Thursday, October 24, 2013

Tahniah Kerajaan PR Selangor dan P.Pinang Bergerak Selangkah Perkukuh Demokrasi

Kenyataan Umum
23 Okt 2013
 
Tahniah Kerajaan PR Selangor dan P.Pinang Bergerak Selangkah Perkukuh Demokrasi
Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) mengucapkan tahniah kepada kerajaan PR Selangor dan P.Pinang yang bergerak selangkah lagi memperkukuhkan demokrasi dalam radar pentadbiran mereka.

18 September lalu Kerajaan Pakatan Rakyat Pulau Pinang melalui mesyuarat Exco Kerajaan Negeri telah meluluskan secara prinsipnya peruntukan kepada ADUN pembangkang di Pulau Pinang (baca : Barisan Nasional) dan lanjutan kelulusan Mesyuarat Exco ini akan dibentangkan dalam Belanjawan Negeri P.Pinang 2014. Manakala 10 Oktober lepas Kerajaan PR Selangor pula telah mengumumkan elaun khas dan keistimewaan kepada Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri Selangor.

Bagi SAMM ini usaha berani dalam memperkukuh dan mendidik erti demokrasi sebenar di Malaysia namun memahami dalam searah panjang penindasan dalam menterjemah sistem demokrasi ala Barisan Nasional tentu tindakan seperti ini sukar diterima oleh beberapa pihak dalam PR itu sendiri.

Namun jika kita bercakap soal demokrasi matang, inilah masa terbaik menunjukkan PR berbeza dengan politik penindasan Bn. Kita lihat selama ini bagaimana wakil rakyat PR khususnya ahli parlimen dinafikan hak untuk berkhidmat kepada rakyat dengan satu sen pun peruntukan tidak disalurkan melalui wakil rakyat PR yang diangkat dengan undi rakyat. Kini satu tamparan hebat buat ADUN Bn di Pulau Pinang. Adakah mereka mahu menerima peruntukan yang diberikan kepada mereka walaupun mereka pembangkang ?
 
Jika mereka menerima maka mereka memperakui bahawa amalan Kerajaan Bn di negeri lain dan Bn peringkat Pusat sendiri adalah salah dengan tidak menyalurkan peruntukan melalui wakil rakyat yang diangkat oleh rakyat atau jika menolaknya maka mereka akan terus dikenang dengan politik kepartian sempit dan mereka tidak boleh mengeluh lagi depan pengundi mereka yang mereka tidak ada peruntukan. Melalui Kerajaan Pulau Pinang, PR membuktikan bahawa pertembungan parti politik hal yang lain tetapi dalam urus tadbir negeri demokrasi maka pilihan rakyat harus dihormati dan PR Pulau Pinang telah mengiktirafnya.

Jawatan Ketua Pembangkang dalam dewan (sama ada dewan rakyat atau dewan undangan negeri) amat penting. Namun sejak merdeka Malaysia tidak pernah menghormati seperti mana negara - negara demokrasi matang mengiktiraf jawatan tersebut. Kerajaan PR Selangor mengorak langkah apabila memberikan elaun khas RM8,260 sebulan dengan perbagai keistemewaan lain kepada Ketua Pembangkang di Dewan Undangan Negeri Selangor.
 
Dengan ini jawatan yang juga  diangkat melalui proses demokrasi suara rakyat ini boleh digunakan untuk sama membangunkan negeri. Ketua pembangkang boleh punya sebuah pejabat yang efisyen lengkap dengan pegawai penyelidik yang cukup dan mampu untuk membahaskan dan membuat teguran membina kepada kerajaan negeri yang akhirnya menguntungkan rakyat.
 
Persoalanya kini juga muncul adakah Ketua Pembangkang yang datang dari Bn di Selangor menerima elaun dan keistimewaan tersebut atau dia menolak dengan pemikiran politik kepartian sempit. Jika menerimanya juga maka dia mengakui sendirinya bahawa adalah amalan yang salah apabila Kerajaan Pusat dan Negeri dibawah Bn menidakkan peranan Ketua Pembangkang di dewan yang diangkat oleh rakyat.

Seharusnya beginilah politik negara dibawa kepada persaingan polisi dan persaingan dalam penambahbaikan yang akhirnya memperkukuh demokrasi dan menguntungkan rakyat.

Besar harapan SAMM ingin melihat Perdana Menteri Malaysia merangkap Menteri Kewangan yang menjadikan perkataan 'tranformasi' sebagai zikirnya tiap hari dalam membentangkan Buget 2014 Jumaat ini mampu benar benar menyambut langkah Kerajaan PR Selangor dan P.Pinang. Langkah ini juga positif dan semua harus bergerak dalam memperkukuh demokrasi dengan mengiktiraf peranan ahli parlimen PR dengan mengambil kira penyaluran peruntukan melalui mereka yang dipilih rakyat dan mengangkat peranan Parlimen Malaysia dengan mengiktiraf keistimewaan kepada Ketua Pembangkang Malaysia. Jika tidak zikir 'transformasi' itu akan terus menjadi retorik bahan ketawa mainan dalam dan luar negara.

Oleh

che'GuBard
Solidariti Anak Muda Malaysia

No comments: