Thursday, May 23, 2013

HIMPUNAN #SuaraRAKYAT505 SABTU INI (25 MEI) TETAP DITERUSKAN

Kenyataan Media
23 Mei 2013

HIMPUNAN #SuaraRAKYAT505 SABTU INI (25 MEI) TETAP DITERUSKAN

Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) menegaskan bahawa perhimpunan yang dianjur oleh Gabungan "Suara Rakyat 505" akan tetap diteruskan walaupun ramai pimpinan Pakatan Rakyat ditangkap. Himpunan ini adalah himpunan rakyat, semua yang hadir tanpa pangkat tetapi sebagai rakyat menuntut demokrasi yang dirampas regime legasi penjajah untuk kekal berkuasa. 

SAMM juga sebagai antara penggerak utama himpunan #SuaraRakyat505 di Padang Timur (Amcorp Mall) tetap bertekad untuk memastikan himpunan mencapai matlamat, walaupun che'GuBard sendiri ditahan. Setakat ini juga, terdapat cubaan pihak polis untuk memberkas che'GuBard tetapi masih gagal.

SAMM juga mengutuk keras tindakan tidak bertamadun pihak berkuasa yang menangkap YB Tian Chua, peguam aktivis Haris Ibrahim dan pemimpin veteran Thamrin Ghaffar. Fiasco penangkapan yang bermula apabila Adam Adli dicekup lewat minggu lalu, dijangka akan berterusan dengan beberapa lagi tangkapan. 

Negara seolah-olah berada dalam keadaan 'belum merdeka' ketika mereka yang bersuara bercakap benar disumbatkan ke dalam lokap seterusnya didakwa atas akta yang sepatutnya telah dimansuhkan. Ini bukti kegagalan transformasi Najib, ketika kerajaan yang ada hari ini tidak punya sokongan majoriti. 

Peristiwa hari ini mengingatkan kita bagaimana penceroboh Sulu contohnya, diberi layanan dan masa yang selesa tetapi rakyat sendiri dilayan umpama penjenayah besar. Inilah Malaysia, rakyat perlu bangkit membetulkan negara ini! 

Agenda dan tuntutan yang telah diumum oleh Gabungan "Suara Rakyat 505" juga tidak berganjak, malah kehadiran orang ramai kini jauh di luar jangkaan setelah aksi gestapo yang ditunjuk oleh regim pemerintah, membuatkan rakyat lebih berani ke depan. 

Sesungguhnya rakyat tidak sedia ditipu lagi dalam 5 tahun akan datang, tetapi rakyat sedia untuk memperjuangkan tuntutan demokrasi bila-bila masa dari sekarang. Tarikh 25 Mei adalah pilihan terbaik bagi meledakkan apa yang dikata menifestasi #SuaraRakyat505. Jangan lupa, baju HITAM!

CHE'GUBARD
Pengasas SAMM

1 comment:

Anonymous said...

Jangan bagi peluang geng 47 ni tidur lena dengan penipuannya. Teruskan perjuangan...