Tuesday, December 15, 2009

Ambil Iktibar Pasukan Laos !



Pertama sekali saya ingin mengucapkan tahniah kepada pasukan Malaysia kerana telah menjejaki Final Sukan SEA pada edisi kali ini. Kali terakhir menjejakkan kaki di final adalah ketika Malaysia menjadi tuan rumah Sukan SEA tahun 2001.

Saya berada di Stadium Shah Alam pada final tahun 2001, kedudukan saya betul-betul di hadapan pintu gol Malaysia pada separuh masa kedua. Waktu itu kita bertemu dengan pasukan Thai dan kedudukan masih lagi seri walaupun perlawanan telah memasuki minit terakhir.

Satu hantaran lintang dari pemain Thai, manakala tiada pula pemain Thai yang merebut bola di kotak penalti ketika itu kerana hantaran lintang yang diberikan terlalu ke dalam. Dengan tidak semena-mena, penjaga gol Malaysia ketika itu dianggap tersohor, Kamarulzaman kalau tak silap saya namanya, telah menampan bola tersebut ke dalam gol sendiri untuk memberikan pingat emas kepada pasukan Thai. Habis cerita tahun 2001, dan itu cerita lama yang sengaja saya ungkit memandangkan saya 'endure' perlawanan akhir tersebut dengan ending yang agak pilu.

Hari ini ada sesuatu yang harus menjadi iktibar kepada pengurusan bola sepak Malaysia, kepada pasukan Malaysia, kepada rakyat Malaysia dan juga peminat bolasepak serata Asia Tenggara. Perkara yang perlu diberi perhatian di sini ialah kebangkitan pasukan sekerdil Laos. Pasukan yang selama ini mejadi belasahan semata-mata walaupun pernah mencalarkan Malaysia pada tahun 1997.

Perlawanan malam tadi cukup mendebarkan, sebelum Laos menjaringkan gol penyamaan saya telah sms kepada rakan seperjuangan peminat pasukan kebangsaan bahawa, Laos benar-benar menyimpan kekuatan mereka untuk separuh masa kedua. Mereka telah bermain secara bertahan sepenuhnya pada 1st half dan pada 2nd half, mereka menunjukkan kekuatan sebenar sehingga berjaya menjaringkan gol penyamaan. Gol cantik dari jarak 30 meter itu benar-benar menguji kekuatan mentel pemain Malaysia serta menggemuruhkan seluruh penyokong Malaysia di kaca TV2.

Laos pasukan belasahan hampir-hampir mengejutkan pasukan kebangsaan kita buat kali kedua. Ketika gol penyamaan tersebut, saya sendiri berasa gentar barangkali keputusan upset bakal terhidang. Namun syukur kepada tuhan kerana pemain negara berjaya menyerap tekanan dengan begitu baik sekali dan secara bersahaja mencari gol kemenangan. Umpama tiada tekanan, dua gol tambahan berjaya diledakkan untuk membawa Malaysia ke penentuan emas-perak pada hari Khamis nanti.

Perlawanan akhir kali ini memberikan satu lagi peluang buat pasukan Malaysia membalas dendam terhadap tentera Viet yang selama ini menjadi penghalang utama dalam mana-mana kejohanan yang melibatkan pasukan Asia Tenggara. Inilah masanya untuk pasukan Malaysia bangkit, peluang yang jarang dimiliki dalam era bolasepak negara pada waktu ini.

Kita tinggalkan final untuk dilagukan pada Khamis nanti, kini kita perlu melihat bagaimana pasukan Laos secara mendadak menjadi sebuah pasukan yang digeruni. Pasukan bawah-23 Laos telah menjadi sekuat Indonesia, sehebat Myanmar dan Singapura malah menyaingi pasukan kebangsaan kita malam tadi umpama menentang Vietnam. Pasukan inilah yang akan memberikan tentangan pada masa hadapan.

Bayangkan, pasukan Laos menang lawan Indonesia, seri dengan Myanmar dan Singapura untuk muncul sebagai juara kumpulan. Kemudian bertemu pasukan Malaysia dan memberi tentangan sengit pada separuh masa kedua. Boleh dikatakan, Laos hampir-hampir mencipta kejutan kepada Malaysia. Apakah perasaan anda ketika Laos menyamakan kedudukan? Adakah anda masih rasa Malaysia akan layak ke final pada ketika itu?

Apakah rahsia Laos? Bertapa selama setahun? Apakah Malaysia tidak boleh melakukan perkara yang sama dan sebagai hasilnya, kita memberikan kejutan kepada pasukan ternama Asia seperti Jepun dan Saudi Arabia?

Kita harus mengambil iktibar daripada pasukan Laos. Mereka berjaya melakukan sesuatu untuk masa depan bolasepak mereka. Jika saya menjadi salah seorang rakyat Laos, saya pasti berbangga dengan pencapaian sukan SEA kali ini walaupun tidak mencecah ke Final, ia cukup untuk mengejutkan seluruh Asia Tenggara.

Saya mengharapkan Pasukan Malaysia bangkit bukan sahaja di arena Asia Tenggara, tetapi di pentas Asia. Setelah dimalukan pada temasya Piala Asia sewaktu menjadi tuan rumah tahun 2007, kita perlu bangkit tanpa menoleh ke belakang. Lakukanlah sesuatu sepertimana yang berjaya dilakukan oleh Pasukan Laos, tidak salah kita belajar dari sebuah pasukan yang kerdil.

Apapun, sekali lagi saya ucapkan tahniah kepada pasukan kebangsaan kerana berjaya memasuki final. Peluang membalas dendam terhadap Vietnam jangan dilepaskan. Ini adalah peluang keemasan. Saya berdoa agar pasukan kita memperolehi emas bolasepak pertama dalam tempoh 2 dekad lantas menjadi titik kebangkitan pasukan Harimau Malaya.

Ayuh berjuang memartabatkan maruah bolasepak kebangsaan. Kembalikan nostalgia 70an kepada kami, warga melenium.

2 comments:

Anonymous said...

Sungguh mendebarkan semasa menyaksikan permainan malam tadi.
Tahniah pasukan Malaysia

Anonymous said...

bro , messi malaysia kalau lu tengok tadi ialah norshahrul idhlan talaha , gaya dia gelecek mmg power beb, skill international pye . dia mmg banyak assist even striker tp dari dialah banyak peluang walaupun dia agak mati kutu sorang2 untuk score.