Wednesday, September 4, 2013

JELAJAH #bantahTPPA BAKAL PERTEMU DS ANWAR DAN TUN MAHATHIR DI PENTAS KEMUNCAK

Kenyataan Umum
4 September 2013

JELAJAH #bantahTPPA BAKAL PERTEMU DS ANWAR DAN TUN MAHATHIR DI PENTAS KEMUNCAK

Ketika kemelut kenaikkan harga harga petrol dan diesel menjadi tumpuan semua lapisan masyarakat, ramai yang terlepas pandang betapa tanah air ini sebenarnya berdepan musibah yang jauh lebih besar iaitu penjajahan ekonomi melalui perjanjian TPPA.

Kerajaan sebelum ini telah mengumumkan bahawa Perjanjian TPPA tidak akan ditandatangani ketika kedatangan Presiden Obama di Kuala Lumpur seperti yang dijadualkan pada bulan depan. Namun ramai yang tidak sedar proses metrai perjanjian TPPA hanyalah satu penangguhan. Ia tetap akan berlaku setelah pasukan perunding mencapai 'kata sepakat' yang dinafi dari pengetahuan umum.

Proses kesedaran terhadap bahaya TPPA berada di kemuncak sebelum dipadamkan oleh isu harga minyak yang bakal menyebabkan harga semua sektor keperluan dan perkhidmatan melambung. Ia sekaligus mengalih perhatian rakyat supaya melupakan malapetaka yang jauh lebih besar.

Justeru itu, kesempatan dari mood kemarahan rakyat hari ini, Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) tidak lagi menunggu dan terus menggerak kesedaran umum sehingga muktamadnya penarikkan Malaysia dari menyertai perjanjian multilateral terikat TPPA yang melibatkan negara Asia Pasifik.

Maka satu Jelajah #bantahTPPA anjuran SAMM bersama Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) dengan kerjasama Gabungan membantah TPPA (BANTAH) dengan pendokong utamanya Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM) akan dilaksanakan bermula 17 September. Jelajah #bantahTPPA yang berbentuk ceramah umum ini akan merangkumi 15 lokasi di seluruh negara. Jelajah ini menampilkan wakil dari parti politik PR dan BN selain aktivis BANTAH dan wakil MTEM untuk sepentas menerangkan bahana penjajahan TPPA.

Kemuncak Jelajah #bantahTPPA akan mempertemukan dua tokoh utama tanahair DS Anwar Ibrahim dan Tun Mahathir dalam satu pentas raksasa pada 10 Oktober 2013, iaitu sehari sebalum demonstrasi besar #bantahTPPA menyambut Presiden Amerika, Barrack Obama di KLCC.

Kedua-dua tokoh ini dilihat begitu lantang menggesa kerajaan Malaysia menolak Perjanjian TPPA. Dalam masa yang sama, Tun Mahathir dan DS Anwar juga pernah saling menuduh masing-masing pro kepada US. Maka kita sediakan ruang dan peluang kepada kedua-dua belah pihak untuk mengenepikan tuduhan, lantas mengenepikan permusuhan politik domestik demi mempertahan kedaulatan negara. Rakyat juga sudah tentu ingin melihat sama ada tokoh-tokoh ini semata ingin pertahan ego politik domestik atau tampil mempertahankan negara dari dijajah ekonominya.

Penganjuran Jelajah #bantahTPPA kini dalam proses rangkaan akhir dan akan diumum dalam satu sidang media awal minggu depan. Undangan kepada DS Anwar dan Tun Mahathir untuk sepentas di kemuncak jelajah juga sedia untuk disampaikan.

Mungkin ada hikmahnya keputusan tidak popular pihak kerajaan menaikkan harga petrol dan diesel, ia sekaligus menjadi pemangkin api kemarahan rakyat untuk muncul di setiap lokasi jelajah dan bersama dalam satu demonstrasi besar #bantahTPPA 11 Oktober nanti.

Sekian

CHE'GUBARD
Pengasas
Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM)

No comments: