Tuesday, October 14, 2014

Bajet 2015 : Wanita dan Belia

Kenyataan Media
14 Oct 2014

Bajet 2015 : Wanita dan Belia

Bajet 2015 membawa sedikit impak positif kepada wanita. Antaranya Pembelian premis Rumah Perlindungan Khas Wanita Seluruh Malaysia, Pusat penjagaan kanak-kanak di premis pejabat swasta dibenarkan unruk diperluas dan program latihan kemahiran untuk suri rumah (1Malaysia Support For Housewives ) untuk kembali ke pasaran kerja.

Namun begitu, sasaran untuk memperkukuh program pengarah wanita dengan sasaran 30% penglibatan wanita dalam lembaga pengarah dan kumpulan pengurusan agak tidak realistik untuk dicapai dalam tempoh setahun perlaksanaannya. Ini kerana pada masa ini, peratusan wanita dalam kelompok ini hanyalah 10% sahaja.

Program Women Career Comeback pula hanya menumpukan kepada golongan wanita  professional yang mempunyai kelayakan. Bagaimana dengan wanita bukan profesional? Tiada dasar jelas mengenai halatuju kumpulan wanita ini. 
Sementara itu, penambahbaikan cuti menjaga anak juga tidak menyeluruh. Hanya tertumpu kepada penjawat awam. Tiada insentif untuk majikan sektor swasta untuk menambahbaik cuti menjaga anak kepada wanita di sektor swasta. Seharusnya Bajet 2015 perlu merangka dasar yang menyeluruh.

Bagi anak muda pula, perkara positif dalam Bajet 2015 antaranya adalah kajian semula PLKN walaupun idea ini berasal daripada Belanjawan 2015 Pakatan Rakyat namun Segmentasi Wanita Muda SAMM turut menyambut baik pengumuman Kerajaan. Selain itu, penambahbaikan program Rakan Muda dan program Agropreneuer muda juga merupakan perkara positif dalam menggalakkan anak muda terlibat secara aktif dalam aktiviti sukarela dan pertanian.

Sungguhpun begitu, Segmentasi Wanita Muda SAMM berpandangan Akademi Kepimpinan Belia adalah satu pembaziran. Adakah program di universiti tidak mencukupi? Seharusnya pihak Kerajaan memberikan tumpuan untuk memberikan nilai tambah kepada program kepimpinan belia di peringkat universiti. Aspek kepimpinan ini patut dipupuk dari zaman universiti dan tidak perlu ditambah lagi program lain.

Program kesukarelawan antarabangsa pula boleh diibaratkan sebagai kera dihutan disusukan, anak di rumah mati kelaparan. Hakikatnya, banyak lagi kawasan dalam negara ini yang memerlukan sukarelawan terutama di kawasan-kawasan pedalaman.

Selain itu, pengumuman Program keusahawanan yang sama seperti tahun-tahun lepas melalui MaGIC dan sebagainya yang sehingga kini tidak menampakkan hasil yang memberangsangkan.

Idea 1 Malaysia Youth City juga nampak absurd. Apakah kawasan ini akan hanya menempatkan orang muda? Apa rasionalnya? Ekosistem yang sesuai perlulah merangkumi populasi penduduk yang seimbang dari segi taburan umur.

Satu lagi aspek adalah skim perumahan belia. Walaupun, skim ini baik untuk membolehkan belia memiliki rumah namun Segmentasi Wanita Muda ingin mengemukakan persoalan, di kawasan manakah rumah-rumah ini akan ditawarkan? Pemilikan rumah pertama tidak melebihi RM 500,000?

Subsidi RM200 sebulan untuk bayaran ansuran bulanan pinjaman perumahan adalah idea yang albagus tetapi apakah ia adil untuk keseluruhan belia dalam negara apabila skim ini hanya terhad kepada 20,000 pemohon sahaja. 

Tambahan pula, permohonan adalah berdasarkan siapa cepat dia dapat. Mungkinkah Kerajaan melihat diri mereka umpama sebuah syarikat korporat yang menawarkan pelan seperti jualan murah ini?

Kesimpulannya, walaupun bajet 2015 ini mula memberikan sedikit insentif baik kepada rakyat namun begitu terdapat beberapa kelemahan dasar yang cukup meresahkan dan dibimbangi tidak dapat mencapai objektif yang diharapkan sebaliknya hanya satu lagi bentuk pembaziran perbendaharaan negara.

Young Syefura Othman
Penyeralas Segmentasi Wanita Muda 
Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM)

No comments:

Tukar Tiub - Brader Isham

Terkini di blog Aduka Taruna

Pak Bakaq si Penarik Becha

Comandante Che gue Bard

iklan