Thursday, November 5, 2009

Anwar, Pengorbanan Dan Yang Lain Lain


OLEH Hasmi bin Hashim

Sebuah Pembangkang yang terkuat dalam sejarahnya Dewan Rakyat; beserta tiga “kerajaan baru”, selain kekal di Kelantan. Tuan, apakah itu belum memadai? Ya, memang semua ini tak perlu berulang-ulang disebut, karena yang lebih penting, tindakan menuju ‘destinasi’ selanjut. Tapi, sekejap!

Selain ‘kesedaran’ elit Umno-BN, saya hendak bertanya, memang kalau bukan kerana sumbangan besar “faktor Anwar”, mustahil ada “yang dahulunya tak punya ‘apa-apa’,” kini bergelar “YB”, exco, ahli majlis, pengarah itu, pengerusi ini dan bermacam-macam lagi… Fakta adalah fakta. Maaf.

3 November (Selasa malam): saya mengikuti sebuah program yang saya kira penting, “Diskusi Belanjawan 2010″ di Petaling Jaya. Hadirin yang hadir, sekitar 300 orang–angka yang tak perlu disembunyikan. Program itu program yang diatur Kerajaan Negeri Selangor: sebuah niat yang baik dan terpuji.

Usaha yang baik dan terpuji, yang sehening mana sekalipun, perlu khalayak yang tepat selain “kepadatan” dewan. Tak bijak kalau kita meminta Anwar bercakap mengenai bola sepak di hadapan tukang masak, misalnya; samalah agak sia-sia Anwar bercakap tentang ekonomi di hadapan khalayak yang ke mana-mana beliau berceramah, itulah orangnya.

Dialog dan diskusi yang sebegini serius, harus dibentangkan kepada sasaran yang betul–di samping saya tidak gemar sekali menuliskan hal ini terbuka. Hanya apabila saya rasanya ia cukup perlu disentuh. Tuan, perlu tahu itu.

Saya ingat usaha Datuk Seri Ir Nizar Jamaluddin, ketika kerajaannya belum dirampas tahun lalu. Antara tindakan awal Ir Nizar adalah memanggil semua pegawai kanan kerajaan Perak untuk mendengar ucaptama Anwar. ‘Sasarannya’ jelas, di kalangan yang ‘terpilih’. Mobilisasi dilakukan. Dewan pun penuh. Tepukkan bergaung-gema.

Di mana ada usaha, di situ ada jalan… Bukankah sewajarnya begitu? Tapi, tak lain, agaknya Ir Nizar adalah manusia yang tahu diuntung. Yang tahu pula mengenang.

Sekali lagi, saya tak suka menulis sebegini, namun, mungkin sudah sampai waktunya–kalamana yang terdengar, bahkan beberapa pengalaman ‘kecil’ langsung dan tidak langsung memperlihatkan ada usaha sabotaj di dalam pentadbiran kerajaan negeri Pakatan Rakyat. Umum tahu. Dan, apakah cukup tegas dan tidak sedikitpun kita sendiri cuai? Atau apa “tindakan” yang perlu?: itulah yang hendak dipertanyakan sebagai persoalan utama.

Hampir 5 tahun lalu, ketika Anwar masih mengajar di Amerika Syarikat, saya mengirim email permintaan kepada Pengarah Eksekutif Institut Kajian Dasar (IKD), Khalid Jaafar yang bersama Anwar di Amerika. Hasrat agar Anwar dapat meluang masa, pulang ke Kuala Lumpur dengan program sekelompok anak-anak muda Jalan Telawi cuba aturkan untuk beliau. Berhari-hari kami berbincang siang-malam, mengumpul data dan dana, mencari tempat sesuai, sementara menunggu tarikh Anwar pulang.

Atas nama sebuah badan bukan kerajaan (NGO) yang kecil, yang hanya digerakkan oleh segelintir anak muda yang tidak punya jentera dan keupayaan besar (sepertimana sebuah kerajaan negeri!), kami cuba mengumpulkan para profesional dan usahawan muda. Dewan kecil itu penuh. Sesak. Dan, [YB] Nik Nazmi Nik Ahmad menjadi moderator atau pengerusi majlis.

Ada harapan yang muncul dan berkembang dari sana…

Sederhana. Memang. Tapi acara itu bolehlah dianggap sukses–sekali lagi, dengan modal yang tak seberapa. Dengan tenaga yang terhad sekali. Semua orang perlu bekerja, tak seorang berpeluk tubuh; dengan hanya “memerintah” atau datang untuk rasmikan majelis, kononnya.

Dari sana, awalnya, kami impikan sebuah bajet atau belanjawan tanding dapat terhasil. Anwar, beberapa bulan kemudian, pulang dengan gagasan ekonomi lebih besar, dengan apa yang dikenali sebagai “Agenda Ekonomi Malaysia” (AEM).

