua pemuda dari PAS dan umno ini, adalah lebih baik kiranya kita selaku anak muda memikirkan bagaimana memperkukuhkan sistem dua parti, membuka ruang demokrasi ke arah mempertingkatkan penglihatan rakyat dalam sistem demokrasi, memperkukuh integriti sistem negara. SAMM sedia menyertai perbincangan tersebut.
SAMM percaya Khairy Jamaluddin faham dan mampu melakukan ke arah itu namun kadang-kala dia juga tidak terlepas dari terperangkap dengan kenakalan pemain politik.
Kabinet bayangan bukan seperti permainan kad untuk tonjol kad siapa paling kuat, tetapi semangatnya lebih kepada timbang-tara (check and balance). Ia harus juga disuburkan dengan ruang demokrasi perdebatan terbuka demi mencari pendekatan terbaik buat tanahair.
Dalam masa yang sama, Khairy juga harus menjadi penggalak ke arah pertemuan antara Perdana Menteri Malaysia dan ketua pembangkang negara, samada untuk dialog atau aksi debat, yang penting rakyat menilai.
CHE'GUBARD
Ketua Penyelaras
Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM)
No comments:
Post a Comment