Kenyataan Terbuka
8 Oktober 2013
Akhirnya Atas Desakan Rakyat, Najib Sedar TPPA Bahaya
Najib Razak akhirnya disedarkan oleh desakan rakyat bahawa Perjanjian TPPA itu 'menceroboh' hak kedaulatan dalam merangka formula peraturan dan dasar, atau dengan bahasa lebih tepat - Menggadai kedaulatan tanahair.
Syukurlah, walaupun media arus perdana tidak menjalankan peranan yang wajar dalam memberi penerangan khusus tentang bahaya TPPA, namun gerak usaha dari pelbagai pihak telah berjaya membawa rakyat memberikan tekanan supaya Perjanjian TPPA tidak dilaksanakan.
SAMM melalui gerak kerja bersama Badan Bertindak Bantah TPPA (BANTAH) ketika ini telah menjelajah ke 12 daripada 13 lokasi di seluruh negara sebagai tanggungjawab memberi kesedaran umum mengenai Perjanjian TPPA. Ia secara tidak langsung memberi kesan tersendiri apabila semakin ramai rakyat yang faham komplikasi yang bakal dihadapi negara ini sekiranya Perjanjian TPPA dimetrai.
Lokasi terakhir Jelajah Anti-TPPA akan diadakan pada malam ini di Sekinchan, Selangor sebelum satu pentas perdana yang bakal mempertemukan dua tokoh ternama tanahair akan berlangsung pada 10 Oktober di Kelab Sultan Sulaiman, Kg Baru Kuala Lumpur.
Isu TPPA ini tidak berakhir. MITI dilihat begitu bersungguh-sungguh cuba memutar belit fakta dan menutup kelemahan mereka. Ketika ini juga pihak MITI sedang 'counter' roadshow BANTAH-SAMM, malah mereka turut membuat program propaganda di satu maktab polis, agar mendapat sokongan anggota polis dalam isu TPPA.
Dalam perkembangan sama SAMM mengingatkan, walaupun Najib Razak kononnya 'tersedar' bahaya TPPA namun kenyataan Najib tetap menunjukkan minatnya terhadap perlaksanaan TPPA apabila menyebut "perjanjian TPP dijangka mengambil masa yang lebih lama untuk dimuktamadkan". Ini bermakna ia satu penangguhan, rakyat jangan terperangkap.
Dari satu sudut yang lain, apakah Najib sebenarnya cuba bertindak menjadi hero apabila akhirnya menolak TPPA? Sikap 'flip-flop' bermuka-muka ini amat bahaya dan sukar dipercayai. Najib juga dilihat tidak mempunyai ketegasan dalam soal TPPA.
Justeru itu, ayuh kita muktamadkan suara rakyat untuk bersatu dan bersama menolak Perjanjian TPPA dalam dua aksi perhimpunan iaitu;
1. Pentas Perdana Anti-TPPA: Selamatkan Kedaulatan Negara, Tolak TPPA | 10 Oktober | 8.30Malam | Kelab Sultan Sulaiman Kg Baru, KL
2. Himpunan #BantahTPPA dan 'Sambut' wakil US dengan simbol penolakkan | 11 Oktober | 2.00 petang | Masjid KLCC
Maka SAMM menjemput semua rakyat Malaysia agar tidak melepaskan peluang menunjuk kekuatan rakyat kepada pemerintah yang tergamak berani memperjudikan nasib rakyat dan kedaulatan tanahair.
che'GuBard
Pengasas
Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM)
No comments:
Post a Comment