Kertas idea Anwar ini, yang kebanyakkan difikir dan digubah di Amerika (pada perhitungan saya) kemudiannya menggegarkan ruang perbincangan dan ekonomi-politik nasional. Umno, khususnya, naik berang. Masakan tidak, bagi Umno, hanya mereka yang layak bercakap tentang ekonomi. Bukannya orang lain. Bukannya Anwar.

Tentu Anwar mengambil risiko yang besar dengan tekad untuk menolak Dasar Ekonomi Baru (DEB), dan percubaan memberikan penawaran atas nama AEM; yang di dalamnya usaha mengembalikan tafsiran “affirmative action” kepada rakyat terbanyak. Daripada bantuan atas nama bangsa, kepada atas nama “keperluan” (”need“).

Mahu tak mahu, AEM turut ‘menyumbang’ kepada kejayaan 8 Mac sebagai sebuah gagasan–politik memang bukan hanya kerja berceramah saban malam selepas isyak. Saya masih ingat, bagaimana susulan program dalam dewan kecil yang dianjurkan Open Dialoque Center (ODC), dipanjangkan ke satu lagi yang lebih serius ke Pusat Konvensyen KLCC.

Di situlah, pertama kali saya melihat tokoh-tokoh korporat menghadirinya. Antara lain, termasuk Tan Sri Khalid Ibrahim sendiri, yang kini menteri besar Selangor.

Soalan Khalid pun saya masih ingat, iaitu menyentuh kebimbangannya terhadap nasib umat Melayu, kalau DEB yang barangkali di matanya, mahu dicabut Anwar… di mana hendak disandar nasib umat? Apa jawab Anwar?

Jawab Anwar tak lain ialah perspektif dan cara membantu Melayu dan Bumiputera harus ditukar. Sebelum menukar “cara”, yang perlu ditukar dahulu adalah asas “fikiran”. Sementara tidakkah kita lihat, gaya Umno-DEB sekian lama, telah dan telah gagal! Kalangan yang ramai, tidaklah mendapat manfaat yang banyak, kecuali dua-tiga kerat anak Melayu yang “di-berjaya-kan” agar menjadi simbol kejayaan kerajaan Umno-BN. Realitinya nasib orang Melayu dan rakyat umum, tercecer.

Bersela beberapa bulan selepas itu, Khalid menyertai Keadilan. Ada beberapa tokoh besar korporat dan usahawan yang muncul malam itu, tak muncul-muncul semula… wallahualam.

Tentulah ada beza antara anak-anak muda aktivis yang bersatu di bawah bumbung ODC, dengan keupayaan kerajaan-kerajaan negeri yang ada sekarang, baik di Selangor, Pulau Pinang mahupun Kedah misalnya. Kita, tak perlu lagi ’sembunyi-sembunyi’ untuk menganjurkan program; tak seperti apa yang pernah kami lalui dahulu. Tak perlu lagi.

Senaraikan jumlah ahli parlimen, ADUN dan senator Pakatan Rakyat. Senaraikan juga jumlah ahli-ahli majlis yang baru dilantik. Senaraikan jumlah kakitangan dan pegawai kerajaan-kerajaan negeri. Lihat gahnya dewan… mana mungkin hanya 300 orang sahaja yang hadir.

Tengok bagaimana hanya untuk mengisi sekeping buku nota, sebatang pen dan sehelai jadual tentatif program, diisi di dalam beg kertas khas, yang barangkali kosnya melebihi RM15 setiap satu! Lihat telefon bimbit, kereta, baju, seluar… Lihat keadaan masing-masing yang [ada kalanya] merungut dan menagih tak habis-habis. Bezakan dengan yang ramai… bezakan dengan hasil kerja Tuan sendiri.

Apakah sudah cukup bersungguh kita menjayakan gagasan dan idea besar pimpinan tertinggi?

Tak wujud persoalan “orang baru”-”orang lama”. Yang wujud, apakah makna “perubahan”, gagasan “Kebangkitan” atau “renaissance” itu cukup dihayati?

Atau, sesungguhnya satu habuk pun masih tak dimengertikan meski selepas lebih sedekad jatuh-bangun dalam perjuangan. Daripada program diskusi malam tadi di PJ, saya berat sekali menuliskan dan menyatakan semua ini. Terasa, andai tak dicatatkan, ia menjadi beban semakin berat–meskipun barangkali bukanlah sebuah ‘dosa’.

Memadailah orang yang sering menjejerkan paling banyak pengorbanan; merekalah yang begitu mudah mengkhianati perjuangan. Dan, melompat parti. Tidakkah difikirkan, apakah yang telah mereka perolehi?

Kemenangan pasti ada nikmatnya. Kemenangan juga rupa-rupa ada sisi perlunya kerendahan hati–tentang siapa ketua siapa berjasa pun kadang begitu mudah diabaikan. Moga-moga, tidaklah sampai begitu… karena Tuanlah yang kini berkuasa.

No comments:

Tukar Tiub - Brader Isham

Terkini di blog Aduka Taruna

Pak Bakaq si Penarik Becha

Comandante Che gue Bard

iklan