Sunday, May 19, 2013

PENANGKAPAN ADAM CETUS KEBANGKITAN ANAK MUDA

Kenyataan Media
19 Mei 2013

PENANGKAPAN ADAM CETUS KEBANGKITAN ANAK MUDA

Ekoran penahanan Adam Adli, Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) akan memastikan kebangkitan anak muda berada di kemuncaknya. SAMM menyifatkan penangkapan Adam sebagai pencetus terbaik memandangkan mood rakyat yang marah dengan penafian demokrasi melampau oleh kerajaan pemerintah. 

Ucapan berapi Adam Adli di pentas anjuran SAMM dan SMM 13 Mei lalu telah membawa kepada penahanan beliau semalam di Bangsar Utama. Adam Adli telah dibawa ke Balai Polis Jinjang atas dakwaan akta hasutan dan kemudian disumbat ke dalam lokap di Lokap Berpusat Kuala Lumpur di Jinjang. SAMM bersama hampir 100 aktivis rakyat telah berkumpul dan menunjukkan solidariti terhadap Adam Adli di hadapan lokap yang dihuni oleh beliau sepanjang malam tadi.

Hari ini, pihak polis dengan pantas mendapatkan perintah reman ke atas Adam Adli selama 5 hari. Ini satu penindasan terhadap anak muda yang bersuara bagi pihak rakyat majoriti. Kemarahan Adam terhadap penipuan PRU-13 telah mempengaruhi ucapan beliau untuk menyeru orang ramai menyuarakan bantahan secara aman di jalanraya. Seruan Adam Adli telah disambut dengan gegak gempita oleh hampir 3 ribu hadirin di KLSCAH yang juga didengari oleh 250 ribu pendengar radio secara live.

Telah berulang kali diungkap dalam kenyataan SAMM sebelum ini bahawa ucapan berbaur perkauman dan kebencian antara agama yang dilontar oleh proksi Umno tidak dikenakan sebarang tindakan walaupun ratusan laporan polis dibuat. Malah pemimpin Umno, proksi Umno dan pemimpin mesra BN ini juga telah dilindungi dan kebal dari hukuman, menjelaskan lagi betapa negara ini mempunyai dua set undang-undang.

SAMM juga membidas sikap sombong bongkak Menteri Dalam Negeri yang baru apabila memilih untuk mula berkasar terhadap rakyat. Sedangkan ucapan Zahid Hamidi sendiri harus mengundang hasutan apabila mengarahkan rakyat meninggalkan negara ini sekiranya tidak setuju dengan 'demokrasi yang mati'.

SAMM yakin dan percaya walaupun Adam Adli ditangkap, ia tidak langsung melemahkan gerakan yang diseru oleh Adam Adli iaitu gerakan ke jalanraya, malah tindakan ala-penjajah pihak KDN ini pasti memacu jutaan rakyat untuk hadir ke Kuala Lumpur dalam masa terdekat. Makin kamu menekan rakyat, makin menggunung keberanian rakyat. 

SAMM memberi peringatan kepada regim, majoriti rakyat mahukan kerajaan yang baru tetapi malang bagi negara ini apabila kemenangan rakyat dicuri atas nama demokrasi palsu. Tiba masanya rakyat bangkit untuk tidak menunggu 5 tahun lagi, kerana penantian 55 tahun itu sudah terlalu lama, inilah masanya kebangkitan rakyat. Suara Rakyat Suara Keramat!! Kamu tangkap Adam Adli, akan lahir seribu lagi Adam Adli yang membuat seruan yang sama - Jalanraya.

Sekian


CHE'GUBARD
Pengasas
Solidariti Anak Muda Malaysia

2 comments:

Anonymous said...

negara beruntung kerana mempunyai ank muda yg berani menyatakan kebenaran.

Unknown said...

negara juga bakal akan runtuh dgn anak muda yg tdk bijak berjuang utk negara.