Tuesday, October 14, 2014

Penubuhan Forum Selatan Satu Idea Yang Baik

Kenyataan Umum
14 September 2014

Penubuhan Forum Selatan Satu Idea Yang Baik

Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) Negeri Johor menyambut baik cadangan Kerajaan Johor untuk menubuhkan Pusat Persuratan Melayu Nusantara atau Forum Selatan. Idea untuk memperkasakan bahasa Melayu Johor ini sememangnya sesuatu yang amat penting dalam mencipta ruang pengukuhan tamadun kenegeraan. 

Forum Selatan yang akan menggabungkan Johor-Riau-Singapura di atas satu platform untuk mengungkap kembali sejarah kebudayaan, bahasa dan penulisan memang wajar disokong oleh segenap lapisan rakyat negeri ini. Ini memandangkan ikatan sejarah dan hubungan antara 3 wilayah ini yang telah terjalin berkurun lamanya. Tiada yang dapat menyangkal fakta ini. 

SAMM Johor juga amat berharap agar idea ini tidak terhenti dengan satu aspek sahaja. Ia harus berkembang dengan penyatuan kebudayaan dan keseniaan serta jalinan hubungan diplomatik dan ekonomi yang utuh antara 3 wilayah ini. Kerajaan Johor juga perlu memulakan inisiatif pembangunan pusat sehenti kebudayaan dan keseniaan Johor-Riau-Singapura. 

Begitu juga dalam aspek pembangunan kebudayaan dan keseniaan semua segmen masyarakat yang ada di bumi Johor. Dalam pada kita memacu kemajuan berasaskan pembangunan ekonomi dan fizikal, usaha-usaha untuk turut membawa bersama perkembangan bahasa, budaya dan adat resam juga tidak boleh dipinggirkan. 

Sememangnya usaha ke arah perkembangan dan pengukuhan bahasa, budaya, keseniaan dan adat resam Johor ini menjadi antara intipati yang akan dikemukakan SAMM Johor kepada Kerajaan Negeri supaya diangkat sebagai antara agenda Bajet Negeri 2015. 

Sebagai rekod, terdapat satu rancangan wilayah pembangunan ekonomi yang meliputi ketiga-tiga wilayah ini dan dikenali dengan nama SIJORI yang telah agak lama tidak disebut atau dijayakan. Adalah menjadi harapan SAMM Johor agar rancangan Forum Selatan ini dapat memulakan semula rancangan pembangunan ekonomi yang telah lama sepi itu.

SAMM Johor berharap agar segala usaha ini menjadi kenyataan supaya kegemilangan tamadun Johor yang berusia ratusan tahun ini dapat dikembalikan semula. 

Hadzril Rizal
Penyelaras
Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) Johor

No comments: