Tulisan Umum
4 Ogos 2015
Kepada semua teman yang pernah menghina dan memperlekeh integriti keperibadian Perdana Menteri kita yang perlu saya sebut di sini iaitu Dato' Seri Najib Tun Razak, adalah lebih baik kalian semua menginsafi perbuatan kalian dan bertaubatlah jika perlu. Saya sendiri berasa amat takut dengan gumpulan-gumpulan dosa di atas pelbagai hamburan dan tohmahan selama ini terhadap DS Najib dan keluarganya.
Kalau boleh ingin saja saya hadir melawat Seri Perdana dan merafak kemaafan dengan setulus ikhlas serta memberikan sokongan yang tidak berbelah bahagi kepada beliau. Ingin saja saya bersalam dan mencium tangan Wanita Pertama yang perlu saya sebut di sini iaitu Datin Seri Rosmah Mansor jika ini dibenarkan.
Pengakuan saya ini sama sekali tidak bermaksud membodek hanya kerana beliau seorang multi-bilionair, mohon jangan sesekali tindakkan saya ini disalah-erti, benar saya ikhlas. Janganlah ditambah dosa kering saudara sekalian, cukuplah yang sedia ada itu barangkali mampu mengheret kalian ke neraka.
Ingin saya imbas di sini, DS Najib lahir dari kalangan bangsawan iaitu Perdana Menteri Malaysia ke-dua, Tun Abdul Razak. Diberi didikan terbaik dari dalam dan luar negara. Cukup berkarisma bukan sahaja untuk memimpin 3 juta ahli umno seluruh dunia, malah untuk menjadi nakhoda melayarkan negara ini menjadi sebuah negara maju. Saya maksudkan layar bahtera, bukan layar perak.
Malah beliau juga mempunyai jodoh yang baik dikalangan terbaik, kerana sudah tertulis orang yang soleh akan bertemu jodoh yang solehah. DS Rosmah wajar menjadi ikon kebangsaan sebagai Wanita Pertama yang menjadi tulang belikat buat Perdana Menteri kita, sebagai cheque and balance.
Ekoran pengumuman Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semalam, yang mengesahkan RM2.6 bilion yang disalurkan ke akaun peribadi DS Najib merupakan sumbangan penderma, saya melihat segala tindak tanduk DS Najib mentadbir negara ini khususnya rombakkan kabinet yang dibuat minggu lalu adalah bertepatan. Sekurang-kurangnya telah diakui dan disahkan wang tersebut selamat di akaun Perdana Menteri kita. Ia lebih baik berbanding tidak mengaku apa-apa atau menafikannya.
Kita maklum bahawa wang sebanyak RM2.6 bilion yang masuk ke akaun Najib adalah duit derma, bukan duit penyelewengan atau rasuah mana-mana pihak dan ia tiada kena-mengena dengan 1MDB seperti yang dilaporkan. Tuduhan melampau oleh bekas TPM dan Tun Mahathir akhirnya terjawab hingga Mahathir sendiri terpaksa akui kemungkinan Muhyiddin melakukan jenayah besar hingga terpaksa diketepikan dari kabinet Najib.
Malahan Naib Ketua Kesatuan Ulama Sedunia yang perlu saya sebut di sini iaitu Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang yang juga Presiden parti Islam PAS yakin bahawa Najib tidak bersalah selagi tidak dibuktikan bersalah. Ia adalah satu penilaian yang tepat oleh seorang ulamak. Apakah kita ular yang biasa-biasa ini berani membangkangnya? Sokongan TG Hadi Awang ini harus menjadi azimat untuk kita semua memberi sokongan padu terhadap DS Najib Razak.
Janganlah pula kita persoalkan dari mana sumber datangnya sejumlah wang bernilai RM2.6 bilion. Siapa yang menderma yang tidak penting asalkan yang menderma itu ikhlas kerana Allah, tangan yang memberi adalah lebih baik daripada tangan yang menerima. Siapa kita untuk menilai sebuah keikhlasan?
Jumlah RM2.6 bilion itu juga amatlah kecil jika dibandingkan dengan jumlah RM800 bilion hutang negara. Tidakkah kalian nampak jurang perbezaan yang ketara? Justeru saya fikir janganlah perihal derma RM2.6 bilion ini diperbesarkan.
Janganlah pula kita tanya ke mana wang ini dibelanjakan. Sebagai rakyat, kita boleh sahaja mempersoal penyelewengan dan rasuah yang berlaku dalam negara ini, contohnya skandal 1MDB. Namun wang derma yang masuk terus ke akaun DS Najib adalah hak beliau untuk membelanjakannya dengan berhemah. Siapa tahu, ribuan rumah mangsa banjir di Kelantan yang siap sebelum raya tempohari mungkin sebenarnya dari wang RM2.6 bilion ini? Tidak hairanlah mengapa parti pembangkang PAS bersikap mesra BN umpama salah sebuah parti komponen.
Beberapa pihak dilihat menuduh wang RM2.6 bilion ini digunakan sebagai dana perbelanjaan PRU-13 adalah sama sekali tanpa bukti. Hanya kebetulan wang ini masuk dua bulan menjelang pilihanraya umum tidak boleh dijadikan sandaran kepada dakwaan tersebut. Lagipun, wang ini masuk ke akaun peribadi, bukan akaun parti. Jadi janganlah dipertikan kemenangan BN dalam pilihanraya lalu.
Saya juga mengambil kesempatan ini untuk memberi nasihat kepada semua rakyat Malaysia supaya bertenang dan tidak gopoh dalam membuat penilaian. Janganlah kita memilih demonstrasi jalanan hanya kerana wang derma RM2.6 bilion ini. Negara kita ada undang-undang, malah ada Peguam Negara baru yang jauh lebih matang.
Demonstrasi jalanan hanya akan menyebabkan negara mampu menjadi huru-hara. Walaupun jutaan umat Malaysia berada di Kuala Lumpur selama tiga hari bermula 29 Ogos nanti, pihak polis pastinya sudah bersedia dengan pelbagai kelengkapan termasuklah gas pemedih mata dan air gatal 'watercanon'. Garam yang sedikit tidak mampu merawat kepedihan mata, dan walaupun setiap yang hadir membawa payung hitam, ia mungkin tidak mampu menghadang corong canister yang terbang ke arah kalian, apatah lagi semburan air gatal.
Janganlah salahkan pihak berkuasa sekiranya kalian dipukul dengan cota, dan dipijak dengan kasut boot besi. Saya tahu kalian semua sangat berani, saya tahu kalian tidak takut mati demi tanahair, tetapi sayangilah diri sendiri dan keluarga. Jika marah sangat pun, cukuplah hambur kemarahan di media sosial, kerana mungkin itu sahaja kualiti kita.
Janganlah hadir berdemo dalam aksi Bersih 4 hujung bulan nanti hanya kerana wang derma RM2.6 bilion. Ia mungkin akan menyebabkan kehancuran ke atas negara ini, walaupun kita mampu saja bina semula dengan lebih baik, tetapi lebih baik jangan ambil risiko kerana tanpa risiko tiadalah perubahan. Ada juga yang berkata "The biggest risk is not taking any risk", ini jangan dipercaya.
Kita harus berterima kasih kerana masih bernafas dengan percuma, dan dibayar elaun BR1M setiap 3-4 bulan, ini idea DS Najib bukan Ahmad Maslan. Ingin juga saya bertanya di sini, berapa ramai di antara kita yang sudah berterima kasih kepada DS Najib yang menurunkan harga petrol sepuluh sen walaupun ketika ringgit menjunam hampiri RM4 sedolar?
Kita harus berterima kasih kerana masih bernafas dengan percuma, dan dibayar elaun BR1M setiap 3-4 bulan, ini idea DS Najib bukan Ahmad Maslan. Ingin juga saya bertanya di sini, berapa ramai di antara kita yang sudah berterima kasih kepada DS Najib yang menurunkan harga petrol sepuluh sen walaupun ketika ringgit menjunam hampiri RM4 sedolar?
Kita harus bersyukur negara ini masih lebih baik dari kebanyakkan negara Afrika yang rakyatnya kebuluran. Negara kita ini belum ada yang kebuluran, jadi mengapa perlu kita lawan kerajaan? Malah kita juga harus berbangga kerana mempunyai seorang Perdana Menteri sanggup bertahan walau apa pun rintangan.
Saya bangga menjadi sebahagian rakyat Malaysia yang terus bersabar. Bersabar itu bukan bermaksud dungu, ia lebih dari itu.
Edy Noor Reduan
Aktivis Blogger
No comments:
Post a Comment