Friday, May 3, 2013

PENAHANAN PENDEDAH MAKLUMAT: RAKYAT PERLU TUNJUK KEKUATAN SEBENAR TANGGAL 505


Kenyataan Media
3 Mei 2013

PENAHANAN PENDEDAH MAKLUMAT: RAKYAT PERLU TUNJUK KEKUATAN SEBENAR TANGGAL 505

Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) menyeru kepada semua pengundi supaya tidak melepaskan peluang untuk mengajar pemerintah yang menindas rakyat melalui pilihanraya yang menjelang. Apa yang berlaku ke atas Blogger Milo Suam yang ditangkap dan direman atas kesalahan OSA harus dijadikan iktibar penting.

SAMM mengutuk keras tangkapan ini dan mendesak supaya tahanan OSA dibebaskan segera. Tahanan OSA ini tidak mengancam negara sebaliknya hanya mengancam pemerintah korupsi.

Di negara ini, orang yang mendedahkan salah-laku dan kepincangan pihak berkaitan kerajaan akan dihambat, digari dan ditangkap. Ketika yang sama. orang yang merosakkan negara dengan sentimen perkauman, penyebar kebencian antara agama dan sentimen kelucahan terus dibela. Inilah layanan kerajaan Malaysia terhadap rakyatnya dan tidak seorang pun yang terkecuali untuk menjadi mangsa. 

Sikap dwi-standard yang diamalkan oleh SPR dan agensi kerajaan lain sudah penat diperkatakan malah ia seolah tidak mampu lagi diperbetul. Pelbagai usaha terus diperhebat demi mempertahankan kuasa dari jatuh ke tangan rakyat. SAMM percaya inilah masanya yang paling tepat untuk setiap rakyat menunjukkan rasa protes tindakkan kerajaan dalam bentuk referendum pada pilihanraya umum yang berbaki 2 hari lagi.

Minggu lalu, pendedahan yang dibuat oleh Blogger Milo Suam telah memberi kesan yang besar ke atas kredibiliti SPR yang sememangnya telah banyak tercalar. Persoalan bagaimana kertas undi pos dikeluarkan sehari lebih awal harus dijawab dengan konklusif berbanding melakukan aksi tangkapan. Penangkapan ini juga merupakan satu usaha pemerintah memberi tekanan bagi tujuan merencatkan usaha pendedah maklumat yang lain.

Penangkapan ke atas pendedah maklumat pastinya mengimbau kembali suasana ketika negara masih belum merdeka. Rakyat berdepan dengan penjajah yang menggunakan pelbagai alasan dan helah bagi menyumbat mana-mana individu yang dirasakan mengancam kedudukkan mereka.

Tidak keterlaluan jika dikatakan rakyat negara ini perlukan kemerdekaan sebenar, iaitu kemerdekaan rakyat.

Akhir sekali, SAMM ingin menyuarakan bahawa kita rakyat punyai satu peluang untuk bebaskan negara ini dari cengkaman kuku besi, iaitu dengan menumbangkan Umno BN. Peluang itu sudah semakin hampir di depan mata. Rebutlah peluang ini, bebaskan Malaysia dari sebuah kerajaan legasi penjajah.

Pilihan di tangan anda, pilihlah 'merdeka rakyat'. 


EDY NOOR REDUAN
Pengarah Propaganda
Solidariti Anak Muda Malaysia


No comments: